Pengembaraan ke dunia Kit
Bab 7 : semangat perjuangan
Genre: Kanak-kanak
Kategori: Novelet
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
124

Bacaan






“Kita tak boleh biarkan kampung kita terus-terusan macam ni. Sebelum ni kampung kita aman. Semenjak tikus-tikus tu datang, kampung kita tak selamat lagi,” seekor kucing berwarna hitam bernama Doni meluahkan perasaan tidak puas hati kepada bapa Kit. Beberapa ekor kucing lain turut berkumpul di hadapan rumah bapa Kit untuk memberitahu hal ini.

“Cuba Tok tengok kaki atuk saya ni. Berdarah-darah angkara si tikus tu la,” marah Doni sambil menunjuk ke arah kaki datuknya yang kelihatan bengkak.

“Saya tahu hal ini. Tapi apa kita boleh buat? Kita susah nak melawan tikus-tikus tu. Salah satu sebab kerana si Coreng tu ada kuasa magik. Si Coreng pula gunakan kebolehan itu dengan zalim. Anda semua sendiri tahu, anak saya Kit tu sampai sekarang pun tak dijumpai lagi,” balas bapa Kit.Bapa Kit ialah ketua kampung di situ. Oleh itu, penduduk kampung yang ingin membuat aduan akan datang ke rumahnya untuk berbincang. Mereka sentiasa berbincang cara untuk menghapuskan Coreng dan geng-gengnya namun sehingga kini tidak bertemu lagi jalan penyelesaiannya.

“Tok percaya anak tok masih hidup?” Tanya salah seekor kucing yang agak berisi badannya. Kucing itu bernama Gemuk sesuai dengan bentuk badannya itu. Gemuk juga kawan Kit. Setahunya Kit sudah lama tidak dijumpai dan mereka sudah pun menganggap bahawa Kit sudah mati. Demi untuk menjaga hati bapa Kit iaitu ketua kampung mereka, mereka hanya mendiamkan diri. Mendengarkan pertanyaan daripada Gemuk, bapa Kit mula berfikir. Susah untuknya menyakinkan penduduk kampung bahawa di dalam hatinya masih menganggap Kit masih hidup tetapi jika benar mana buktinya?

“Tok, apa kata kalau kita bakar je rumah si tikus tu? Senang cerita,” usul Doni tiba-tiba. Semua kucing berpaling ke arahnya. Mereka terkejut dengan cadangan Doni. Nampaknya Doni kelihatan serius.

‘Kita tak boleh buat macam tu. Kita semakin dalam bahaya kalau kita buat macam tu,” jawab bapa Kit.

“Betul tu. Terlalu berisiko. Lagipun kau sendiri tahu tikus-tikus tu macamana. Nanti kita yang bertambah susah. Entah-entah kita pula dibunuhnya. Tak pun mungkin sampai bila-bila kita berada dalam sumpahan ni, “ sokong Gemuk.

Doni diam. Doni tahu jika mereka membakar rumah tikus, hal akan menjadi bertambah rumit.

“Macam ni la, kamu semua balik dulu. Nanti kita bincang lagi hal ini,” pinta bapa Kit. Mereka akhirnya akur dan meninggalkan pekarangan rumah bapa Kit.

“Macamana sekarang? Apa kita nak buat sekarang? Tanya ibu Kit pula setelah keadaan menjadi reda semula.

“Apa yang awak fikir?” duga bapa Kit, sengaja ingin mendengar pandangan isterinya. Ada waktunya idea isterinya boleh dipertimbangkan.

“Susah jugak ni. Tapi apa yang penting kita kena cari kelemahan tikus-tikus tu dulu. Barulah kita boleh serang mereka,” jawab ibu Kit.

“Awak sanggup lawan dengan tikus-tikus tu?” Tanya bapa Kit.

“Apa pun saya sanggup. Demi Kit dan juga kampung ni juga,” kedengaran bersemangat ibu Kit menuturkan kata-kata. Bapa Kit mengangguk-angguk.

******


“Kat mana rama-rama yang cantik tadi ye,” Norli berpusing ke sana ke sini untuk mencari rama-rama yang dikejarnya sebentar tadi. Baru tadi Norli lihat rama-rama tadi sudah begitu hampir dengannya, tetapi terlepas lagi.

Sebenarnya ketika sedang berjalan seorang diri, Norli terpegun melihat seekor rama-rama yang mempunyai kelopak berwarna warni sedang terbang mengelilinginya. Beberapa kali Norli cuba untuk menangkapnya tetapi tidak berhasil. Norli cuba juga mengikuti arah rama-rama itu terbang sehinggalah Norli dapat rasakan perjalanannya semakin jauh.

Akhirnya Norli duduk tercungap-cungap. Norli sudah letih mengejar rama-rama cantik itu. Timbul kesal di hati Norli kerana beria-ia benar mengejar rama-rama yang sudah pun hilang itu.

Norli memandang sekeliling. Sekelilingnya hijau. Norli tidak tahu di mana dia berada sekarang. Norli juga tidak tahu pada ketika itu sudah jam berapa kerana Norli tidak memakai jam tangan. Norli hanya teringat anak patungnya sahaja. Anak patung itulah yang selalu menemaninya tetapi kini anak patung itu sudah tertinggal di rumah Oren. Norli rasa kesunyian di tempat yang dia sendiri tidak tahu di mana. Norli tidak tahu ingin berbuat apa sekarang. Ingin patah semula ke rumah Oren, adalah agak mustahil. Lagipun Norli sendiri sudah lupa jalan untuk ke rumah Oren.

Norli juga tidak mahu berjumpa dengan Kit lagi kerana Kit telah menipunya dan juga mencuri barang orang lain. Tetapi Norli sendiri sebenarnya merindui Kit dan Oren. Mereka banyak menemani Norli tetapi sekarang tiada lagi. Norli mula berasa menyesal kerana terburu-buru keluar dari rumah Oren tadi. Sebenarnya Kit ingin memberitahu sesuatu tetapi kerana terlalu marah dengan Kit, Norli tidak menghiraukan lagi kata-kata Kit.

Tiba-tiba Norli terkenangkan ibu dan ayahnya yang berada di rumah. Adakah ibu dan ayahnya menyedari menyedari ketiadaan Norli? Jika benar, mengapa mereka tidak berusaha mencari Norli? Norli benar-benar rasa kesunyian. Norli tidak mahu lagi berada di dunia Kit yang adakalanya agak menakutkan ini. Sesuatu yang di luar pemikiran Norli. Di sini dia dapat berjumpa dengan binatang-binatang yang boleh bercakap seperti manusia. Pertemuan dengan tikus-tikus yang mempunyai fizikal yang besar dan telah mengejarnya. Sehinggalah berteduh di rumah Oren dan akhirnya ke sini kerana terpegun dengan seekor rama-rama yang cantik.

Norli dapat rasakan bahawa apa yang dialaminya sekarang hanyalah mimpi dan Norli ingin segera bangun daripada mimpi ini tetapi bagaimana? Apa yang perlu Norli lakukan agar dia boleh kembali semula ke rumah dan menjalani kehidupan seperti biasa?

Norli mula menangis teresak-esak. Norli tidak tahu apa lagi yang perlu dia lakukan. Sehingga kini Norli masih tidak berjumpa dengan jalan pulang.

“Cuba tengok budak degil tu. Sekarang baru lah menyesal, tadi tak mahu dengar kata kita,” bisik Kit ke telinga Oren. Sebenarnya mereka sudah lama mengekori Norli yang mula berjalan tanpa tujuan itu. Mereka tidak mahu terjadi perkara yang buruk kepada Norli.

“Sekarang ni banyak masa kita terbuang macam ni,” rungut Kit lagi. Kit tahu Norli memang seorang kanak-kanak yang degil dan hanya mahu orang lain sahaja mendengar kata-katanya.

“Norli tidak tahu ke yang apa yang dia buat sekarang ni bahaya? Lagipun Coreng dan geng-gengnya sudah mengenali wajah Norli. Jika Norli tertangkap mungkin Norli tidak dapat pulang lagi,” kata Oren menunjukkan kerisauannya.

“Itu lah yang saya risau. Lagipun Coreng bukan sahaja mencari Norli, tetapi saya tahu yang mereka ingin mencari saya juga,” kata Kit.

“Kenapa pula?” tanya Oren ingin tahu. Apa salah Kit kepada mereka? Oren sendiri hairan mengapa tikus-tikus itu beria benar ingin menjejaki Norli dan Kit.

“Semua kerana ini,” Kit menunjukkan rantai kunci yang tergantung di lehernya. Kunci yang berwarna kuning itu kelihatan berkilauan apabila terkena cahaya matahari.

“Kunci apa ni Kit?” Oren terpegun melihat kunci itu.

“Panjang ceritanya. Eh, di mana Norli? Kita sudah hilang jejak Norli,” teriak Kit terus mundar mandir mencari Norli.

“Cepat, kita cari Norli sebelum dia hilang,” arah Kit. Oren hanya mengangguk.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku