CINTA DI SUATU HARI
Bab BAB 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
517

Bacaan






BAB 1

Blue Light Club, Pulau Pinang.

Tahun 1990.

TAK,tak. Aku tak minum malam ni,” Kam menolak tin minuman keras yang disuakan Tan padanya.

Tan tahu Kam memang tidak menyentuh minuman beralkohol. Dia cuma mengacah sahaja. “Dengar tak apa kawan kita ni cakap? Dia tak minum benda ni!” kata-kata Tan disambut deraian tawa rakan-rakan mereka yang lain.

Bengang Kam bila Tan memperlekehkannya. “Aku mana boleh minum. Nanti Lin marah,” katanya perlahan. Lin adalah tunangnya. Mereka sudah saling mengenali dari kecil lagi. Hujung tahun ini mereka akan berkahwin.

“Nanti Lin marah,” Tan mengajuk cakap sahabatnya itu. Siap dengan memek muka sekali. Yang lain ketawa berdekah-dekah. Bertambah marah Kam pada Tan. Rakannya itu tak sudah-sudah mengenakannya. Dari zaman sekolah lagi Tan suka sangat membulinya.

“Eh Kam, aku sudah lama mahu tanya soalan ini pada kau. Kau dengan Lin dah buat ‘benda’ tu?” Meng tersenyum-senyum penuh makna. Kedua jari telunjuknya dirapatkan.

“Benda apa?” Kam bertanya lurus bendul. Jawapannya membuatkan semua orang ketawa. “Apa?” soalnya hairan. Apa yang lucu sangat dengan jawapannya itu?

“Kan aku dah cakap. Kawan kita ni teruna lagi,” Tan tidak melepaskan peluang untuk memalukan lelaki itu lagi. Niatnya berjaya bila Kam digelakkan kawan-kawan mereka lebih teruk dari tadi. Kenyataan yang Kam masih lagi teruna di usia 25 tahun cukup melucukan mereka semua.

Merah padam muka Kam. Bertambah-tambah rasa sakit hatinya pada Tan. “Kalau teruna pun apa salahnya?” bidasnya geram.

“Rugilah oo! Kau cuma dapat ‘rasa’ Lin saja. Kau tak akan ada peluang rasa perempuan lain. Tak ‘ong’ hidup” Meng tersengih menyakat kawannya.

“Aku tak kisah. Aku cinta sama Lin. Aku nak setia pada dia saja,” balas Kam yakin.

“Aku tahu. Tapi kalau kau tak pandai layan Lin, dia akan cari lelaki lain,” Tim mengangkat-angkat keningnya, cuba untuk menakut-nakutkan Kam.

“Aku kenal Lin. Lin takkan buat macam tu dekat aku,” Kam membela tunangnya. Tapi dalam hati dia sudah mula gusar. Dia tidak dapat membayangkan Lin sanggup meninggalkannya hanya kerana dia bukan lelaki sejati di ranjang.

“Kau belum kahwin, mana kau tahu? Cuba kau tanya kawan-kawan kita yang sudah berkahwin,”

Kam memandang rakan-rakannya. Yang mana sudah ada isteri semua terangguk-angguk macam burung belatuk.

“Orang perempuan ni bila kahwin, mereka mahu ‘benda’ itu saja. Kalau kau tak pandai bagi, nanti mereka cabut lari,” Tim terus menakut-nakutkan Kam. Daripada riak muka Kam, dia tahu Kam sudah termakan dengan kata-katanya.

“Macam mana ni? Hujung tahun ni aku akan kahwin dengan Lin,” Kam mula menggelabah.

“Jangan risau kawan. Sempat lagi kau nak belajar,” Meng menepuk-nepuk bahu sahabatnya. “Kau tak boleh tengok buku aje. Buku tak boleh ajar kau cara nak puaskan perempuan,” sendanya. Dia tahu Kam ni ulat buku. Kebanyakan masanya dihabiskan dengan belajar sahaja. Kerana itulah Kam mendapat jolokan ‘nerd’ di kalangan teman-temannya.

Muka Kam terasa panas. Dia akui dia tidak banyak bersosial seperti kawan-kawannya yang lain. Masanya banyak dihabiskan dengan mentelaah pelajaran. Pertunangannya dengan Lin pun atas aturan orang tuanya. Kalau orang tuanya tidak masuk campur sampai bila-bila dia tidak akan beristeri agaknya.

“Tan, kau bagi tunjuk ajar sikit pada kawan kita ni. Biar dia tahu sedikit cara nak layan perempuan,” arah Meng. Sengaja dia menyuruh Tan kerana dia kerana dia tahu lelaki itu memang kaki perempuan. Petik jari sahaja Tan boleh memikat mana-mana wanita yang disukainya.

“Mestilah! Aku tak naklah dia jadi tunggul atas katil masa malam perkahwinan dia dengan Lin nanti!” kutuk Tan selamba. Sekali lagi Kam menjadi bahan gelak kawan-kawannya. Merah padam muka Kam. Tak guna punya Tan. Marahnya dalam hati.

Tan sengih menampakkan giginya yang putih berkilat. “Jangan marah kawan. Aku gurau sajalah,” Bahu Kam ditepuk-tepuknya.

Kam tetap mencuka. Menyesal dia datang sini. Percuma sahaja dia ‘dilaukkan’ Tan.

DALAM perjalanan balik ke rumah sewa usai bertemu kawan-kawannya di kelab, hujan tiba-tiba turun. Kam yang menunggang motosikal terpaksa menumpang teduh di bawah deretan rumah kedai cina lama. Semasa menunggu hujan berhenti dia terperasan seorang gadis yang turut menunggu sepertinya. Gadis itu hanya menundukkan mukanya. “Adik nak balik mana?” Kam cuba-cuba bertanya.

“USM,” sepatah gadis itu menjawab. Mukanya langsung tidak diangkat.

Meremang bulu roma Kam mendengar jawapan gadis itu. Entah-entah perempuan ni hantu tak? Sudahlah dia bertembung dengannya di sini malam buta begini.

“Adik ni hantu ke?” mulut celuparnya terus bertanya.

Spontan terlepas ketawa gadis itu. Perlahan-lahan dia mengangkat wajahnya. “Saya manusia, jangan bimbang,” balasnya lembut.

Kam tak percaya. Dia jeling-jeling ke lantai. Lega hatinya bila kaki gadis itu jejak ke tanah. Betullah manusia!

Tidak lama kemudian hujan pun berhenti. Kam sudah bersiap sedia untuk balik bila dia perasan gadis itu masih terpacak di situ. “Adik tak nak gerak lagi ke?” soalnya.

“Saya tunggu teksi,” jelas gadis itu.

“Malam-malam teksi tak lalu sini dik,” jelas Kam.

Jelas terpapar kebimbangan di wajah gadis itu bila dia memberitahunya susah mendapat teksi di sini.

“Macam ni, apa kata abang hantar adik balik asrama?” cadang Kam.

“Eh tak payahlah!” gadis itu pantas menolak. Segan agaknya.

“Habis tu takkan adik nak tunggu sorang-sorang dekat sini? Kawasan ni bahaya tau,” beritahu Kam. Bukan dia hendak menakutkan gadis itu tapi itulah kebenarannya. Sini memang menjadi kawasan mat motor dan gangster bandar bersidai malam-malam. Kam bimbang sesuatu yang buruk mungkin akan terjadi pada gadis Melayu itu sekiranya dia terus menunggu di situ.

Ada riak serba salah di wajah bujur sirih gadis itu. “Abang bukan orang jahat kan?” gadis itu masih ragu dengan kebaikan yang ditunjukkan Kam.

“Adik boleh percayakan abang. Abang orang yang paling baik dalam dunia ni,” gurau Kam. Leluconnya mengundang tawa halus gadis itu. Tawa gadis itu memikat hati Kam. Cantiknya dia ni. Terkeluar pujian itu dalam hatinya. “Abang hantar ke asrama ya…” sengaja Kam menggantungkan ayatnya untuk mengetahui nama gadis itu.

“Hayati. Panggil Yati je,” gadis itu memberitahu namanya.

“Yati. Sedap nama tu,” puji Kam untuk membeli hati gadis itu. Tersenyum malu Yati bila dia memuji namanya.

Kam meletakkan beg pakaian Yati dalam raga motornya. Tanpa membuang masa Yati meloncat naik ke atas motosikal. Saat jemari Yati menyentuh bahunya Kam merasakan bagaikan terkena renjatan elektrik. Dia terkaku. Sentuhan gadis itu menimbulkan satu rasa aneh dalam dirinya. Rasa yang tidak pernah melanda dirinya sebelum ini. “Kenapa? Ada masalah ke?” suara Yati berkumandang di telinganya. Pelik agaknya bila dia masih tidak menghidupkan motosikalnya.

“Tak, tak.” kata Kam kalut. Mati lamunannya. Dia pun menghidupkan motosikalnya. Sekali hidup saja motosikal cabuknya terus ‘mengaum’ garang. Kam memecut motosikalnya menuju ke universiti tempat Yati belajar. Sepanjang perjalanan Yati tidak bercakap apa-apa. Kam lebih senang begitu. Dia ingin menghayati sentuhan hangat Yati itu.

Perjalanan selama sejam itu terasa begitu pantas. Sekejap sahaja mereka sudah sampai di kolej kediaman Yati.

“Terima kasih,” ucap Yati ketika dia menghulurkan beg baju gadis itu. Meskipun ucapan Yati itu dua patah sahaja tetapi cukup membuatkan hati Kam berbunga-bunga.

“Lain kali Yati tumpanglah motor abang lagi,” Kam bercanda dengan gadis itu.

Yati senyum simpul. “Tengoklah macam mana,” katanya. Hati Kam melonjak riang mendengar janji Yati itu.

Yati melangkah ke pintu masuk bangunan asramanya. “Yati!” panggil Kam. Yati berhenti berjalan. Dia berpaling semula. Senyuman penuh makna dilemparkannya pada Kam. “Baik-baik bawa motor tu,” pesannya sebelum berjalan semula.

Kam tidak terus pergi. Matanya mengikuti langkah demi langkah Yati mendaki anak tangga untuk naik ke bilik asramanya. Yati berhenti di tingkat satu dan melambaikan tangan padanya. Kam membalas lambaian gadis itu. Kemudian Yati menunjuk-nunjuk jam di pergelangan tangannya, tanda isyarat ‘sudah lewat’ dan meminta Kam supaya segera pulang ke rumah. Kam menggayakan isyarat dia mahu melihat Yati naik ke biliknya dahulu. Yati ketawa sebelum meneruskan langkahnya yang tertangguh tadi. Setibanya di aras empat Yati membelok ke kiri. Dia berhenti seketika bagi melambaikan tangan pada Kam. Bayang Yati menghilang selepas memasuki koridor yang menempatkan bilik-bilik di aras tersebut.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku