Pengembaraan ke dunia Kit
Bab 8(ii)
Genre: Kanak-kanak
Kategori: Novelet
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
164

Bacaan






(Apa yang sudah terjadi kepada Norli & the geng sebenarnya? Adakah Norli dalam bahaya?  )

“Terima kasih kerana telah membantu kami. Lagipun kami diamanahkan untuk menjaga telur permaisuri kami. Kami memanggilnya dengan gelaran permaisuri burung. Agaknya apa lah yang akan terjadi kalau telur ni tak dapat diselamatkan,” burung kuning tidak sudah-sudah mengucapkan terima kasih kepada Kit dan Norli.

“Semuanya berlaku tak disangka. Lagipun saya sendiri pun tak tahu ada telur burung di atas pokok ni,” kata Norli.

“Oh ya, tadi awak ada bagitahu yang awak diamanahkan untuk menjaga telur permaisuri. Di mana permaisuri sekarang?” tanya Norli ingin tahu.

“Oh, permaisuri sekarang berada di luar kawasan. Permaisuri meminta tolong kami untuk jagakan telur ini sementara menunggu urusannya selesai,” jawab burung kuning yang petah berkata-kata. Burung kuning memandang ke arah burung koko yang setia menjaga telur permaisuri burung bersama-sama dengannya.

“Urusan apa tu?” Tanya Norli lagi.

“Yang tu kami tak tahu. Kami hanya tolong jagakan amanahnya sahaja,” jawab burung yang berwarna koko pula.

“Kit, di mana Oren? Oren bukan bersama dengan awak ke?” Norli berpaling ke arah Kit. Norli perasan semasa saat cemas tadi, tidak pula kelihatan bayang Oren. Norli tidak dapat melupakan peristiwa itu. Bagaimana Norli mencuba sedaya upaya untuk melepaskan diri daripada belitan ular. Dengan dibantu oleh Kit dan burung-burung kuning dan koko, mereka berjaya melastik batu tepat-tepat di mata ular. Akibatnya ular menggelepar menahan kesakitan dan melepaskan belitan. Ular akhirnya menghilang.

Norli bersyukur kerana masih selamat, jika tidak Norli tidal dapat lagi bertemu dengan kedua ibu bapanya. Oh ya, Norli hampir terlupa mengenai kedua ibu bapanya. Niat asal Norli untuk pulang ke dunianya semula tidak kesampaian apabila terpaksa menghadapi situasi yang tidak disangka ini.

“Itu pun Oren,” Kit menunjuk ke arah lembaga yang menghampiri mereka dari jauh.

“Oren dengan siapa tu?” Tanya Norli apabila menyedari Oren bukanlah keseorangan.

“Itu lah permaisuri,” jawab burung kuning tidak sabar-sabar lagi untuk menceritakan apa yang berlaku sebentar tadi kepada permaisuri burung. Akhirnya Oren dan permaisuri tiba. Permaisuri mengepak-ngepakkan sayapnya berkali-kali kemudian hinggap di atas sebatang kayu yang tidak jauh dari burung kuning dan burung koko.

“Mana ular yang jahat tu?” Tanya permaisuri burung dengan wajah yang bengis. Dia tidak menyangka sepanjang ketiadaannya buat sementara waktu, sudah pelbagai peristiwa berlaku. Ular sengaja ingin mencari peluang.

“Ular telah berjaya kami lawan sebentar tadi. Ini semua kerana pertolongan Kit dan juga Norli,” puji burung kuning.

“Oh, kamulah Norli. Terima kasih kerana membantu saya. Begitu juga dengan kamu Kit. Pertolongan kalian tidak dapat saya lupakan,” permaisuri menundukkan sedikit kepala sebagai tanda mengucapkan terima kasih. Norli dan Kit hanya tersenyum.

“Sebenarnya tadi saya terdengar suara isyarat daripada Oren. Oren ni kawan saya. Apabila terdengar je tanda isyarat, saya segera pulang kerana tahu itu isyarat kecemasan. Saya risau kerana memikirkan apa yang bakal terjadi. Nasib baik semuanya selamat sewaktu saya tiba tadi,” permaisuri menghela nafas lega.

“Ular memang sengaja menunggu peluang seperti ini untuk memakan telur permaisuri burung. Sebelum ini pun sudah banyak telur burung lain yang sudah menjadi mangsa si ular,” kata burung kuning.

“Kalau begitu, kenapa dari dulu awak semua tak bunuh si ular?” Tanya Norli ingin tahu.

“Ular itu memang licik. Puas kami mencari tempat persembunyiannya tetapi sampai sekarang tidak berjumpa,” jawab permaisuri. “Kalau saya dapat nanti, tahulah apa nasibnya nanti,” permaisuri menahan marah.

Kit diam. Tiba-tiba Kit terkenangkan kampung halamannya terutama sekali ibu dan bapanya. Permaisuri menyedari keadaan Kit.

“Kenapa Kit? Awak seperti mempunyai masalah,” Tanya permaisuri burung.

“Ya, permaisuri. Kampung Kit telah diserang tikus-tikus yang diketuai Coreng. Coreng bertindak ganas dengan merampas harta penduduk termasuk tumbuhan ajaib. Coreng juga telah bertindak zalim dengan menyumpah penduduk di kampung Kit supaya tidak dapat melawannya. Bukan itu sahaja, sudah ramai penduduk kampung yang sudah menjadi tawanan Coreng” Oren yang dari tadi diam memberi penerangan kepada permaisuri. Permaisuri menggeleng kepala. Permaisuri tahu Coreng seekor tikus yang zalim. Coreng sanggup berbuat apa sahaja asalkan dia dapat apa yang dia mahu. Permaisuri sudah beberapa kali mendengar berita mengenai Coreng.

“Nampaknya Coreng terlalu berbangga dengan kelebihan yang ada padanya. Sebab itu lah Coreng tidak teragak-agak menyeksa penduduk kampung,” kata Kit.

“Kit, tadi awak ada bagitahu yang Coreng menyumpah penduduk kampung. Apa yang telah disumpahnya?” tanya Norli ingin tahu. Norli juga hairan bagaimana penduduk kampung Kit tidak dapat melawan Coreng yang angkuh itu.

“Ini dia,” Kit menunjukkan taringnya yang sudah tiada. Begitu juga dengan kukunya juga sudah tiada.

“Coreng tahu antara kekuatan yang ada pada kami ialah pada taring dan juga kuku. Oleh sebab itu lah Coreng mengambil kesempatan menyumpah kami supaya kami tidak dapat melawan mereka,” jawab Kit.

“Jahatnya Coreng,” kata burung kuning bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk kampung Kit.

“Kit, saya minta maaf. Tadi saya telah menuduh awak bukan-bukan. Saya sudah salah sangka mengatakan awak dan Oren jahat,” timbul penyesalan di hati Norli.

“Tak apa lah Norli. Kalau tidak mungkin kita tidak dapat berkenalan dengan permaisuri dan juga burung kuning dan burung koko,” kata Kit cuba menceriakan hati Norli.

“Sebenarnya banyak lagi yang kita nak bualkan. Tapi sekarang cuaca mendung, hari nak hujan. Kita berteduh di dalam gua dulu,” usul permaisuri.

“Oh, tidak perlu. Saya bercadang untuk segera kembali ke kampung saya. Ada urusan yang perlu diselesaikan. Lagipun sudah lama saya tidak menemui kedua ibu bapa saya,” jawab Kit cuba menolak permintaan permaisuri burung dengan hormat. Oren mengangguk. Oren juga mula teringatkan rumah yang ditinggalkannya.

Kit teringat pada Norli. Sebelumnya Norli kelihatan begitu beria-ia benar untuk pulang semula ke dunianya. Kali ini Kit tidak mahu memaksa Norli lagi. Kit tahu dia sepatutnya tidak memaksa Norli mengikut permintaannya. Norli juga masih mempunyai ibu bapa yang pasti risau dengan keadaannya. Memikirkan hal itu, Kit cuba bertanya kepada Norli.

“Saya mahu ikut awak, Kit,” jawapan Norli benar-benar tidak disangka oleh Kit. Norli ingin mengikutnya pulang ke kampungnya.

“Tetapi setelah selesai segala urusan, saya ingin cepat-cepat balik semula,” Norli cuba mengingatkan Kit tentang hal itu.

“Itu sudah semestinya,” kata Kit sangat gembira.

“Kalau begitu, kami semua doakan semoga kamu berjaya selesaikan urusan kamu. Dan sekali lagi kami ucapkan terima kasih atas pertolongan kamu semua. Jika inginkan sebarang pertolongan, jangan segan untuk memberitahu kami,” kata permaisuri burung. Nampak kesedihan di wajahnya.

Kit, Norli dan Oren mengangguk. Mereka gembira kerana dapat menolong permaisuri burung.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku