Dik, Nak Cerita Hantu Tak - Syampu
Bab
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 10 Mac 2017
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)
414

Bacaan






Adia datang ke kelas pada hari itu dengan rambut yang menawan serta melenggang persis seorang model. Melopong mulut remaja lelaki yang melihat perwatakan Adia yang cukup menggetarkan hati mereka tetapi Adia tidak disukai oleh gadis-gadis di sekolah itu. Mereka menganggap Adia adalah pesaing mereka. Mereka juga tidak mampu menjadi secantik Adia. Setiap kali Adia melangkah masuk ke sekolah itu dan juga ke kelas, ramai gadis yang mencebik bibir mereka. Ada yang iri hati dengan Adia kerana memiliki kecantikan yang tiada pada gadis-gadis lain.

“Makin lama aku tengok Adia tu makin menyampah pula aku.” Mary membisikkan kata-katanya pada rakan sebelah iaitu Ai Ling.

“Kenapa? Awak cemburu dengan dia ke?” Ai Ling seakan terbau rasa iri hati Mary pada Adia.

“Cemburu? Huh, buat apa saya nak cemburu pada dia. Saya juga secantik dirinya tetapi saya hairan kenapa tidak ramai yang pandang pada saya?” Mary masih memikirkan kenapa Adia sering menjadi perhatian ramai orang sedangkan dia tidak langsung dipandang oleh mereka.

“Awak memang cantik Mary tetapi tidak setanding Adia kerana Adia memiliki rambut yang sangat menawan. Setiap kali dia berpaling, pasti ramai yang akan terpesona dengan rambutnya. Mereka seolah-olah terpegun. Itu yang awak tak ada.” Ai Ling menyatakan pendapat yang lahir dari hatinya.

“Saya boleh setanding dirinya.” Mary tidak mahu berbual lagi dengan Ai Ling tetapi menanam tekad untuk menjadi setanding Adia.

Sesekali Mary mengerling ke arah Adia. Dia hairan bagaimana Adia memiliki rambut persis model di dalam iklan televisyen. Dia juga ingin memiliki rambut seperti Adia, Dia yakin pasti ada caranya.

“Aku kena cari bagaimana caranya Adia merawat rambutnya. Sekali dia berpaling, ramai terpegun seolah-olah terkena sihir daripada Adia. Kalaulah boleh aku tahu bagaimana dia lakukannya.” Mary bercakap sendirian ketika pulang dari sekolah.

Ketika menyeberangi jalan, Mary terkedu melihat seorang wanita tua seakan ahli sihir yang botak rambutnya sebelah tetapi sebelah lagi rambutnya sangat menawan sama seperti Adia. Mary hendak melarikan diri tetapi kakinya terasa berat sekali kerana dia terasa ingin tahu bagaimana rambut wanita tua itu cukup cantik sekali walaupun hanya sebelah sahaja.

“Nek ...” takut-takut Mary menegur wanita tua itu.

“Ya cu. Ada apa-apa yang nenek boleh tolong?” suara wanita tua itu terketar-ketar dalam senyuman yang amat bermakna sekali.

“Boleh saya tahu, bagaimana rambut nenek boleh jadi cantik macam tu?” tanya Mary.

“Nenek pakai syampu ni. Cu boleh cuba. Sekali basuh pasti rambut cucu akan menawan. Sesiapa sahaja yang melihat akan terpikat,” kata wanita tua itu.

“Err ... berapa harganya nenek?” tanya Mary mula terpikat dengan tawaran wanita tua itu. Ketakutan yang bertandang di dalam dirinya sudah hilang sama sekali.

Wanita tua itu tersenyum lagi menampakkan giginya yang jarang.

“Percuma saja cu. Nah, cubalah,” wanita tua itu terus memberikan syampu kepada Mary.

Mary mengambilnya dengan rasa gembira tanpa mengetahui muslihat wanita tua itu. Sebaik sahaja tiba di rumah, Mary terus membasuh rambutnya dengan syampu yang diberikan oleh wanita tua itu. Sekali bilas, Mary sendiri terpesona dengan rambut barunya. Cukup-cukup menawan. Berkilauan persis permata. Dia yakin selepas ini pasti ramai yang akan terpikat akan rambut barunya itu. Mary tidak sabar-sabar hendak ke sekolah pada keesokan harinya.

Mary berjalan seakan Adia ketika melangkah masuk ke dalam kelas. Ramai yang beralih arah dari Adia kepada Mary. Mary terasa bangga dengan kecantikan rambut miliknya. Tidak sia-sia dia menggunakan syampu yang diberikan oleh wanita tua itu. Mary sangat berbangga dengan dirinya.

Adia pula terasa sangat cemburu apabila peminatnya beralih pada Mary. Dia akan jumpa Mary setelah pulang dari sekolah. Dia tidak suka ada gadis lain mengatasi dirinya.

“Mary, awak pakai syampu apa sehingga ramai yang tertarik pada awak?” Adia mengejar Mary sehingga ke pinggir jalan.

Saat Mary menoleh ke arahnya, terbeliak mata Mary melihat rambut Adia. Dia menekup mulutnya.

Adia pelik dengan Mary.

“Kenapa dengan awak ni?” tanya Adia tidak puas hati.

“Rambut awak ...” Mary menunjukkan jarinya ke arah rambut Adia.

“Kenapa dengan rambut saya?” tanya Adia mula rasa tidak sedap hati.

“Botak!” Mary menelan liurnya.

“Hah?” Adia mengambil cermin kecil yang sentiasa dibawa bersama dan segera melihat rambutnya. Adia menjerit saat itu juga kerana rambutnya yang cantik semakin luruh. Adia memaling ke arah Mary semula dan dia hampir pengsan melihat rambut Mary yang sama seperti rambutnya.

“Rambut awak pun.” Adia menunjukkan cermin kepada Mary.

Semakin terbeliak mata Mary. “Tidak!!!”

Mary hampir pengsan.

“Berkesan cu syampu yang nenek beri?” suara wanita tua itu mengganggu mereka lalu kedua-duanya berpaling ke arah datangnya suara itu.

Rambut wanita tua itu semakin cantik. Wajahnya juga makin berseri.

“Apa dah jadi ni?” suara Adia seakan menjerit.

“Terima kasih kerana telah mengembalikan kecantikan rambut saya. Orang yang taksub pada kecantikkan rambut mereka akan menerima sumpahan yang datangnya dari syampu ini. Pandai-pandailah awak berdua mencari caranya untuk kembalikan kecantikan rambut awak semula. Saya pergi dulu,” perempuan tua yang sudah bertukar rupa berlalu meninggalkan mereka.

“Tidak!!!” Adia dan Mary menjerit sekuat hati kerana rambut mereka telah dicuri dan kini mereka terpaksa mencari pengguna syampu ini untuk mengembalikan semula kecantikan rambut mereka.

Inilah akibat kerana terlalu taksub ingin memiliki kecantikan terlampau dan tidak bersyukur dengan apa yang dimiliki.

TAMAT



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku