Pengembaraan ke dunia Kit
Bab 4 - Dikejar tikus gergasi
Genre: Kanak-kanak
Kategori: Novelet
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
199

Bacaan






Norli semakin bosan berada di dalam keju besar. Tiada apa yang menarik terdapat didalamnya kecuali tulang-tulang yang berselerakan di lantai. Norli tidak suka keadaan yang kotor seperti itu. Norli mahu segera keluar dari situ dan bertemu Kit semula.

Norli memulas tombol pintu, tetapi anehnya pintu itu berkunci. Norli masih ingat sewaktu dia masuk tadi, pintu masih terbuka. Siapa yang menguncinya? Norli tiba-tiba teringatkan Kit. Norli tahu Kit sengja mengunci pintu untuk menakut-nakutkannya.

“Kit, buka lah pintu. Norli nak keluar ni,” Norli cuba memanggil Kit melalui tingkap. Norli lihat Kit tiada di tempat persembunyiannya. Di mana pula Kit ni?

“Kit, ooo Kit…” jerit Norli lagi. Kali ini lebih kuat. Norli berharap kali ini Kit dapat mendengar suaranya.

“Ya,”

Norli gembira apabila akhitnya Kit menyahut panggilannya. Norli segera berpaling ke belakang, tetapi…

Rupa-rupanya yang berdiri di hadapan Norli bukan Kit tetapi tikus-tikus yang fizikalnya lebih besar daripada Norli. Norli menggigil. Ini lah kali pertama Norli lihat tikus sebesar ini.

Norli mengundur ke belakang apabila melihat kumpulan tikus semakin mendekatinya. Tikus-tikus itu tersengih menampakkan giginya yang tajam.

“Marilah sini, kenapa awak takut dengan kami? Kami nak berkawan dengan awak,” Norli terdengar salah seekor di antara tikus itu berkata dengannya.

Tikus-tikus ni boleh bercakap? Ops, Norli hampir terlupa bahawa kini dia sedang berada di dunia Kit. Kit juga boleh bercakap, tidak mustahil juga tikus-tikus ini boleh bercakap. Tetapi Norli tetap risau dengan keselamatannya walaupun tikus itu memberitahu bahawa mereka ingin menjadikan Norli sebagai kawan. Norli semakin takut apabila melihat di sebalik senyuman tikus-tikus di hadapannya itu. Setiap kali mereka tersenyum, Norli dapat melihat barisan giginya yang tajam-tajam.

“Janganlah takut, walaupun kami ni besar tapi kami baik,” kata seekor lagi yang agak tinggi badannya.

Jantung Norli berdegup kencang. Norli dapat merasakan bahawa tikus-tikus itu mempunyai niat yang buruk terhadapnya. Norli cuba mencari jalan untuk melepaskan diri tetapi bagaimana? Norli ketika itu sudah bersandar di dinding dan mengengsot perlahan-lahan cuba mengelakkan diri daripada dihampiri tikus-tikus itu. Pada ketika itu Norli terdengar sesuatu.

“Pst…Norli,”

Norli terdengar sayup-sayup suara Kit. Norli mencari-cari dari mana datangnya suara Kit. Rupa-rupanya Kit berada di luar tingkap yang kedudukannya tidak jauh dari Norli. Nasib baik tikus itu tiada di luar rumah ketika itu. Norli kembali bersemangat. Norli mahu segera keluar dari situ. Norli mencari jalan untuk menghampiri tingkap itu dan segera lompat dari situ. Norli mendapat satu akal.

Norli pura-pura senyum dan ingin berbaik dengan tikus-tikus di hadapannya. Norli cuba memberanikan diri bersalam dengan salah seekor tikus yang menghulurkan tangannya kepada Norli. Ketika bersalam itu Norli dapat merasa kasarnya tangan tikus itu. Norli dapat melihat ada parut di muka tikus itu.

“Macam ni lah,” puji tikus berparut itu. Mereka menganggap bahawa Norli sudah pun mula mempercayai mereka.

Sementara itu Kit semakin resah. Lebih-lebih lagi apabila melihat Norli mula ingin berkawan dengan tikus-tikus itu. Kit melangkah beberapa tapak dan tidak menyedari bahawa tikus-tikus itu telah mendengar pergerakannya.

“Bunyi apa tu bos?” tanya salah seekor kucing kepada kucing berparut. Norli lihat telinga tikus itu bergerak-gerak. Geli pula Norli melihatnya.


“Eh, bau apa pula ni?” tiba-tiba tikus berparut menghidu-hidu sesuatu. Dua ekor tikus yang berada di tepi tikus berparut juga turut mencari dari mana datangnya bau itu.

“Macam bau kucing,” jawab salah seekor tikus yang agak tinggi badannya.

Pada ketika itu Norli lihat ketiga-tiga tikus itu tidak lagi memberikan perhatian kepadanya. Norli menggunakan peluang itu sebaik-baiknya tetapi Norli tetap perlu berhati-hati. Perlahan-lahan Norli mengengsot menghampiri tingkap yang terbuka separuh. Sambil itu Norli tetap memerhatikan gelagat ketiga-tiga ekor tikus itu.

“Cepat lompat ikut tingkap,”

Norli mendengar dengan jelas arahan Kit, tetapi Norli takut. Norli risau jika dia tidak dapat melepasi tingkap, Norli akan terjatuh. Tambahan pula kaki Norli tidak sembuh sepenuhnya.

“Karing, kau jaga makhluk tu, jangan terlepas. Yang lain pergi tengok kat luar”

Sebaik sahaja Norli terdengar kata-kata salah seekor tikus itu, ketika itu juga lah Norli memberanikan diri melompat dari tingkap. Norli sudah tiada pilihan lain. Dengan lafaz Bismillah, Norli segera melompat ke arah tingkap dan terjun keluar. Norli tidak menyangka dia dapat melompat dan terjun secepat itu. Kit yang berada di luar pada ketika itu, segera memegang tangan Norli.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku