Lelaki Paling Setia!
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
339

Bacaan






SHARIFAH RUHAYAtersenyum lebar demi melihat figura Aqasha bersama seorang wanita di sebelahnya. Bait-bait janji yang terlafaz di bibir Aqasha kembali berputar di ingatan. Kata lelaki itu, selagi dia belum bertemu gadis yang berjaya menggetarkan hati dan naluri lelakinya, selagi itulah dia tidak akan menjejaki rumah ini. Hmm… nampaknya, Aqasha seperti sudah menemui si idaman kalbu.

“Dah jumpa bakal isteri kamu ke?” Dia menyoal Aqasha.

“Dah!” jawab Aqasha ringkas.

Terkebil-kebil mata Afiya memerhati gelagat mereka berdua. Isteri? Apa semua ni? Dia tercengang, tidak memahami apa yang mereka maksudkan itu.

Teruja rasanya hati Sharifah Ruhaya hendak berkenalan dengan bakal cucu menantunya itu.

“Siapa dia?”

Aqasha menarik tangan Afiya, menyebabkan gadis itu terdorong ke hadapan Sharifah Ruhaya.

“Nenda, ni Afiya Zafira binti Razuan. Nenda boleh panggil dia Afiya.” Dia memperkenalkan Afiya pada nendanya itu.

Garis senyum manis diukir di bibir, khas buat Sharifah Ruhaya. Namun dia tetap tegak berdiri di sebelah Aqasha, tiada tanda-tanda untuk menyalami tangan wanita itu.

Melihat Afiya yang berdiri umpama patung di sebelahnya itu, dia mendengus. Lantas, bibirnya didekatkan ke telinga Afiya.

“Salamlah tangan nenda, lepas tu cium!” arahnya.

Tergesa-gesa Afiya menyalami lalu menciumi tangan Sharifah Ruhaya.

“Saya Afiya, nenda.” Dia menyapa dengan nada sopan.

Sejuk hati Sharifah Ruhaya melihat tingkah laku Afiya.

“Tak perlu panggil puan, panggil nenda aje.”

“Tak apa ke panggil nenda?” Teragak-agak Afiya hendak memanggil wanita itu nenda.

“Kenapa tak boleh pula? Afiya bukan orang luar, tapi bakal cucu menantu nenda!” jawab Sharifah Ruhaya.

Mata Afiya terus buntang. Dia tercengang. Bakal cucu menantu?

Selamba Aqasha memaut pinggang ramping Afiya.

Afiya pula sedaya upaya menolak tubuh sasa Aqasha. Hatinya menggerutu marah melihat tindakan Aqasha yang sengaja hendak mengambil kesempatan ke atasnya.

“Nenda, Afiya Zafira bakal isteri Qasha!” Aqasha memperkenalkan Afiya sebagai bakal isterinya.

“Haa?” Afiya terjerit, terkejut mendengar pengumuman Aqasha. Ah, sudah! Dia ni main serang balas pula!

Berkerut dahi Sharifah Ruhaya mendengar jeritan Afiya.

“Kenapa Afiya menjerit ni?”

Afiya memandang dalam-dalam wajah Sharifah Ruhaya. Dia mahu memperbetulkan keadaan.

“Nenda, kami...”

Pantas Aqasha menekup mulut Afiya, menghalang gadis itu daripada berterus-terang. Jika nenda tahu perkara sebenar, mati dia!

“Sayang, awak dah lupa ke? Tadi awak kata saya ni ada masalah amnesia, dan sekarang awak berjangkit dengan penyakit saya ni ya? Kita kan memang bercinta dan bakal berkahwin tak lama lagi.” Dia melemparkan kata-kata yang diucapkan Afiya tadi.

“Tapi, kita tak...”

Aqasha semerta mencubit belakang tubuh Afiya.

Afiya terus jadi tegak, sakit dek cubitan Aqasha.

“Nenda jangan dengar cakap Afiya ni. Dia ni kadang-kadang memang suka lupa. Ada ke patut dia tak mengaku Qasha ni kekasih dia? Penat-penat Qaaha pikat dia dulu tau. Bukan setakat tu aje, Qasha siap belikan cincin tu dia tau.” Semakin galak Aqasha mencipta pembohongan.

Afiya tercengang. Cincin apa pula ni?

“Cincin apa?”

“Kejap ya?” Aqasha menyeluk poket seluarnya, lalu menarik keluar sebentuk cincin yang dijumpai sewaktu sedang memasak tadi. Mujurlah dia menjumpai cincin ini. Ternyata, cincin ini dapat menyelamatkan keadaan! Lantas, dia menyarung cincin it uke jari manis Afiya. Nasib baik ngam!

Terkebil-kebil mata Afiya melihat cincin yang sudahpun tersarung di jari manisnya itu.

“Weh, cincin apa ni?”

Aqasha melemparkan senyum sinis.

“Cincin kahwin kitalah. Saya ni kan bakal suami awak!” Sengaja dia menekan perkataan ‘suami’. Hendak menyindir Afiya.

Afiya tergamam. Pembohongan yang direka semata-mata untuk melepaskan diri dari Irsyad akhirnya menjerat dirinya sendiri! Aqasha benar-benar gila kerana mengambil risiko besar itu! Berani dia mengakui Afiya adalah bakal isterinya di hadapan nenda Sharifah Ruhaya?

Tergeleng-geleng kepala Sharifah Ruhaya melihat telatah Aqasha dan Afiya.

“Afiya jangan ambil hati, ya? Qasha memang macam tu.”

Afiya semerta menoleh memandang nenda.

“Nenda, dia...”

“Nenda?” Cepat-cepat Aqasha menegur sebelum sempat Afiya menghabiskan kata.

Sharifah Ruhaya menoleh memandang Aqasha.

“Hmm?”

“Qasha nak hantar Afiya balik. Nanti mak ayah dia risau. Yalah, kami kan belum ada apa-apa ikatan yang sah lagi. Nanti apa pulak orang lain cakap nanti?” balas Aqasha beria-ia.

“Eh, tak makan malam dulu ke? Nanti nenda suruh Mak Jah masakkan,” ajak Sharifah Ruhaya.

“Tak apalah, nenda. Kami dah makan kat luar tadi. Afiya ni haa... tak sabar-sabar nak jumpa nenda,” tolak Aqasha.

Terjegil mata Afiya.

“Bii...”

“Jom sayang, saya hantar awak balik rumah!” Serentak itu, Aqasha menarik tangan Afiya keluar dari bilik Sharifah Ruhaya.


------


SEUSAI keluar dari bilik nenda, Afiya segera merentap kasar tangannya dari pegangan Aqasha. Wajah Aqasha diperhati dengan reaksi muka tidak puas hati. Kembang kempis hidungnya menahan amarah yang terbuku di benak.

“Kenapa kau kenalkan aku sebagai bakal isteri depan nenda hah? Kita ni tak pernah jalin apa-apa hubungan tau! Aku dengan kau, kita baru aje kenal. Tak sampai dua puluh jam lagi!” Dia memakihamun Aqasha.

Aqasha ketawa sinis.

“Baru kenal, belum sampai dua puluh jam lagi? Okey, kau dengar apa yang aku nak cakap ni, Afiya. Kau kenalkan aku sebagai suami depan Irsyad tadi, tak apa pulak? Kalau ikutkan, aku yang sepatutnya lempar kata-kata baru kenal tu dekat kau tau. Masa kau buat benda tak berfaedah tu, ada tak kau fikir perasaan aku? Tak ada kan? Jadi, aku balas apa yang kau dah buat kat aku. Sekarang kita seri satu sama!”

Afiya memasamkan wajahnya.

“Aku tak sengaja buat macam tu!”

Terjongket sebelah kening Aqasha.

“Tak sengaja? Aku bukan bodohlah, Afiya! Kau sengaja buat semua tu sebab tak nak Irsyad terus ganggu hidup kau!”

Afiya mendengus.

“Okey, aku salah sebab aku mengaku kau suami aku depan Irsyad. Memang aku buat semua tu sebab tak nak dia terus kacau aku. Tapi kau tu tak sepatutnya kenalkan aku sebagai bakal isteri depan nenda. Kita ni tak pernah bercinta! Buatnya kalau nenda nak kita kahwin, macam mana? Aku tak nak kahwin!” herdiknya.

Aqasha tersenyum nakal.

“Kahwin ajelah, apa susah?”

“Kau faham Bahasa kan? Aku tak nak kahwin? Umur dua puluh lima tahun tu masih belum layak untuk menguruskan rumah tangga segala bagai! Aku nak jadi burung yang bebas terbang sana sini! Aku tak nak jadi burung yang terkurung dalam sangkar!” marah Afiya.

Aqasha tersenyum.

“Nak jadi burung yang bebas terbang sana sini? Habis tu kau tak nak kahwin? Afiya, evenburung pun ada anak-anak dia tau! Kau tak rasa nak ada anak sendiri ke, hmm? Ataupun kau nak jadi anak dara tua?” Semakin galak dia memerli Afiya.

Terbeliak mata Afiya.

“Suka hati akulah nak jadi anak dara tua sekalipun, taka da kena-mengena dengan kau!”

“Kau tu bakal isteri aku! Jadi, semua hal yang berkaitan kau ada kena-mengena dengan aku! Dengar sini baik-baik, aku takkan benarkan kau jadi anak dara tua! Aku Syed Aqasha Luqman bin Syed Azahar, berumur tiga puluh tahun dan seorang chef yang terkenal yang memiliki restoran sendiri, seorang yang kacak dan bergaya berjanji akan memperisterikan Afiya Zafiya binti Razuan dan menjaga sehingga akhir nafas kita!” Aqasha melafaz kata-kata janji.

Afiya terkedu. Terkejut mendengar janji yang termenterai di bibir Aqasha.

“Apasal kau sanggup buat kerja gila macam ni? Kenapa beria-ia nak kahwin dengan aku?”

Aqasha mempamer senyuman penuh makna.

“Sebab aku belum pernah jumpa perempuan seberani kau yang mengaku aku ni suami kau. Kaulah orang pertama yang berani buat macam tu tau! Kau dah berjaya cabar ego aku, dan sebab tulah aku nak kahwin dengan kau!” tegasnya.

Bagai hendak jatuh rahang Afiya. Okey, ini betul-betul gila!

“Kau nak kahwin dengan aku? Tapi, aku tak nak kahwin dengan kau!”

“Kita tengok macam mana aku lunturkan ego kau dan buat kau kahwin dengan aku!”

Afiya mendengus.

“Gila!”

Aqasha tergelak, lantas mendekatkan mukanya ke muka Afiya.

“Sebab kau yang buat aku jadi gila, Afiya! Nak ke tak nak ke, kau kena layan kegilaan aku ni, Afiya! Lain kali jangan cabar ego lelaki. Sebab lelaki macam aku ni memang pantang dicabar.” Dia mencuit hujung hidung mancung Afiya.

Afiya pantas menepis kasar tangan Aqasha.

“Aku nak balik!”

“Okey, jom kita balik!” Selamba Aqasha meninggalkan Afiya di belakang.

Besar mata Afiya melihat Aqasha yang sudah meninggalkannya itu. Dengan berbaku ayat sumpah seranah, dia membuntuti langkah lelaki itu dari belakang.


--------


“BERHENTI!” Sebaik tiba di hadapan sebuah stesen menunggu bas, Afiya tiba-tiba menjerit.

Terkejut mendengar jeritan itu, Aqasha semerta menghentikan kereta yang dipandunya itu di bahu jalan, lalu menoleh memandang Afiya.

“Kenapa kau menjerit hah? Buat aku terkejut aje tau! Kalau kita accident,macam mana? Tak pasal-pasal muka aku yang kacak ni berlubang sana sini!” marahnya, geram kerana Afiya tiba-tiba menjerit tanpa memikirkan impak perbuatannya itu.

Afiya semerta menadah tangan umpama sedang membaca doa.

“Alhamdulillah! Kalau muka kau berlubang sana sini, gerenti kita tak payah kahwin!”

Aqasha tertawa. Dia mendekatkan mukanya ke muka Afiya.

“Walaupun muka aku berlubang sana sini, kau tetap kena kahwin dengan aku! Bila aku kata nak, aku akan dapatkannya walau dengan apa cara sekalipun, faham?” tegasnya.

Afiya memuncung.

Aqasha menyandarkan tubuhnya ke belakang.

“Kenapa suruh aku berhenti kat tepi jalan ni?” soalnya.

“Rumah aku dalam area sini, jadi kau boleh turunkan aku kat sini aje. Tak perlu bersusah payah hantar aku sampai depan rumah! Aku boleh jalan sendiri balik rumah aku,” balas Afiya bersungguh-sungguh. Padahal, dia tidak mahu lelaki itu mengetahui lokasi rumahnya. Mati dia kalau lelaki itu tahu, tidak pasal-pasal lelaki itu melakukan perkara yang bukan-bukan kelak.

Berkerut dahi Aqasha mendengar kata-kata Afiya.

“Kejap, kenapa pulak aku nak turunkan kat kat sini? Aku akan hantar kau sampai depan rumah tau! Kau tu bakal isteri aku, dan aku wajib jaga keselamatan dan kebajikan kau! Buatnya kalau tiba-tiba aje ada anjing liar masa kau tengah jalan kaki balik rumah, macam mana? Tak pasal-pasal kau pecut serratus meter sebab kena kejar dengan anjing liar tu. Ataupun, tak pasal-pasal punggung kau tu tinggal sebelah sebab kena gigit!”

Afiya mencemik muka.

“Kau merepek apa ni? Kawsan perumahan ni tak ada anjing liarlah!”

“Jangan cakap sembarangan tau! Kalau tiba-tiba ada anjing, macam mana? Kau boleh hidu ke musibah yang bakal berlaku di masa akan datang?” Ada aje ayat Afiya yang dikona semula semata-mata kerana Aqasha mahu memaksa gadis itu mengikuti kemahuannya.

Afiya mendengus.

“Hisy, doa yang baik-baik, cukuplah!” marahnya lagi.

“Memanglah kena doa yang baik-baik, tapi kita tak boleh nak elak kalau perkara buruk berlaku. Beringat sebelum kena!” sindir Aqasha.

Afiya terkelu.

Senyuman lebar terus terukir di bibir, puas kerana memenangi peperangan mulut sesama mereka itu.

“Jadi, mana rumah kau?” soal Aqasha.

Afiya garu kepala.

“Tak boleh ke kalau kau turunkan aku kat stesen bas ni aje? Aku boleh jalan kakilah!”

“Tak boleh!” tegas Aqasha.

“Kenapa tak boleh?” Afiya masih lagi tidak berpuas hati.

Renungan tajam Aqasha menikam wajah Afiya.

“Kau fikir aku tak tahu ke apa niat kau yang sebenarnya, hmm? Kau sebenarnya nak ambil kesempatan dengan larikan diri dari berkahwin dengan aku! Aku cerdik tau! Aku nak tahu lokasi rumah kau, supaya senang untuk aku kesan keberadaan kau tu!”

Afiya terkelu lagi!

“Haa… mana rumah kau?”

Afiya berdecit. Mahu tidak mahu, terpaksa dia memberitahu lokasi rumahnya pada Aqasha.

Setibanya di hadapan sebuah rumah teres setingkat itu, kereta Aqasha berhenti. Aqasha menoleh memandang Afiya. Telefon bimbit di dalam kocek seluarnya itu ditarik keluar.

“Berapa nombor telefon kau?” Jarinya sudah bersiap sedia untuk menekan nombor telefon bimbit Afiya.

Afiya tercengang.

“Nak buat apa dengan nombor telefon bimbit aku tu?”

“Aku nak nombor telefon kau tu supaya senang nak contact,faham?” herdik Aqasha.

“Tak payahlah, aku…”

“Bagi cepat!” marah Aqasha.

“Nak bagi macam mana? Aku bukannya ada telefon!” Afiya melampiaskan amarahnya kembali.

Aqasha terlongo.

“Zaman moden macam ni, ada juga orang yang tak ada kemudahan telefon bimbit ke hah?”

“Dulu ada, tapi sekarang…”

“Sekarang apa?”

Membahang wajah Afiya, mahu hendak mengakui hakikat sebenar. Pasti lelaki itu akan menyindirnya nanti!

“Telefon aku terjatuh dalam lubang tandas masa aku tengah…” Ah, malu dia hendak menghabiskan ayatnya. Takkanlah hendak berterus-terang pula? Faham-faham sendirilah!

Meledak terus tawa Aqasha.

“Masuk tandas pun, kena bawa telefon ke? Teruknya kau ni!” kutuknya selamba.

Afiya bisu. Ah, malunya dia!

Melihat Afiya membisu, Aqasha menyeluk kocek seluarnya. Sebuah telefon bimbit dikeluarkan dari kocek seluar, lalu diberikan pada Afiya.

“Nah!”

Terkebil-kebil mata Afiya apabila Aqasha tiba-tiba memberikan telefon bimbit itu pada dia. Banyaknya telefon bimbit dia! Mula-mula keluarkan cincin, lepas tu keluarkan telefon bimbit pula. Dia ni pinjam poket Doraemon ke, sehingga boleh mengeluarkan bermacam-macam jenis barang?

“Ambillah, tak payah tenung telefon bimbit ni!” arah Aqasha.

Afiya tersentak, kemudian berdecit.

“Aku seganlah nak ambil harta karun kau ni.”

“Kalau kau tak ambil harta karun aku ni, macam mana aku nak contactkau? Ambillah!” marah Aqasha.

Mahu tidak mahu, Afiya mengambil telefon bimbit itu dari tangan Aqasha. Dia tersenyum hambar.

“Terima kasih, Qasha.”

“Sama-sama!”

Afiya kembali membisu.

“Haa jangan bawak telefon bimbit tu masuk dalam tandas pula. Nanti tak pasal-pasal terjatuh dalam lubang tandas lagi!” Sempat lagi Aqasha menyindir Afiya.

“Hisy, yalah aku tak bawa telefon bimbit kau ni masuk dalam tandas lagi!” bentak Afiya.

Wajah Aqasha berubah riak serius.

“Ingat, jangan sesekali cuba larikan diri dari aku! Kalau kau lari, kau akan terima bahananya! Macam yang aku cakap masa kita kat rumah nenda tadi, aku ni lelaki yang pantang dicabar!” Dia menitipkan peringatan keras di benak Afiya supaya gadis itu tidak menimbulkan apa-apa masalah kelak.

“Aku tak lari!” bentak Afiya lagi.

Aqasha tersenyum.

“Bagus!”

Lantas, Afiya terus membolos keluar dari perut kereta Aqasha. Sesudah itu, kereta itu terus menderum pergi meninggalkan Afiya di luar pagar.

Mengenangkan implikasi di atas tindakannya yang berani mengakui Aqasha adalah suaminya, Afiya mengeluh. Apa kau dah buat, Fiya?



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku