Lelaki Paling Setia!
Bab PROLOG
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
324

Bacaan






“CIK?”

Teguran itu menjentik lamunan Afiya Zafira. Dia tersedar dan kembali ke alam realiti. Bersama muka sugul, dia mengangkat wajah memandang si empunya suara itu.

“Ya?”

Beberapa buah gelas dan cawan yang bersusun di meja, bersama pinggan yang hanya tinggal sisa makanan, diperhati oleh pelayan wanita yang menegur Afiya. Kelihatan wajahnya bertukar pucat.

“Cik, maafkan kami. Restoran ni akan ditutup sebentar lagi,” beritahunya dengan nada berhemah. Tidak mahu menaikkan kemarahan pelanggan itu.

Afiya menghadiahkan jelingan tajam.

“Kau ni kenapa? Nak halau aku bagai! Biarlah aku duduk kat sini! Bukan aku tak bayar, aku bayarlah!” Dia melampiaskan amarah.

Pelayan wanita itu menggaru kepala.

“Bukan tu maksud saya, tapi…”

“Diam!” Afiya melenting marah.

Syed Aqasha Luqman yang baru keluar dari bilik pejabatnya, terkesima mendengar suara Afiya. Dia terus menghampiri mereka. Tergamam seketika melihat wanita itu sedang memakihamun pekerjanya.

“Bella, kenapa ni?” Dia cuba meleraikan pergaduhan mereka.

Bella menjuih bibirnya ke arah Afiya.

Aqasha memandang Afiya yang sedang berpeluk tubuh. Terjongket sebelah keningnya melihat keegoaan yang membaluti wajah Afiya. Dia tersenyum tatkala satu idea terlintas di benak. Lantas, dia berpaling memandang Bella semula.

“Tinggalkan kami, biar I yang selesaikan masalah ni,” arahnya.

Bella segera meninggalkan mereka.

Setelah Bella beredar, Aqasha melabuhkan duduk di sebelah Afiya. Segenap wajah itu dihiasai dengan renungan tajam Aqasha.

“Kami minta maaf, cik kena beredar sekarang. Restoran ini akan ditutup.”

Afiya mendengus, lalu membalas renungan tajam Aqasha.

“Saya bayar makan minum saya, bukan tak bayar! Jadi, tak payah nak halau saya!” Dia meninggikan suara.

Menyirap darah Aqasha. Beberapa kali dia beristighfar supaya bersabar menghadapi kerenah gadis yang menjengkelkan hatinya itu.

“Saya tak nak bertegang urat dengan cik. Saya minta dengan cara baik supaya cik beredar segera.” Terketar-ketar suaranya menahan api kemarahan.

Afiya melempar senyuman sinis.

“Kalau saya tak nak keluar, awak nak buat apa?” Dia mencabar keberanian Aqasha.

Kali ini, kesabaran Aqasha hilang ditelan perasaan marah.

“Cik jangan cabar saya, jangan sampai saya…”

“Buatlah!” Afiya terus mencabar.

“Okey saya buat, tapi jangan menyesal!” Kini, kesabaran Aqasha sudah hilang!

“Aku tak menyesal!” Afiya ketawa sinis.

Aqasha memanjang lehernya ke kaunter, mencari kelibat Bella.

“Bella, tolong ambilkan telefon bimbit saya!” panggilnya dengan suara nyaring.

Terkocoh-kocoh Bella mengambil telefon bimbit majikannya di dalam bilik pejabat, kemudian menyerahkan ianya kepada Aqasha.

Setelah Bella menghilang, Aqasha memandang Afiya kembali. Segaris senyum sinis terpamer di wajah.

“Saya nak telefon polis dan buat repot yang mengatakan ada orang gila datang serang restoran saya ni. Walaupun saya dah minta dengan cara baik supaya orang gila tu pergi, tapi dia tetap degil juga.” Sengaja dia mengugut dengan cara itu supaya Afiya segera beredar meninggalkannya.

Buntang mata Afiya tatkala mendengar ugutan itu.

Kelihatan Aqasha menayang telefon bimbit itu di muka Afiya.

“Saya bagi awak dua pilihan, dan saya nak awak pilih salah satu. Awak nak beredar dengan cara baik, atau nak saya telefon polis dan buat repot tentang awak?” Dia terus mengugut Afiya.

Ketar lutut Afiya. Namun dia tetap menayang reaksi wajah ego.

“Saya tak nak buat pilihan, saya nak duduk kat sini!” tekannya.

Aqasha mendengus.

“Okey, saya tolong buat pilihan untuk awak ya? Saya telefon polis dan buat repot pasal awak” Serentak itu, dia mendail satu nombor, kemudian telefon bimbit diletakkan ke telinga.

Tidak betah Afiya melihat tindakan Aqasha. Laju tangannya merampas telefon bimbit lelaki itu lalu semerta mematikan talian.

Aqasha terkesima.

“Kenapa awak rampas telefon bimbit saya hah?” makinya.

Mendengar makihamun Aqasha, Afiya jadi takut. Lantas, disua telefon bimbit itu kepada Aqasha.

“Nah, ambil balik telefon bimbit awak ni! Tapi, tolonglah jangan telefon polis!” rayunya bersungguh-sungguh.

Terjongket sebelah kening Aqasha mendengar rayuan Afiya. Dia tersenyum sinis, lalu merampas telefon bimbitnya dari tangan Afiya.

“Okey, saya tak telefon polis! Tapi bersyarat, awak kena beredar dari restoran saya!”

Tanpa pamitan, Afiya terus bangun. Beg tangan dicapai, lalu dia segera beredar meninggalkan restoran itu.

Aqasha menghela nafas lega seusai Afiya hilang ditelan kegelapan malam. Tergeleng-geleng kepalanya mengenangkan telatah Afiya. Lantas, dia bangun kemudian melangkah menghampiri bilik pejabatnya itu.


--------


LANGKAH disusun satu per satu meninggalkan perkarangan restoran itu. Memikirkan sikap sombong lelaki itu, hati Afiya dipalu rasa geram. Terherot-herot bibirnya menyumpah seranah lelaki itu.

“Muka aje kacak, tapi perangai hodoh! Kau ingat aku nak hadap sangat ke duduk kat restoran kau tu ke hah? Aku duduk situ sebab tak nak Irsyad jumpa aku tau!”

“Afiya!”

Laungan itu menyentakkan Anum. Dia terus berpusing ke belakang. Dia terus ternganga demi melihat Irsyad yang sedang lari menghampirinya. Sudah! Lantas, Afiya sepantas kilat mencabut lari, tidak mahu Irsyad menangkapnya.

Melihat Afiya semakin menjauh, Irsyad melajukan hayunan lariannya mengejar Afiya dari belakang. Walau apapun yang berlaku, dia tidak akan melepaskan Afiya lagi! Dia mahu membawa Afiya pulang dan menyempurnakan upacara perkahwinan mereka.

“Fiya, tunggu I!”

Sedang melarikan diri daripada Irsyad, tidak semena-mena tubuhnya terlanggar sesuatu dari arah hadapan. Afiya terjatuh duduk di lantai, begitu juga dengan lelaki yang dilanggarinya itu.

“Aduh!” Afiya gosok punggung yang terasa sakit.

Dia angkat muka, hendak melihat siapa yang telah melanggarinya itu. Tatkala melihat lelaki itu, dia terus ternganga. Lelaki sama yang menghalaunya daripada restoran mewah tadi. Afiya terus mendengus marah.

“Hoi!” Dia menyergah lelaki itu, kasar.

Aqasha yang sedang mengaduh kesakitan itu, spontan mengangkat wajah. Terkesima jadinya melihat Afiya. Jari telunjuknya terus tertuding ke muka Afiya.

“Kau?”

Afiya semerta menepis tangan Aqasha.

“Apahal kau langgar aku hah? Buta ke, tak nampak orang?”

Sakit hati Aqasha mendengar makian Afiya.

“Kau yang langgar aku! Mata tu letak kat mana, kat lutut?” Dia melampiaskan kemarahannya.

Afiya bengang.

“Kau tu yang langgar aku! Kau ni kan memang buta mata, buta hati, buta perasaan, buta tuli, buta apa lagi? Haa… kesimpulannya, kau serba-serbi buta!”

Aqasha terkesima.

“Jaga mulut kau, ek!”

“Afiya?”

Pergaduhan mereka terhenti.

Afiya terkedu mendengar suara itu. Dia terus terteguk liur melihat figura Irsyad.

“Fiya, jom ikut I!”

“Tak nak!” tengking Afiya.

Tercengang sejenak, Aqasha melihat drama di hadapannya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku