MANTIK - Falsafah
Bab
Genre: Umum
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 11 Mac 2017
Balada Seorang Pelaut.
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)
35

Bacaan






Ternukil sebuah kisah, Pak Din seorang pelaut bot kecil yang tinggal di pertemuan sungai dan laut. Setiap tiga hari sekali, Pak Din akan turun ke laut untuk mencari sumber pendapatan tambahan dengan menangkap hasil laut menggunakan joran sahaja. Kebiasaannya, selepas zohor adalah waktu untuk Pak Din turun ke laut setelah urusan di sebelah pagi telah di selesaikannya.

Alkisah sebelum keberangkatan Pak Din, isterinya akan membekalkan bekas makanan bertingkat, tikar plastik dan bantal kecil untuk tujuan bersolat dan beristirehat. Disebabkan bot yang kecil, Pak Din tidak mempunyai bekas simpanan ikan sepertimana bot-bot besar. Oleh itu, semua hasil tangkapannya akan diletakkan di dalam ruang-ruang bot kecilnya itu.

Seperti selalunya, Pak Din akan memancing tidak jauh iaitu hanya kira-kira satu kilometer dari jetinya. Namun, tiada penghasilan yang terlekat di mata jorannya walaupun telah sejam berlalu melainkan anak-anak ikan yang sebesar dua batang jari. Terlintas di fikiran Pak DIn untuk menduga laut di seberang sana dengan anak-anak ikan itu sebagai umpannya. Lantas Pak Din mengambil langkah untuk bergerak jauh sedikit ke tengah.

“Mungkin ada banyak ikan besar di sini”, luah Pak Din, menyedapkan hati.

Setelah sejam berlalu, hasil yang diperolehi ternyatalah lebih baik kerana berjaya menaikkan sebilangan ikan sebesar tapak tangan. Terlintas lagi di fikiran Pak Din untuk bergerak ke hadapan sedikit lagi berkemungkinan ikan bersaiz besar akn berjaya dinaikkan. Umpannya pula adalah ikan hasil tangkapannya itu. Lantas bot kecilnya itu bergeraklah sehingga jauh ke tengah laut, lalu dia memulakan pemancingan di kawasan baharu.

“Mungkin sini ikan lebih besar”, luah Pak Din lagi, teruja.

Ternyata hasil penangkapan ikan di kawasan itu adalah sangat luar biasa kepada Pak Din. Berbagai-bagai jenis ikan telah berjaya di tangkap. Hakikat botnya yang kecil itu telah dilupakan disebabkan oleh kegirangan pemancingannya. Segenap masa berlalu sehinggalah waktu menyinsing, Pak Din menepuk dahi kerana terlupa sesuatu.

“Ya Allah, lupa solat Asar”, bisik Pak Din, sedikit gelisah.

Pak Din berwuduk menggunakan air laut lalu cuba menebarkan tikar untuk bersolat. Namun, ruang solat di botnya itu telah pun dipenuhi ikan sehingga menutup segenap ruang botnya. Berfikir sejenak Pak Din apakah yang perlu dilakukan. Lalu dilepaskan beberapa ekor ikan yang masih hidup ke dalam laut semula sehinggalah muat-muat tikar dibentangkan.

Setelah solat, Pak Din melihat matahari semakin menghilang. Disebabkan bot kecilnya itu tidak mempunyai sebarang sumber cahaya, Pak Din terpaksa pulang walaupun tangkapannya sangat lumayan. Bot kecil itu berlabuh perlahan kerana keberatan ikan telah melebihi had muatan bot kecil itu.

Beberapa minit perjalanan, kaki Pak Din telah mengalami kekejangan otot di paha kerana terlalu lama duduk menyempit di sebalik ikan-ikan. Lantas dia mencari sudut untuk berbaring bagi melegakan kesakitan. Namun, ruang baringan botnya itu telah dipenuhi ikan sehingga ke tengah botnya. Tidak sempat berfikir sejenak lagi Pak Din mengeluarkan ikan yang berada di hujung bot dengan kuisan kakinya yang sakit itu. Takjubnya ikan-ikan yang tadinya diam itu serta merta berenang-renang kembali ke dasar laut.

Dengan kudrat yang tertinggal, Pak Din mengemudi botnya dengan sepantas yang boleh supaya dapat melakukan rawatan lebih sempurna di rumah nanti. Seibanya di jeti berhampiran rumah, kaki Pak Din yang kejang tadi telah beransur pulih. Pak Din berdiri meregangkan badan, sedikit kebas di kakinya masih terasa. Terkejut Pak Din melihatkan ikannya yang banyak tadi kini tinggal kurang dari dua puluh ekor sahaja berbagai saiz. Namun Pak Din masih mampu senyum dan bersyukur di atas rezeki itu.

“Kaki abang kenapa?”, tanya isteri Pak Din melihatkan suaminya berjalan terencot-encot ketempangan. Sedikit resah kelihatan di muka isterinya yang sedang menanti di tangga muka pintu.

“Tiada apa-apa. Kejang sikit tadi. Maklumlah dah tua”, seloroh Pak Din kepada isterinya. “Nah! Ikan hari ini”, tambah Pak Din lagi lantas menghulurkan ikan-ikan yang telah berikat tali.

“Wah! Banyak tangkapan hari ini. Ada yang besar juga. Alhamdulillah”, sambut isteri Pak Din, girang.

Pak Din tersenyum sahaja melihat telatah isterinya yang kegembiraan sedangkan Pak Din masih teringat peristiwa yang berlaku sebentar tadi kerana terpaksa bersabung nyawa di atas lautan. Kalau bukan kerana terfikirkan nyawanya, hasil tangkapannya mungkin lebih banyak. Namun, itupun sudah cukup menggembirakannya dan isteri.

Moral: Penulis telah membuatkan perumpamaan kehidupan di dunia hanya perlu dijalani secara sederhana sepertimana seorang nelayan mencari rezeki di laut dengan kapasiti bot sebagai hadnya. Rezeki seseorang telah pun ditetapkan hadnya di antaranya merangkumi sektor ekonomi, kesihatan, dan nasab keturunan. Sekiranya segala ruang rezeki telah dipenuhi dengan harta-benda, nescaya ruang kesihatan dan keturunan akan menjadi sangat sempit. Lihatlah kebanyakan orang miskin itu jarang ditimpa musibah sakit yang kritikal dan anak cucu pula berderetan ramainya. Namun, tidak mustahil juga sekiranya Tuhan mampu membesarkan had rezeki seseorang daripada bot kecil kepada yang lebih besar selagimana manusia itu bersyukur.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku