Dik Nak Cerita Hantu Tak - Cermin Puaka
Bab
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 10 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)
453

Bacaan






June menghempas beg pakaiannya setelah berada di sekolah berasrama itu. Dia tidak suka berada di sini tetapi ayahnya yang beria mahukan dia berada di sini. Kononnya pembelajaran di sini lebih sempurna dari sekolah biasa. Dia rimas dan rasa terkongkong dengan segala peraturan sebab itulah dia tidak suka berada di sekolah asrama penuh.

Sebahagian daripada penghuni di dalam asrama itu melihat June dengan penuh jengkel. Mereka tidak suka dengan perangai kasar June dan sudah semestinya gadis itu sombong juga.

June tidak peduli kerana dia ke situ untuk belajar dan bukannya untuk berkawan dengan sesiapa. June terus mengemas pakaiannya di dalam almari yang disediakan. Wajahnya semakin ketat ditayangkan.

“Hai. Saya Julai. Awak nama siapa pula?” tegur Julaira dengan ramah. Dia tidak peduli bagaimana wajah June, dia hanya ingin berkenalan dengan gadis itu.

“Julai?” tanya June sinis.

“Julaira. Awak?” Julaira masih bermanis wajah.

“June.” June menjawab dengan ringkas.

“Wah, seakan serasi sahaja kita ni. June dan Julai.” Julaira ketawa gelihati.

“Saya nak mandi, di mana tandasnya?” tanya June. Dia agak senang dengan Julaira yang tidak menayangkan wajah pelik sebagaimana mereka yang lain.

“Jom, saya tunjukkan pada awak di mana tandas kita,” lalu Julaira menemani June ke tandas.

Tandas mereka agak jauh sedikit kerana terpaksa melalui tandas yang ditutup untuk kegunaan pelajar. June kehairanan melihat tandas itu dikunci. Hatinya bagaikan digaru-garu hendak tahu kenapakah tandas itu ditutup.

“Julai, boleh tak saya tahu kenapa kita tak guna tandas ni? Kenapa kita kena guna tandas disebelahnya?” June sudah tidak boleh menahan diri dari bertanya.

“Warden tak bagi kita guna tandas ni kerana katanya di tandas ni ada cermin puaka yang makan orang, maka dengan itu ia ditutup selama-lamanya,” jelas Julaira.

June mencebik kerana dia tidak pernah takut dengan hantu dan makhluk-makhluk halus seangkatan dengannya. Mana ada hantu di zaman moden ini. Lama June memandang ke arah tandas itu sebelum mengukir senyuman sinis. Hanya dia sahaja yang tahu akan senyuman yang diberi.

“Haa ... awak jangan nak pandai-pandai ke tandas ni pula ya kalau awak tak nak musibah menimpa awak.” Julaira memberi amaran keras pada June yang kelihatan sangat berminatakan tandas itu.

Pada malam itu, setelah semua penghuni di asrama itu tidur, June perlahan-lahan turun dari katilnya dan berjalan menuju ke arah tandas yang dikunci. Dia sebenarnya tidak percaya dengan apa yang Julaira katakan dan dia ingin tengok sendiri benar atau tidak adanya puaka di dalam tandas itu atau ia hanya sekadar cerita dari mulut ke mulut sahaja.

June memecahkan mangga yang mengunci pintu tandas itu dan melangkah masuk ke dalamnya. June terpesona setelah berada di dalamnya. Matanya bersinar-sinar.

“Cantiknya tandas ni. Cermin-cermin di dalamnya juga cantik. Berkilau-kilau. Patutlah dia orang tak bagi kami masuk rupanya tandas ni sangat selesa dari tandas sebelah.” June menggumam sendirian.

June perasan ada cahaya yang sangat cantik bersilau dari cermin yang terdapat di situ. June tidak membuang masa lagi lalu melangkah kaki menghampiri cermin yang dikatakan berpuaka itu.

June membelai-belai cermin yang terdapat di dalam tandas itu. June seakan terleka sebentar tanpa disedarinya cermin-cermin di dalam tandas itu sedang mengalirkan darah merah pekat. Darah merah pekat hampir membanjiri kaki June. Disebabkan kelicinan darah itu, June jatuh terlentang dan barulah June sedar semula.

“Eh, darah apa ni?” June rasa geli kerana darah itu sangat-sangat pekat.

“June,” kedengaran namanya dipanggil lalu June mendongak kepalanya memandang ke arah cermin-cermin yang terdapat di dalam tandas itu.

“Awak siapa di dalam cermin ni?” tanya June tanpa ada perasan takut.

“June, saya dikurung. Tolong keluarkan saya? Warden di sini sangat jahat, dia kurung saya di sini untuk amalan sihirnya,” kata gadis yang berada di dalam cermin itu.

“Tak guna! Patutlah dia kunci tandas ini. Rupanya dia ada sesuatu yang nak dilakukannya. Jangan bimbang, saya akan selamatkan awak.” June menghampiri cermin tandas itu dan merapatkan wajahnya ke arah cermin itu.

Gadis yang berada di dalam cermin tandas itu terus memegang wajah June dan mereka bertentangan mata seketika. Pada waktu itulah June melihat wajah sebenar gadis itu yang sangat buruk. June meronta ingin melepaskan diri dari terus berada di dalam genggaman gadis itu.

“Lepaskan saya. Awak ni siapa hah?” tanya June masih lagi meronta-ronta.

“Aku adalah puaka di dalam cermin ini. Aku telah dikurung oleh ustaz yang bijak pandai. Apabila ada yang mengingkar arahannya, maka aku akan keluar dan kau pula akan masuk ke dalam cermin ini. Tapi kau jangan bimbang June, aku akan carikan kawan untuk menemani kau di dalam cermin ini.” Puaka cermin itu menyedut darah June sehingga kering sebelum mengurungnya di dalam cermin itu.

Kini puaka cermin itu sudah bebas sepenuhnya dan dia akan mencari mangsa-mangsa baru demi membalas dendam dan akan mengurung mereka semua di dalam cermin puaka miliknya. Dia ketawa senang hati dengan kebodohan June yang tidak mempercayai apa yang ditegah oleh rakan gadis itu.

“Keluarkan saya! Julai!” June menjerit-jerit di dalam cermin tetapi sayangnya tiada siapa yang mendengar jeritan June kerana puaka cermin itu sudah pun menyerupai June dan akan menyesatkan mereka semua ke dalam cermin miliknya.

TAMAT



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku