Lelaki Paling Setia!
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
276

Bacaan






BARU sahaja masuk ke dalam rumah teres setingkat itu, mata Afiya terus terjegil demi melihat Encik Fakhrul yang sedang mencengkam kuat rambut ibunya, Puan Manisah. Cepat-cepat dia menerpa ke arah ibu.

“Pak Cik!”

Tubuh Encik Fakhrul ditolak kuat. Menyebabkan tubuhnya terdorong lalu terhentak ke dinding. Afiya terus memeluk ibunya yang sudah terbaring di atas lantai itu. Air matanya terus merembes laju menuruni kedua-dua belah pipinya. Sebak jiwanya menyaksikan penderitaan sang ibu.

Lantas, Afiya merenung tajam segenap tubuh Encik Fakhrul yang bersandar di tepi dinding itu.

“Jangan sentuh ibu Fiya, pak cik! Tak cukup ke dengan apa yang kami dah korbankan untuk pak cik? Hari-hari pak cik sepak terajang dan pukul ibu sepuas hati! Apa lagi yang pak cik nak dari kami hah?” Dia menengking Encik Fakhrul.

Puan Manisah menyentuh bahu Afiya.

“Sudahlah, Fiya!” ucapnya sambil tercungap-cungap nafas menahan kepenatan.

Afiya menoleh memandang Puan Manisah.

“Fiya takkan berdiam diri dan biarkan pak cik terus sakiti tubuh ibu lagi! Dah banyak kali dia dera ibu semata-mata sebab dia mahukan duit! Apa, dia ingat kita berdua ni cop duit ke? Tiap-tiap hari nak hulur duit kat dia untuk berjudi dan berfoya-foya dengan perempuan berdahi licin? Kalau dia nak duit semata-mata untuk buat kerja yang tak berfaedah macam tu, lebih baik dia pergi kerja! Guna duit sendiri!” Sudah lama ditahan rasa marah tatkala mengenangkan perbuatan Encik Fakhrul di belakang mereka. Kali ini, Afiya tidak mahu berdiam diri lagi! Dia itu siapa nak ugut-ugut mereka?

Mendidih darah Encik Fakhrul tatkala mendengar tengkingan Afiya. Kurang ajar! Jari-jemarinya terus ditudingkan ke muka Afiya.

“Jangan nak kurang ajar dengan aku ya! Umur baru setahun jagung, tapi dah berlagak macam orang dewasa! Sedar sikit, rumah yang kau duduk ni adalah rumah aku! Bila-bila masa aje, aku boleh tendang kauorang berdua keluar dari rumah ni! Merempat sampai reput kauorang berdua kat bawah jambatan!” tengking Encik Fakhrul lantang.

Afiya ketawa sinis.

“Ni memang rumah pak cik! Tapi, pak cik kena ingat siapa yang lunasi rumah pak cik ni masa pak cik berhutang dengan bank dulu! Siapa? Ibu Fiya yang bergadai nyawa membayar hutang rumah pak cik ni tau! Kalau ibu Fiya tak bayar, alamatnya rumah ni dah lama kena lelong dengan bank! Merempat sampai reput juga, sama macam kami!” Dia mula mengungkit kisah lama.

“Fiya, sudahlah tu!” tegur Puan Manisah.

“Kurang ajar!” Encik Fakhrul meluru menghampiri Afiya yang sedang memeluk tubuh Puan Manisah. Mahu membelasah anak tirinya yang tidak berguna itu!

“Abang!”

Puan Manisah memaksa dirinya untuk berdiri.

“Jangan apa-apakan anak Nisa, bang!” Dia merayu pada suaminya itu.

Afiya tergamam demi melihat ibunya yang bersungguh-sungguh merayu Encik Fakhrul supaya tidak mencederakan dirinya. Untuk apa merayu pada lelaki yang tidak berguna itu?

Mendengar rayuan Puan Manisah, Encik Fakhrul ketawa terbahak-bahak. Seperti sedang mengejek kelemahan mereka berdua.

“Kaum perempuan ni memang lemah bila berhadapan dengan kaum lelaki!” ejeknya.

Wajah isterinya itu ditenung dengan pandangan sinis.

“Sekarang ni, aku nak kau pergi naik atas dan ambil duit. Aku nak pakai duit tu!” arahnya pula.

Afiya terkesima. Cepat-cepat dia bangun lalu berhadapan dengan ayah tirinya itu.

“Siapa yang lemah sekarang ni? Pak cik ke kami? Pak cik tak malu ke minta duit dekat ibu Fiya hah? Pak cik kata kaum perempuan lemah, dan golongan lelaki kuat, macam tu? Pak cik tu kan lelaki! Kalau betul pak cik kuat, pak cik pergilah cari duit sendiri untuk berjudi dan berfoya-foya dengan perempuan. Kami berdua ni kan golongan lemah, yang tak mampu nak menyara diri dan mencari duit!” Dia menerkam benak Encik Fakhrul dengan nada percakapan keras dan ayat sinis itu.

Kali ini, api kemarahan benar-benar menguasai diri Encik Fakhrul. Melampau!

“Jangan cabar aku, Fiya! Aku…”

“Pak cik nak buat apa kat Fiya? Nak belasah Fiya? Buatlah!” Afiya mencabar.

Dek hilang sabar mendengar cabaran Afiya, Encik Fakhrul mengangkat tangan kanannya tinggi. Mahu menghadiahkah sebuah penampar di pipi anak tirinya itu!

Puan Manisah membuntang mata melihat tindakan Encik Fakhrul.

“Abang!” Nyaring suara jeritannya, cuba menghalang suaminya itu daripada menampar Afiya.

“Cuba buat, cuba!” jerit Afiya.

Sekali gus menghentikan tindakan Encik Fakhrul.

Afiya menuding jari ke muka Encik Fakhrul.

“Negara kita ada undang-undang, pak cik! Undang-undang tetap akan menghukum orang yang bersalah, terutama orang macam pak cik ni! Kalau pak cik berani tampar Fiya dan apa-apakan ibu lagi, Fiya takkan teragak-agak untuk repot polis! Pak cik mesti tak nak masuk penjara kan? Kalau masuk penjara, mesti pak cik mereput kat sana, betul tak? Jadi, sama adillah sekarang ni! Kami mereput bawah jambatan, dan pak cik mereput dalam penjara!” Dia mengugut.

Encik Fakhrul terus terdiam. Niatnya untuk mencederakan Afiya semerta terpadam. Gara-gara geram kerana tidak boleh melampiaskan amarahnya pada mereka berdua, dia terus keluar dari rumah itu. Meninggalkan dua beranak itu.

Seusai Encik Fakhrul meninggalkan rumah, Afiya semerta meluru memeluk Puan Manisah, lalu mereka sama-sama menghamburkan tangisan. Sebak memikirkan nasib mereka di tangan Encik Fakhrul!


----------


KERETA yang dipandu Aqasha berhenti di belakang garisan kuning seusai lampu isyarat bertukar warna merah. Setelah brek tangan ditarik dan gear dibebaskan, Aqasha menyandarkan tubuhnya ke belakang.

Tatkala mengingati peristiwa dia mengambil keputusan untuk memperisterikan Afiya, Aqasha semerta membuang keluhan. Dahinya dipicit berulang kali. Mula berfikir dua tiga kali dengan keputusan yang dia ambil itu.

“Betul ke apa yang aku buat ni? Aku dengan dia kan baru kenal. Aku tak tahu hati budi dan kenali sikap dia lagi. Tiba-tiba aje buat keputusan untuk memperisterikan dia. Ya ALLAH…” Dia mengusap mukanya.

Tapi… tindakan Afiya itu mencabar ego Aqasha! Berani gadis itu mengakui bahawa Aqasha adalah suaminya? Memang buku bertemu dengan ruas! Aqasha yang tertekan dengan desakan nenda untuk mencari calon isteri, tanpa berfikir panjang terus bertindak memperkenalkan Afiya pada nenda. Dan kini, Aqasha keliru dengan keputusan yang diambil.

Bayangan wajah Afiya menikam mata. Gadis itu tidak secantik mana, berkulit hitam manis ala-ala pelakon Kajol dan memiliki sepasang mata yang ada daya tarikan tersendiri. bak mata pelakon Bollywood, Hritik Roshan. Cuma… gadis itu bukanlah wanita idamannya! Lagipula, dia belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami. Nenda yang memaksa dia!

Aqasha berdecit.

“Apa patut aku buat?” keluhnya, resah memikirkan tindakannya.

Ponnn!!!

Bunyi hon yang datangnya dari kereta belakang menyentak lamunan Aqasha. Semerta dia kembali ke alam realiti. Cepat-cepat dia menurunkan brek tangan lalu memulakan pemanduannya semula. Dek tidak mahu bersoal jawab dengan nenda mengenai keputusannya yang mahu berkahwin dengan Afiya itu, dia mengubah haluan menuju ke restorannya.

SETELAH Puan Manisah lena, Afiya memasuki biliknya. Selesai membersihkan diri dan menukar pakaian, Afiya membaringkan tubuhnya di atas katil. Dia memandang ke siling bersama muka suram dan tiada sekelumit pun senyuman yang terpalit di bibirnya.

Perbuatan Encik Fakhrul masih terbayang di benaknya. Masakan dia boleh melupakan apa yang bapa tirinya itu lakukan pada mereka berdua selama ini? Perbuatan bapa tirinya masih terpahat di mindanya! Satu perkataan yang jelas menggambarkan sikap lelaki itu adalah kejam! Tersangat kejam!

“Kalau bencikan kami, kenapa kau tak nak lafazkan talak pada ibu aku hah?” ucap Afiya, tidak puas hati dengan status ibu dan bapa tirinya itu. Untuk apa bergelar suami isteri lagi, sekiranya kebahagiaan tidak selamanya milik mereka?

Afiya melepaskan keluhan.

“Ya ALLAH…”

Bunyi beep yang datangnya dari arah telefon bimbit pemberian Aqasha menjentik lamunan Afiya. Spontan dia mencapai telefon bimbit itu di atas meja. Terpamer nama Aqasha di layar skrin, menandakan whatsapp yang diterima adalah daripada lelaki itu.

Afiya berdecit.

“Ni lagi satu bala!” ucapnya.

Wajah Encik Fakhrul lama-lama menghilang, kemudian diganti pula dengan wajah Aqasha. Tindakannya yang mengakui Aqasha sebagai suami di hadapan Irsyad, akhirnya menjerat lehernya sendiri. Tiba-tiba sahaja Aqasha mahu mengahwininya, gila ke apa? Mereka baru sahaja kenal, masakan dalam sekelip mata sahaja mahu berumah tangga? Sedangkan bahtera yang bertahun lama berlayar di tengah lautan masih boleh karam, apatah bahtera yang baru sahaja hendak dibina ini? Kukuhkah lantai bahtera itu? Ya ALLAH…

Beep! Satu lagi whatsapp daripada Aqasha diterima.

Lantas, Afiya membuka whatsapp itu untuk membaca mesej kiriman Aqasha. Buntang mata Afiya tatkala melihat daftar nama yang disimpan di phonebook bagi nombor telefon bimbit Aqasha. Mr. Husband?

Mr HusbandKau tengah buat apa tu?

Mr HusbandKenapa tak balas whatsaap aku? Dah tidur ke? Awalnya tidur!

Okey, kali ini Afiya betul-betul ternganga! Baru sebentar tadi mereka bertemu, tiba-tiba sahaja Aqasha sudah menghantar whatsapp padanya? Lantas, dia menaip papan kekunci di telefon bimbit untuk membalas whatsapp Aqasha.

Afiya ZafiraSori, aku tak perasan whatsapp kau. Belum tidur lagi, kenapa?

Lantas, dia menghantar pesanan whatsapp itu. Beberapa saat kemudian, muncul satu lagi whatsapp dari Aqasha. Cepat-cepat dia membaca whatsapp itu.

Mr HusbandSaja. Rindu.

Afiya terus terjegil luas.

“Dia rindukan aku? Sah, dia dah kena penyakit angau! Tak pernah bercinta dengan aku, tup… tup… rindu kat aku.” Dia mengutuk Aqasha.

Beep! Satu lagi deringan whatsapp menyentak lamunan Afiya. Lantas, dia membaca pesanan whatsapp itu.

Mr HusbandEsok kita keluar, nak?

Terjongket sebelah kening Afiya membaca whatsapp itu. Keluar dengan Aqasha? Jari-jemarinya menaip bait-bait ayat jawapan untuk membalas pesanan whatsapp itu.

Afiya ZafiraBuat apa nak keluar? Aku tak ada urusan dengan kau!

Ting! Satu lagi pesanan whatsapp masuk.

Mr HusbandEh, suka hati akulah nak keluar dengan kau ke tak? Kau tukan

bakal isteri aku!

Afiya berdecit, geram tatkala membaca pesanan whatsapp itu.

“Nak paksa orang pulak, hisy!” bebelnya, sambil menaip sesuatu. Setelah itu dia menekan punat senduntuk membalas pesanan whatsapp Aqasha.

Afiya ZafiraOkey, aku keluar dengan kau, Mr Husband!

Tersentak Afiya dibuatnya tatkala Aqasha merakam suaranya melalui rakaman suara whatsapp. Pantas dia memuatturun rakaman suara itu, kemudian membukanya.

“Apa kau cakap tadi? Kau panggil aku Mr Husband? Wah, sejuk hati aku!”

Afiya spontan mencemik muka. Naik loya tekaknya. Lantas, dia menekan gambar pembesar suara di whatsapp untuk merakam suaranya, kemudian rakaman suara itu dihantar kepada Aqasha.

“Ha ha ha… Mr Husbandla sangat, kan?”

Ting! Aqasha menghantar ikon berbentuk senyuman nampak gigi. Menyebabkan Afiya menjerit geram. Telefon bimbit itu dimatikan, kemudian dicampak ke dalam laci. Malas hendak melayan lelaki sewel itu lagi! Buat sakit hatinya sahaja!



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku