Lelaki Paling Setia!
Bab 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Mac 2017
Penilaian Purata:
(38 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1279

Bacaan






SEUSAIterlihat kelibat Afiya, Sharifah Rohayah bingkas bangun lalu menyerbu bakal cucu menantunya itu. Tubuh gadis itu dipeluk erat. Afiya turut membalas pelukan wanita itu. Sesudah puas berpelukan, mereka meleraikan pelukan. Sharifah Rohaya merenung wajah Afiya. Tangan kanannya diangkat, lalu pipi Afiya diusap lembut. Senyuman bergaris meniti di bibir.

“Terima kasih sebab sudi datang makan malam di rumah nenda, Afiya. Lepas Qasha kenalkan kamu pada nenda, kita dah tak jumpa lagi. Puas nenda desak Qasha untuk aturkan pertemuan kita, akhirnya berhasil. Dapatlah nenda bersua muka dengan kamu,” ucapnya, gembira dapat bersua wajah dengan Afiya untuk kesekian kalinya.

Afiya tidak membalas, dia hanya tersenyum.

Sharifah Rohaya mengalihkan muka ke arah figura Aqasha yang sedang tercegat di sebelah Afiya.

“Haa Qasha, nanti bawa Afiya datang rumah kita lagi! Dia bukannya orang luar, sebaliknya bakal ahli keluarga kita jugak! Faham?” arahnya.

“Baik, nenda!” Aqasha mengangkat tangannya seperti melafazkan janji.

Sharifah Rohaya tersenyum.

“Bagus! Dah, jom kita makan malam! Nenda dah lapar sangat ni,” ajaknya.

Lantas, mereka mengambil tempat masing-masing di meja makan.

Dan semasa mereka sedang menikmati makan malam, tiba-tiba Sharifah Rohaya menyuarakan sesuatu yang membangkitkan kegelisahan Aqasha dan Afiya.

“Aqasha? Afiya?” tegur Sharifah Rohaya.

Mereka serentak menoleh memandang nenda.

“Setahu nendalah, Aqasha ni seorang lelaki yang sukar untuk jatuh cinta. Bukan tak ada gadis yang cuba dekati Aqasha, ada… ramai sangat! Tapi, Aqasha ni jual mahal. Hmm… nenda tertanya-tanya, macam mana Afiya boleh tawan hati keras Aqasha ni ya?” Nah, Sharifah Rohaya mula menyerkap jarang Afiya dan Aqasha.

Aqasha dan Afiya sama-sama terkesima. Terkelu seketika lidah mereka. Sudah, jawapan apa yang harus diberikan untuk soalan yang meniti di bibir nenda?

“Ha’ah, macam mana akak dan abang boleh jatuh cinta ya?” celah Afiq ingin tahu.

“Err…” Afiya mengetap bibir, kemudian menoleh memandang Aqasha.

Mengerti lirikan mata Afiya yang memerlukan pertolongannya, Aqasha segera berdehem. Membuatkan dua pasang mata milik Sharifah Rohaya dan Afiq beralih ke arah Aqasha.

“Hmm…”

Benak fikiran Aqasha segera diproses untuk mereka jalan cerita yang sesuai untuk menggambarkan perkenalan mereka. Pokoknya, nenda dan Afiq tidak boleh mengetahui perkara sebenar! Bahaya!

“Sebenarnya, kami… berkenalan kat… err… restoran Qasha. Masa tu, emm…” Tergagap-gagap dia hendak mencipta ayat bohongan.

“Masa tu, Fiya tengah makan kat restoran Qasha. Fiya… err… Haa baru ingat, Fiya nak jumpa dengan chef yang masak makaroni cheese ni sebab sedap sangat-sangat! Dan…” potong Afiya, sama-sama memikirkan cerita bohongan itu.

“Dan Qasha pun keluarlah pergi jumpa dengan Fiya. Masa kali pertama kami bertentangan mata, hati Qasha dah jatuh suka pada Fiya. Sejak tu, kami berkawan rapat sehingga kami buat keputusan untuk menamatkan persahabatan kami dan melangkah ke alam perkahwinan,” sambung Aqasha.

“Haa… betul tu!” sokong Afiya bersungguh-sungguh.

Dah macam sambung cerita pula!

Terangguk-angguk kepala Sharifah Rohayah mendengar cerita mereka.

Afiq pula sudah ketawa mengekek.

“Aduh, sweetbetul cerita cinta Abang Qasha dan Akak Fiya, ek? Disebabkan air tangan Abang Qasha, akak jatuh cinta pada abang. Dan kali pertama bertentang mata, hati abang dah dipanah cinta akak. Hebat cinta ni!” celahnya.

Aqasha dan Afiya ketawa, nampak kepura-puraan tawa mereka itu.

Sharifah Rohayah kelihatan seperti masih tidak berpuas hati dengan cerita mereka.

“Fiya?” Dia menegur Afiya.

Afiya memandang nenda.

“Ya, nenda?”

Sharifah Rohayah merenung segenap wajah Afiya.

“Apa yang membuatkan Fiya jatuh cinta pada Qasha?” Dia menduga Afiya.

Sekali lagi Afiya terkesima, begitu juga dengan Aqasha. Sudah, sekali lagi mereka dibelit dengan soalan maut nenda!

Kali ini, Afiya dan Aqasha berpandangan sesama sendiri. Otak masing-masing tepu untuk memikirkan jawapan.

“Err…”

Tiba-tiba, Aqasha memaut mesra bahu Afiya.

Biarpun Afiya tidak menyukai tindakan Aqasha, namun dia terpaksa membiarkannya. Bukan apa, dia tidak mahu nenda dan Afiq mampu mengesan pembohongan mereka.

“Fiya jatuh cinta kat Qasha sebab Qasha ni kacak, baik, caring,penyayang…” Dia memandang Afiya. “Kan, sayang?”

Terpinga-pinga Afiya mendengar kata-kata Aqasha.

Berkerut dahi Sharifah Rohayah.

“Betul ke, Fiya?”

“Haa… ha’ah!” jawab Afiya dengan mata terkebil-kebil. Erk, annoyingadalah!

Tak boleh jadi ni! Makin lama mereka berada di rumah itu, makin banyak soalan yang meniti di bibir nenda. Lantas, Aqasha mendekatkan bibirnya ke telinga kanan Afiya.

“Makan cepat! Dah macam cacing kepanasan, kita nak jawab soalan nenda tau!” arahnya.

Afiya mengangguk. Cepat-cepat dia menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. Dia juga sebenarnya sudah tidak betah hendak berhadapan dengan nenda lagi. Boleh mati akal jadinya!

Selesai Afiya makan, Aqasha segera mengalihkan pandangannya ke arah nenda dan Afiq.

“Err… maaf, Qasha kena hantar Fiya balik rumah cepat! Nanti, famili dia risau pula.” Cepat-cepat dia memohon keizinan untuk segera beredar.

Lengan Afiya disiku, mahu Aqasha menyokongnya.

Tersentak dengan tingkah Aqasha, cepat-cepat Afiya mengangguk.

“Ya, Fiya kena balik cepat! Nanti mama risau,” balasnya bersungguh-sungguh.

“Laa…” Wajah Sharifah Rohaya berubah sayu. “Awalnya nak balik!”

“Err… mama Fiya tak sihat. Fiya kena jaga mama.” Afiya memberi alasan.

“Ya, betul tu!” sokong Aqasha beria-ia.

Sharifah Rohaya hanya tersenyum.

SETELAH menghidupkan enjen kereta, Aqasha terus menutup daun pintu kereta lalu berjalan ke arah nenda yang sedang berbual-bual dengan Afiya. Afiq pula entah menghilang ke mana, mungkin sedang berbual dengan teman wanitanya melalui panggilan videolah kut.

“Fiya?” Sharifah Rohayah memanggil Afiya.

Afiya mengalihkan wajah memandang nenda.

Sharifah Rohaya mengukir senyuman. Ringan tangannya menggenggam kedua-dua belah tangan milik Afiya dengan begitu erat. Afiya hanya membiarkan tingkah nenda.

“Nenda rasa gembira sangat sebab dapat jumpa Fiya. Bila tengok Fiya, nenda semakin yakin yang Fiya sememangnya gadis yang dijodohkan ALLAH untuk Qasha. Nenda tahu, Fiya dan Qasha akan hidup bahagia bila dah berumah tangga kelak,” ucapnya, semakin yakin dengan pilihan Aqasha.

Afiya hanya tersenyum. Erk, padahal aku bukan nak sangat kat cucu dia! Cucu dia aje yang terhegeh-hegeh paksa aku kahwin dengan dia. Hatinya membentak geram.

Sharifah Rohaya memandang Aqasha.

“Qasha?”

“Ya, nenda?” jawab Aqasha.

“Haa… kamu jangan tak bawa Afiya balik rumah kita pulak! Afiya bakal cucu menantu nenda. Nenda nak tengok muka bakal cucu menantu nenek ni puas-puas. Dan kalau boleh, hari-hari nenda nak jumpa Afiya,” ucap Sharifah Rohayah.

Aqasha mengukir senyuman, lalu mengangguk.

“Nenda jangan risau, Qasha akan kerap bawa Afiya jumpa dengan nenda. Lagipun, Afiya kan bakal isteri Qasha. Jadi, mestilah Qasha akan rapatkan hubungan Afiya dengan famili kita. Nak kukuhkan ikatan persaudaraanlah dikatakan kan?” balasnya.

Afiya menoleh memandang Aqasha, lalu menayang cebikan. Hee… geli-geleman anak tekak aku ni tau!

Aqasha mengenyit mata tatkala terlihat cebikan di bibir Afiya.

Sekali lagi Afiya mencebik. Okey, rasa nak muntah! Huhh, menyampahnya!

“Ehem!”

Deheman Sharifah Rohayah itu mematikan perbalahan mereka. Semerta mereka menoleh memandang Afiya.

“Afiya?”

“Ya, nenda?”

Sharifah Rohayah merenung dalam wajah Afiya.

Menyebabkan Afiya jadi tidak senang duduk.

“Kenapa nenda pandang Fiya macam tu?”

“Nenda harap sangat, Fiya akan datang rumah ni lagi. Datang lagi, ek?” pinta Sharifah Rohayah bersungguh-sungguh.

Afiya tergamam mendengar permintaan nenda.

“Fiya…”

“Datang, ek?” Sharifah Rohayah menagih janji Afiya.

Kebisuan bagaikan melekat di bibir Afiya. Dia tidak mampu melafazkan apa-apa janji pada nenda. Bukan apa, takut tidak tertunai sahaja kelak.

“LAIN kali jangan tunggu matahari dah tegak atas bumbung rumah, barulah kau nak masak nasi dan lauk-pauk! Aku ni bukan pak tunggul yang kena tunggu kau masak untuk aku, faham? Bila aku kata aku nak makan, tu maknanya aku nak makan sekarang! Kalau aku tunggu kau masak, alamatnya mati kebulurlah aku kat rumah ni!” maki Encik Fakhrul.

Tubuh lemah Puan Manisah disepak dan diterajang sepuas hati. Baru sahaja tangannya memaut pada hujung sofa untuk bangun, namun Encik Fakhrul menepis tangannya dengan kasar. Menyebabkan dagunya terhantuk pada bucu sofa itu. Meleleh darah membasahi dagu lalu menitik ke atas lantai.

Encik Fakhrul duduk mencangkung di sebelah Puan Manisah. Rambut wanita itu dicengkam kasar.

“Sakit, bang!” Melolong suara jeritan Puan Manisah.

Semakin kuat ilaian tawa Encik Fakhrul demi melihat kesakitan yang ditanggung isterinya itu. Kini, barulah hatinya puas! Inilah balasan untuk manusia yang tak reti nak ikut cakap aku, herdik hatinya keras.

Encik Fakhrul mendekatkan mukanya ke muka Puan Manisah. Rayuan isterinya itu langsung tidak dipedulikan.

“Kau dengar sini baik-baik, Nisah! Jangan cari pasal dengan aku, faham?” ugutnya.

“Faham… faham…” Terangguk-angguk Puan Manisah.

Encik Fakhrul tersenyum penuh makna.

“Lagi sekali kau buat aku marah, aku…”

“Abang nak buat apa lagi?” Berdebar hati Puan Manisah menanti tindakan seterus suaminya itu.

“Ni makannya!” Lantas, Encik Fakhrul menggenggam kuat rambut Puan Manisah, lalu kepala isterinya itu dihantuk ke bucu sofa beberapa kali.

Puan Manisah terus terjelupuk jatuh ke tepi sofa. Terketar-ketar tubuhnya menahan kesakitan di dahi. Kepalanya berdenyut-denyut, pandangannya semakin silau.

Puas hati kerana berhasil menyeksa fizikal Puan Manisah, Encik Fakhrul terus beredar keluar dari rumah itu, meninggalkan Puan Manisah yang sedang terbaring menanggung kesakitan itu.

“Afiya…” sebut Puan Manisah. Matanya semakin lama semakin kuyu. Lama-lama terpejam rapat, dia pitam.

KERETA Aqasha berhenti di hadapan pagar rumah Afiya. Aqasha memandang Afiya lalu mengukir senyuman.

“Okey, kita dah sampai!”

Afiya membalas senyuman Aqasha.

“Terima kasih sebab hantar aku balik,” ucapnya.

“Sama-sama,” jawab Aqasha.

Afiya menggalas beg tangannya di bahu. Tangan kirinya diangkat lalu diletakkan ke pintu, bersedia untuk membuka daun pintu kereta. Namun teguran Aqasha membantutkan hasratnya. Dia kembali menoleh memandang Aqasha.

“Apa dia?” soalnya ingin tahu.

Aqasha mengeluh halus.

“Terima kasih kerana sembunyikan perkara sebenar daripada pengetahuan nenda dan Afiq. Tak sangka pulak aku, macam-macam soalan nenda pada kita berdua. Tergagap-gagap aku nak cari alasan. Nasib baik kau tolong aku tadi.”

Afiya kembali tersenyum.

“Kan aku dah janji supaya tak bocorkan rahsia kita dekat nenda? Takkanlah aku nak mungkir janji aku sendiri? Aku manusia yang berpegang teguh pada janji!” balasnya.

Mendengar jawapan Afiya, Aqasha spontan menghela nafas lega.

“Alhamdulillah…”

Afiya hanya membisu, tidak membalas kata-kata Aqasha.

“Okeylah, aku nak keluar ni! Jumpa esok, ek?” kata Afiya, memohon keizinan untuk membolos keluar dari perut kereta Aqasha.

Aqasha hanya mengangguk.

“Okey, jumpa esok!”

Afiya membuka daun pintu kereta, lalu membolos keluar dari perut kereta. Dia memusingkan tubuhnya, lalu membongkok sedikit ke cermin sebelah penumpang. Aqasha menurunkan cermin kereta, kemudian memandang Afiya.

“Hati-hati memandu, ek?” Sempat lagi Afiya menitipkan pesanan buat Aqasha.

“Okey!” balas Aqasha.

“Selamat tinggal.”

“Selamat tinggal.”

Aqasha menaikkan cermin keretanya semula. Setelah itu, memandu keretanya meninggalkan perkarangan rumah Afiya.

Sesudah kereta Aqasha hilang dari pandangan mata, Afiya mengayun langkah memasuki rumahnya.

Setibanya di hadapan pintu, dia terkedu apabila melihat daun pintu rumahnya yang tidak ditutup dengan rapat itu. Berkerut dahinya, fikirannya mula diselubungi rasa tidak enak. Lantas daun pintu itu ditolak, lalu dia melangkah masuk ke dalam.

“Mama?” panggil Afiya.

Bisu, entah ke mana mama menghilang, dia pun tidak tahu.

“Mama?” Sekali lagi Afiya memanggil Puan Manisah.

Dia semakin aneh.

“Mana mama ni?” soalnya sendiri.

Lantas, dia mengayun langkah menuju ke dapur. Seusai tiba di dapur, alangkah terkejutnya dia demi melihat mama yang sedang terbaring di atas lantai. Lantai pula penuh dengan darah berwarna merah pekat itu.

“Mama!” Cepat-cepat Afiya menerpa ke arah mamanya itu.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku