Lelaki Paling Setia!
Bab 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Mac 2017
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
455

Bacaan






KERETAmilik Aqasha berhenti di persimpangan seusai lampu isyarat bertukar ke warna merah. Sementara menunggu lampu isyarat bertukar ke warna hijau, Aqasha menyandarkan tubuhnya ke belakang. Wajah Afiya tiba-tiba sahaja tunak di matanya. Menyebabkan dia tersentak lalu tubuhnya semerta tegak. Dadanya seperti memainkan satu irama resah. Rasa tidak enak menyelinap masuk sedikit demi sedikit di hatinya.

Dadanya diusap perlahan.

“Kenapa aku rasa tak sedap hati ni? Ada apa-apa jadi kat Fiya ke, hmm?”

Aqasha berdecit, lalu bibirnya membentuk bulatan dan keluhan dihembus keluar.

“Tak boleh jadi. Aku kena patah balik! Aku kena pergi rumah Afiya.” Akhirnya dia mengambil keputusan untuk ke rumah Afiya semula.

Setelah lampu bertukar hijau, Aqasha segera membuat pusingan U dan memandu laju keretanya menuju ke rumah Afiya. Semakin menghampiri kawasan perumahan yang didiami oleh Afiya, semakin kuat rasa tidak enak mengetuk sanubarinya.

Syukurlah… akhirnya, dia sudahpun tiba di hadapan rumah Afiya. Enjen kereta semerta dimatikan. Mencanak dia membolos keluar dari perut kereta lalu meluru masuk ke pintu rumah Afiya. Daun pintu yang sedikit terkuak itu, ditolak kasar. Langkah diayun memasuki ke dalam rumah itu. Melilau matanya memerhati sekitar rumah itu, mengesan keberadaan Afiya.

Tiba-tiba, suara esak tangis Afiya menyinggahi pendengaran telinganya. Aqasha tersentak. Desah nafasnya semakin laju berdetak di tubuhnya. Kerisauan menguasai seluruh akar umbi dirinya.

“Afiya? Afiya?” Aqasha melaung memanggil nama itu.

Namun panggilannya tidak berjawab. Dan dadanya semakin sesak tatkala suara esak tangis itu semakin kuat kedengaran. Dia berdecit.

“Afiya, aku panggil kau ni! Tolonglah jawab panggilan aku ni!” desaknya keras.

Tetap bisu juga.

Dek semakin resah kerana panggilannya itu dibiarkan sepi, Aqasha bertekad untuk menjelajahi ruangan dapur. Barangkali, Afiya berada di situ. Seusai tiba di dapur, matanya melilau mengesan kelibat Afiya.

“Fiya? Fiya?” panggilnya lagi.

Ralit mencari Afiya, tiba-tiba pandangannya jatuh ke arah satu susuk tubuh yang sedang terbaring dan penuh dengan lumuran darah di tepi sofa. Bertambah terkejut apabila terlihat Afiya yang sedang memangku kepala si pemilik tubuh itu. Aqasha terus terkedu. Bingkas dia meluru ke arah mereka.

“Fiya, apa dah jadi ni?” soalnya kelam-kabut. Mulutnya terus ternganga demi melihat wanita tua dalam lingkungan empat puluhan itu. Tubuhnya sarat dengan luka yang berbirat-birat, seolah-olah dirinya itu diseksa saban hari.

Afiya terkejut mendengar suara Aqasha. Dia segera mengangkat muka memandang wajah lelaki itu. Air matanya semakin deras bertaburan membasahi pipi demi melihat figura lelaki itu.

“Qasha, kau kena tolong aku. Mak aku…”

Aqasha tergamam. Mak Afiya?

“Qasha, tolong bawa mak aku pergi hospital! Aku tak nak apa-apa jadi dekat mak aku!” sergah Afiya garang.

Mendengar permintaan Afiya, semerta Aqasha mencempung tubuh Puan Manisah lalu tergesa-gesa meninggalkan ruang dapur. Afiya turut bangun lalu membuntuti langkah mereka dari arah belakang.

BERGEGAS Nelydia memasuki kamar rahsia Abshar yang terletak di tingkat atas. Tombol pintu bilik rahsia Abshar dipulas kasar, kemudian daun pintu itu ditolak kasar ke dalam. Dengan tergesa-gesa, dia mengayun langkah ke dalam. Meja kerja Abshar dihampiri.

Seusai tiba di hadapan meja kerja Abshar, bingkas tangannya menarik kasar satu per satu laci yang terdapat di bahagian kanan di bawah meja. Isi di dalam laci itu habis diterokai untuk mencari sesuatu yang boleh menguatkan lagi syakwasangkanya itu. Namun hampa kerana bukti yang dicarinya itu tidak berhasil ditemui.

Nelydia berdecit geram, lalu menghembuskan nafas panjang.

“Mana abang sembunyi?” bentaknya.

Selagi tidak puas, selagi itulah Nelydia menggeledah seluruh bilik rahsia suaminya itu. Dia berpaling ke rak bahagian belakang meja suaminya itu. Satu per satu rak dibuka, kemudian dipunggah sepuasnya. Isi di dalam dicampak dan dibiarkan bertaburan di atas lantai. Kertas-kertas dan dokumen di dalam rak itu dibelek rapi, mencari bukti yang dimahukan.

Setibanya di rak bahagian hujung, tingkah Nelydia mati seusai matanya tertancap pada sebuah album yang terletak kemas di dalam rak itu. Dia terkedu. Semerta dadanya bergetar kencang. Seluruh inci tubuhnya tiba-tiba sahaja menggeletar. Matanya terpaku memandang album itu.

“Album apa ni?” tutur Nelydia perlahan.

Dengan tangan menggigil, dia mengambil album dari rak itu. Kemudian dia bangun, lalu melabuhkan duduk di kerusi yang sering diduduki Abshar ketika sedang membuat kerja.

Nelydia membentuk bibirnya menjadi bulat, kemudian perlahan-lahan membuang keluhan.

“Setahu aku, aku tak pernah simpan apa-apa album kecuali album perkahwinan aku dan Abang Abshar. Tapi… apa ni? Abang ada sembunyikan sesuatu dari pengetahuan aku ke?” Dia bermonolog sendiri.

Beberapa kali dia berfikir sama ada hendak menyelak album itu ataupun tidak. Separuh hatinya mengatakan bahawa dia tidak sanggup hendak mengetahui kebenaran, namun separuh lagi mendesaknya supaya kebenaran sebenar terbongkar. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk membuka album itu.

Lantas, Nelydia menarik nafas dalam-dalam dan mententeramkan volum emosi dirinya supaya menjadi lebih stabil.

“Tenang Neli, tenang.” Dia memujuk diri.

Helaian pertama album itu diselak. Seusai matanya menatap gambar seorang kanak-kanak dalam lingkungan umur lima tahun, semerta darah Nelydia menyirap. Dia terkesima. Tiba-tiba sahaja air matanya deras mengalir membasahi pipi.

“Siapa budak ni?” Teresak-esak suaranya ketika menuturkan sebaris soalan itu.

Nelydia memejam rapat kedua-dua belah matanya, kemudian menarik nafas panjang untuk kesekian kalinya. Sungguh, hatinya semakin resah menanti tali kebenaran yang bakal terungkai sebentar sahaja lagi.

Tangan kanannya semakin menggeletar ketika hendak menyelak ke muka surat sebelah. Sekali lagi darahnya menyirap demi melihat gambar kanak-kanak itu bersama seorang wanita yang cukup dia kenali.

“Zaida?”

Demi mendapatkan sebuah kebenaran, Nelydia menyelak ke muka surat sebelah pula. Alangkah terkejutnya Nelydia tatkala melihat Abshar bersama Zaida. Yang paling mengejutkan dia, mereka mengenakan persalinan pakaian pengantin. Dan masing-masing sedang tersenyum, seolah-olah menggambarkan kebahagiaan disaat bergelar pasangan suami isteri.

Nelydia ternganga, kemudian menutup mulutnya dengan telapak tangan kiri. Air matanya semakin merembes laju. Apa yang dia rasa? Entah, dia tidak tahu! Marah, kecewa, benci, semua ada! Dek tidak mampu menahan rasa, album itu dicampak ke lantai. Dan tanpa dia sedari, sepucuk surat terjulur keluar dari album itu.

Tubuhnya terhempas duduk di atas lantai. Teresak-esak dia menangis di situ. Menangisi kecurangan sang suami.

“Sampai hati abang buat Neli macam ni…” rintihnya sebak.

Tiba-tiba, matanya tertancap pada surat yang terjulur keluar dari album itu. Pantas tangannya mencapai surat itu, kemudian membacanya.

AQASHA yang sedang duduk itu hanya memerhati tingkah Afiya dengan mata tidak berkedip. Sehingga kini masih belum ada khabar berita daripada doktor mengenai situasi diri Puan Manisah. Afiya pula sedari awal ketibaan mereka di hospital, sehingga ke detik ini hanya menangis teresak-esak.

Luluh rasanya hati Aqasha demi melihat tangisan yang berjuraian di pipi Afiya. Dia melepaskan keluhan, seraya meletakkan tangan kanannya di bahu Afiya.

“Afiya?” Dia menegur dengan nada lembut.

Afiya tidak membalas, sebaliknya teresak-esak menangis.

Aqasha mengukir senyuman payah.

“Janganlah macam ni, Fiya. Kau menangis bagai nak keluar air mata darah sekalipun, tak ada guna apa-apa. Mak kau tetap ada kat dalam tu! Dari kau menangis ratapi tragedi yang menimpa mak kau, lebih baik kita istighfar banyak-banyak. Dan kita sebagai muslimin selayaknya laksanakan ajaran Islam seperti dirikan solat dan baca Yassin terutamanya ketika ditimpa musibah. Mohon supaya mak kau dilindungi ALLAH dan dikurniakan kesembuhan.” Dia memujuk Afiya supaya bertenang.

“Macam mana aku nak tenang? Mak aku kat dalam tu, Qasha,” rintih Afiya.

“Habis tu, dengan menangis macam ni, keadaan akan berubah?” hentam Aqasha.

Afiya terkesima. Semerta dia mengangkat muka, lalu menoleh memandang Aqasha.

“Kau tak faham apa yang aku rasa!” herdiknya.

Aqasha mendengus.

“Apa yang aku tak faham? Aku faham perasaan kau! Mak kau kat dalam wad kecemasan sekarang ni. Dan kau sebagai seorang anak mesti akan rasa risau yang amat. Siapa yang tak sayang mak sendiri?” bidasnya.

Afiya masih teresak-esak.

“Kau tak faham…”

“Cuba kau cakap, apa yang aku tak faham, Fiya? Aku cuba nak faham kau, supaya kita lebih dekat dengan diri masing-masing. Berilah aku peluang untuk kenali kau, Fiya,” pujuk Aqasha.

Afiya bisu.

“Afiya Zafira!” panggil Aqasha, semakin geram dengan tingkah Afiya.

Afiya tetap bisu.

“Tolong jangan diam, Fiya. Cakaplah sesuatu!” Aqasha terus mendesak, mahukan kebenaran.

Afiya masih berkeras untuk mengunci bibirnya.

“Afiya, aku cakap dengan kau ni!” bentak Aqasha, lalu menggoncang kasar tubuh Afiya.

Afiya memusingkan tubuhnya menghadap ke arah Aqasha. Tangan lelaki itu semerta ditepis keras. Wajah lelaki itu pula ditenung dengan sorotan mata tajam.

“Kau nak aku cakap apa? Kau tak faham apa yang aku alami, sebab kau tak pernah alami benda ni! Apa kau rasa kalau bapa tiri kau dera mak kandung kau setiap hari? Kau nak selamatkan mak kandung kau, tapi kau tak punya kudrat untuk melakukannya. Aku cuba buat repot polis, tapi mak aku halang. Tak nak famili kami dapat malu. Apa kau rasa kalau kau berada di tempat aku hah?” Nah, akhirnya terkeluar segala luahan yang dipendam selama ini. Air matanya pula semakin deras mengalir. Mengenangkan apa yang sudah berlaku, hatinya benar-benar disayat kesedihan. Ya ALLAH…

Aqasha tergamam.

Afiya menundukkan kepalanya ke bawah.

“Dan bila aku balik rumah, tiba-tiba aku tengok mak kandung aku terbaring tak sedarkan diri, dan darah tercalit sana sini atas lantai. Apa kau rasa?” Teresak-esak dia menuturkan ayat itu.

“Afiya, aku…” Aqasha tidak tahu hendak kata apa. Di sebalik sikap menjengkelkan hati Afiya, terselit sebuah kisah duka di sebalik kitab hidupnya. Sungguh dia tidak sangka Afiya dan ibunya menjadi mangsa kezaliman lelaki tidak guna itu!

Manakala Afiya terus menangis, menangis dan menangis.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku