Lelaki Paling Setia!
Bab 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
309

Bacaan






“ARGH!”Nelydia menjerit nyaring kerana berkali-kali gagal dalam percubaan untuk menghubungi Abshar. Kemanakah suaminya itu menghilangkan diri? Bukan dia tidak perasan akan perubahan sikap Abshar. Perubahannya benar-benar ketara!

Nelydia memcit dahi sambil berjalan ke sekeliling ruang tamu rumahnya itu. Sesekali bahagian hujung jari telunjuk kanannya digigit. Benaknya benar-benar sakit memikirkan perubahan Abshar. Apa yang tidak kena pada suaminya itu, dia sendiri pun tidak tahu mengapa. Boleh kata tiap-tiap minggu, suaminya itu akan memberi alasan kerja di luar daerah. Dan apabila dia menyatakan hasratnya untuk mengikuti Abshar, suaminya itu semerta akan menghalang. Pelik!

“Kenapa dengan suami aku ni?” ucapnya keresahan.

Bayangan wajah Zarul, kawan baik dan rakan sekerja Abshar tiba-tiba menerkam benak fikirannya. Semerta dia mengambil telefon bimbitnya, lalu menghubungi Zaru. Beberapa minit kemudian, panggilannya dijawab Zarul.

“Assalamualaikum!” sapa Zarul di hujung talian.

“Zarul, aku ni Nelydia, wifeAbshar!” beritahu Nelydia, tanpa menjawab salam Zarul terlebih dahulu.

Diam seketika, barangkali Zarul berasa terkejut apabila tiba-tiba sahaja Nelydia menghubunginya. Ah, Nelydia tidak peduli! Asalkan, benaknya yang penuh dengan seribu satu soalan akan dijawab oleh Zarul! Itu yang penting!

“Zarul, kau dengar tak?” tegur Nelydia.

“Err… dengar!” jawab Zarul, nada suaranya seperti orang yang berada dalam keadaan resah.

“Aku nak tanya kau sesuatu ni,” balas Nelydia.

“Apa dia?” soal Zarul.

“Pasal Abshar.”

Gulp, kedengaran Zarul meneguk liur.

“Kenapa dengan Abshar?”

Nelydia berdehem.

“Betul ke Abshar pergi outstationke Johor?”

Sekali lagi Zarul membisu.

“Jawab soalan aku ni, Zarul! Betul ke Abshar pergi Johor?” Dia mengulangi soalannya sekali lagi.

“Err… betullah! Kan dia beritahu kat kau yang dia pergi Johor. Takkanlah dia nak tipu kau pulak kan? Kau kan isteri dia. Dia mesti takkan hancurkan kepercayaan kau pada dia, Neli. Dia sayangkan kau! Kalau dia tak sayangkan kau, dia takkan buat kau tinggalkan Aqasha. Dia takkan kahwin dengan kau!” Bersungguh-sungguh Zarul meyakinkan Nelydia supaya tidak menaruh sebarang syakwasangkan terhadap Abshar. Ah, tidak pasal-pasal dia kena jadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah Abshar dan Nelydia! Menyusahkan orang sahaja.

Nelydia menggigit bibir.

“Kalau betul dia takkan hancurkan kepercayaan aku, kenapa dia tak bagi aku ikut pergi Johor? Tindakan dia tu hanya menambah syakwasangka aku, Zarul!” Nelydia tidak mempercayai kata-kata Zarul. Dia lebih percaya pada naluri kewanitaannya sebagai seorang isteri.

Zarul mendengus.

“Janganlah fikir yang bukan-bukan, Neli! Zarul takkan buat apa-apa yang menyakitkan hati kau!” tekannya bersungguh-sungguh.

Nelydia mengecilkan matanya.

“Aku…”

“Err… okeylah Neli, aku kena matikan talian ni. Farhah dah panggil aku ni, kami nak keluar!”

“Zarul, aku belum habis cakap ni. Aku…”

Tutt! Talian terus dimatikan.

Nelydia tergamam dengan tindakan Zarul yang tiba-tiba sahaja mematikan talian. Telefon bimbit semerta dicampak ke sofa. Mukanya diusap beberapa kali.

“Kenapa semua orang macam sembunyikan sesuatu daripada pengetahuan aku hah?” bentaknya tidak puas hati.

Dia terfikirkan sesuatu. Lantas, cepat-cepat dia berlari ke bilik bacaan. Setibanya di meja yang terdapat sebuah komputer riba di atasnya, dia melabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengan meja itu. Komputer riba itu dihidupkan, lalu dia mula mencari sesuatu di laman sesawang Google. Di ruangan search,Nelydia menaip ‘Perubahan Sikap Suami’. Dalam masa beberapa minit, terpamer bermacam-macam hasil carian.

Ralit Nelydia membaca satu blog yang menyenaraikan sepuluh tanda suami curang dan ada skandal di luar. Terkedu seketika tatkala dia selesai membaca blog itu. Kerisauan mula melanda jiwa Nelydia. Sekali gus membangkitkan ketakutan di dinding jiwanya. Terbayang perubahan drastik suaminya.

Patutlah Abshar selalu sahaja berpenampilan kemas dan menarik, malah lelaki itu seperti menjadi seorang perahsia. Bukan setakat itu sahaja, telefon bimbit kerap dibawa kemana-mana sahaja. Tidak seperti kebiasaan, selalunya suaminya akan membiarkan telefon bimbitnya di atas meja. Bila Nelydia mendapat peluang untuk checktelefon bimbit, alangkah terkejutnya dia apabila telefon bimbit itu mempunyai password.Ah, sejak bila suaminya itu pandai memasang kata laluan di telefon bimbitnya? Selalunya tidak pernah pun!

Nelydia mula rasa tidak sedap hati.

“Ya ALLAH, suami aku curang ke?”

“AFIYA?”tegur Aqasha.

Afiya yang sedang bermain gamedi telefon bimbitnya itu, buat pekak telinga tatkala mendengar teguran Aqasha.

Dengusan terluah di bibir Aqasha. Geram dengan tindakan Afiya. Gadis itu sengaja tidak peduli tegurannya.

“Afiya, aku panggil kau ni!” bentak Aqasha.

Afiya tetap buat pekak.

Kali ini kesabarannya benar-benar sudah hilang! Sebelah tangannya yang sedang memegang stereng kereta dilepaskan lalu telefon bimbit di tangan Afiya segera dirampas lalu dihumban ke tempat menyimpan barang di bahagian pintu kereta.

Terkesima jadinya Afiya demi melihat perbuatan Aqasha yang tiba-tiba sahaja merampas telefon bimbitnya itu.

“Weh, apa ni?” marahnya.

Aqasha senyum sinis.

“Lain kali bila aku tegur, jawablah! Bukannya diam macam orang bisu aje!” herdiknya.

Afiya buat muka toya.

“Dengar apa yang aku nak cakap ni!” bebel Aqasha.

Afiya mendengus.

“Kau nak cakap apa?”

“Bila kita kat rumah nenda, aku tak nak kau cakap benda yang bukan-bukan! Sepatah kata negatif yang terkeluar dari mulut kau, aku takkan teragak-agak untuk potong gaji kau! Jangan memandai-mandai cakap tak nak kahwin dengan aku! Bila aku kata aku nak kahwin dengan kau, aku benar-benar memaksudkannya! Aku tak main-main tau! Aku betul-betul serius!” tekan Aqasha serius.

Afiya mencemik.

“Bila masa aku cakap kau main-main? Aku tahu apa yang aku buat! Takkanlah aku nak heboh kat satu dunia pasal kita? Hoi semua, aku ada benda nak bagitahu ni! Kitorang terpaksa kahwin sebab mamat kat sebelah ni tiba-tiba aje kenalkan aku sebagai bakal isteri di depan nenda! Macam tu ke?” perlinya selamba.

Bulat mata Aqasha.

“Kalau kau berani buat macam tu, siap!”

Afiya tergelak sinis.

“Aku tak sebebal tulah!” marahnya.

“Baguslah kalau kau tak bebal!” sindir Aqasha.

Afiya bisu. Buat penat kepala otak dia aje nak memikirkan ayat untuk menghentam semua kata-kata Aqasha.

“Ingat, jangan cakap benda yang bukan-bukan depan nenda!” Sekali lagi Aqasha memberi amaran pada Afiya.

“Hmm…” balas Afiya acuh tidak acuh.

KERETA yang dipandu Aqasha menderum memasuki ke perkarangan rumah banglo mewah milik keluarga Sharifah Rohaya itu. Setelah enjen kereta dimatikan, Aqasha dan Afiya sama-sama membolos keluar dari perut kereta. Kebetulan, Afiq baru sahaja pulang dari pasar raya tersenyum memandang dua merpati sejoli itu. Lantas, dia semerta meluru ke arah mereka.

“Hai, abang!” sapa Afiq.

“Hai!” jawab Aqasha.

Afiya di sebelah Aqasha hanya membisu.

Mata Afiq meleret memandang figura Afiya di sebelah Aqasha. Dia tersenyum sendiri. Pasti gadis itu bakal isteri Aqasha, fikirnya. Lantas, dia kembali memandang wajah Aqasha.

“Siapa ni, bang?” soalnya ingin tahu.

Aqasha tersenyum, lalu ikut memandang Afiya di sebelahnya.

“Nilah Afiya Zafira, bakal isteri abang.” Dia memperkenalkan Afiya pada Afiq.

Semakin lebar senyuman Afiq demi mendengar jawapan Aqasha.

“Oh… jadi nilah bakal isteri abang? Wow, cantik! Sesuai dengan abang adik yang sememangnya hensem ni!” pujinya bersungguh-sungguh.

Meletus tawa Aqasha.

“Tak payah puji okey!”

Afiq tidak mempedulikan Aqasha, sebaliknya menoleh memandang Afiya.

“Hai, Kak Fiya!”

Afiya mengukir senyuman.

“Hai! Err… awak?”

Afiq menepuk dahi.

“Oh… lupa nak kenalkan diri. Saya Afiq, Afiq Lutfi, adik Aqasha,” beritahunya.

“Oh adik Qasha? Hmm…”

Berkerut dahi Afiq.

“Kenapa, Kak Fiya?”

Afiya tersenyum penuh makna, sambil melirikkan matanya memandang Aqasha.

“Abang hitam manis, adik pulak cerah. Betul-betul berbeza.”

Aqasha terkesima. Jadi, Afiya nak cakap Aqasha tidak kacak?

Afiq ketawa.

“Nak buat macam mana, Kak Fiya. Abang Aqasha ni suka sangat berjemur tengah panas, sebab tulah kulit dia jadi hitam legam macam kena palit dengan arang. Afiq pula suka travel ke negara-negara yang sejuk, sebab tulah kulit Afiq cerah macam sinar matahari pagi.” Dia buat lawak. Selamba sahaja mengutuk abangnya itu.

Aqasha ternganga. Tidak menyangka Afiq turut bekerjasama dengan Afiya untuk mengutuk dirinya.

“Laa… patutlah Aqasha ni hitam legam, suka berjemur rupanya.” Tercuit hati Afiya tatkala mendengar jenaka Afiq.

Afiq terus ketawa.

“Lagi satu, Abang Qasha ni kan tukang masak. Hobi dia memanjang masak kat dapur. Hari-hari menghadap periuk, kuali, belanga, siap dengan ketuhar lagi. Dua puluh empat jam menghadap api. Sebab tulah kulit dia terbakar.” Dia terus mengutuk abangnya.

Afiya ketawa terbahak-bahak.

“Hmm… memang patut pun dia jadi hitam legam!”

“Tahu tak apa!”

Mengekek mereka berdua ketawa.

“Ehem!” Aqasha berdehem.

Dengan sisa tawa yang masih berbaki, Afiya dan Afiq menoleh memandang Aqasha.

“Amboi… seronok betul mengata orang ya? Hitam legam la… tulah, nilah… macam orang yang kat depan korang ni tak ada perasaan,” marah Aqasha.

Afiya tayang muka tidak bersalah di hadapan Aqasha.

Aqasha mendengus, geram melihat reaksi wajah Afiya. Lantas, dia menoleh memandang Afiq.

“Lain kali, jangan layan Kak Afiya kau ni, Afiq. Dia ni bukannya betul sangat, mereng tiga suku! Entah belah mana yang tak normal pun, abang tak tahulah.” Dia membebel pada adiknya itu.

Afiq tersengih.

“Eleh, tak normal pun, tapi Kak Afiya ni yang dah berjaya buat hati abang tu tergolek suka tau,” kutuknya.

Hampir meletus tawa Afiya.

Buntang mata Aqasha.

“Hisy, sakit kepala layan korang berdua ni!” Gara-gara geram, kaki diayun menuju masuk ke rumah banglo mewah itu.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku