Lelaki Paling Setia!
Bab 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
289

Bacaan






BAHAGIArasanya hati tatkala suami yang dicintai tulus sepenuh hati akhirnya menunjukkan wajahnya. Betapa dalamnya rindu dia, hanya ALLAH sahaja yang maha mengetahui. Lantas sebagai seorang isteri, Nelydia sanggup turun ke dapur semata-mata untuk menyiapkan makan tengah hari buat suaminya itu. Tengah hari ini, dia memasak nasi ayam kegemaran suaminya. Hendak mengambil hati suaminya.

Selesai menghidangkan makanan di atas meja, Nelydia menarik kerusi di bawah meja, kemudian melabuhkan duduk di atas kerusi itu. Matanya menoleh memandang ke arah tangga, menanti suaminya turun ke bawah. Tidak sabar rasanya hendak menikmati makan tengah hari bersama suami tercinta.

Senyuman kian melebar di bibir demi melihat susuk tubuh suaminya yang sedang turun ke bawah. Namun senyumannya kian pudar sedikit demi sedikit demi melihat beg pakaian yang dibawa bersamanya itu. Cepat-cepat dia bangun lalu meluru menghampiri tangga.

“Abang?” panggil Nelydia.

Langkah Abshar mati demi mendengar teguran Nelydia. Bibirnya terukir senyuman tatkala melihat susuk tubuh isterinya itu.

“Ya?”

Mata Nelydia tidak lari dari memandang beg pakaian itu.

“Abang nak pergi mana ni, siap bawa beg besar bagai ni?” Laju dia menyoal.

Abshar menuruni anak tangga, sambil membawa beg pakaiannya itu. Setelah tiba di tingkah bawah, beg itu diletakkan di sebelahnya. Wajah Nelydia ditenung bersama senyuman di bibir.

“Abang nak outstation ke Johor selama dua minggu,” beritahunya.

Terjegil mata Nelydia mendengar kata-kata suaminya.

“Dua minggu? Lamanya tu, bang!”

“Err… syarikat abang akan kembangkan sayap perniagaan kat Johor. Jadi, abang ditugaskan untuk projek mega ni. Kalau ikutkan hati abang, memang abang tak nak terima tugas berat ni. Tapi atas tuntutan kerja dan arahan pihak atasan, abang memang tak boleh nak buat apa. Abang tak mampu nak menolak. Lagipun, ni masa depan abang. Mana tahu, kot-kot abang akan naik pangkat?” balas Abshar, kelihatan seperti terkial-kial hendak mencipta alasan.

“Neli nak ikut abang pergi Johor! Kejap ya, Neli pergi bersiap-siap. Neli masak nasi ayam, Neli bawa sekali ya? Bolehlah kita makan masa kat R n R nanti.” Nelydia sudah bersiap siaga hendak mendaki tangga untuk ke biliknya.

“Eh Neli, kejap!” Abshar bingkas menghalang Nelydia.

Tercengang Nelydia melihat tingkah laku Abshar yang beria-ia menghalangnya.

“Kenapa? Neli nak pergi bersiap ni.”

Abshar tersenyum hambar.

“Abang minta maaf, Neli. Neli tak boleh ikut abang.”

Nelydia terkesima.

“Kenapa pula Neli tak boleh ikut abang? Kalau pasal butik, tak apa… Neli boleh minta tolong Qaira jagakan butik tu sepanjang ketiadaan Neli. Jadi tak ada masalah kalau Neli ikut abang pergi outstation.”

Abshar garu kepala.

“Abang bukan tak nak bagi Neli ikut, tapi…”

Berkerut dahi Nelydia.

“Tapi apa?”

Abshar melepaskan keluhan.

“Abang takut kalau-kalau Neli bosan kat sana nanti. Yalah, abang sibuk bekerja, dan tinggalkan Neli sendirian kat bilik hotel. Neli tahu abang macam mana kan? Abang seorang workaholic! Bila dah mula bekerja, abang memang dah tak ingat apa dah. Jadi lebih baik Neli duduk kat rumah ataupun pergi ke butik aje, sekurang-kurangnya Neli tak kebosanan nanti.” Bermacam-macam alasan direka supaya Nelydia tidak mengikutnya ke Johor.

“Ala… Neli takkan rasa bosan masa kat sana nanti! Walaupun abang sibuk dengan kerja, sekurang-kurangnya abang ada dekat dengan Neli. Bila abang kerja, Neli pergilah window shopping. Dua minggu tu satu tempoh jangka masa panjang bagi Neli. Sedetik saat pun Neli tak sanggup berpisah dengan abang, apatah lagi dua minggu. Abang, tolong benarkan Neli ikut abang pergi Johor!” Bersungguh-sungguh Nelydia merayu suaminya itu.

“Abang…”

Nelydia meletakkan kedua-dua belah telapak tangannya di pipi kanan dan kiri Abshar. Dia mengukir senyuman manis.

“Abang tunggu kejap ya? Neli pergi bersiap!”

“Neli, abang…”

Tanpa mendengar kata, Nelydia terus berlari anak mendaki tangga menuju ke tingkat atas. Mahu segera bersiap untuk mengikut suaminya ke Johor.

Abshar seperti jadi cacing kepanasan tatkala melihat tindakan Nelydia. Ke kiri dan ke kanan, dia melangkah kerana gagal memujuk Nelydia supaya membatalkan hasratnya itu. Sudah berbuih mulutnya memberi alasan, namun Nelydia tetap dengan keputusannya.

“Nak buat macam mana ni?” keluhnya resah.

Tiba-tiba, telefon bimbit Abshar berdering. Tahu siapa pemanggilnya, dia terus menjawab panggilan itu.

“Kejap, I kena settlehal Nelydia dulu!”

Dia diam sejenak, memberi ruang untuk si pemanggil itu bersuara.

“Ya!”

Tutt! Talian terus dimatikan.

Abshar mengerling anak tangga bahagian atas, masih belum ada tanda-tanda untuk Nelydia muncul. Lantas, cepat-cepat dia menarik beg pakaiannya lalu membolos keluar meninggalkan rumah teres dua tingkat itu. Sebelum pergi, dia sempat meninggalkan nota kecil di atas meja.

Sementara itu, Nelydia yang baru turun bersama beg pakainnya, tercengang melihat ruang tamu yang kosong itu. Berkerut dahinya, kemanakah Abshar pergi? Dia menapak ke dapur, namun bayang suaminya itu tetap tiada juga. Terdetik di benaknya untuk melihat kereta Abshar di luar. Pantas dia berjalan ke muka pintu. Daun pintu dikuak ke dalam.

Terbeliak matanya tatkala melihat ruang garaj yang kosong itu. Kereta Abshar sudah tiada! Nelydia mendengus.

“Mana suami aku pergi ni?”

Dia menutup pintu semula, lalu mengorak langkah menuju ke ruang tamu. Punggung dilabuhkan ke atas sofa. Tiba-tiba, matanya terpandangkan nota kecil yang diselitkan di bawah kotak tisu. Laju tangannya merayap ke meja, lalu mencapai nota itu. Nota itu kemudiannya dibaca.

Maaf sayang, abang terpaksa pergi! Bos abang dah call tadi! Dia dah tunggu abang. Lain kali sayang ikut abang ya?

Nota kecil itu kemudiannya dironyok lalu dicampak ke lantai. Dia bersandar, sambil kepala mendongak memandang ke siling. Laju air matanya merembes di kedua-dua belah pipi. Syahdu hatinya mengenangkan perubahan tingkah laku suaminya.

“Abang ada sembunyikan sesuatu daripada pengetahuan Neli ke?”

AQASHA dan Afiya melangkah masuk ke dalam restoran mewah itu, lalu mengorak langkah memasuki ke bilik pejabat. Afiya membuntuti langkah Aqasha daripada belakang. Kemanakah Aqasha hendak membawanya? Entahlah!

Langkah mereka mati seusai tiba di hadapan sebuah meja kerja.

Aqasha memusingkan tubuhnya menghadap Afiya.

“Mulai hari ni, tempat ni akan jadi tempat kerja baru kau. Kat restoran aku ni ada peraturan yang kau sebagai salah seorang staf aku wajib patuhi. Kau kena datang kerja tepat pada pukul lapan pagi dan pulang pada pukul lima petang. Kalau kau ada apa-apa masalah, kau kena informsecepat yang mungkin pada aku! Jangan diam aje, kau kena bagitahu! Wajib dan tak ada alasan. Faham?” Dia menerangkan peraturan yang wajib dipatuhi oleh Afiya.

“Hmm…” Afiya membalas acuh tidak acuh, padahal dia tekun mendengar arahan Aqasha.

Mata Aqasha meleret memandang ke arah komputer di hadapannya.

“Kau nampak komputer ni?”

“Nampak,” jawab Afiya.

“Jangan salah guna komputer tu! Komputer tu untuk buat kerja, bukan untuk dengar lagu, main gamedan layan movies,faham?” Aqasha memberi amaran.

Afiya tersenyum sinis.

“Oh, tak boleh dengar lagu, main gamedan layan movies?”

“Ya!” tekan Aqasha.

Afiya melabuhkan duduk di atas kerusi berhadapan dengan komputer, kemudian menghidupkan komputer itu. Selamba sahaja Afiya membuka aplikasi gameiaitu Spider Soilitare. Kemudian, dia membuka Youtube untuk mendengar lagu Bila-bila nyanyian Stacy AF. Dia siap bersiul lagi, sengaja hendak menambah bara di hati Aqasha.

Melihat telatah Afiya, Aqasha mendengus.

“Fiya, aku suruh kau buat kerja, bukan main gamedan dengar lagu kat Youtube! Baik kau tutup sekarang sebelum aku shut down komputer kau tu!” marahnya.

Afiya buat pekak telinga! Bebelan Aqasha tidak dipedulikan, sebaliknya dia tetap bersiul mengikut rentak lagu itu sambil bermain game.

“Aku suruh tutup kan, tutuplah!” bentak Aqasha.

Afiya tetap buat pekak!

“Huhh!” Gara-gara bengang yang amat, Aqasha terus beredar meninggalkan bilik pejabat itu. Cakap dengan Afiya pun tiada gunanya! Tambah sakit hati adalah.

Afiya menjongketkan batang lehernya ke muka pintu. Setelah memastikan Aqasha sudah tiada, dia tertawa puas hati. Aplikasi gameitu dipadam, dan ikon minimizeditekan.

“Tahu kau nak marah kan? Padan muka!” perlinya.

Lantas, Afiya memulakan kerjanya.

DAUN pintu biliknya dibuka, lalu dia mengorak langkah memasuki biliknya. Kaki diayun pantas menuju ke meja kerjanya. Punggung dihempas kasar di atas kerusi, lalu tubuhnya disandarkan ke belakang. Pening kepala Aqasha memikirkan tingkah laku Afiya itu. Namun gadis itulah yang dia mahu menjadikan suri hidupnya.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering menandakan ada panggilan masuk. Telefon bimbit di atas meja dicapai, skrin diperhati untuk melihat siapa pemanggilnya. Melihat nama nenda yang terpamer di skrin, dia melepaskan keluhan. Ah, sudah! Pasti nenda mahu bertanya dia mengenai Afiya. Sejak dia mengenalkan Afiya pada nenda, dia tidak pulang ke rumah lagi. Takut untuk bersoal jawab dengan nenda!

Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum menjawab panggilan itu. Telefon bimbit itu diletakkan ke cuping telinga kanan.

“Assalamualaikum, nenda.” Aqasha menyapa nenda di hujung talian.

“Waalaikumusalam!” jawab Sharifah Rohayah.

“Kenapa Qasha tak balik semalaman? Lepas Qasha kenalkan Afiya pada nenda, Qasha terus menghilang. Qasha pergi mana sebenarnya ni?” Nah, bertubi-tubi soalan terbit di bibir Sharifah Rohayah.

Aqasha bisu. Aduh, jawapan apa yang harus diberikan pada nenda?

“Qasha?” tegur Sharifah Rohayah apabila Aqasha terus membisu seribu bahasa.

Aqasha tersentak.

“Err… Qasha sibuk kat restoran, nenda.” Dia memberi alasan.

“Sibuk? Takkan nak balik rumah sendiri dan jumpa nenda pun tak sempat, hmm? Ke, Qasha cuba nak elakkan diri daripada bertemu dengan nenda?” Sharifah Rohayah menyerkap jarang cucunya itu.

Aqasha tergamam.

“Nenda, kenapa cakap macam tu?”

“Habis tu, kenapa Qasha tak balik?” Sharifah Rohayah terus menyerkap jarang Aqasha.

“Qasha balik malam ni, nenda!” jawab Aqasha laju. Kasihan pula pada nenda yang menunggunya di rumah.

“Baguslah kalau macam tu. Jangan tak balik pulak! Nanti nenda suruh Pak Mat cari kamu kat restoran tu!” Sempat lagi Sharifah Rohayah menyelitkan ayat ugutan buat Aqasha.

“Ya, Qasha balik!” tekan Aqasha.

“Kalau macam tu, nenda ada satu permintaan pada kamu Qasha,” balas Sharifah Rohaya.

Berkerut dahi Aqasha.

“Permintaan apa ni, nenda?” soalnya. Resah jadinya memikirkan apa yang dikehendaki oleh nendanya itu. Bukan dia tidak kenal nenda, suka meminta benda yang bukan-bukan. Salah satunya, mahu dia mencari calon isteri. Tidak pasal-pasal dia membuat keputusan untuk mengahwini Afiya.

“Bila Qasha nak bawa Afiya datang rumah kita?” soal Sharifah Rohayah.

Aqasha terus jadi resah.

“Err… Afiya sibuk, nenda!” Sekali lagi dia mencipta alasan.

“Sibuk? Qasha dengan Afiya bakal dirikan rumah tangga tidak lama lagi! Dan tak ada istilah sibuk dalam urusan penting ni. Ambil serius perihal yang melibatkan perkahwinan ni. Perkahwinan bukan boleh dibuat main, Qasha!” tegas Sharifah Rohayah.

Aqasha terus bisu. Terkelu lidah untuk mematahkan hujah nenda.

Sharifah Rohaya berdehem.

“Bawa Afiya ke rumah kita malam ni! Kita makan malam bersama-sama. Ada perkara yang nenda ingin bincang dengan Afiya,” arahnya.

Buntang mata Aqasha.

“Nenda, Qasha bukan tak nak bawa Afiya makan malam kat rumah kita, tapi…”

“Tapi apa? Kamu nak ke tak nak kahwin dengan Afiya?” potong Sharifah Rohayah serius.

“Nak!” jawab Aqasha kelam kabut.

“Kalau nak kahwin, bawa Afiya ke rumah kita malam ni!” balas Sharifah Rohaya.

Aqasha melepaskan keluhan. Tidak berupaya hendak memberikan apa-apa alasan pada nenda lagi.

“Baik, Qasha bawa Afiya makan malam kat rumah kita malam ni!” balasnya perlahan.

“Bagus!”

Talian terus dimatikan.

Aqasha meletakkan telefon bimbit di atas meja, lalu kembali menyandarkan tubuhnya ke belakang. Mengenangkan permintaan nenda, hatinya dihurung keresahan. Apa niat nenda sebenarnya?



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku