MANTIK - Falsafah
Bab Pada Zaman Dahulu...
Genre: Umum
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 11 Mac 2017
Cerita Rakyat (Ceritera) mengenai soal-soal kehidupan melalui penceritaan alam dan kejadian-kejadian perumpamaan yang berkaitan.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
46

Bacaan






Pada zaman dahulu, adanya gergasi setinggi lebih kurang 60 hasta atau 27 meter atau setinggi bangunan enam tingkat. Gergasi ini bernama Gigan. Hidupnya setiap hari adalah sebagai peladang dan mengisi waktu lapang dengan membuat ukiran dan arca tanah liat.

Suatu hari, Gigan merenung ke langit sejenak berfikir, “Alangkah indahnya kalau ada teman hidup”. Namun sepanjang seribu tahun usianya, Gigan telah mengembara melihat keindahan dunia tetapi dia terlupa untuk mencari pasangan hidupnya. Lalu Gigan berkata di dalam hati, “Aku mahu menghabiskan umurku seribu tahun lagi untuk mencari apa yang aku hajati itu”.

Gigan yang lebih matang dari seribu tahun dahulu telah menyusun strategi dan menyediakan beberapa kelengkapan sepanjang perjalanannya nanti. Dengan kelebihan yang telah dikurniakanNya, Gigan mampu berinteraksi dengan haiwan peliharaannya lalu mengajarkan mereka cara-cara untuk berdikari tanpanya kelak. Sebahagian daripada haiwan ternakan akan dibawa bersamanya dan sepanjang perjalanannya akan ditaburkan benih-benih daripada tanamannya sebagai tanda laluannya.

Setelah beberapa tahun, Gigan mendapati dirinya seolah-olah keseorangan di muka bumi ini. Gigan tidak berputus asa lantas memeras otak untuk mendapatkan ilham dan idea yang baru. Dengan kemahiran mengukirnya, Gigan akan meninggalkan satu arca yang simbolik untuk menandakan kawasan tersebut pernah dilalui oleh makhluk berakal sepertinya. Arca itu hendaklah lebih menonjol daripada tumbuh-tumbuhan yang telah ditanam yang semakin lama semakin menebal dan meliar.

Berpandukan petunjuk di langit, Gigan melangkah dari Timur ke Barat berpandukan laluan matahari pada siang hari dan berpaksikan kompas bintang-bintang di langit yang berputar di waktu malam. “Aku yakin dengan petunjuk yang diberikan oleh Tuan bintang, bulan dan matahari”, bisik Gigan di dalam hati untuk menenangkan hati.

Sedar tidak sedar, bekalan Gigan semakin lama semakin berkurangan. Gigan sedar bahawa dia telah menuju jauh daripada kawasan Utara. Lebih buruk lagi, cuaca yang sangat sejuk sangat menyukarkan Gigan untuk berjalan dan kebanyakan haiwan ternakannya juga telah mati kerana suhu yang melampau. Oleh itu, Gigan terpaksa berpatah balik mengikut laluan perjalanannya.

Apabila haiwan ternakannya hanya tinggal beberapa pasang, Gigan terpaksa berhenti di suatu kawasan lapang yang tandus dan berbatu-batan. Gigan perlu mencari punca air minuman. Jika tidak, haiwan peliharaannya akan mati sedangkan perjalanan pulang ke tempat asal akan mengambil masa puluhan tahun. “Mustahil ada air di bawah batu ini”, bisik Gigan. Namun asanya tetap berusaha walau peluangnya amat tipis. Ajaibnya mata air telah keluar dari belahan batu yang telah diketuk oleh Gigan mencukupi untuk dirinya dan haiwan ternakannya.

Tiba-tiba, satu objek telah hinggap di bahu Gigan ketikamana dia sedang bergembira. Ditoleh Gigan ke belakang mendapati sebatang tubuh sedang berdiri. Gigan memerhatikan sifat-sifat tubuh tersebut lebih menyerupai dirinya berbanding ternakannya. Mungkin disebabkan gizi yang kurang di tempat itu, tubuh tersebut lebih kecil berbanding dirinya. Serta-merta terpacul keluar suara yang sudah beribu tahun terpendam kepada makhluk di depannya itu. Gigan bertambah gembira dan menyedari pengembaraannya kini sudah berakhir.

Dipendekkan cerita, Gigan dan isterinya itu tinggal di kawasan tersebut beribu tahun lagi dan mempunyai beberapa pasang anak. Apabila tiba masanya, Gigan menyuruh anak-anaknya mengembara melihat keindahan alam buana. Tidak seperti dirinya, kali ini mereka akan membawa pasangan hidup masing-masing.

Selepas beberapa millenia, keturunan Gigan telah bertebaran di segenap dunia. Gigan yang besar asalnya telah melahirkan keturunan yang semakin mengecil saiz ketinggiannya. Kini, mereka tidak lagi berkebun untuk mendapatkan makanan. Tidak lagi mengembara untuk menambah pengetahuan. Pengaruh adalah segala-galanya. Semuanya dirajai oleh satu ‘Tuan’ yang digelar WANG.

Sejarah kini diputarbelitkan. Rujukan Yang Esa telah diabaikan. Maka, keluarlah naskah-naskah teori konspirasi mengenai Alien, Dinosaur, Kejadian Kosmik dan paling hebat adalah kejadian alam semesta. Hakikatnya tiada orang yang sekarang mengetahui bahawa Utara dan Selatan tidak pernah bertemu sepetimana Gigan. Tiada siapa yang perasan bahawa Beruang Kutub dan Penguin juga tidak pernah bersua muka kecuali di dalam Zoo. Semuanya terpedaya dek ungkapan cerdik seseorang yang berpengaruh walau terdapat bukti di depan mata. Akhirnya, Si Gagal tetap terus ditipu seumur hidup mereka.

Moral: Al-Quran menyatakan bumi ini hamparan dan diam (tidak bergerak). Manakala matahari, bulan serta bintang beredar mengikut ketetapanNya berpaksikan bumi. Meskipun usia manusia tidak mencukupi untuk menjelajah seluruh dunia, namun memadailah dengan petunjuk Kitab ini yang mana 90% ternyata benar dan 10% kebenaran adalah tersembunyi supaya manusia berfikir dan mengambil pelajaran. Buktikanlah sendiri nescaya kita akan mengetahui.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku