CINTA DI SUATU HARI
Bab BAB 7
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
215

Bacaan






BAB 7

IMPIANKam untuk memperisterikan gadis pujaannya termakbul akhirnya. Ayah Yati bersetuju untuk menikahkan mereka berdua. Mereka bernikah gantung kerana Yati masih lagi belajar. Kam tidak tahu pun itu ‘nikah gantung’ sebenarnya. Dan dia tidak mahu ambil tahu. Apa yang penting dia sudah mendapat apa yang dimahukannya. Dia telah berjaya memiliki Yati sepenuhnya.

“Jangan usik anak aku tu lebih-lebih. Aku tembak kau dengan senapang patah aku tu,” Pak Saad ‘menggertak’ menantunya. Dia bergurau sahaja sebenarnya.

“Baik pak cik… maaf ayah,” Kam tersasul kata.

Orang-orang di sekelilingnya ketawa bila dia memanggil ayah mertuanya ‘pak cik’.

Yati berpelukan dengan ayahnya. “Yati minta maaf ayah. Halalkan makan minum Yati selama Yati di bawah tanggungan ayah,” katanya sebak. Pak Saad sebak sama. Belakang anaknya ditepuk-tepuk lembut. Dari kecil tapak tangan dia menatang Yati. Sayangnya pada anak perempuannya itu Tuhan sahaja yang tahu

Kemudian Yati berpelukan pula dengan emak dan kakaknya. Keduanya menitipkan pelbagai pesan pada Yati.

Akhir sekali Yati berpamitan dengan ibu mertuanya. “Jaga Kam baik-baik. Jangan sakiti anak lelaki ah ma tu,” Mei berpesan begitu kerana tahu Kam pernah dilukai Lin dulu.

“Ah ma jangan bimbang. Yati akan jadi isteri yang terbaik untuk Kam,” Yati berjanji dengan ibu mertuanya.

Lim menarik anaknya ke tepi ketika ingin bercakap dengannya. Dia tidak mahu perbualan mereka ini didengari orang lain. “Kam, sekarang ni kau dah jadi suami. Kau kena ingat perempuan ni nakkan kita sebab dua perkara sahaja,” Lim menunjukkan isyarat dua. “Satu, duit,” dia menyebut serius. “Satu lagi kelelakian kau” dibisikannya di telinga anaknya. Muka Kam bertukar merah seperti udang bakar. “Kena ada dua-dua baru kau jadi lelaki sejati,” bahu anaknya ditampar kuat.

Mei menghampiri mereka. “Ah ba, sudahlah. Kam dah nak bertolak tu,” marahnya.

“Jangan lupa pesan ah ba,” Lim bisik-bisik lagi sebelum melepaskan anaknya pergi.

RUMAH yang disewa Kam di Singapura adalah bekas rumah kedai milik masyarakat Tionghua di sana. Walaupun rumah itu rumah lama tetapi kondisi rumah itu masih dijaga baik oleh pemiliknya. Sewanya yang berpatutan menjadi faktor Kam memilih untuk menyewa rumah itu.

Yati membuka semua jendela dalam rumah untuk membenarkan angin masuk ke dalam. Ketika dia sedang mengebas langsir yang berhabuk dengan bulu ayam, Kam tiba-tiba muncul. “Yati suka rumah ni?” dia bertanya dengan nada mesra pada isterinya. Tangannya dilingkarkan ke pinggang Yati.

“Bolehlah,” Yati membalas dengan senyuman nipis.

Kam mengeratkan lagi pautan di pinggang isterinya. “Nanti! Nanti! Saya tak habis kemas lagi rumah ni,” Yati cuba meloloskan dirinya daripada dakapan lelaki itu. Dia panik bila Kam cuba bermesra dengannya.

“Abang rindukan Yati…”

Segala pergerakan Yati terhenti sebaik mendengar ayat itu. Dia tidak lagi meronta. Kam mentafsirnya sebagai tanda keizinan Yati. Dia mencempung tubuh isterinya dan membawanya ke katil mereka.

TERJAGA sahaja dari tidur Yati tiada di sisinya. Bilik itu kosong. Lantas dia turun ke bawah mencari isterinya.

“Yati!” Kam menyeru nama isterinya.

Tiada suara Yati menyahut panggilannya. Suasana sunyi sepi. Rumah itu kosong.

Mana perginya Hayati?

“Yati! Jangan mainkan abang!” Kam sudah tidak dapat menyembunyikan perasaan cemasnya.

“Abang…” baru kini kedengaran suara Yati. Yati kelihatannya seperti baru pulang dari kedai. Dalam raga plastik di tangannya penuh dengan barang-barang yang dibelinya.

“Yati pergi mana?” Kam tinggikan suara.

“Yati pergi kedai depan rumah kita tu. Beli barang dapur untuk masak malam ni,” Yati menunjukkan raga di tangannya.

“Kenapa pergi tak bagitahu abang?” suara Kam mengendur sedikit.

“Abang kan tidur. Jadi Yati pergilah sendiri,”

“Lain kali pergi mana-mana beritahu abang. Jangan pergi sendiri. Bahaya,” Kam menegur isterinya.

Yati mengerti. “Abang pergilah mandi. Yati nak masak,”

Yati berlalu ke dapur.

MEREKA berdua makan malam tanpa berbicara. Selesai makan Yati terus bangun. Dia mengangkat pinggan dan gelasnya dan membawanya ke dapur. Di dapur Yati sekadar meletakkan pinggan dan gelas kotornya ke dalam sinki, tidak dibasuh. Dia sebenarnya cuba melarikan diri daripada Kam. Yati tidak selesa dengan suaminya. Naluri kewanitaan Yati kuat mengatakan ada sesuatu yang disembunyikan Kam daripadanya.

“Yati fikir apa tu? Termenung jauh abang nampak,”

Suara Kam menerjah gegendang telinganya. Suaminya ada di belakangnya.

“Tak fikir apa-apa pun,” Yati mengambil pinggannya dan buat-buat sibuk menyental dengan sabun.

Kam memusingkan bahu isterinya supaya menghadapnya. “Yati marah pasal petang tadi ke?” tebaknya.

Yati geleng-geleng.

“Habis tu?”

“Tak ada papelah,” Yati membelakangkan suaminya semula.

“Yati…” Yati dipalingkan menghadapnya lagi. “Cuba cakap dengan abang apa yang tak kena?” nada Kam lebih tegas kali ini.

“Yati rasa macam abang tak sayangkan Yati,” sayu suara Yati.

“Kenapa Yati boleh rasa macam tu?”

“Entahlah, Yati pun tak tahu,” Yati sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh ada perasaan negatif itu.

“Abang sayang Yati. Mungkin ya abang tak tahu nak tunjukkan perasaan abang pada Yati. Abang minta maaf sangat-sangat. Tapi ikhlas kata abang memang cintakan Yati,” Kam merenung redup isterinya, mengharapkan perasaannya yang terzahir di mata dapat dibaca isterinya itu.

“Yati minta maaf. Yati terlalu ikutkan perasaan Yati,” Yati memeluk suaminya.

“Abang sayang dan cinta Yati seorang je,”

Senyum berbunga kembali di bibir Yati bila Kam melafazkan cinta padanya.

“Yati pun sayang dan cintakan abang,” katanya manja.

YATI…”

“Ya?” Yati balas sepatah.

“Sejauh mana cinta Yati pada abang?” soalan itu bukan asing pada Kam. Soalan itu pernah diajukannya pada Lin dulu. Lin hanya ketawa dengan soalannya. Soalan budak tadika. Itu perlian Lin padanya.

“Yati…” seru Kam bila soalannya tidak mendapat perhatian daripada Yati.

“Entah. Yati pun tak tahu,” sambil lewa Yati membalas. Dia tidak memberikan tumpuan penuh pada lelaki itu kerana sedang membaca novel cinta hasil karya penulis kegemarannya.

Kam yang sedang berbaring di atas riba isterinya lantas bangun. “Yati tak tahu?” soalnya tepat-tepat ke anak mata Yati.

Tiada sahutan daripada Yati. Wanita itu lebih fokus pada novel di tangannya. Seperti kilat Kam merampas novel itu dari pegangan isterinya. “Jawab soalan abang dulu baru abang bagi balik novel Yati ni,” separuh mengugut Kam bila Yati meminta semula novelnya.

“Abang ni macam budak keciklah,” sela Yati dalam tawanya.

“Semua orang bila bercinta akan jadi macam budak kecik,” gumam Kam perlahan, merajuk dengan isterinya.

Yati ketawa dengan gelagat suaminya. “Baiklah. Yati akan jawab soalan abang tu,” dalam senyuman dia ikutkan sahaja kehendak suaminya. “Sejauh mana cinta Yati pada abang ya?” Yati berfikir-fikir.

“Yati, janganlah mainkan abang!” desaknya. Lamanya Yati berfikir. Naik pecah dada Kam menunggu suaranya isterinya itu.

Tawa Yati yang pecah berlagu manja di telinga Kam. “Yati, cepatlah cakap!” geram sungguh dia dengan Yati. Isterinya suka sangat menyakatnya.

“Ya, ya, Yati bagitahu,” Yati menyudahkan tawanya yang tinggal berbaki. “Yati pun tak tahu. Yang Yati tahu satu hari bila Yati bangun dari tidur Yati rasa Yati perlukan abang dalam hidup Yati. Sebab tu Yati selalu cuba sampaikan perasaan cinta Yati pada abang secara sembunyi-sembunyi. Sebab Yati tahu abang dah ada kekasih masa tu,” senyum seorang Yati mengenang memori lama mereka itu.

“Yati sebenarnya dah lama jatuh hati pada abang. Sejak abang tolong hantarkan Yati balik ke asrama Yati lagi,” dia membongkarkan rahsia besar yang disimpannya selama ini.

Kam terpegun dengan pengakuan yang baru dibuat Yati itu.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku