Pengembaraan ke dunia Kit
Bab 7(ii)
Genre: Kanak-kanak
Kategori: Novelet
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
187

Bacaan






Coreng semakin bangga dengan apa yang di dapatnya kini. Semakin banyak harta penduduk kampung yang sudah berjaya di rampas. Coreng tidak mahu mana-mana penduduk kampung mempunyai harta dan melebihi kekayaan yang ada padanya. Coreng mahu terus kekal berkuasa di situ. Tumbuhan ajaib juga sudah di rampas, maka apa lagi yang tinggal pada penduduk kampung? Coreng tidak menghiraukan tangisan penduduk kampung, yang penting baginya ialah kekuasaan. Coreng tahu penduduk kampung tidak dapat berbuat apa-apa kepadanya selagi sumpahan terhadap penduduk kampung masih kekal.

Namun apa yang merisaukan Coreng ialah Kit yang sudah mengetahui serba sedikt rahsia yang disembunyikan. Semua ini kerana sikap Kit yang berani mengintip. Jika Kit tidak berjaya ditemui, ini bermakna segala kekayaan yang didapatinya sekarang ini akan kembali semula kepada penduduk kampung dan berkemungkinan mereka dapat membalas dendam atas apa yang telah mereka tanggung selama ini.

“Kamu semua masih tidak jumpa Kit dan makhluk aneh tu?” tanya Coreng kepada Kuring dan Karing yang sedang berusaha mengalih beberapa kotak yang berisi harta penduduk kampung.

“Belum. Tapi ada yang memberitahu yang mereka ada terserempak seekor semut yang agak mencurigakan,” balas Kuring.

“Apa semut tu buat?” Tanya Coreng.

“Mereka lihat semut tu berjalan sambil menunduk-nundukkan kepala. Sesekali semut tu berpaling ke kiri dan kanan seperti mencari sesuatu,” balas Karing pula.

“Huh, kenapa kamu tak tangkap semut tu!” marah Coreng sambil menjegilkan mata.

“Kami tak tahu bos. Kami hanya mendengar daripada mulut ke mulut,” jawab Kuring penuh ketakutan.

“Mulai sekarang, kawal dengan lebih ketat. Jangan biarkan semut yang mencurigakan tu masuk ke dalam kampung. Jika nampak, cepat tangkap dan bawa ke sini!” arah Coreng. Kuring dan Karing menunduk-nunduk tanda menghormati kata-kata ketua mereka.

“Sekarang sambung kerja kau. Tapi ingat, jangan sampai ada sesiapa yang tahu tempat persembunyian baru ni,” Coreng memberi arahan kepada Kuring dan Karing.

“Bos, macamana dengan tempat lama tu bos?” Tanya Kuring.

“Ketatkan kawalan di sana! Jangan benarkan sesiapa yang cuba masuk ke kawasan larangan. Jika ada yang berdegil, terus tangkap mereka!” arah Coreng lagi. Coreng senyum puas. Anak-anak buahnya nyata mendengar arahannya. Kerjanya menjadi lebih mudah kini. Bagi Coreng, ugutan demi ugutan daripada penduduk kampung sedikit pun tidak berbekas di hatinya walaupun ugutan daripada bapa Kit. Tapi Coreng tetap perlu berhati-hati. Berkemungkinan Kit akan kembali dan akan mengembalikan semula keadaan menjadi seperti sediakala.

*****

Cit…cit…cit!

Bunyi kicauan burung semakin jelas kedengaran di telinga Norli. Norli cuba mencari dari mana datangnya kicauan burung itu. Kedengarannya agak riuh rendah. Norli tahu ada perkara yang buruk sedang berlaku. Norli tidak menghiraukan lagi rasa dahaga yang dari tadi di rasanya.

Norli terpandang satu pokok yang agak besar. Kedudukan pokok itu terletak bersebelahan dengan satu gua. Di atas pokok itu lah Norli ternampak dua ekor burung terbang sambil berkicau-kicauan. Salah seekor berwarna kuning pekat dan yang seekor lagi berwarna koko. Kedua-dua mereka seolah-olah sedang mematuk sesuatu. Norli cuba menghampiri pokok itu dengan lebih dekat untuk memudahkannya melihat apa yang sebenarnya berlaku. Apa yang di patuk oleh kedua-dua ekor burung itu? Ranting-ranting pokok yang merimbun menyukarkan Norli untuk melihat dengan jelas. Norli terpaksa mengecilkan mata.

Alangkah terkejutnya Norli apabila melihat seekor ular yang berwarna hijau menjalar perlahan-lahan menghampiri satu sarang burung yang terletak di ranting pokok yang paling atas. Rupa-rupanya burung-burung kuning itu berkicau kerana ular itu mahu menghampiri sarangnya. Norli tidak tahu apa yang perlu dibuatnya. Norli teringin untuk menolong tapi apa yang boleh Norli buat?

Kedua-dua ekor burung itu nampak kehadiran Norli. Burung-burung itu semakin kuat berdecit seolah-olah gembira dengan kehadiran Norli.

“Tolong kami manusia kecil. Ular ini mahu mengambil telur permaisuri burung ,” rayu salah seekor burung berwarna kuning pekat kepada Norli. Norli terkejut kerana burung-burung itu boleh berkata-kata tetapi pada ketika itu Norli teringat bahawa dia kini berada di dunia Kit di mana binatang-binatang boleh bercakap.

“Telur permaisuri burung ?” Norli sempat bertanya di dalam hati.

Tiba-tiba mereka terdengar sesuatu. Norli segera berpaling ke arah belakang apabila merasa ada seketul batu hampir mengenai dirinya.

“Kit!” jerit Norli gembira dengan kehadiran Kit yang tidak di sangka-sangka.

“Norli, cepat kumpulkan batu-batu. Kita lastik batu-batu ini ke arah ular,” arah Kit dengan suara yang kuat.

Tanpa berlengah Norli terus mengikut arahan Kit. Norli segera mengumpul seberapa banyak batu sementara Kit pula cuba melastik batu-batu tersebut ke arah ular. Norli turut membantu dengan melastik beberapa ketul batu kepada ular tetapi sasarannya kurang tepat seperti sasaran Kit. Ular memandang ke arah Norli dan Kit. Ular kelihatan amat marah. Lidahnya kelihatan terjelir-jelir. Mata ular sengaja dijegilkan. Beberapa biji batu pelbagai saiz telah mengenai badan ular. Ular cuba menyeimbangkan badannya tetapi akhirnya ular terjatuh dari pokok. Ular menggeliat kesakitan.

“Burung kuning, burung koko, cepat pindahkan telur permaisuri burung!” arah Kit. Tidak bertangguh dua ekor burung kuning itu segara terbang menghampiri sarang burung dan mengalihkannya ke pokok yang lain. Kedua-dua ekor burung itu menggunakan paruhnya dan menggigit tepi sarang. Mereka melakukannya dengan penuh berhati-hati supaya telur burung yang berada di dalam sarang tidak jatuh.

“Cepat Norli, kita pergi dari sini sementara ular itu belum sedar,” Kit tahu jika mereka masih berdiri lama di situ, ular itu akan bangun dan menyerang mereka semula.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku