Lelaki Paling Setia!
Bab 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
357

Bacaan






“JOM balik, Fiya! Ayah kau nak kahwinkan kita! Berkali-kali kau cabut lari masa hari perkahwinan kita. Kali ni aku tak benarkan kau lari, aku akan ikat kau ketat-ketat!” Irsyad semerta memegang tangan Afiya. Mendesak gadis itu menuruti kemahuannya.

Afiya terus tarik tangannya dari pegangan Irsyad.

“Siapa kau nak paksa aku? Aku tak pernah sukakan kau. Tak payah nak buang masa dan tenaga kau terhegeh-heget untuk dapatkan aku!” cemuhnya.

Tidak berkedip mata Aqasha memerhati pertengkaran mereka.

Irsyad mendengus.

“Ikut aku!”

“Tak nak! Lagipun…” bentak Afiya. Dikerling Aqasha di sebelah, lalu tersenyum penuh makna.

Aqasha jadi resah melihat reaksi Afiya. Sudah, dia nak buat kerja gila apa pula ni?

“Lagipun apa?” celah Irsyad ingin tahu.

Selamba Afiya memaut lengan Aqasha.

Aqasha tergamam dengan tindakan Afiya. Dia cuba merungkai pegangan simpulan tangan Afiya, namun cubitan yang singgah di belakang tubuhnya semerta menghentikan usahanya itu. Lantas, bibir didekatkan ke telinga Afiya.

“Apasal kau sentuh tangan aku ni?”

Afiya tersenyum penuh makna, lalu menoleh memandang Irsyad.

“Kenalkan, lelaki kat sebelah I ni suami I yang sah!” Dia menekan perkataan ‘suami yang sah’ supaya Irsyad mempercayai dan berhenti mengganggunya.

Aqasha terkesima.

“Eh, bila masa pula…”

Cepat-cepat Afiya menekup mulut Aqasha sebelum sempat lelaki itu meneruskan bicara. Dia memandang wajah Aqasha, tajam renungannya.

“Sayang, awak dah lupa ke yang kita ni memang dah kahwin?” Dia mencubit bahagian belakang tubuh Aqasha lagi.

Aqasha terus menegakkan tubunya menahan kesakitan akibat cubitan Afiya.

“Tapi…”

Geram dengan tindakan Aqasha, kaki lelaki itu menjadi habuannya. Dipijak kaki lelaki itu sepuas hati!

“Kita kan suami isteri? Selalu lupa tau!” marahnya.

“Sakitlah!” marah Aqasha, berbisik di telinga Afiya.

Terkebil-kebil mata Irsyad melihat tingkah laku Afiya dan Aqasha. Sebetulnya, dia suka hendak mempercayai bahawa mereka adalah pasangan suami dan isteri.

“Betul ke korang berdua dah kahwin?” Dia mahukan kepastian.

“Tak!” Aqasha menjawab pantas.

“Ya!” Serentak dengan jawapan Afiya.

Irsyad garu kepala.

“Mana satu yang betul ni?”

“Kau dah salah faham ni, kami…”

“Sayang?” Afiya memijak kaki Aqasha lagi.

Terjengket-jengket kaki Aqasha menahan kesakitan.

Afiya tidak mempedulikan Aqasha, dia kembali memandang Irsyad.

“Kau jangan dengar cakap suami aku ni. Dia kadang-kadang lupa status kami suami isteri. Dia ada masalah amnesia.” Dia membohongi Irsyad.

Terjegil mata Aqasha. Bila masa pula dia ada penyakit amnesia?

“Sebenarnya…”

Tiba-tiba Irsyad berdehem.

Sekali gus mematikan kata-kata Aqasha.

Irsyad memandang Afiya dengan reaksi wajah sugul.

“Tak apa Fiya, bukan jodoh kita! Tahniah!” Dia terus beredar meninggalkan mereka.

Sesudah Irsyad menjauh dari pandangan mata, Afiya semerta melepaskan lengan sasa Aqasha. Wajah lelaki itu ditenung bersama senyuman lebar.

“Terima kasih sebab tolong saya tadi!” ucapnya, lalu bersedia untuk memulakan langkah.

Belum sempat Afiya melangkah, cepat-cepat Aqasha menyambar lengan Afiya. Lengan itu dicengkam kuat.

Afiya terkesima.

“Kau ni dah kenapa? Sakitlah!”

Aqasha merenung tajam wajah Afiya.

“Sakit? Masa kau cubit dan pijak kaki aku, kau fikir aku tak sakit? Sekarang bila aku genggam kuat lengan kau ni, tahu pulak rasa sakit?”

Afiya terkedu.

Aqasha mempamer senyum penuh makna.

“Aku suami kau? Okey, sekarang aku nak kau ikut aku!”

Afiya menjegil mata. Hatinya mula menjadi tidak enak. Sudah, dia nak buat apa pula ni?

“Pergi mana?” Terketar-ketar nada suaranya.

“Pergi syurga kita, wahai ‘isteri’.” Aqasha terus menarik tangan Afiya.

Afiya bersungguh-sungguh cuba melempaskan pegangan tangan Aqasha. Namun semakin dicuba, Aqasha semakin memperketatkan pegangannya.

“Lepaslah!” herdiknya.

“Diam!” tengking Aqasha.

Afiya terkejut mendengar jerkahan Aqasha, lalu terus membisu.


-----


KERETA yang dipandu Aqasha menderum laju membelah kepekatan malam. Afiya memerhati raut wajah lelaki itu. Serius dan tiada sebarang senyuman terpalit di wajah itu. Dia semakin takut memikirkan kebarangkalian yang mungkin akan berlaku sebentar lagi. Bagaimana kalau tiba-tiba lelaki itu mengambil kesempatan dengan melakukan perbuatan tidak senonoh padanya? Ah, sudah! Silapnya juga kerana mengaku lelaki itu adalah suaminya!

“Kau nak bawa aku pergi mana ni?” Afiya bersuara dengan nada garang.

Aqasha terus tersenyum, sinis.

“Kau kan isteri aku. Jadi, aku nak bawa kau pergi syurga kita,” tekannya.

Afiya terkedu.

“Jangan berani buat kerja gila!”

“Siapa yang gila sekarang ni, aku ke kau hah? Masa kau buat kerja gila tu, tak apa? Dan sekarang bila aku balas balik perbuatan kau, tak boleh?” Aqasha mengherdik Afiya.

Air mata jatuh berlinangan lalu menyembah ke dagu Afiya.

“Okey, aku minta maaf! Aku tak sengaja buat macam tu!” ucapnya tersedu-sedan.

“Maaf kau tu tak laku, dan tak ada istilah ‘tak sengaja’ dalam hal ni! Hal perkahwinan tak boleh dibuat main tau, benda sensitif tu! Bagi aku, kau dengan sengaja mengaku yang aku ni suami kau. Dan sekarang, aku nak tuntut hak aku sebagai suami kau!” balas Aqasha serius.

Afiya tergamam.

“Aku merayu, tolong jangan buat aku macam ni!” rayunya.

“Rayuan kau tak diterima!” balas Aqasha.

Afiya semakin gelisah. Dia pandang sekeliling, mencari jalan untuk membebaskan diri dari Aqasha. Tiba-tiba dia terpandang tombol pintu kereta. Laju tangannya menyentuh tombol itu, hendak membuka daun pintu lalu melompat keluar dari kereta yang sedang dipandu Aqasha.

Tatkala melihat tindakan Afiya, cepat-cepat Aqasha mengunci pintu keretanya.

“Jangan berani buat benda bodoh macam tu, okey! Kalau kau lompat keluar, dan tiba-tiba aje kena langgar dengan kereta, motor, bas atau lori, aku tak tanggung apa-apa tau. Aku tinggalkan kau macam tu aje!” Dia mengugut Afiya.

Afiya tidak jadi meneruskan niatnya itu. Kalau dia lompat keluar dari kereta, tidak pasal-pasal maut datang menjemputnya. Ah, dia tidak mahu menyerah nyawanya di jalanraya! Lantas, dia kembali memandang Aqasha.

“Kalau kau nak aku betulkan keadaan, aku akan buat! Aku beritahu perkara sebenar pada Irsyad! Aku merayu tolong lepaskan aku!” Dia masih menangis tersedu-sedan.

Aqasha tertawa sinis.

“Dah lambat untuk kau betulkan keadaan tau. Kau dah mengaku yang aku ni suami kau, dan lelaki tu percaya cakap kau. Jadi nak tak nak, kau kena ikut apa yang suami kau ni nak. Faham?”

Afiya merenung sayu, cuba meraih simpati Aqasha.

“Lepaskan aku!” jeritnya.

Aqasha semerta menghentikan keretanya di bahu jalan, lalu menoleh memandang Afiya. Cepat-cepat Afiya membuka daun pintu kereta, namun gagal kerana pintu masih berkunci. Aqasha bisu, sambil tersenyum sinis melihat tingkah laku Afiya.

“Bukalah pintu kereta ni!”

Aqasha berdehem.

“Aku takkan buka pintu kereta ni untuk kau. Sekarang, aku nak kau duduk diam-diam kat situ, tak payah bising atau jerit! Kalau tak…”

Afiya teguk liur.

“Kalau tak, apa? Kau nak buat apa kat aku?”

Aqasha membuka laci dashboard,lalu membawa keluar pita pelekat dan menayangnya di hadapan Afiya.

“Kau nampak benda ni?”

Afiya mengangguk.

“Kalau kau terus buat bising dan menjerit macam orang gila, aku tak teragak-agak untuk lekat pita pelekat ni ke mulut kau! Bukan setakat tu aje, aku akan ikat tangan dan kaki kau tu guna pita pelekat ni!” ugut Aqasha.

Terjegil mata Afiya.

“Kau memang suka ugut orang ke hah?”

“Haa… aku buka pita pelekat ni, dan lekat mulut kau tu!” Laju tangan Aqasha membuka pita pelekat itu.

“Jangan! Okey, aku diam!” Afiya segera menekup mulutnya.

Aqasha tersenyum puas kerana berjaya membuat Afiya membisu.

“Good!”

Signal sebelah kanan diberi, lalu kereta dipandu keluar dari bahu jalan dan memulakan perjalanan semula. Sepanjang perjalanan, Afiya hanya membisu kerana takut mulutnya dilekat oleh pita pelekat itu!


------- 


MATA Afiya meliar memerhati rumah banglo mewah di hadapan matanya. Ternganga seketika mulutnya.

“Rumah siapa ni?”

“Rumah aku, syurga kita!” jawab Aqasha, sambil tersenyum penuh makna.

Afiya terkedu.

“Aku bukan isteri kaulah!” pekiknya.

Aqasha ketawa besar.

“Bukan isteri aku? Habis tu, kenapa kau mengaku yang aku ni suami kau?” Dia memulangkan paku buah keras.

Afiya terus bisu.

“Apasal kau diam?”

Afiya tidak membalas. Tetap bisu.

“Jom kita masuk dalam!” Aqasha menarik tangan Afiya.

Afiya mengeraskan tubuhnya.

“Aku tak nak masuk dalam!”

Aqasha mendengus.

“Jangan cabar aku! Kalau kau tak nak masuk dalam, aku cempung kau!” ugutnya.

“Buatlah!” Afiya mencabar.

Tidak tahan mendengar cabaran itu, Aqasha segera mencempung tubuh Afiya lalu menghayun kaki memasuki banglo itu.

“Turunkan akulah!” Afiya memukul dada bidang Aqasha.

Aqasha tidak mempedulikan pukulan Afiya, sebaliknya terus berjalan masuk ke banglo itu. Sebaik menapak masuk ke dalam, Aqasha segera menurunkan Afiya.

“Nilah rumah aku!” beritahunya.

Afiya merenung tajam Aqasha.

“Kenapa bawak aku datang sini?”

“Siapa nama kau?” Aqasha tidak mempedulikan soalan Afiya.

“Afiya,” jawab Afiya.

“Nama penuh?” soal Aqasha lagi.

Berkerut dahi Afiya mendengar soalan Aqasha.

“Kenapa nak tahu nama penuh aku?”

Aqasha tersenyum sinis.

“Kau kan isteri aku, jadi aku berhak tahu apa nama penuh dan latar belakang kau!” herdiknya.

Afiya semakin hairan. Dia ni nak temuduga aku ke apa ni?

“Jawab soalan aku!” marah Aqasha.

Afiya berdecit.

“Nama aku Afiya Zafira binti Razuan!”

“Berapa umur kau?” Aqasha terus menyoal.

Afiya semakin tercengang.

“Kenapa nak tahu umur aku?”

“Jawab ajelah! Tak payah banyak tanya!” tengking Aqasha.

“Dua puluh lima tahun!” jawab Afiya.

Aqasha membisu sejenak, tekun memerhati Afiya dari atas ke bawah.

Melihat telatah Aqasha, Afiya jadi tidak selesa.

“Apasal tenung aku macam tu?”

“Kerja ke belajar lagi? Tinggal kat mana? Mak ayah kau hidup lagi ke? Cerita serba sedikit tentang diri kau!” Nah, bertubi-tubi soalan temuduga ditabur dari bibir Aqasha.

Afiya melopong.

“Kau nak temuduga aku untuk jawatan apa ni hah?”

“Jawab soalan aku!”

Afiya mengeluh geram.

“Aku baru habis belajar dan tengah cari kerja sekarang ni. Aku ada mak kandung dan ayah tiri. Ayah aku dah lama meninggal dunia. Masa belajar dulu, aku ambil kursus Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pejabat kat UiTM Puncak Alam.”

Aqasha tersenyum lebar.

“Hmm… memang sesuai!”

Afiya terlongo.

“Sesuai untuk apa?”

“Jom ikut aku! Kejap lagi kau tahu!”

Aqasha terus tarik tangan Afiya.

Afiya yang terpinga-pinga dengan tindakan Aqasha, bertindak membuntuti langkah lelaki itu dari belakang. Hatinya tertanya-tanya, ke mana lelaki itu mahu membawanya?



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku