Lelaki Paling Setia!
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
712

Bacaan






DARIkejauhan, kelihatan Abshar sedang mendukung seorang kanak-kanak kecil berumur tiga tahun yang sedang leka menjilat ais krimnya itu. Di sisi kiri Abshar pula, kelihatan seorang wanita jelita yang sedang mengelap bibir kanak-kanak kecil itu yang comot ketika sedang menikmati ais krimnya itu.

“Zara, sedap tak?” soal Abshar pada anak hasil perkongsian hidupnya dengan wanita itu.

“Sedap!” jawab Zaida.

Abshar tersenyum, kemudian menoleh memandang wanita itu.

“Zaida?” tegurnya lembut

Wanita bernama Zaida itu menoleh memandang Abshar.

“Ya, bang?” jawabnya.

Abshar mengukir senyuman, sambil mengusap rambut lurus perang milik Zaida.

“Terima kasih kerana lahirkan zuriat yang sangat-sangat comel ni untuk abang. Lepas abang kahwin dengan Zaida, abang rasa bahagia sangat! Tak pernah abang rasa sebahagia ni masa dengan Nelydia, sayang. Abang mengaku, Nelydia seorang isteri yang baik dan tiada apa-apa kekurangan. Tapi, abang tak mampu merasai kebahagiaan bila bersamanya. Mungkin kami tak dikurniakan zuriat, sebab tu abang rasa sunyi bila bersama dia.”

Zaida membuang keluhan tatkala mendengar kata-kata suaminya itu.

“Tak baik cakap macam tu, bang. Nelydia tetap isteri abang, sama macam Zaida. Abang kena sama adil dengan Nelydia. Jangan sebab abang tak ada anak dengan Nelydia, abang terus nak abaikan dia. Berdosa, bang. Kita kahwin tanpa pengetahuan dia pun dah cukup buat Zaida rasa serba salah. Sebagai seorang kawan, Zaida dah tikam belakang kawan Zaida sendiri. Jadi, Zaida merayu pada abang supaya berlaku adil dengan isteri-isteri abang. Macam mana abang sayangkan Zaida, macam tulah kasih sayang yang sepatutnya abang beri pada Nelydia.”

Abshar tergamam.

“Zaida, abang…”

“Dah jadi tanggungjawab Zaida untuk lahirkan zuriat buat abang. Apa gunanya Zaida jadi isteri abang? Cuma… Zaida merayu pada abang, tolonglah terus-terang pada Nelydia tentang hubungan kita suami isteri. Zaida tak nak Nelydia dengar daripada mulut orang lain, biarlah dia dengar daripada kita sendiri,” potong Zaida tegas.

Abshar terkesima. Zara yang berada di dukungannya itu segera diletak di bawah. Kemudiannya, dia memandang ke tempat lain.

“Papa, nak dukung!” rengek Zara sambil menarik baju Abshar berulang kali.

Rengekan Zara tidak dipedulikan.

Melihat Zara yang sedang merengek mahukan perhatian papanya, Zaida segera menarik tubuh anaknya itu ke belakang.

Kanak-kanak kecil itu mula menangis, namun tangisannya tidak dipedulikan.

Zaida merenung tajam segenap wajah Abshar.

“Abang, Zaida tengah cakap dengan abang ni!” marahnya.

Abshar mendengus.

“Zaida nak abang cakap apa hah? Takkan Zaida tak kenal kawan baik Zaida sendiri? Tak mudah bagi Nelydia untuk terima kenyataan bahawa kita ni dah jadi suami isteri. Zaida nak tengok abang bergaduh dengan Nelydia ke?” herdiknya kasar.

“Oo… abang tak nak bergaduh dengan Nelydia? Habis tu, abang nak biarkan Zaida terus digelumangi dengan rasa bersalah sebab tikam belakang kawan baik Zaida sendiri, macam tu? Abang tu ketua keluarga! Sebelum abang kahwin dua, abang sepatutnya dah fikir impak daripada hidup berpoligami ni! Zaida terima abang sebab Zaida cintakan abang. Dan Zaida tak salahkan Nelydia sebab dia terlebih dulu mencintai abang berbanding Zaida. Kalau ikutkan hak, Nelydia lebih berhak dapat perhatian abang kalau dibandingkan dengan Zaida. Sebab tu Zaida nak berterus-terang dengan Nelydia. Zaida sanggup terima apa aje hukuman yang Nelydia berikan. Zaida memang pantas dihukum sebab dah rampas suami kawan baik Zaida!” bidas Zaida panjang lebar.

Sekali lagi Abshar tergamam.

“Zaida tak faham apa yang abang rasa. Abang tertekan! Nelydia isteri abang, Zaida pun isteri abang!”

“Sebab kami berdua isteri abanglah, Zaida nak abang adil dengan kami! Dan yang penting, Nelydia perlu tahu status hubungan kita yang sebenar!” tegas Zaida.

Abshar terus bisu.

Zaida membuang keluhan untuk kesekian kalinya.

“Tolonglah jadi lelaki berani yang sanggup berdepan dengan isteri, bang,” rayunya.

Abshar menggeleng.

“Abang tetap takkan berterus-terang pada Nelydia! Abang tak nak bahayakan nyawa kita semua!” balasnya keras.

“Sampai bila?” herdik Zaida.

Abshar kembali memandang wajah Zaida.

“Sampai abang betul-betul bersedia untuk beritahu perkara sebenar pada Nelydia!” Serentak itu, dia merentap tangan halus Zara, lalu mendukung kanak-kanak kecil yang sedang menangis itu. Langkah diayun meninggalkan Zaida di belakang.

Zaida memicit dahi, pusing kepala memikirkan keputusan Abshar yang masih mahu merahsiakan perkara sebenar daripada pengetahuan Nelydia.

“AFIYA!” panggil Aqasha, sambil sebelah tangannya menarik kasar lengan Afiya.

Tindakan Aqasha menyebabkan Afiya mematikan langkahnya. Wajahnya dikalihkan memandang ke muka Aqasha.

“Kau nak apa lagi? Tadi kau cakap nenda nak jumpa dengan aku. Cepatlah bawa aku jumpa dia! Tak sabar aku nak jumpa dengan bakal nenda mentua aku tu!” Sempat lagi Afiya menyelit ayat sindiran di benak Aqasha.

Sindiran yang menyinggahi cuping telinga itu membuatkan kening Aqasha terjongket ke atas.

“Perli nampak?”

Afiya ketawa menyindir.

“Ops… kau terasa ke? Sorilah ya,” balasnya selamba.

Aqasha hanya mencebik. Geram pula hati Aqasha memikirkan sikap Afiya. Menjengkelkan hati sungguh!

“Kau ni memang suka melawan cakap orang ya? Cuba kalau ikat mulut kau tu supaya berhenti dari lontarkan suara. Suara kau tu membingitkan telinga aku, tau tak? Jadi, tolong simpan suara kau yang macam petir tu, faham?” herdiknya.

Afiya mencemik.

“Mulut aku, suara aku, eh… aku punya sukalah! Yang kau nak terasa hati tu, apahal?” Dia terus memerli Aqasha.

“Kau nilah…”

Afiya buat pekak telinga.

Rasa geram menyucuk dada Aqasha demi mengenangkan tingkah laku Afiya. Dia boleh buat pekak telinga pula, cis!

Melihat Aqasha yang hanya membisu, Afiya semerta meneruskan langkah sambil matanya ligat memandang sana sini. Tiba-tiba, lengannya dicengkam Aqasha, menyebabkan langkahnya mati. Lalu, dia menoleh memandang Aqasha.

“Kenapa?” soal Afiya.

Aqasha merenung tajam segenap wajah Afiya.

“Kau dan Afiq baru aje berkenalan, tup… tup… korang berdua berborak macam dah lama kenal. Apasal? Aku tak suka tengok kau rapat dengan adik aku tau tak?” Dia membebel.

Afiya tercengang.

“Salah ke kalau aku nak rapat dengan Afiq?”

“Salah, sebab aku tak suka!” bentak Aqasha.

Afiya tersengih-sengih.

“Oh… salah ya? Hmm… kau cemburu aku rapat dengan Afiq, ek?” Dia menduga hati Aqasha.

“Eee… tolong sikit eh! Tak ada maknanya aku nak cemburulah!” Aqasha mencebik. “Kalau kau tak cemburu, apasal tak suka tengok aku rapat dengan Afiq?” serkap Afiya lagi.

“Sebab aku tak nak kau terlepas cakap tentang hubungan sebenar kita ni. Kalau diorang tahu, mati kita!” herdik Aqasha.

Afiya ketawa sinis.

“Eleh… takut konon? Cakap ajelah cemburu,” tambahnya lagi.

“Aku tak cemburu, okey!” tekan Aqasha.

“Cemburu!” ejek Afiya.

“Huhh! Haa… ingat pesan aku ni, jangan sesekali beritahu perkara sebenar pada mereka. Kalau diorang tahu apa-apa, siap kau! Aku heret kau pergi kat Irshad, thenaku akan terus-terang perkara sebenar. Faham?” Sekali lagi Aqasha memberi amaran. Risau bebenor sekiranya Afiya terlepas kata di hadapan keluarganya.

Afiya melepaskan keluhan geram.

“Ya… aku takkan beritahu sesiapa!” marah Afiya.

Aqasha menghela nafas lega.

“Bagus!”

Malas hendak melayan tingkah Aqasha, Afiya terus menyusun langkah memasuki dalam. Aqasha semerta membuntuti langkah Afiya dari belakang.

SEUSAI daun pintu dikuak, terpampang figura Nelydia di hadapan muka pintu.

Nelydia mengukir senyuman manis buat ibu mentuanya yang tercegat memandangnya itu.

“Assalamualaikum, mama,” sapanya, lalu segera menyalami tangan ibu mentuanya itu.

Puan Fairuz tersenyum, kelihatan begitu payah dia melakarkan senyuman itu.

“Waalaikumusalam, Neli! Err… Neli buat apa kat sini?” Dia sedaya upaya berlagak selamba di hadapan menantunya itu.

Nelydia menjongketkan lehernya ke dalam rumah. Mengesan kelibat Abshar. Kot-kot suaminya itu ada di rumah mentuanya ini.

“Neli?” tegur Puan Fairuz.

Nelydia tersentak, kemudian kembali memandang wajah ibu mentuanya.

“Neli cari apa tu?” Biarpun Puan Fairuz dapat membaca fikiran Nelydia, namun dia berpura-pura tidak tahu. Tidak mahu Nelydia mengesan pembohongannya itu. Lagipula, dia sudah berjanji pada Abshar untuk tidak memberitahu apa-apa pada Nelydia.

“Err… papa ada ke?” soal Nelydia.

“Ada! Eh, jomlah kita masuk dalam,” ajak Puan Fairuz.

Nelydia hanya mengangguk, menyetujui ajakan Puan Fairuz.

Lantas, mereka berdua mengorak langkah seiringan memasuki rumah banglo itu.

Demi melihat figura Nelydia, Encik Arham terkedu. Sempat dia meneguk liur sebelum melangkah menuju ke ruang tamu.

Nelydia bingkas bangun lalu menyalami bapa mentuanya itu.

Sesudah bersalaman, Encik Arham melabuhkan duduk di sebelah isterinya. Nelydia ikut sama duduk di hadapan mentuanya itu.

“Kenapa Neli datang rumah kami?” Encik Arham menyoal.

Wajah mentuanya itu dipandang silih berganti.

“Neli nak tahu sesuatu daripada mama dan papa,” balasnya.

“Apa dia, Neli?” celah Puan Fairuz ingin tahu.

Nelydia menarik nafas panjang.

“Mama dan papa tahu mana abang Abshar pergi?” Dia cuba menyerkap jarang mereka. Biarpun Abshar sudah memberitahu lokasi keberadaan padanya, namun dia tetap tidak berpuas hati dan mempercayainya. Dia tahu, Abshar menyembunyikan sesuatu.

Mendengar soalan Nelydia, suami isteri itu semerta menjadi gelisah.

Nelydia merenung wajah mentuanya, dalam tenungannya.

“Mama? Papa?” panggilnya.

“Ehem!”

Encik Arham berdehem.

“Neli kan isteri Abshar. Takkanlah Abshar tak bagitahu apa-apa kot?” Dia cuba menyelindungi perkara sebenar.

“Abang Abshar ada bagitahu, cuma…” Nelydia tersenyum sinis.

“Cuma apa, Neli?” celah Puan Fairuz.

Wajah Nelydia berubah tona serius.

“Neli tak percaya dengan kata-kata dia!” tekannya keras.

Encik Arham terkesima.

“Astaghfiurlah al-azim! Neli, Abshar tu suami kamu. Kamu berdua dah lama berumah tangga. Abshar takkan tikam belakang kamu. Dia sayangkan kamu, Neli. Tak baik fikir macam tu.” Sedaya upaya dia menitipkan kepercayaan buat Abshar dalam diri Nelydia. Kalaulah Nelydia mengetahui perkara sebenar, mati mereka! Silap hari bulan, Nelydia akan terbang ke Johor semata-mata untuk berhadapan dengan mereka!

Nelydia ketawa sinis.

“Kalau betul dia tak membelakangi Neli, kenapa Abang Abshar bagi macam-macam alasan bila Neli nak ikut dia pergi Johor? Dia tak sayangkan Neli, papa, mama! Dia biarkan Neli sendirian, dan dia pergi merayap entah ke mana!” bentaknya.

“Janganlah macam ni, Neli! Abshar tak curang dengan kamu! Percayalah cakap kami,” tekan Puan Fairuz.

Curang! Zass… perkataan itu seperti berputar di benak fikirannya!

“Abang Abshar curang dengan Neli ke, mama, papa?” Dia jadi tidak keruan.

Encik Arham terkesima.

“Ya ALLAH… Neli, jangan fikir yang bukan-bukanlah!” marahnya.

Nelydia tersenyum lemah.

“Macam mana Neli tak fikir yang bukan-bukan? Abang Abshar…”

Puan Fairuz bangun lalu berjalan ke arah Nelydia. Punggungnya dilabuhkan di sebelah menantunya itu. Bahu menantunya itu diusap lembut. Rasa simpati tunak di benak memikirkan nasib diri Nelydia.

“Neli, fikir baik-baik ajelah,” pujuknya lembut.

Tanpa pamitan, Nelydia terus bangun lalu beredar meninggalkan banglo mewah itu.

“Neli! Neli!” Terkesima jadinya Encik Arham dan Puan Fairuz demi melihat tingkah Nelydia yang tiba-tiba sahaja melarikan dirinya itu.

“NISAH, aku lapar!” laung Encik Fakhrul nyaring.

Puan Manisah yang sedang terbaring memaksa dirinya untuk bangun, namun tidak berdaya untuk melakukannya. Tubuhnya seperti berada di awang-awangan. Akhirnya, dia rebah semula di atas katil.

Encik Fakhrul semakin berang. Bengang kerana panggilannya itu tidak dijawab oleh Puan Manisah.

“Kurang ajar punya manusia! Weh Nisah, kau pekak badak ke hah! Aku panggil kau ni!” herdiknya keras.

“Kejap, bang!” laung Puan Manisah.

“Cepat!” tengking Encik Fakhrul kuat.

Puas dia memaksa tubuhnya untuk bangun, dan akhirnya berjaya juga dia melakukannya. Kaki dipaksa ayun menuju ke ruang tamu. Dengan wajah pucat dan tidak bermaya, tubuh lesu, dia berjalan ke hadapan Encik Fakhrul.

“Abang nak makan ke?” soalnya dengan nada lemah.

Encik Fakhrul mencerlung marah segenap wajah Puan Manisah.

“Aku nak makan, aku lapar!” herdiknya.

Puan Manisah melangkah menuju ke dapur. Bekas beras dibuka. Baru sahaja dia hendak mencedok beras ke dalam periuk nasi untuk dibasuh, tiba-tiba sahaja Encik Fakhrul meluru laju ke arahnya. Rambut pendek wanita tua itu ditarik kuat. Terdongak kepala Puan Manisah, menyebabkan suara jeritannya bergema sekitar rumah teres itu.

“Sakit, bang!” jerit Puan Manisah.

Mata Encik Fakhrul berkalih memandang periuk nasi yang masih lagi kosong itu.

“Kau baru nak masak nasi? Lauk-pauk, kau dah masak ke hah?” jerkahnya garang.

“Belum,” jawab Puan Manisah takut-takut.

Mendidih darah Encik Fakhrul tatkala mendengar jawapan Puan Manisah.

“Belum? Kau memang cari nahas dengan aku! Aku dah lapar sangat tau tak?”

“Kejap, Nisah nak masak bang,” rayu Puan Manisah bersungguh-sungguh. Memancing simpati sang suami yang berhati kejam itu.

“Tak payah! Untuk perempuan pemalas macam kau ni, ni aje makanannya!” herdik Encik Fakhrul.

Lantas, tubuh Puan Manisah diperlakukan sepuas hati. Disepak, diterajang, ditendang sepuas hati! Bergema suara jeritan Puan Manisah dek dibelasah sebegitu teruk oleh suaminya yang tidak ada perasaan dan berperikemanusiaan itu.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku