CINTA DI SUATU HARI
Bab BAB 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
273

Bacaan






BAB 3

ENTAHapa permainan takdir padanya. Sekali lagi dia bertembung dengan Yati. Kali ini dalam kapal terbang pula.Tempat duduk dia dengan Yati sebelah-menyebelah!

Kam garu kepala tak gatal. Begitu banyak flight MAS ke Sandakan. Kenapa dia dan Yati mesti ada dalam penerbangan yang sama?

“Kenapa? Tak selesa ke? Saya boleh duduk tempat lain,” tuntas Yati bila Kam serba tak kena dengannya. Telahnya lelaki itu tidak senang mereka duduk di baris seat yang sama. Kebetulan ada banyak tempat kosong dalam kapal terbang itu. Dia boleh bertukar tempat duduk jika Kam tidak selesa duduk di tepinya.

“Eh, bukan macam tu! Saya cuma…” Kam mencari-cari alasan yang sesuai supaya tidak menyinggung perasaan gadis itu. “Saya pening kepala sikit,” dia pura-pura memicit-micit kepalanya.

“Nak muntah ke? Saya boleh panggilkan pramugari,” Yati sudah bersedia untuk meminta bantuan pramugari yang berdiri berhampiran mereka.

“Tak perlulah panggil pramugari. Pening sikit aje ni,” Kam menghalang Yati daripada memanggil pramugari perempuan itu.

“Betul ke ni?” soal Yati dalam-dalam.

Kam mengangguk. Matanya dipejamkan. “Saya nak tidur sekejap. Nak hilangkan pening kepala ni,” Kam buat-buat pejam mata. Dia sebenarnya tidak mahu bercakap dengan Yati. Takut perasaannya bergelora lagi kalau berbicara dengan Yati!

“Berehatlah. Nanti bila dah sampai saya kejutkan awak,” sayup-sayup kedengaran suara Yati sebelum dia terlena.

“Encik, bangun. Kita dah sampai ni,” satu suara mengejutkannya. Bahunya digoncang lembut. Kam membuka mata. Wajah manis pramugari itu ditatapnya dengan perasaan keliru. Kam merenung tempat duduk yang kosong. “Cik sebelah saya ni mana?” dia menyoal pramugari bernama Cheryl itu.

“Cik ni dah turun. Dia pesan pada saya suruh kejutkan encik,” terang Cheryl.

Kam mengeluh kehampaan. Sampai hati Yati meninggalkannya begitu sahaja!

KAM merebahkan tubuh di atas katil. Penatnya! Sedang bermalas-malas dia jadi teringat yang dia belum menghubungi Lin lagi. Sudah menjadi kebiasaannya untuk mengabarkan pada tunangnya setiap kali dia outstation ke mana-mana. Kam menyeluk poket seluarnya. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Nombor Lin didailnya. Lama menanti barulah panggilannya berjawab. “Hello Lin, aku dah sampai,” Kam ingin bercakap lebih lama lagi tetapi Lin seperti terburu-buru dalam talian. “Okay,” itu sahaja yang Lin ucapkan sebelum memutuskan perbualan mereka. Tiada lagi wanita itu berpesan itu dan ini seperti selalunya. Kam tidak kisah. Sejak dinaikkan pangkat menjadi pembantu peribadi bosnya dunia Lin hanyalah berkisar soal kerjanya. Dirinya sudah jatuh nombor dua dalam hidup gadis itu. Kam berharap Lin tidak terbawa-bawa sikap gila kerjanya bila mereka berkahwin nanti.

Kam turun makan bersendirian malam itu di restoran yang berhadapan dengan hotelnya. Janggal pula rasanya makan seorang bila meja-meja di kiri kanannya semuanya dipenuhi dengan pelanggan yang datang beramai-ramai. Ada yang berdua, ada juga yang datang dengan keluarga mereka. Sunyinya terasa tatkala dia mendengar perbualan meriah orang-orang sekelilingnya.

Selepas mengalas perut Kam tidak terus balik ke hotel sebaliknya dia berjalan-jalan di pasar malam yang berdekatan dengan hotel. Dia ingin membeli sedikit buah tangan pada Lin. Jalan punya jalan dia berhenti di sebuah gerai yang menjual barangan wanita. Semasa membelek-belek barangan yang dijual di gerai itu pandangannya jatuh pada sehelai selendang sutera. Corak pada selendang itu kebetulannya menepati cita rasa Lin. Kam bercadang untuk menghadiahkan selendang itu pada tunangnya.

Ketika dia ingin menarik selendang itu daripada selendang-selendang lain yang banyak bergantungan ada satu tangan turut berbual hal yang sama. Mungkin menyedari mereka menginginkan benda yang sama mata mereka berpadu. Kam tergamam. Yati!

Yati tersenyum penuh malu. Dalam gerak perlahan dia menyorokkan wajahnya di balik helaian selendang. Bila Kam menyelak selendang yang menabiri pandangannya itu Yati sudah tiada.

Kam berlari keluar daripada gerai itu. Meliar matanya mencari kelibat gadis itu. Tapi Yati tidak kelihatan di mana-mana.

Kam garu kepala. Perasaan diakah tadi? “Abang mau beli ini selendang?” penjual wanita itu bertanya padanya. Kam geleng. Dia tidak jadi membeli selendang itu.

Kam terus berjalan-jalan di pasar malam itu dengan harapan dapat bertemu dengan Yati. Tapi Yati tetap gagal diketemuinya. Dia hampir putus asa, sehinggalah dia sampai di gerai terakhir di hujung jalan. Memang dia tidak bermimpi. Yati sedang membelek-belek barang perhiasan yang dijual di gerai itu. “Belilah. Rugi tau kalau tak beli. Bukan selalu kita dapat datang sini,” Kam berkata semasa mendekati gadis itu.

Yati senyum sahaja sebelum kembali meletakkan kalung manik itu ke tempatnya.

Kam mengangkat kalung manik itu. “Bang, ini berapa?”

“Sepuluh ringgit, bang,” penjual lelaki itu memberitahu harganya.

“Mahallah. Kasi marahlah bang,” Kam tawar-menawar dengan lelaki itu.

“Murah bah. Kalung itu bukan kalung biasa. Ini kalung mistik. Pasangan kekasih yang memakainya mereka akan bersama sampai bila-bila,” beria-ria penjual itu mencanang kehebatan kalung itu.

Yati tidak percaya omongan si penjual. Baginya lelaki itu mengolokkan mereka sahaja supaya membeli kalung itu. Tapi dia lihat Kam tetap membelinya. Untuk kekasihnya mungkin, teka Yati dalam hati.

Terperanjat Yati bila Kam tiba-tiba memakaikan kalung itu di lehernya. Bertambah-tambah rasa segannya bila penjual lelaki itu tersenyum-senyum dengan aksi mereka berdua. “Cantik bah! Sesuai yang amat!” pujinya melambung. Panas muka Yati menerima pujiannya. Pasti penjual itu beranggapan mereka ini pasangan kekasih.

“Cantik. Sesuai dengan Yati,” Kam membisikkan mesra di telinga gadis itu.

Yati terasa ingin menyorokkan mukanya tika itu juga. Dia sudah tidak tahu apa warna merah di mukanya sekarang!

KESEJUKANudara yang berhembus dari penghawa dingin di dinding tidak dirasakan Lin langsung. Dengan manja dia meletakkan kepalanya di atas dada Meng. Tubuh Meng didakap. Meng mengelus-ngelus lembut rambut Lin. Mata Lin terpejam, menghayati sentuhan Meng itu. Belaian Meng sentiasa ditagihnya walaupun sudah banyak kali mereka bersama.

“Lin, Kam balik sabtu ni tau,” Meng memberitahu wanita itu.

“Boleh tak jangan sebut pasal dia? Aku tak suka,” kata Lin dengan mata terpejam.

“Kenapa? Dia kan tunang kau,” lembut suara Meng namun mencucuk-cucuk telinga Lin. Spontan dia membuka mata. Meng ditenungnya tajam. “Sebab dia tunang akulah aku tak suka. Aku akan jadi bersalah pada Kam bila kau sebut nama dia,”

“Tapi kau seronok bersama aku kan?”

Lin tidak menjawab. Soalan Meng itu tidak perlu dijawab pun. Meng memang tahu apa jawapannya. Kalau dia tidak seronok masakan dia mahukan belaian lelaki itu. Semasa Kam tiada sahajalah dia boleh bersama Meng. Kekerapan lelaki itu outstation kebelakangan ini membolehkan dia berjumpa Meng tanpa had. Sesekali Lin rasa bersalah juga kerana mengkhianati Kam. Tapi dia tidak boleh menipu dirinya. Sudah banyak kali dia meminta agar mereka tidak perlu menunggu ikatan suami isteri untuk mengadakan hubungan. Kam yang tidak mahu. Lelaki itu tegar dengan prinsipnya untuk memulakan segala-galanya pada malam perkahwinan mereka. Puas dia menggoda, merayu untuk dimesrai tetapi Kam enggan. Asuhan keluarganya yang menyebabkan Kam menjadi begitu. Lin kenal orang tua Kam. Mereka memang tegas mendidik Kam. Ayahnya pula merupakan bekas seorang guru.

Meng tahu apa yang sedang difikirkan Lin. Api cemburunya menyala kerana tahu wanita itu sedang teringatkan Kam. Sungguhpun dia sudah memiliki jasad Lin tetapi hati Lin masih gagal diraihnya sepenuhnya. Kam, dia sentiasa cemburukan lelaki itu. Sejak dari zaman persekolahan lagi Kam sentiasa mendahuluinya. Pelajaran, sukan dan seterusnya wanita. Meng sebenarnya sudah lama menaruh hati pada Lin tapi Lin pula memilih Kam. Lama Meng makan hati akibat ditolak Lin.

Peluangnya tiba bila satu hari Kam meminta dia menengok-nengokkan Lin kerana dia mempunyai kursus selama tiga bulan di Singapura. Meng tidak membantah kerana itu memang tugas wajibnya setiap kali Kam bertugas di luar daerah.

Kepergian Kam yang lama menyebabkan Lin kesunyian. Dia pula kerap menemankan wanita itu. Hinggalah suatu ketika mereka terlanjur. Meng menodai Lin yang pada waktu itu sedang mabuk. Mulanya Lin marah kerana dia telah mengambil kesempatan padanya. Tetapi nafsu wanita itu lebih kuat. Pujuk rayu Meng menyebabkan mereka terlanjur lagi sehinggalah terjadinya hubungan terlarang ini.

“Meng….” seru Lin dengan suara serak-serak basahnya.

Suara Lin membawa Meng kembali ke alam nyata. Jari-jemari Lin bermain-main nakal di dadanya. Meng senyum sinis. Dia tahu apa yang diinginkan wanita itu. Di sinilah letaknya kelebihan dia berbanding Kam yang dia gunakan sebaik-baiknya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku