Pengembaraan ke dunia Kit
Bab 11
Genre: Kanak-kanak
Kategori: Novelet
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
66

Bacaan






Tindakan Coreng dan ahli kumpulannya yang telah menawan penduduk kampung Kucing Permai telah menggemparkan penduduk. Mereka membuat aduan kepada bapa Kit selaku ketua kampung di situ. Nampaknya Coreng sengaja menawan penduduk yang masih belia dan kuat supaya mereka tidak dapat mengatur rancangan melawannya.

            Kit yang pada ketika itu masih suka merayau di luar rumah sudah mengetahui hal ini lebih awal lagi. Malah peristiwa itu pernah berlaku di hadapan Kit tetapi Kit tidak dapat berbuat apa-apa.Tentera tikus tidak merasa terancam dengan kehadiran Kit kerana bagi mereka Kit masih terlalu muda dan tidak memberi sebarang ancaman kepada mereka. Begitu juga dengan Doni dan Gemuk yang menjadi kawan Kit, cuma Gemuk lebih penakut.Kebiasaannya Doni yang selalu mengikut Kit ke mana-mana.

            “Kat mana pulak kita nak pergi ni Kit?” tanya Doni apabila melihat Kit masih tidak berhenti dan terus berjalan.

            “Syh..senyapla Doni. Kau ikut je aku. Aku nak tunjuk satu tempat ni kat kau,” Kit terus berjalan tanpa menghiraukan pertanyaan Doni.

            Doni pula dapat merasakan perjalanan kali ini agak jauh sehingga dia sendiri tidak tahu di mana mereka berada sekarang.Cuaca di langit pula kelihatan mendung. Ini bermakna tidak lama lagi hujan akan turun mencurah-curah. Doni risau apabila memikirkan hal ini.

            “Alamak, kita dah sesat,” jeritan Kit mengejutkan Doni yang ketika itu sedang melayan perasaan.

            “Tengok, ni semua salah kau, tengok kita dah sesat,” marah Doni tetapi merasa pelik apabila melihat Kit masih bersikap tenang.

            “Tak apa, kita jalan depan lagi. Aku rasa jalan ni dah betul,” Kit cuba bertenang. Jika tidak silap, jalan ini lah Kit terjumpa satu terowong yang agak tersorok. Kit tidak tahu apa yang ada didalam terowong itu sebab itu lah kali ini Kit cuba untuk menyelidik apa yang terdapat di dalam terowong tersebut.

            “Aku tak nak ikut lagi,” kata Doni memuncungkan mulut. “Kalau ikut kau ni memang kita tak dapat balik la,” sambung Doni. Walaubagaimanapun Doni masih tetap berjalan mengikut rentak Kit.

            “Tu pun dia!” jerit Kit kelihatan gembira sambil menunjukkan ke satu arah. Doni melihat-lihat apa yang ditunjuk oleh Kit. Ya, Doni ternampak satu terowong yang agak tersorok tetapi ditutupi dengan daun-daun hijau.

            “Tempat apa ni Kit?” Doni mula berasa seram melihatkan keadaan terowong itu yang kelihatan agak sunyi dan menakutkan. Lebih-lebih lagi apabila mereka sendiri tidak tahu di mana mereka berada kini. Guruh pula sekali-sekala berdentum.

            “Jom kita tengok,” jawab Kit,jawapan yang benar-benar mengejutkan Doni. Belum sempat Doni berkata apa-apa Kit terus berjalan menghampiri terowong itu. Doni masih diam di tempat persembunyian.

            “Kau nak buat apa kat situ Kit? Dahla tu, jom la kita balik. Hari dah nak hujan ni,” rayu Doni. Doni tahu Kit memang keras hati dan tekad apabila ingin melakukan sesuatu. Kit kembali semula kepada Doni. Doni lega kerana akhirnya Kit mengikut kata-katanya.

            “Macam ni la Doni, aku cuba masuk sekejap ke kat dalam terowong tu. Sekejap je. Terpulang la kau nak ikut atau tak. Kalau aku lambat keluar tu, kau pergi balik dulu dan bagitahu mak dan ayah aku,” kata Kit.

            “Kau jangan main-main!” marah Doni kerana menganggap Kit hanya bergurau. Kit menggeleng kepala.

            “Tak, aku tak gurau. Okey, aku pergi dulu,” Kit tangkas meninggalkan Doni yang masih terpinga-pinga. Tanpa berpaling lagi Kit terus menghilang masuk ke dalam terowong. Doni merasa serba salah.Adakah Doni perlu menunggu di situ atau pun terus pulang? Perlu ke Doni meninggalkan Kit di sini? Tapi Doni tidak mahu menunggu di sini dengan lebih lama, Doni tidak sanggup. Namun apabila teringatkan pesanan Kit tadi, Doni memberanikan diri untuk menunggu di situ sehingga Kit keluar. Lagipun Kit sendiri memberitahu bahawa dia hanya masuk sebentar ke dalam  terowong dan akan keluar semula.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku