Lelaki Paling Setia!
Bab 7
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
275

Bacaan






PULANGdalam keadaan mabuk, membuatkan tubuh Encik Fakhrul terhoyong-hayang melangkah di ruang tamu. Susuk tubuh Puan Manisah menjadi habuan matanya. Kecil besar kecil besar, dia memerhatikan figura isterinya itu. Pantang melihat isterinya, pasti darahnya mendidih-didih umpama air panas yang baru sahaja menggelegak.

Tatkala melihat suaminya, Puan Manisah memaksa dirinya untuk melangkah menuju ke arah suaminya itu. Mukanya yang pucat dan sesekali terbatuk itu membuatkan dirinya berasa lemah untuk melakukan sesuatu.

“Abang nak minum?” soal Puan Manisah takut-takut. Dia bukan apa, takut sekiranya tubuhnya sekali lagi dihadiahi sepak terajak Encik Fakhrul. Tersilap bicara, pasti dirinya akan menerima bahananya!

Encik Fakhrul menghenyak tubuhnya ke atas kerusi. Kepalanya disandarkan ke belakang, separuh tubuhnya terhenyak ke atas lantai. Sesekali dia ketawa terbahak-bahak, umpama mentalnya dijangkiti virus penyakit gila.

Puan Manisah meneguk liur.

“Abang?” Menggigil-gigil tangannya menyentuh bahu Encik Fakhrul.

Encik Fakhrul bagaikan tersedar di alam nyata apabila terasa tangan Puan Manisah menyentuh bahunya. Pantas sahaja tangannya menepis kasar tangan Puan Manisah. Kemudian, bangun lalu menghadiahkan sebuah penampar di pipi isterinya itu.

“Kau nak apa hah?” tengkinya nyaring.

Puan Manisah terus terjelupuk jatuh di atas sofa. Belum sempat dia hendak bangun, Encik Fakhrul melompat naik ke atas sofa, lalu menekan tubuh Puan Manisah dengan lengan kedingnya itu.

“Sakit, bang!” teriak Puan Manisah nyaring. Air matanya sudah merembes keluar. Menangisi perbuatan suaminya itu.

Encik Fakhrul ketawa kuat.

“Oh, tahu pulak kau nak rasa sakit ya? Lain kali jangan berani sentuh bahu aku, faham?” Dia melampiaskan amarah pada isterinya.

Puan Manisah mengangguk laju.

“Nisa janji takkan sentuh bahu abang lagi!” janjinya bersungguh-sungguh.

“Tahu pula kau nak berjanji dengan aku? Hari ni janji, esok lusa kau lupa. Bukan aku tak kenal kau, Nisa! Kita kahwin dah lebih sepuluh tahun tau. Aku dah masak dengan perangai kau. Lagi aku cakap jangan, lagi kau buat. Tak faham bahasa sangat!” herdik Encik Fakhrul sambil menarik rambut lurus Puan Manisah sepuas hati.

“Dahlah, jangan dera Nisa lagi! Abang buat Nisa sakit!” rayu Puan Manisah kuat.

“Diam!”

Malang bagi Puan Manisah, suaminya itu menampar bertubi-tubi pipi kanan dan kirinya. Apa lagi? Dia menjerit sekuatnya tatkala diperlakukan sebegitu rupa oleh suami yang berhati kejam itu. Ya ALLAH… sampai bila dia akan menanggung penderitaan itu? Sampai bila? Mengapa tiada sinar kebahagiaan buat mereka sekeluarga, sama seperti dulu?

Puas menampar pipi Puan Manisah, mata Encik Fakhrul mencerlung marah segenap wajah itu. Tiada sekelumitpun senyuman yang tercoles di bibirnya. Apa yang ada hanyalah perasaan benci yang meluap-luap!

“Aku bagi amaran, jangan berani dekat dengan aku lagi! Kalau kau tak dengar kata aku ni, aku takkan teragak-agak untuk seksa tubuh kau sepuas hati aku, faham?” Dia mengugut.

Teresak-esak Puan Manisah menangisi nasib malangnya. Wajah suaminya itu ditenung sayu, meraih simpati sang suami.

“Abang dah tak cintakan Nisa lagi ke? Dulu abang jaga Nisa dan Afiya, malah abang takkan biarkan kami menanggung kesakitan. Tapi lepas abang dibuang kerja, abang berubah seratus peratus. Kenapa abang buat Nisa macam ni? Apa salah Nisa pada abang?” Tersedu-sedan dia menyuarakan isi hatinya pada Encik Fakhrul.

Encik Fakhrul melemparkan senyuman sinis.

“Aku jadi macam ni sebab kau, Nisa!”

“Sebab Nisa? Sebab apa, bang? Sebab Nisa keguguran, dan abang dibuang kerja semata-mata kerana menghantar Nisa ke hospital. Macam tu?” herdik Puan Manisah keras.

“Diam!” Encik Fakhrul mula jadi sasau. Air matanya turut tumpah demi mengenangkan tragedi lama itu.

Puan Manisah mengesat air matanya.

“Apa yang berlaku bukan kehendak kita, sebaliknya takdir ILLAHI.”

“Aku cakap diam tu maknanya diamlah!” marah Encik Fakhrul.

“Kasihani Nisa, bang!” rayu Puan Manisah.

Panggg!!!

Puan Manisah terus membisu.

Selepas menampar Puan Manisah, Encik Fakhrul bagaikan jadi manusia sasau. Dia bangun lalu berlegar-legar sekitar kawasan ruang tamu. Kemudian, langkah pantas diayun menuju ke arah tangga. Berlari dia memanjat anak tangga untuk ke tingkat atas.

Seusai bayang Encik Fakhrul menghilang di sebalik dinding, pipi yang terasa pijar itu diusap beberapa kali. Air mata Puan Manisah tumpah lagi. Kerap air matanya berjuraian jatuh membasahi pipi. Perutnya yang kempis itu diusap perlahan. Matanya dipejam rapat, suara esak tangis kedengaran mengisi segenap ruang tamu itu.

“YOU tunggu kejap ya, I nak pergi tandas kejap,” ucap seorang wanita jelita bersama segaris senyuman manja.

Abshar tersenyum lalu mengangguk.

Kelihatan wanita itu berjalan menuju ke tandas.

Abshar menyandarkan tubuhnya ke dinding. Sementara menunggu wanita itu keluar daripada tandas, Abshar meluangkan masa melayari aplikasi Facebook buat seketika. Ralit dia membaca status kawan-kawan karib dan rakan sekerjanya itu. Sesekali dia ketawa, sesekali pula dia menggeleng kepala.

Tidak semena-mena deringan telefon berbunyi, menandakan ada panggilan masuk. Terbeliak mata Abshar tatkala melihat nama Nelydia yang muncul di layar skrin telefon bimbitnya. Dia berdecit.

“Neli nak apa lagi ni? Tak faham ke bila abang cakap yang Neli tak boleh ikut abang pergi Johor?” bentak Abshar berang.

Lantas, panggilan itu dibiarkan sepi sehingga deringannya mati sendiri.

Keluhan panjang dihembus seusai panggilan itu mati.

Selang beberapa minit, sekali lagi telefon bimbitnya berdering. Sekali lagi nama Nelydia terpamer di layar skrin.

“Dia ni nak apa lagi? Tolong berhenti ganggu aku!” bentak Abshar.

Setelah deringan mati, Abshar pantas mematikan telefon bimbitnya itu. Tidak mahu Nelydia terus menghubunginya lagi. Apa yang dia tahu, dia mahu meluangkan masa bersama wanita itu. Tolak ke tepi perihal Nelydia! Baginya Nelydia jatuh nombor dua, dan wanita itu sudah menduduki tangga pertama di hatinya kini.

Wanita itu yang baru sahaja keluar dari tandas, terus meluru ke arah Abshar.

“Siapa tu, Abshar?” soalnya.

Abshar tersentak apabila mendengar teguran wanita itu. Cepat-cepat dia menyimpan telefon bimbit itu ke dalam poket seluarnya, kemudian mengalihkan wajah memandang wanita itu.

“Tak ada siapa-siapa. Err… jom!” ajaknya.

Wanita itu mengukir senyuman.

“Jom!”

Mereka mengorak langkah meninggalkan R n R itu.

“AKU ada benda nak cakap dengan kau ni, Afiya,” beritahu Aqasha seusai duduk di sebelah Afiya yang sedang tekun menyiapkan surat jawapan kepada sebuah sekolah yang meminta bantuan dan sumbangan restoran mereka.

Afiya berhenti menaip, lalu menoleh memandang Aqasha.

“Apa dia?” soalnya ingin tahu.

Aqasha memusingkan kerusinya menghadap Afiya. Sebuah keluhan terhembus keluar dari bibirnya.

“Kalau aku bagitahu kau, mesti kau akan rasa terkejut, Fiya,” balasnya.

Afiya berdecit, geram kerana Aqasha seolah-olah mahu mempermainkan dirinya.

“Cakap ajelah!”

“Nenda nak jumpa kau malam ni. Dia ajak kita berdua makan malam kat rumah,” balas Aqasha.

Buntang mata Afiya.

“Nenda nak jumpa aku?”

Aqasha mengangguk.

Afiya mengeluh laju.

“Tapi, aku tak nak jumpa dia!” bentaknya. Buatnya kalau nenda beria-ia mahu menjodohkan dia dengan Aqasha, macam mana? Aduh, parah macam ni! Dia belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan mana-mana lelaki, termasuk lelaki bernama Syed Aqasha Luqman itu!

Aqasha mendengus.

“Habis tu, kau fikir aku nak bagi kau jumpa dengan nenda, hmm? Buatnya nenda tanya macam-macam soalan kat kita, macam mana? Kau tak kenal nenda aku tu. Nenda aku tu penuh dengan seribu satu soalan dalam kepala dia tu. Jenuh kita nak senaraikan satu per satu untuk setiap soalan yang terkeluar dari mulut dia tau tak?” bebelnya.

Afiya mencemik.

“Eh excuse me,bukan kita tau, tapi kau! Kau yang gatal-gatal kenalkan aku sebagai bakal isteri kau depan nenda tau. Jadi, pandai-pandai kaulah jawab soalan nenda! Mulut aku ni dah kena kepit dengan stapler,” herdiknya.

Aqasha bangun, lalu mula mencekakkan pinggang.

“Kau yang cetuskan masalah ni dulu tau, jadi kau pun turut terlibat sama! Tak payah nak bagi apa-apa alasan! Kau kena coveraku depan nenda!” bidasnya.

Afiya melemparkan tawa, sinis.

“Kalau aku tak nak, apa yang kau boleh buat hah?”

“Aku akan paksa sampai kau nak!” balas Aqasha.

Afiya mendengus.

“Aku tak nak jumpa nenda, kau faham tak?” marahnya.

“Kau tak nak jumpa nenda, tapi nenda nak jumpa kau!” Aqasha memusingkan ayat Afiya.

“Kau bagilah apa-apa alasan. Cakaplah aku demam ke, pengsan kat rumah ke, apa ke,” dalih Afiya.

Bulat mata Aqasha.

“Kau nak ajar aku bercakap bohong dengan nenda aku sendiri?”

Afiya terus terdiam.

Aqasha membongkokkan tubuhnya, menyua wajahnya ke muka Afiya.

“Pukul 7.30 malam ni, aku tunggu kau depan rumah! Pakai cantik-cantik, pakaian tu biar kemas sikit!”

“Weh, aku…”

“Aku tak nak dengar apa-apa!” Serentak itu, Aqasha terus beredar meninggalkan Afiya.

Afiya berdecit, geram kerana dipaksa Aqasha untuk melakukan sesuatu yang dia tidak suka. Melampau!



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku