Pengembaraan ke dunia Kit
Bab 5 (ii)
Genre: Kanak-kanak
Kategori: Novelet
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
42

Bacaan






Situasi : Di rumah keluarga Kit

“Kan kami dah bagitahu, Kit dah mati. Kit mana ada lagi dengan kami. Kau semua tak faham ke?” marah bapa Kit kepada Coreng, Kuring dan Karing yang berada di depan rumahnya petang itu.

Bapa Kit sendiri sebenarnya berasa tidak selesa dengan kehadiran mereka yang suka membuat kacau. Mereka juga tidak menghormati bapa Kit sebagai tuan rumah. Tiba-tiba sahaja mereka bertiga datang mengetuk pintu dengan kuat sambil menjerit-jerit melaung nama Kit. Beberapa kali juga bapa Kit sudah memberitahu perkara yang sebenarnya, namun nampaknya mereka bertiga masih tidak mempercayainya.

“Aku tak percaya! Kat mana kau berdua sorokkan Kit?” balas Coreng tidak sedikit pun berasa gentar dengan bapa Kit.

Ibu Kit yang berada di sebelah bapa Kit lebih banyak membisu. Sekali sekala ibu Kit turut membalas untuk mempertahankan suaminya.

“Kit dah mati! Kenapa kau semua nak cari anak kami? Anak kami tak ada hutang dengan kau! Tak cukup lagi ke kau semua dah seksa kami? ” marah ibu Kit.

Pertengkaran mereka semakin hebat. Tanpa membuang masa, Coreng memberi arahan kepada Kuring dan Karing untuk bertindak. Mereka berdua terus mengikut arahan Coreng dan masuk ke dalam rumah ibu bapa Kit. Mereka terus menyelongkar setiap sudut. Mereka tidak menghiraukan larangan ibu bapa Kit yang meminta mereka menghentikan perbuatan mereka. Coreng yang berdiri di hadapan ibu bapa Kit hanya tersenyum sinis. Ibu Kit sudah mula menitis air mata.

“Ini balasan untuk sesiapa yang degil dengan aku!” begitu angkuh kedengaran nada suara Coreng.

“Kau memang melampau!” bapa Kit tidak dapat menahan marah dengan perlakuan ketiga-tiga ekor tikus yang sudah keterlaluan.

Coreng masih lagi tersenyum sinis. Beberapa minit kemudian Kuring dan Karing muncul di hadapan Coreng. Kuring dan Karing menolak kedua ibu bapa Kit yang cuba menghalang laluan mereka.

“ Tak ada bos,” Jawab Kuring da Karing serentak. Coreng yang mendengar jawapan anak-anak buahnya itu hanya mendengus.

“Kamu berdua dah cari betul-betul?” tanya Coreng yang sepertinya tidak mempercayai jawapan Kuring dan Karing.

“Betul bos. Dah serata tempat kami cari. Betul tak Karing?” Kuring memandang Karing. Seperti biasa Karing akan mengangguk-angguk.

Bapa Kit senyum puas. Coreng melihat senyuman bapa Kit yang seolah-olah menyindirnya.

“Kali ni aku lepaskan kau. Tapi ingat! Kalau aku tahu yang Kit masih hidup dan kau berdua sorokkan Kit, tahulah apa balasannya. Anak kau tak akan selamat. Ingat tu!” Kata Coreng sambil memberi arahan kepada Kuring dan Karing untuk berlalu dari situ.

Selepas mereka bertiga sudah berada agak jauh, ibu Kit terus menangis. Bapa Kit kasihan melihatkan ibu Kit. Dia tahu ibu Kit amat menyayangi Kit. Dia juga tahu ibu bapa masih tidak dapat menerima ketiadaan Kit. Kit lah satu-satunya anak mereka. Belum sempat mereka membesarkan Kit, Kit sudah pun tiada. Menghilang tanpa berita. Puas mereka mencari Kit, namun tidak berjumpa. Berhari-hari mereka mencari Kit namun masih juga hampa. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menganggap Kit sudah pun mati. Jika Kit masih hidup, mesti sudah lama Kit kembali ke rumah untuk menemui mereka. Namun apa yang bapa Kit tidak faham ialah kemunculan Coreng, Kuring dan Karing yang beria-ia benar untuk mencari Kit. Apa kaitan Kit dengan mereka? Adakah Kit pernah membuat salah kepada mereka? Mustahil, kerana Kit masih kecil. Namun, tidak mustahil juga kerana setahu mereka, Kit walaupun masih kecil namun Kit cukup berani dan mempunyai perasaan ingin tahu yang kuat. Pernah Kit hilang beberapa jam. Menurut kawan-kawan sebaya Kit, mereka lihat Kit masuk ke dalam sebuah rumah kosong untuk mengetahui apa yang berada di dalam rumah itu.

Kit juga pernah dimarahi oleh ibunya kerana sikapnya yang berani itu. Walaupun begitu, dalam diam kedua ibu bapa Kit sebenarnya bangga mempunyai anak seberani kit. Mereka berharap suatu hari nanti Kit dapat menjadi wira di kampung mereka dan mengembalikan keadaan seperti dahulu. Itulah harapan mereka. Namun kini segalanya sudah musnah sejak kehilangan Kit. Satu-satunya anak mereka kini sudah pun tiada dan mereka perlu menerima takdir ini.

“Saya dapat rasakan yang kata-kata Coreng tadi tu benar,” kata ibu Kit setelah tangisannya semakin reda. Bapa Kit terkejut mendengarkan kata-kata isterinya.

“Apa maksud awak? tanya bapa Kit yang tidak faham dengan maksud kata-kata isterinya.

“Saya rasa betullah yang Kit tu sebenarnya masih hidup. Lagipun mana ada bukti yang Kit tu dah mati,” ibu Kit menjelaskan maksud kata-katanya tadi. Nada suara ibu Kit kedengaran tegas. Bapa Kit hanya mendiamkan diri.

“Awak setuju tak dengan kata-kata saya ni?” tanya ibu Kit, ingin mendengar pendapat suaminya. Bapa Kit masih diam.

Sebenarnya dalam diam-diam bapa Kit bersetuju dengan kata-kata isterinya walaupun dia sendiri masih keliru. Walaupun begitu bapa Kit tidak mahu terlalu yakin dan menghebohkan hal itu. Bapa Kit risau sekiranya Kit dijumpai masih hidup, Coreng dan konco-konconya akan mengapa-apakan Kit walaupun dia sendiri tidak tahu apa salah Kit kepada mereka. Serta merta bapa Kit teringat ugutan Coreng sebentar tadi.

“Kali ni aku lepaskan kau. Tapi ingat! Kalau aku tahu yang Kit masih hidup dan kau berdua sorokkan Kit, tahulah apa balasannya. Anak kau tak akan selamat. Ingat tu!”

Gerun pula hati bapa Kit apabila memikirkan hal itu. Jika benarlah Kit masih hidup. apakah tindakan yang diambil oleh Coreng terhadap Kit? Bukannya dia tidak kenal dengan perangai Coreng. Coreng akan mengikut apa sahaja mengikut kata hatinya. Bapa Kit berdoa semoga tiada sesiapa lagi yang menjadi mangsa Coreng selepas ini.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku