CINTA DI SUATU HARI
Bab BAB 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
282

Bacaan






BAB 2

BEBERAPAhari berikutnya, Kam masih belum dapat melupakan pertemuannya dengan gadis bernama Hayati itu. Wajah manis Yati asyik dikenang-kenangnya. Terdetik di hati Kam untuk pergi mencari gadis itu di universitinya. Tapi apa pula pandangan Yati nanti. Kam terus mengelamun tanpa mempedulikan bicara Lin yang duduk berhadapan dengannya.

“Kam! Kau dengar tak apa yang aku cakap?” Lin menguatkan sedikit suaranya bila Kam tidak memberi tumpuan pada cerita yang sedang dikisahkannya.

Kam tersentak. “Apa Lin?” Lin dipandangnya dengan mata terkebil-kebil.

“Tak ada apalah,” Lin senyum kelat cuba menyembunyikan perasaan hatinya. Dia terasa sebenarnya dengan sikap Kam yang tidak mempedulikannya.

“Maaf Lin. Aku fikirkan pasal kerja aku,” bohong Kam. Kalau Lin tahu aku tengah fikir pasal perempuan lain depan dia sekarang ni, nahas aku. Sempat lagi Kam berkata dalam hati kecilnya.

“Masalah kerja tinggal di tempat kerja sajalah Kam,” Lin bersuara lembut. Tangan Kam digenggamnya erat.

Kam merenung tangan Lin di atas tangannya. Cantik. Putih. Jemarinya halus lagi runcing. Tapi kenapa hatinya tidak terasa hangat dengan sentuhan tangan Lin itu?

KAM, jual sajalah motor buruk tu. Sakit mata aku tengok besi tua tu,” Lin mengadu dengan bibir dimuncungkan sebaik ternampak motosikal Kam yang diparking bersebelahan dengan kereta Proton Saganya di tempat letak kereta.

Kam buat-buat tidak dengar omelan Lin itu. Sejak ada kereta Lin tidak lagi mahu menumpang motosikalnya. Malu katanya. Sebagai seorang setiausaha di sebuah syarikat multinasional yang ternama dia harus menjaga imejnya. Pengalaman diketawakan rakan-rakan sekerjanya yang ternampak dia membonceng motosikal buruk Kam itu menyebabkan Lin ‘mengharamkan’ terus dirinya daripada menaiki motosikal itu.

“Beli sajalah kereta baru. Kau bukan tak mampu pakai kereta. Gaji kau kan banyak,” Lin mencucuk jarum.

“Nanti-nantilah,” balas Kam acuh tak acuh.

Lin tarik muka lagi. Itu sahajalah alasan Kam bila dia menyuruhnya membeli kereta baru. “Lepas kita kahwin kau jangan naik benda tu lagi. Aku tak mahu anak kita malu nanti,” dia mengangkat jari telunjuk, meletakkan syarat.

“Yalah,” malas bertekak Kam ikutkan sahaja kehendak tunangannya itu.

Senyum lebar Lin. Dia tahu Kam tidak akan berani membantah cakapnya.

TAMATwaktu kerjanya di kilang Kam singgah di warung cendol kegemarannya. Maniam tauke warung menegurnya ramah. Dia sudah kenal dengan anak muda itu yang sering datang ke warungnya. “Dey tambi, mau apa?” tegurnya ramah.

“Cendol satu. Buat macam biasa annnee!” Kam melaung pada lelaki India itu.

“Wokeh!” Maniam pantas menyiapkan pesanan yang diminta Kam. “Lin mana? Tak datang skali ka?” Maniam menghantar mangkuk berisi cendol ke meja yang ditempati Kam.

“Lin sibuk dengan kerja dia. Tak ada masa nak datang sini,”

Mulut Maniam bergerak-gerak. Tapi di saat-saat akhir dia menelan kata-katanya itu. Tidak, baik dia tidak mengatakannya. Maniam pun tidak pasti apa yang dia nampak itu betul ataupun tidak. Dua hari lepas Lin ada datang ke warungnya. Wanita itu bersama lelaki lain. Dan lelaki itu bukan Kam. Lin nampak mesra ‘semacam’ dengan lelaki misteri itu. Dan bila Kam mengatakan Lin sibuk memanjang firasat Maniam pula mengatakan sesuatu.

“Ada apa Maniam?” tanya Kam bila Maniam seperti ingin mengatakan sesuatu padanya.

Maniam senyum sebelum geleng. Kemudian dia berlalu untuk melayan pelanggan yang baru datang ke warungnya.

“Adik manis mau apa?” Kam terdengar Maniam bertanya.

“ABC satu annnee. Bungkus tau,”

Kam berhenti makan. Macam kenal sahaja suara gadis itu. Lantas dia mengangkat kepalanya.

Yati. Gadis itu memakai blaus panjang dan skirt labuh berbunga-bunga. Rambutnya yang diikat dengan skarf terburai-buai ditiup angin petang.

“Yati!” Kam pun menegur gadis itu.

Yati pusing. “Eh, awak!” sapanya mesra.

Maniam pandang-memandang keduanya. Macam kenal je mereka ni. Lebih-lebih lagi bila dia melihat Kam beria-ria mengajak gadis itu duduk di mejanya. Ditebak rasa ingin tahu Maniam pun bertanya ketika dia membawa ABC gadis itu ke meja Kam. “Kam, siapa gadis ni?” gadis itu tersenyum padanya.

“Kawan saya annnee,” Kam memberitahu.

“Oh,” Maniam angguk faham.

Maniam balik semula ke tempatnya. Memandangkan tiada lagi pelanggan baru dia memutuskan untuk mengintai gerak-geri Kam dengan rakan perempuannya itu. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Senyuman sinis. Kawan ke macam tu? Dia berkata dalam hati. Maniam nampak dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Kam tidak mengalihkan matanya daripada gadis di depannya itu. Tidak keterlaluan untuk dia katakan lelaki cina itu seperti menaruh perasaan pada gadis cantik itu. Tapi setahu Maniam lelaki itu sudah bertunang dengan Lin. Hanya baru-baru ini sahaja Lin seperti ada lelaki lain di belakang Kam. Dan kini Kam pula ‘buat hal’. Entahlah. Pening kepala Maniam memikirkan kedua-dua pelanggan tetapnya itu.

Seketika berbual-bual Yati pun meminta diri. Kam tidak melepaskan peluang untuk menghantar gadis itu balik. “Tak apalah. Saya tak nak susahkan awak. Lagipun universiti saya agak jauh dari sini,” Yati menolak secara berhemah. Sebenarnya dia segan hendak menumpang lelaki itu. Tempoh hari pun sebab Yati terdesak untuk balik ke kolej kediamannya.

“Saya tahulah. Sebenarnya Yati malu nak naik motosikal cabuk saya tu,” kata Kam sedih. Lin pun malu nak naik motosikalnya itu.

“Bukan! Bukan macam tu!” Yati membetulkan dalam tawa kecilnya. “Sebenarnya lepas ni saya nak pergi beli barang sedikit,”

“Ha! Kalau macam tu kita pergi KOMTAR!” Kam bersuara agak kuat.

“Err… err… sebenarnya saya pun ada nak beli barang. Jadi baiklah kita pergi sekali,” Kam cepat-cepat menjelaskan pada Yati yang nampak terkejut dengan reaksinya.

Yati ketawa tertahan-tahan. “Luculah awak ni. Teruja sampai macam tu sekali nak pergi KOMTAR,” ujarnya dalam tawanya yang masih bersisa.

Kam senyum sumbang menyembunyikan perasaan malunya. Apa nak buat, dia memang teruja untuk menghabiskan masa bersama gadis itu. Setiap kesempatan yang datang tidak mungkin akan dilepaskannya begitu sahaja.

SERONOK keluar dengan Yati. Yati tak banyak kerenah, tak macam Lin. Bukan niat Kam untuk membandingkan mereka berdua tetapi itulah kenyataannya. Dengan Lin, dia kena banyak bersabar. Kena banyak beralah. Lin mahu dirinya ditatang penuh, seperti puteri raja. Bukan Kam tak suka memanjakan kekasihnya. Lin baik tapi ada ketikanya Kam mahu Lin mengambil berat hal akan dirinya. Semenjak bekerja, perangai Lin sudah banyak berubah. Semakin hari gadis itu semakin kuat mengongkongnya. Bohonglah kalau dia tidak rimas bila setiap tindak-tanduknya ditentukan Lin tapi memandangkan Lin bakal menjadi isterinya tak lama lagi, Kam tidak mahu bergaduh dengan tunangnya itu.

“Fikir apa tu? Kekasih ya?” soalan Yati mencantas lamunan Kam soal Lin. Soalan Yati itu dijawabnya dengan satu sengihan.

“Keluar dengan saya ni, kekasih awak tak marah ke?” Yati cuba menduga.

“Eh, taklah!” Kam mengauta. “Yati macam mana, dah ada kekasih?” dia merisik-risik pula status gadis itu. Berdebar juga dia menunggu jawapan yang keluar dari mulut Yati. Sudah berpunya ataupun belum gadis itu?

“Ayah tak bagi Yati bercinta masa belajar,” Yati memberitahu secara berkias.

Gembiranya hati Kam bila mendapat tahu Yati masih bujang. Tapi perasaan itu disorokkannya dengan baik sekali. Kam tidak mahu Yati tahu niat sebenarnya bertanyakan soalan itu. Lalu dia pun berkata. “Betul kata ayah Yati tu. Tak bagus bercinta masa belajar ni,” nadanya diseriuskan tanda menyokong nasihat ayah gadis itu. Yati senyum sahaja bila Kam menyetujui pendapat ayahnya itu.

BALIK ke rumah sudah ada yang menanti kepulangannya. Bukan satu tapi tiga orang! Di rumah sewa itu Kam tinggal berdua dengan Meng. Tapi rumah itu selalu menjadi tempat lepak rakan-rakan mereka yang lain. Siapa lagi kalau bukan Tan dan Tim. Tidak betah tinggal sebumbung dengan isteri-isteri mereka yang kuat membebel, masing-masing lari ke rumah bujang kawan mereka.

“Kam, kau dari mana?” Meng bertanya dengan kuat, cuba melawan kebisingan suara pelakon-pelakon dalam drama televisyen yang sedang ditontonnya itu.

“Dari kedai mamaklah,” Kam meletakkan helmetnya di atas rak kasutnya.

“Banyaklah kau punya kedai mamak! Aku nampak kau dekat KOMTAR tadi. Dengan perempuan cantik pulak tu,” Tan membocorkan rahsia lelaki itu.

Pucat seketika muka Kam. Alamak, pecah tembelang aku! Bisiknya dalam hati. Dia lupa KOMTAR tu port lepak nombor satu Tan. Lelaki itu suka sangat datang ke KOMTAR. Kalau ada orang yang boleh berumahtangga dekat KOMTAR, Tanlah orang pertama yang melakukannya.

Tan senyum senget. “Aku kenal perempuan tu. Dia perempuan kelab malam kan?” mulut cabulnya menuduh.

“Yati bukan perempuan kelab malamlah!” berang Kam bila Tan menuduh Yati perempuan bukan baik-baik.

“Ooo, Yati namanya…” terkekek-kekek Tan ketawa. Dia tak kenal pun perempuan tu sebenarnya. Dia hanya ingin mencungkil rahsia nama perempuan yang didampingi Kam itu.

“Apa jadi ni Kam? Kau kata kau mahu setia dengan Lin saja. Sekarang ni apa cerita?” Meng mengangkat kening.

“Aku pun tak tahu. Aku rasa aku sudah jatuh sukalah sama perempuan tu,” Kam meluahkan perasaannya pada kawan-kawannya.

“Yati tahu tak hubungan kau dengan Lin?” Tim menyampuk.

“Dia ingat aku bercinta saja dengan Lin. Dia tak tahu Lin tu tunang aku,” keluh Kam.

“Apa susah? Kau layan saja dua-dua ma,” jawab Tan mudah. Dia buaya darat, jadi tak hairanlah dia mengemukakan solusi itu. Meskipun sudah berkahwin, Tan tetap menjalankan hubungan dengan ramai perempuan. Alasannya hidup hanya sekali. Jadi dia ingin menjalani hidup sepuas-sepuasnya dengan mengenali wanita sebanyak-banyaknya.

“Gila kau! Mati aku kena bunuh dengan Lin nanti!” marah Kam. Cadangan Tan itu tak munasabah langsung. Solusi itu hanya sesuai untuk mata keranjang seperti Tan.

“Kam, aku rasa baik kau jangan jumpa perempuan tu lagi. Lin mesti marah punya kalau dia dapat tahu kau ada perempuan lain belakang dia,” Meng memberi nasihat pada Kam. Kam angguk lemah. Dia akui kebenaran kata Meng itu. Apa yang dibuatnya ini salah sama sekali. Lin tunangnya merangkap bakal isterinya. Dia seharusnya tidak mencurangi wanita itu. Kesetiaan Lin tidak seharusnya dibalas dengan tuba.

Tapi Yati… sukar untuk Kam menafikan tarikan yang ada pada gadis itu. Matanya yang bundar. Bibirnya yang menawan. Suaranya yang lunak. Aduh, dia sudah gila bayang!

“Kau berangan pasal perempuan tu ke?”

Mati senyuman di bibirnya. Tiga pasang mata sedang memandangnya sekarang. Muka Kam kemerah-merahan. Malu terang-terangan ditangkap sedang berangan-angan.

“Aku rasa kawan kita ni sudah mabuk cintalah,” Tim bersuara perlahan. Dia menggeleng sendiri.

AH BA, kenapa ah ba kahwin dengan ah ma?” Kam bertanya pada ayahnya petah ketika dia menemani ayahnya di bengkel kayunya suatu hari.

“Sebab ah ba boleh jaga ah ma lo,” Lim menjawab sambil lewa. Tangannya cergas mengetuk-ngetuk paku dengan penukul supaya masuk dalam pelapik kayu yang dibuatnya.

“Bukan sebab ah ba cinta sama ah ma?” Kam bertanya lagi.

“Cinta? Ada apa dengan cinta?” Lim ketawa berdekah-dekah. Dia meletakkan tukul di atas tanah dan pergi mendapatkan anaknya. “Kam, lu dengar nasihat ah ba ni. Bila kau nak kahwin nanti jangan kau kahwin dengan perempuan tu sebab cinta. Pilih perempuan tu sebab dia boleh jaga kau, faham?” tegas Lim mengingatkan anaknya.

“Baik ah ba,” ujar Kam patuh. Ada kepuasan di wajah Lim bila anaknya mahu menuruti nasihatnya itu.

Kam teringatkan perbualannya dengan ayahnya suatu masa dahulu. Berulang kali ayahnya mengungkapkan kata itu padanya. Pesanan ayahnya itu tersemat kukuh di dada Kam. Dek kerana itulah dia memilih Lin sebagai calon isterinya. Kam yakin Lin mampu menjaganya sebaik ibunya menjaga ayahnya. Tapi kini Kam jadi ragu-ragu sendiri. Benarkah cinta itu tidak penting dalam sesuatu hubungan? Atau dalam erti kata lain cinta itu apa sebenarnya? Kam mengimbas hubungannya dengan Lin. Cintakah dia pada wanita itu? Kam mula ragu-ragu sama ada dia benar-benar mencintai Lin. Lin orang yang paling lama dikenalinya. Mereka membesar bersama, satu sekolah kemudian belajar di universiti yang sama pula. Cuma jurusan yang dipilih sahaja berbeza. Dia memilih jurusan kejuruteraan elektrik manakala Lin pengurusan pejabat. Tapi itu tidak merenggangkan hubungan mereka. Tamat sahaja pengajian Kam melamar Lin menjadi isterinya. Tanpa banyak soal Lin menerimanya. Yang paling gembira sudah tentulah orang tua mereka. Sudah lama ibu bapanya dan orang tua Lin menyimpan hasrat untuk berbesan.

Hubungan mereka berdua cukup mudah. Tidak ada kesukaran sedikit pun. Namun semuanya berubah bila Yati muncul dalam hidupnya. Semuanya jadi rumit.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku