CINTA DI SUATU HARI
Bab BAB 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
329

Bacaan






BAB 5

KAM memilih penerbangan pertama balik ke Pulau Pinang pagi itu. Kursusnya tamat sehari lebih awal jadi bolehlah dia balik cepat. Kepulangannya kali ini tidak diberitahu pada sesiapa pun, terutamanya Lin. Dia ingin membuat kejutan pada wanita itu.

Sepanjang perjalanan Kam asyik melihat tempat sebelahnya yang kosong. Memorinya memutarkan kenangan semasa dia dan Yati duduk bersama penerbangan hari itu. Kam tidak dapat membohongi perasaan hatinya. Dia sukakan Yati. Tapi pada masa yang sama dia sudah bertunang dengan Lin. Tidak mungkin dia akan meninggalkan Lin hanya kerana mengikut perasaan hatinya.

“Mungkin aku tiada jodoh dengan Yati,” hatinya berkata.

Sampai di lapangan terbang Bayan Lepas Kam mengambil teksi pulang ke rumahnya. Hari masih pagi ketika dia sampai di rumahnya. Pintu rumahnya terkangkang luas. Meng sudah bangun agaknya. Kam pun masuk.

Meng yang hanya berseluar pendek terkejut bukan kepalang melihatnya. “Kam, bukan kau patut balik sabtu ni ka?” soalnya cemas.

“Sayang, mari breakfast!” Lin keluar dari dapur. Terpandangkan Kam, wajah wanita cantik itu pucat macam mayat.

Kam bersilih-ganti memandang mereka berdua. Meng yang tidak berbaju. Lin yang memakai baju lelaki itu. Tidak perlu berfikir panjang dia sudah tahu apa yang berlaku. Penumbuk sulungnya digenggam. Boleh melayang buku limanya ke muka Meng jika dia ikutkan perasaan marahnya itu.

“Kam, aku boleh jelaskan. Aku dengan Lin…” Kam mengangkat tangan tidak mahu mendengar suara Meng. Lin yang masih pucat menjadi sasaran matanya. “Lin, pertunangan kita putus,” sejurus berkata dia terus keluar dari rumah.

SUKARNYA menerima kenyataan dirinya ditikam dari belakang oleh dua orang yang paling dipercayainya. Terasa seperti seluruh dunia ini mengetawakannya. Hidupnya tidak berseri lagi. Kelam seperti malam yang pekat. Selepas keluar dari rumah sewanya, Kam mengambil cuti dan balik ke rumah orang tuanya. Dia tidak mahu tinggal serumah dengan Meng si pembelot itu. Panggilan telefon Meng dan Lin yang bertali-arus masuk ke dalam telefonnya tidak dipedulikannya. Untuk apa dia mendengar suara dua orang itu sedangkan bukti sudah terbentang depan mata.

Dalam kesedihan itu Kam teringatkan Yati. Lantas motosikalnya dipecut ke universiti gadis itu.

Yati yang baru balik dari kelasnya terkejut melihat dia ada tercegat depan kolej kediamannya. Gadis itu bersama dengan teman-temannya.

“Yati sibuk tak? Saya nak ajak keluar makan,” ajakannya menyebabkan Yati menjadi mangsa usikan rakan-rakan gadis itu.

“Sebenarnya saya nak keluar makan dengan kawan-kawan saya sekejap lagi,” Yati bersuara sambil memandang rakan-rakannya.

“Tie, tak apalah! Kau keluarlah dengan marka kau ni. Kami pergi sendiri,” rakan-rakan Yati bergegas pergi tanpa menunggu balasan gadis itu.

“Eh, dia bukan kekasih akulah!” jerit Yati pada rakan-rakannya yang sudah jauh meninggalkannya. Masih kedengaran lagi usik-mengusik mereka itu.

“Kalau Yati tak nak tak apalah. Saya tak paksa,” kata Kam selepas rakan-rakan gadis itu pergi.

“Jadi ke tak jadi ajak ni?” Yati bergurau dengannya. Gadis itu mengulangi ayatnya semasa mereka di Sandakan dahulu.

Berderai tawa mereka berdua. “Tunggu sekejap boleh? Saya nak naik mandi dulu. Berlengas,” pinta Yati dengan senyuman tak lekang di bibirnya.

Kam tengok wajah Yati berpeluh-peluh. Memang cuaca hari ini panas menyengat. “Pergilah. Saya tunggu dekat sini,” katanya.

YATI merenung lelaki di hadapannya. Pelik. Cara Kam makan char kuey teow itu seperti orang yang sedang kebuluran. Tapi dia tidak berkata apa-apa. Dia sekadar memerhatikan tanpa suara. Hanya bila Kam menghabiskan makanannya barulah Yati berani mengeluarkan suaranya.

“Awak ada masalah ke?” tanyanya berhati-hati.

Hati Kam terusik. Nada itu penuh kelembutan. Nada itu mengingatkannya pada Lin. Ah, untuk apa lagi dia mengingati perempuan curang itu?

“Memang saya ada masalah. Dan saya sedang cuba melupakan masalah saya tu,” lemah suaranya.

Senyuman di bibir Yati tanda memahami. “Masalah takkan dapat dilupakan begitu sahaja. Masalah harus diluahkan. Jika tidak hati kita yang merana,” katanya halus.

Kam menarik nafas dalam-dalam cuba mengumpulkan kekuatan. Lambat-lambat dia membuka mulut. Kisah kecurangan Lin dengan Meng diceritakan pada gadis itu. Semasa dia bercerita Yati tidak mencelah. Dibiarkan Kam meluahkan kesakitan hatinya itu. “Saya rasa marah. Kecewa apatah lagi. Dua orang yang paling penting dalam hidup saya telah mengkhianati saya,” Kam menghembus nafas perlahan, melepaskan kekecewaannya.

“Ambillah seberapa masa yang awak perlukan untuk mengubat kepedihan hati awak tu,” Yati memujuk lelaki itu.

“Saya rasa saya takkan gembira lagi. Kebahagiaan hidup saya dah lenyap,” Kam berkata putus asa. Wajahnya kekal suram.

“Kebahagiaan pasti ada. Tuhan takkan berlaku kejam pada hamba-Nya. Terciptanya hujan bersama mentari menunjukkan betapa Tuhan memahami perasaan kita, manusia. Kita perlukan kesedihan sepertimana kita menginginkan kegembiraan” Yati membujuk lelaki itu.

Kam sudah mampu tersenyum sedikit selepas ditenangkan gadis itu. “Terima kasih Yati sebab awak sudi mendengar luahan hati saya ni,” ucapnya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku