Pengembaraan ke dunia Kit
Bab 9 : Tetamu tidak diundang
Genre: Kanak-kanak
Kategori: Novelet
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
276

Bacaan






Ketukan pintu agak keras mengejutkan Coreng yang pada ketika itu sedang menghisap paip di atas kerusi yang sememangnya di khaskan untuknya selaku ketua. Sebaik sahaja pintu dibuka, muncul wajah tetamu yang tidak disangka. Coreng sendiri sudah lama tidak bertemu dengan tetamu ini. Sudah lama benar tetamu ini tidak mengunjungi Coreng. Oleh sebab itu lah kedatangannya kali ini mengundang satu pertanyaan pada Coreng dan juga tentera-tentera tikus yang lain.

Dengan wajah yang bengis dan lidah yang terjulur keluar, tetamu itu terus masuk ke dalam rumah dan bertemu Coreng. Beberapa titis darah kelihatan menitik di atas lantai. Karing yang ditugaskan untuk membuka pintu menggigil ketakutan apabila melihat wajah tetamu tersebut yang agak menakutkan.

“Sudah lama kita tak berjumpa. Ada apa urusan ke mari?” tanya Coreng sebaik sahaja tetamu itu sudah berada di hadapannya.

“Aku nak kita bergabung untuk berlawan,” jawab tetamu itu ringkas. Coreng mengerut dahi tanda tidak memahami apa maksud tetamunya itu.

“Aku tidak faham,” Coreng cuba meminta kepastian daripada tetamu yang berada di hadapannya. Tetamu itu ketawa, semakin banyak darah yang menitis ke lantai. Tetamu yang dimaksudkan ini tidak lain dan tidak bukan ialah si ular!

“Kau nampak tak ni?” kata ular sambil menjegilkan matanya yang berdarah kepada Coreng. Coreng dapat melihat dengan jelas mata ular yang dipenuhi darah apabila didekatkan kepadanya.

“Balaskan dendam untuk aku. Aku mahu kau cari makhluk yang sudah berani melakukan aku seperti ini. Aku mahu kau seksa dia lebih lama, biar dia rasa sakitnya hati aku,” kata ular menahan marah.

“Itu masalah senang, ular. Tapi siapa yang berani melakukan hal ini kepada kau?” sudah lama Coreng ingin bertanyakan hal ini. Nampaknya makhluk yang mencederakan ular ini bukanlah sembarangan.

“Salah seekor kucing berwarna putih, ada kunci di leher bersama seorang manusia,” laju jawapan daripada ular. Jawapan daripada ular benar-benar mengejutkan Coreng. Adakah itu Kit? Jika begitu memang tidak syak lagi sememangnya Kit masih hidup dan tidak lama lagi akan membuka kunci tempat kurungan tawanan dan simpanan harta penduduk kampung! Nampaknya kunci itu masih pada Kit dan ini tidak boleh dibiarkan. Dengan kelicikan Kit, tidak mustahil Kit berjaya membuka tempat rahsia tersebut.

“Kenapa kau kelihatan takut?” Tanya ular apabila menyedari perubahan wajah Coreng.

“Itulah musuh yang aku cari. Nampaknya kita mencari musuh yang sama,” jawab Coreng. Ular tersenyum sinis.

*********

Oren tidak boleh terlalu lama meninggalkan rumahnya. Daripada isyarat yang diterima oleh Oren, dia mendapat tahu bahawa rumahnya telah diceroboh. Oren tidak tahu siapa yang melakukannya lagipun Oren sendiri tidak bermusuh dengan sesiapa. Rumah Oren juga tidak terdapat apa-apa yang bernilai, hanya rumah yang kecil dan sempit. Kit bersimapti dengan nasib Oren dan membenarkan Oren untuk pulang. Bagi Kit, Oren sudah banyak berjasa kepadanya. Oren turut berjanji untuk berbincang dengan spesisnya untuk bersama-sama membantu Kit menewaskan kumpulan tikus yang diketuai Coreng. Walaubagaimanapun Oren tidak mampu berjanji dan hanya mampu berusaha. Kepulangan Oren walaupun agak menyedihkan tetapi sedikit sebanyak memberikan harapan kepada Kit dan Norli. Mereka berharap agar Oren berjaya memujuk tentera semut supaya bilangan mereka yang menentang tikus akan bertambah.

Oren kembali semula ke rumahnya kali ini dengan langkah yang lebih berhati-hati. Oren menutup kepalanya dengan daun yang lebar supaya tidak dikenali oleh beberapa tentera tikus. Oren tahu tentera tikus berusaha mencarinya kerana dia telah memberi perlindungan tempat berteduh kepada Kit dan juga Norli. Setibanya di rumah, Oren lihat beberapa ekor spesisnya sudah berkumpul di hadapan rumahnya.

“Oren, ke mana kau menghilang selama ini?” tanya salah seekor sepsis Oren yang kecil sedikit fizikalnya.

“Kami dapat tahu bahawa kau telah sembunyikan makhluk yang paling dikehendaki Coreng. Benarkah? Baru sebentar tadi mereka datang ke sini untuk mencari kau,” sambung semut yang kecil fizikalnya itu.

“Kau sudah tidak selamat tinggal di sini. Berkemungkinan mereka akan datang semula ke sini,” kata semut yang lain. Oren berfikir sesuatu. Dia tidak boleh meninggalkan rumahnya semata-mata kerana takutkan tikus.

“Oren, kami minta kau jangan cari pasal dengan tikus-tikus tu. Kampung kita dah cukup aman selama ini. Jangan cemarkan kampung kita,” kata semut berfizikal kecil.

Oren mula serba salah. Oren tidak sempat memberitahu tujuannya, nampaknya awal-awal lagi sudah mendapat tentangan.

“Kalian semua. Apa yang aku buat ini ialah untuk menolong jiran kita. Kita sendiri tahu kampung kucing sudah ditakluk oleh Coreng. Mereka bertindak zalim kepada penduduk kampung di situ. Mahukah kita hanya melihat tanpa menolong mereka?” kata Oren cuba meraih simpati.

“Ah, kami tidak mahu menolong mereka. Biarkan mereka, jangan kita campur urusan mereka. Kalau kamu tetap berdegil, silakan keluar dari sini,” kata semut beramai-ramai.

“Tapi mereka dalam kesusahan. Jiran kita. Kita sepatutnya bersimpati dengan mereka. Mungkin selepas ini kita pula memerlukan pertolongan mereka,” rayu Oen lagi.

“Tidak!” mereka tetap berdegil. Oren tidak mampu lagi untuk memujuk spesisnya. Oren ditinggalkan keseorangan. Oren berasa sedih kerana tidak dapat membantu Kit.

“Maafkan aku Kit,” kata Oren penuh kesal.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku