Pengembaraan ke dunia Kit
Bab 6 : Salah faham
Genre: Kanak-kanak
Kategori: Novelet
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
130

Bacaan






“Ni lah kali pertama saya rasa sayur macam ni,” kata Norli sambil memikir sesuatu. Pada waktu ini hanya tinggal Kit dan Norli di rumah Oren. Oren berada di luar rumah untuk meninjau keadaan sekeliling. Kebiasaannya Kit dan Oren akan bergilir-gilir untuk memantau sekeliling kecuali Norli. Kit dan Oren tidak mahu melibatkan Norli kerana Norli masih baru di tempat itu dan ini akan membahayakan diri Norli.

“Apa yang awak tengah fikir tu Norli?” Tanya Kit.

“Yelah, banyak yang saya fikir sebenarnya. Tentang dunia ni, tentang sayur ni,” Norli memandang saki baki tumbuhan ajaib yang masih berada di tangannya.

“Apa yang awak fikir tentang sayur ni?” Kit cuba untuk mengetahui pendapat Norli.

“Pasal sayur ni kan..memang lain dari yang lain la. Saya tak sangka ada sayur macam ni. Sebelum ni saya memang tak suka makan sayur. Ibu dan ayah saya pun marah bila saya tak makan sayur. Bila kat sini, lain pulak jadinya. Sekarang ni saya rasa macam di alam fantasi pulak. Ala, macam dalam filem Alice In The Wonderland tu,” jawab Norli sambil tersenyum. Kit ketawa mendengar jawapan Norli.

“ Kan saya dah kata, ni memang tumbuhan ajaib. Tapi tumbuhan ni ada kat sini je tau. Kat dunia awak tak ada,” jawab Kit. Beberapa kali Kit memberitahu hal itu kepada Norli. Kit tidak mahu nanti Norli akan tercari-cari tumbuhan itu sebaik sahaja Norli pulang semula ke dunianya. Nanti dirinya akan dianggap penipu pula.

“Memang ajaib. Bila masuk dalam mulut, rasanya akan berubah mengikut fikiran kita. Kalau kita asyik fikir pahit, jadi pahitlah sayur ni,” Kit mengangguk-angguk mendengar penjelasan Norli.

Norli masih ingat ketika kali pertama dia terpaksa memakan tumbuhan ajaib tersebut. Beberapa kali Kit dan Oren memujuk tetapi Norli masih enggan. Sehinggalah apabila Norli terlalu lapar dan mengalami sakit perut. Mahu tidak mahu Norli terpaksa menjamahnya kerana tiada makanan lain pada ketika itu. Norli memejam mata sambil terbayang sayur yang bakal masuk ke dalam mulutnya ini adalah sangat pahit rasanya. Masuk sahaja ke dalam mulut, Norli terus meludahnya semula. Pahit! Tersangat pahit. Namun setelah Kit menerangkan cara sebenar untuk memakan tumbuhan ajaib itu, akhirnya Norli berjaya juga menelannya. Tapi sebenarnya Norli masih hairan dengan satu perkara mengenai tumbuhan ajaib ini. Sudah lama Norli ingin bertanya. Kali ini Norli tidak mahu bertangguh lagi.

“Kat mana Kit dapat tumbuhan ajaib ni? Saya tengok kat luar rumah Oren tak ada pun tanam tumbuhan ni. Lagipun saya tengok dalam rumah Oren ni tak ada pun makanan macam ni. Gula ada la,” tanya Norli ingin tahu.

“Sebenarnya…” Kit menggaru kepala yang tidak gatal. Norli masih menunggu jawapan Kit.

“Sebenarnya saya mengambil tumbuhan ni di rumah tikus-tikus itu,” jawab Kit jujur.

“Apa!” Norli ternyata terkejut mendengarkan pengakuan Kit. Maksudnya Kit ialah pencuri.

“Saya betul-betul tak sangka yang Kit ni pencuri. Tikus-tikus tu jahat tapi Kit pun jahat juga. Oo, patutlah Kit takut sangat pada tikus-tikus tu sebab Kit memang dah buat salah!”

Norli tidak menyangka bahawa Kit yang disangkanya baik itu sanggup mencuri kepunyaan orang lain.

“Ustazah saya pernah bagutahu yang kita tak boleh mencuri barang orang lain. Berdosa,” terang Norli lagi benar-benar kesal dengan perbuatan Kit.

“Norli, awak dengar dulu penjelasan saya,” Kit mula cemas dan berasa serba salah. Kit sendiri tidak menyangka bahawa Norli akan menanyakan hal seperti itu.

“Tak ada apa yang saya nak dengar lagi. Selama ni saya berkawan dengan pencuri. Sekarang saya nak balik!” jerit Norli.

“Awak tak boleh balik selagi tikus-tikus tu mengejar kita,”

“Biarlah, apa nak jadi pun jadilah. Yang penting sekarang saya nak balik. Saya nak cari jalan balik sendiri,”

Norli bingkas bangun. Norli tidak menghiraukan lagi pujukan Kit. Norli menuju ke muka pintu dan keluar dari situ. Ketika itu Norli terserempak dengan Oren yang menuju ke arahnya dalam keadaan cemas.

“Norli, kamu mahu ke mana?” Tanya Oren.

“Nak balik!” jawab Norli kasar.

“Balik ke mana?” Tanya Oren lagi.

“Balik rumah saya lah. Dah lah, saya dah lambat nak balik rumah. Nanti ibu dan ayah saya marah,” Norli meneruskan semula perjalanan.

Oren mula kehairanan dengan sikap Norli. Oren segera menghampiri Norli.

“Norli, apa pun alasan awak, buat masa sekarang awak tak boleh keluar lagi. Di luar sana sangat bahaya,”

“Kenapa? Ada bom ke?” duga Norli.

“Coreng, Kuring dan Karing sekarang sudah berusaha mencari awak. Mereka sudah sebarkan gambar awak ke serata tempat,” jawab Oren.

“Apa!”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku