CINTA DI SUATU HARI
Bab BAB 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
377

Bacaan






BAB 6

Di sebuah kebun sayur-sayuran, Cameron Highlands,

Tahun 2011.

Ah pa!Ah pa!”

Kam berhenti mencangkul tanah. Dia mengesat peluh yang berjejeran di dahinya dengan tuala Good Morning yang tergantung di lehernya. Marina atau lebih mesra dikenali sebagai Mary berlari-lari ke arahnya. Hampir terkeluar biji mata Kam bila melihat pakaian anaknya. Separuh kain sahaja yang membaluti tubuh genit Mary. Mengucap panjang dia.

Lim yang mencangkul bersama anaknya mula bising. “Anak lu tu tak ada duit ka nak beli baju yang elok sikit?” tidak berkenan dia melihat baju yang dipakai cucunya itu.

Kam diam sahaja mendengar bebelan ayahnya itu. Apa nak buat. Memang itu fesyen kegemaran anaknya. Sudah berbuih mulut dia menegur anaknya tapi tegurannya umpama mencurah air ke daun keladi. Mary tetap dengan fesyen yang dikatakannya up-to-date itu.

“Ah Pa! Oh, Ba Ba ada sekali ke? I missed you both so much!” Mary memeluk dan berlaga pipi dengan ayah dan datuknya. Kembang kempis hidung Kam dan Lim apabila bau perfume Mary menyinggah hidung mereka. Entah jenama wangian apa yang dipakai Mary.

“Mary, apa sudah jadi dengan rambut kau?” tegur Kam terpana. Rambut Mary yang dulunya hitam kini sudah bertukar keperang-perangan.

Surprise! Cantik tak?” Mary menggayakan rambutnya macam model iklan syampu.

Lim sudah menggeleng. Dalam bahasa ibundanya dia menyambung kerjanya sambil membebeli cucunya. Mary membuat muka kucam bila ditegur datuknya. “Ba Ba ni tak sportinglah,” rungutnya, dalam bahasa Mandarin juga.

“Ah ba, Mary, jangan gaduh,” Kam mendamaikan mereka berdua. “Mari kita balik rumah. Ah pa mahu masak makanan tengah hari,”

“Ah pa masak?” mata Mary membulat teruja.

“Mestilah. Ah pa masakkan lauk kesukaran Mary,” Kam menggula-gulakan anaknya. “Tak payahlah peluk ah pa. Baju ah pa ni kotor,” Kam mengelak daripada dipeluk anaknya. Dia tidak mahu lagi terbau minyak wangi pelik Mary yang memeningkan kepalanya itu. Mary sengih. “Tak dapat peluk ah pa, peluk Ba Ba lah,” dia memeluk manja datuknya.

Kam ketawa dalam hati bila muka ayahnya berkerut akibat terciumkan bau minyak Mary itu.

PINTU dibuka dan ditutupnya dengan berhati-hati. Kam melutut di tepi katil. Wanita yang terbaring kaku itu ditatap hiba. Tangan isterinya dicapai dan diletakkan ke pipinya. “Yati sayang, bangunlah. Abang rindukan Yati. Janganlah tidur lagi. Bangunlah,” dia merayu isterinya.

Tiada sebarang respons daripada Yati. Kelopak mata isterinya terkatup rapat. Hanya nafas di dadanya sahaja yang turun naik, tenang.

Mary yang mengintai di sebalik celahan pintu yang sedikit terbuka menitiskan air matanya tanpa sedar. Sentuhan lembut di bahunya membuatkan dia berpaling. “Kasihan sama ah pa kau. Sudah berpuluh tahun dia menunggu ah ma kau bangun. Tapi ah ma kau tak bangun-bangun. Malam-malam Ba Ba selalu dengar dia berdoa. Dia minta pada Tuhan supaya ah ma kau sedar kembali. Dia tidak mahu meninggalkan dunia ni tanpa melihat ah ma kau membuka matanya semula,” Lim berkata sebak.

“Ba Ba, ah ma akan bangun kan?” Mary meminta kata-kata berupa pengharapan daripada datuknya.

Lim menghela nafas. “Kata doktor, hanya keajaiban sahaja yang boleh buatkan ah ma kau bangun. Keajaiban itulah yang ah pa kau tunggu selama ni,” ujarnya.

UNTUKmenceriakan ayahnya Mary mengajak ayah dan datuknya keluar makan-makan di pekan Brinchang malam itu. Mulanya ayahnya berkeras tidak mahu pergi. Alasannya dia tidak mahu meninggalkan isterinya di rumah. Jadi terpaksalah Mary meminta tolong Kak Tijah, jiran sebelah rumah mereka untuk menengokkan ibunya sebentar. Itu pun ayahnya ada lagi songehnya. Bila ditanya ayahnya bimbang sepermegian mereka, ibunya pula sedar. Dan wajah pertama yang ibunya nampak bila dia sedar nanti adalah wajah Kak Tijah, bukannya dia.

Mary rasa nak tergelak. Kasihan pun ada pada ayahnya. Tinggi harapan ayahnya untuk melihat ibunya pulih kembali. Melaut kagumnya dengan kedalaman kasih ibu bapanya itu. Cinta mereka lebih hebat daripada filem Romeo and Juliet yang pernah ditontonnya.

Perasaan risau ayahnya masih terbawa-bawa hingga ke restoran. Naik lenguh tangan Mary yang disuruh ayahnya supaya menelefon kak Tijah setiap sepuluh minit. Ayahnya ingin memeriksa keadaan ibunya di rumah. Mary pening. Datuknya pening. Kak Tijah lagi-lagilah. Suaranya hampir serak sebab menjawab soalan yang sama banyak kali. Sudahnya Mary berbohong pada ayahnya dengan mengatakan telefonnya sudah kehabisan kredit. Mencuka ayahnya bila dia tidak dapat lagi menghubungi jiran mereka itu.

Hujung minggu pelanggan memang ramai di restoran makanan laut itu. Bagi menghiburkan pelanggan yang datang makan-makan di restorannya, tauke restoran itu memasang satu filem romantis Barat. Mary tidak berapa mengendahkan cerita itu kerana dia sudah banyak kali menontonnya. Datuknya Mary tahu memang tidak suka cerita orang putih.

Hanya ayahnya saja yang memberi tumpuan penuh pada cerita yang ditayangkan di kaca tv. Mungkin datuknya perasan jadi datuknya pun berkata padanya. “Mary, kau tahu tak ah pa kau pernah buat kerja gila dulu? Dia kena kerja di Singapura jadi dia panik. Dia suruh Ba Ba dengan Ma Ma pinangkan ah ma sebulan sebelum dia pindah. Yang buat Ba Ba marah dia lamar ah ma kau tak beritahu kami pun. Dia pergi guna duit gaji dia belikan cincin yang paling mahal untuk ah ma kau,”

“Ah ba!” ayahnya termalu sendiri bila datuknya membuka cerita lamanya.

“Tapi nasib baik ah ma kau bijak. Dia suruh ah pa balik bincang dengan kami dulu. Kalau kau nak tahu, ini satu sebab kami terima ah ma kau. Sebab dia pandai jaga hati orang tua….”

Kilang Yong Wah Industries,

Tahun 1991.

KAMmelangkah longlai keluar dari bilik Mr Teoh, pengurusnya. Bulan depan dia dan beberapa orang jurutera yang lain akan dipindahkan ke Singapura. Kilang tempatnya bekerja ada membuka cawangan baru di sana. Mereka memerlukan pekerja berkemahiran dari Malaysia untuk bekerja di situ.

Sedang dia bermuram durja sendirian Kelvin mendekatinya. “Kam, kau pun kena ke?” sibuk dia bertanya bila melihat muka cencorot Kam.

“Yalah, Kelvin. Aku pun kena,” kata Kam tidak bermaya.

“Tenanglah. Aku pun kena jugak. Kau tau dekat Singapore tu amoi dia cantik-cantik tau. Kau mesti suka punya tinggal sana,” Kelvin cuba menceriakan hati rakan sekerjanya itu.

Kam tetap muram. Dia berat hati hendak berpisah dengan Yati sebenarnya.

“Sedih nak tinggalkan buah hati ke? Kau kahwinlah dengan dia. Lepas tu kau ajak dia ikut kau pergi Singapore,” usik Kelvin lagi.

Kelvin hanya merapu. Tapi Kam pula memandang serius cadangan lelaki itu. “Thanks bro! You’re my life savior!” dia memeluk kuat bahu Kelvin.

Kelvin terpinga-pinga dengan kelakuan Kam itu.

YATI, sudikah awak menjadi isteri saya?” berdebar-debar Kam ketika mengungkapkan lamarannya itu. Restoran di Eastern And Oriental Hotel menjadi lokasi Kam menyatakan hasrat hatinya.

Yati terkedu. Kelu lidahnya dengan lamaran Kam yang tidak diduganya itu.

“Yati, sudi tak awak menjadi isteri saya?” Kam mengulangi lamarannya bila tidak mendapat respons gadis itu.

“Yati tak boleh beri jawapan sekarang. Yati kena tanya ayah Yati dulu. Kalau ayah Yati setuju barulah Yati bagi jawapan Yati,” Yati menjawab santun.

“Tapi Yati dah setuju kan?” desak Kam.

“Berbincanglah dengan keluarga awak dahulu. Yati juga akan berbincang dengan keluarga Yati,” jawab Yati berhemah. Dia tidak boleh membelakangkan orang tuanya dalam hal ini.

Kam kecewa bila lamarannya tidak berjaya seperti yang dirancangkannya. Rupanya bukan mudah untuk memenangi hati seorang gadis bernama Hayati.

TINGGAL lagi tiga minggu. Dia tidak boleh membazirkan masa yang berbaki sedikit ini. Hujung minggu itu juga Kam balik bertemu dengan ibu bapanya di kampung. Dia ingin meminta mereka pergi menyunting Yati untuknya.

Hampir-hampir Kam kena pelangkung kerusi dengan ayahnya. “Anak bertuah! Kau ingin kahwin macam main masak-masak ke?” jerkah Lim garang.

“Ah ba, tolonglah! Saya cintakan perempuan tu. Saya tak boleh hidup tanpa dia!” Kam melutut di depan ayahnya. Telapak tangannya dirapatkan meminta simpati ayahnya.

“Aku takkan bagi kau kahwin dengan perempuan Melayu tu! Keputusan aku ni muktamad!” bergegar suara Lim macam halilintar di langit.

“Ah ba, tolonglah pertimbangkan keputusan ah ba tu,” Kam menyembah ayahnya banyak kali. Tidak dipedulikan kepalanya yang sakit. Desakan kuat hatinya untuk memiliki Yati menyebabkan dia sanggup berbuat apa sahaja.

“Ah ba, bagi sajalah anak kita kahwin dengan perempuan tu,” Mei yang berhati lembut campur tangan akhirnya. Kasihan dia melihat anaknya yang tidak berhenti-henti menyembah suaminya. Bila suaminya tetap dengan keras kepalanya, Mei turut melutut menyembah suaminya.

Lim mengeluh. Hati batunya mencair bila dua orang yang disayanginya itu sanggup menyembahnya demi perempuan pilihan anaknya itu.

“Baiklah. Aku akan pinangkan perempuan tu untuk Kam,” dia mengaku kalah.

Sementara itu di rumah Yati…

YATImenelan air liur yang terasa kesat. Tidak berani dia menentang mata ayahnya yang bermisai lentik itu selepas dia menyampaikan hasrat Kam itu. Takut ayahnya menyinga dengannya. Ayahnya bekas askar Melayu. Satu kampung kenal siapa tu Sarjan Saad Said. Budak-budak nakal pun takut dengan ayahnya. Bertempiaran mereka lari kalau ayahnya melintas depan mereka.

Sapiah emaknya dan kakaknya Maimunah pun kecut perut sama. Dua wanita itu menekurkan wajah mereka ke lantai. Mereka bertiga bagaikan sedang menanti hukuman yang bakal dijatuhkan ayahnya.

“Lelaki tu memang nakkan kau ke?” Pak Saad bertanya tanpa mengangkat muka daripada helaian surat khabar yang sedang dibacanya.

“Nak. Tapi Yati nak suruh ayah tengokkan dia dulu,” Yati membalas takut-takut.

“Kalau aku tak suka dia macam mana?” Pak Saad cuba menguji pendirian anaknya.

“Yati ikut ayah. Baik pada ayah, baiklah pada Yati. Begitulah sebaliknya,”

Pak Saad menyembunyikan senyumannya yang mulai merekah di bibir. Yati anaknya memang patuh padanya. Sekali pun dia tidak pernah melawan perintahnya.

“Ajaklah dia dengan keluarga datang rumah. Tapi ingat, aku tak beri kata putus lagi. Aku nak tengok dulu budaknya macam mana,” Pak Saad memberi keputusan.

“Baik, pak,” kata Yati gembira.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku