CINTA DI SUATU HARI
Bab BAB 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
280

Bacaan






BAB 4

CANTIKkalung dekat leher. Kekasih ke yang bagi?” Maimunah mengusik bila perasan ada kalung yang menghiasi leher adiknya.

“Mana adalah. Kawan yang bagi,” Yati meleretkan suaranya.

“Kawan lelaki ke perempuan?” soal Maimunah lagi.

Yati rasa nak tercekik. Rasa nak tampar mulut sendiri pun ada. Kenapalah dia cakap kawan? Patut dia cakap beli aje. Habis cerita.

“Kawan lelakilah ni,” Maimunah membuat kesimpulan sendiri. Memek muka adiknya mengesahkan lagi teorinya.

“Tapi dia sibuklah akak,” Yati cuba mengelak.

“Hai, bawa anak dara ke hulur ke hilir tak sibuk. Suruh datang ke rumah sibuklah pulak,” Maimunah menyindir.

Yati terasa dengan perlian kakaknya. “Tapi kami bukannya ada apa-apa pun,”

“Tak kisahlah ada ke tak ada. Istimewa ke tak istimewa. Yang penting akak nak kenal dengan siapa adik akak ni berkawan,” Maimunah berhujah.

Yati mengeluh dalam hati. Cakap akaknya kalau A bukan boleh dibuat B. “Yelah, nanti Yati ajak dia datang ke rumah,” dia akur.

YATI mundar-mandir di lobi hotel. Tidak dipedulikan mata-mata yang memandang gelagatnya itu. Dia sedang berlatih dialog sesuai untuk diutarakan pada Kam bila mereka berjumpa nanti. Dia tidak mahu ayat yang digunakannya akan menyebabkan lelaki itu salah faham dengan maksud jemputannya itu.

“Yati…” Yati terdengar suara orang yang dinanti-nantikannya. Lalu dia berpusing. “Err... err… err…” suaranya pula tersekat sebaik berhadapan dengan Kam, tidak tahu untuk memulakan ayatnya. Segala ayat yang sudah siap-siap digubahnya tadi sudah terbang pergi meninggalkannya.

“Apa?” Kam ketawa bila gadis itu tergagap-gagap. Entah apa yang cuba disampaikan Yati padanya.

“Kakak Yati ajak datang makan dekat rumah,” kata Yati dalam sekali nafas.

Diam.

Kam keberatan untuk memenuhi undangan gadis itu. Dia keletihan setelah satu hari suntuk berkursus. Kalau boleh dia hanya mahu menghabiskan masanya dalam bilik sahaja.

“Kalau tak boleh tak apalah. Yati tak paksa,” Yati mulai lega bila lelaki itu seperti berat hati untuk memenuhi jemputan kakaknya. Dia pun tidak mengharapkan Kam dapat memenuhinya. Dia malu sebenarnya. Inilah kali pertama dia mengajak lelaki datang ke rumahnya.

“Boleh, tapi tunggu sekejaplah. Nak mandi dulu,” Kam memberi isyarat mahu naik ke biliknya dahulu sebelum meninggalkan gadis itu.

Melopong Yati. Disangkanya Kam menolak. “Kalau penat tak payahlah. Nanti Yati beritahu kakak Yati,” dia cuba mengubah fikiran lelaki itu.

Derap langkah Kam terhenti bila mendengar ayat Yati itu. Lantas dia memusingkan tubuh, berdepan dengan Yati semula.

“Tadi beria-ria ajak. Sekarang ni tak payah pula. Yang mana satu ni sebenarnya?” dia menjongket keningnya.

“Jadilah,” Yati sengih sumbang.

PINTU rumahnya diketuk bertalu-talu. “Sekejap!” Maimunah melaung. Dia meletakkan mangkup sup di atas meja makan sebelum berlari membuka pintu. “Pergi mana ni. Lambat sangat…” Maimunah tidak jadi membebel. Ternganga mulutnya. Lelaki di sebelah adiknya itu dipandang atas bawah. Allah, ini ke kawan Yati?

“Akak, inilah kawan yang Yati cakap tu,” Yati memperkenalkan Kam pada kakaknya.

“Apa khabar akak?” Kam menyapa ramah kakak Yati itu.

Masih tidak hilang gamam Maimunah. Dia kekal terpatung. “Akak…” Yati menyiku lengan kakaknya.

Maimunah sedar semula. “Eh, masuklah! Apa tunggu lagi?” dia membuka daun pintu luas-luas, mempersilakan tetamunya itu masuk.

“Cantiknya rumah akak,” Kam berbahasa dengan wanita itu.

“Terima kasih. Eh, duduklah dulu. Yati jom tolong akak dekat dapur,” tanpa berlengah Maimunah menarik adiknya ke dapur.

“Yati, kenapa kau tak cakap awal-awal kawan kau tu Cina?” bisik Maimunah sebaik mereka di dalam dapur.

“Akak yang tak tanya Yati,” Yati membela diri.

“Aku tak tanya sebab ingat kawan kau tu Melayu. Manalah aku tahu kawan kau tu Cina!” marah Maimunah tetapi dalam suara terkawal kerana takut didengari tetamu mereka di luar.

“Akak, dia tu kawan biasa jelah. Bukan kawan istimewa pun. Akak jugak yang kata kan istimewa ke, biasa-biasa ke, ajak jelah dia datang ke mari,” Yati mengulangi ayat kakaknya semalam. “Aduh!” terjerit dia bila kakaknya mengetuk kepalanya dengan sudip kayu. Kepalanya yang sakit digosok-gosok perlahan.

“Kawan biasa tak apa. Jangan nak lebih-lebih dengan budak tu. Kau tahu kan ayah kita ni macam mana,” keras suara Maimunah memberi amaran. Masih terpancar kerisauan di wajahnya. Bimbang Maimunah jika adiknya berpacaran dengan lelaki cina itu.

“Yati tahu kak. Akak jangan risaulah. Yati kawan biasa-biasa je dengan budak tu,” Yati menekankan perkataan ‘biasa’ tu.

“Sudahlah. Yati tolong akak angkut lauk-lauk ni cepat. Nanti apa pulak kawan kau fikir kalau kita berlama-lama dalam dapur ni,”

YATI ketawa dalam hati. Kasihan Kam. Dia nampak betapa susahnya lelaki itu hendak menelan makanan yang disediakan kakaknya. Tak kena dengan tekaknya agaknya.

“Tambahlah lagi. Jangan malu-malu,” Maimunah mempelawa bila melihat lelaki itu makan sedikit sahaja.

“Tak apa. Dah cukup ni,” Kam menolak Maimunah yang ingin menambah lauk ke dalam pinggannya.

“Dah berapa lama kenal dengan Yati?” Maimunah mengorek cerita perhubungan adiknya dengan lelaki itu.

“Kami baru aje kenal kak,”

“Dekat mana kenal?” koreknya lagi.

Yati menjeling kakaknya. Macam polis pencen kakaknya ni bertanya.

“Saya hantar Yati balik ke hostel dia,” terang Kam.

“Yati tumpang dialah masa bas Yati rosak hari tu,” Yati cepat-cepat menjelaskan dengan suara sedikit gugup.

“Oh, jadi kawan yang Yati cakap tu yang nilah,” lain macam senyuman di bibir Maimunah. Bertuah punya adik! Digorengnya aku hidup-hidup. Kata Yati tempoh hari kawan yang menolongnya bernama Kamisah. Rupanya lelaki ni!

YATI, cakap betul-betul dengan akak. Kau bercinta ke tak sebenarnya dengan lelaki tu?” Maimunah menyerang adiknya dengan soalan selepas tetamu mereka itu pulang. Lain macam bahasa tubuh adiknya dengan kawan lelakinya itu semasa mereka di meja makan tadi. Sekilas ikan di air Maimunah sudah tahu erti di jantan betinanya. Mereka nampak seperti sedang dilamun asmara!

“Kak, tadi kan Yati dah cakap. Yati dengan dia kawan je,”

“Mulut kata kawan. Manalah tahu dalam hati tu ada bunga dalam taman,” perli Maimunah.

“Betul akak. Yati tak apa-apa hubungan istimewa pun dengan Kam tu,”

Maimunah melabuhkan punggung di sebelah adiknya. Tangan adiknya dipegang. “Akak bukannya apa. Kau tahu kan ayah kita tu…” dia tidak menyudahkan ayatnya. Satu keluhan terbit dari mulutnya.

“Ayah tak suka. Yati tahu akak. Akak jangan risaulah. Yati janji Yati takkan lebih-lebih dengan lelaki tu,” Yati menggenggam erat-erat telapak tangan Maimunah. Dia memahami perasaan kakaknya itu.

“Janji ya dengan akak,” tidak hilang-hilang perasaan risau Maimunah itu.

“Ya akak. Yati janji,” Yati berjanji dengan kakaknya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku