CINTA DI SUATU HARI
Bab BAB 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
196

Bacaan






BAB 8

LIN, kau buat apa datang sini?” rimas Kam dengan kunjungan wanita yang tidak disukainya itu. Ayah dan anaknya tiada di rumah. Mereka pergi membeli-belah di pekan Bentong. Kam tidak ikut kerana dia mahu menjaga Yati di rumah.

“Aku rindukan kau. Sebab tu aku datang sini,” mata Lin sarat dengan rasa cintanya yang mendalam pada lelaki itu.

Naik berbulu Kam mendengar ayat cinta berbunga-bunga Lin itu. Nak termuntah pun ada. Dari muda sampailah tua beruban begini, Lin tidak penat-penat mengejarnya. Letih dia hendak melayan kerenah wanita tua yang tidak sedar diri itu.

“Yati takkan bangun lagi Kam. Kau kena terima hakikat tu,”

“Kau bukan Tuhan nak tentukan takdir orang, Lin,” tajam sindiran Kam itu.

“Aku cuma kasihan sama kau Kam. Kau tu perlukan orang untuk jaga kau,” Lin berhelah.

“Aku ada anak. Anak aku boleh jaga aku!” bidas Kam.

“Anak kau perempuan. Suatu hari nanti dia pasti akan mengikut suaminya. Kam, masih belum terlambat untuk kita menyambung cinta kita semula. Aku masih cinta sama kau. Kita boleh bersama semula. Aku yakin Yati pasti tidak mahu kau hidup terseksa begini selama-lamanya!”

Pantang Kam bila Lin menyebut nama isterinya. Dia hampir-hampir ingin memaki Lin tetapi telinganya menangkap deruman enjin kereta di luar rumahnya. Ayah dan anaknya sudah balik agaknya.

Mary masuk dalam rumah dengan diikuti datuknya dari belakang. “Ah pa! Ooo… ah pa ada tetamu ke?” dia ternampak ada seorang wanita yang sebaya dengan ayahnya sedang duduk di kerusi rotan. Kawan ayahnya agaknya.

Lin mengamati gadis muda itu. Pasti anak Kam kerana wajah mereka serupa. Bagus juga anaknya mengikut wajah ayahnya, bukan perempuan tu! Dia mencemuh dalam hati.

“Lin, aku rasa baik kau pulang sekarang. Ayah aku dengan anak aku dah balik,” dalam berkias Kam menyuruh Lin balik.

Tiada pilihan Lin terpaksa bangkit dari kerusinya. “Nama kau siapa?” Lin bertanya sekilas ketika lalu di tepi Mary.

“Mary auntie,” Mary menjawab sopan.

“Baguslah muka kau sama dengan ayah kau. Cantik,” kata Lin sinis sebelum keluar.

Mary terkebil-kebil tidak mengerti kata wanita itu. Darah Kam mendidih panas. Dia tahu apa erti ‘pujian’ Lin itu. Wanita itu cuba mengatakan hodoh anaknya jika dia mengikut muka ibunya.

“Lin mahu apa datang sini?” ayahnya mengambil kesempatan untuk bertanya semasa Mary pergi ke dapur. Perlahan sahaja suaranya takut didengari oleh cucunya itu.

“Dia ajak saya baik balik sama dia,” nada Kam masih marah.

“Kau nak lagi Lin tu?”

“Ayah mahu menantu macam Lin tu?”

“Aku tak kisah. Asalkan dia boleh jaga kau aku terima saja,” Lim menyeringai, menyerlahkan gusinya yang tidak bergigi itu.

Kam meliuk-lentokkan badannya. Geli-geleman dia nak menjadikan Lin isterinya. Lim sudah terkekeh ketawa.

LIN memang tidak serik. Esoknya wanita itu muncul lagi. Kali ini di kebun sayurannya pula.

“Kam, aku ada buatkan kuih muar chee kesukaran kau,” Lin cuba membeli hatinya.

“Aku dah kenyanglah Lin,” Kam menolak mentah-mentah.

Lin sudah memuncung. “Alah, susah payah aku buatkan kau kuih ni,” dia pura-pura berkecil hati.

“Aku tak suruh pun kau buat,” kata Kam dingin.

“Kenapa kau layan aku macam ni Kam?” Lin sudah naik marah.

“Kenapa dengan kau ni Lin?” Kam mula geram bila wanita itu mengamuk tidak tentu pasal. Sudahnya datang tidak berjemput ke kebunnya.

“Macam-macam yang aku dah buat untuk kau. Tapi satu pun kau tak pandang. Kenapa Kam? Kenapa? Apa lebihnya Yati berbanding aku, perempuan yang pernah kau cinta dulu?” Lin jadi beremosi.

“Sebab aku cintakan dia, bukannya kau!”

“Cinta?” Lin ketawa yang dibuat-buat. “Perempuan tu dah rampas kau daripada aku! Kalau tak disebabkan dia, kita pasti dah bahagia sekarang!”

“Yati tak ada kena-mengena dalam hal ni. Kau sendiri pun tahu kenapa aku putus dengan kau dulu!”

Lin terperangkap dengan tuduhannya sendiri. “Aku jadi macam tu sebab kau tak layan aku baik-baik. Kau tak fikirkan perasaan aku pun!” dia mengalih tuduhan pada lelaki itu pula.

Kam tahu tuduhan Lin itu tidak berasas sama sekali. “Kalau betul aku tak layan kau baik-baik kenapa kau tak terus-terang? Kenapa kau pergi tidur dengan Meng? Kau tahu apa perasaan aku tengok kau curang dengan kawan baik aku sendiri?”

“Ah pa?”

Mereka berdua sama-sama menoleh ke pemilik suara itu.

Mary.

Mary gigit-gigit bibirnya. Dia tahu dia sudah muncul pada masa yang salah. Datuknya yang meminta dia ke sini bagi menghantar bekalan ayahnya.

Lin tenung gadis di depannya. Dia seperti melihat bayangan Yati dalam diri gadis itu. Wanita itu tersenyum mengejek padanya.

“Aku betul-betul tak sangka dalam koma perempuan tu boleh juga bagi kau anak. Aku sebenarnya berharap perempuan tu mandul. Biar padan dengan muka dia tu!” Lin yang hilang kawalan diri menyumpah musuh ketatnya itu.

“Lin, kau ni memang perempuan gilalah!” Kam tidak dapat bersabar lagi. Cangkul di tangannya hendak dihayun ke arah wanita itu tetapi sempat dihalang oleh Mary. Lin yang ketakutan terus cabut diri. “Ah pa, sabar, sabar,” Mary mengurut-ngurut belakang ayahnya cuba menenangkan ayahnya. Nafas Kam kencang seperti baru menghabiskan larian 1000 meter. Tak guna punya Lin. Berani mulut perempuan tu mencaci isterinya.

AYAHNYA tidak makan bersama mereka malam itu. Balik sahaja dari kebun ayahnya terus mengurungkan diri dalam bilik ibunya, tidak keluar-keluar lagi selepas itu.

“Ba Ba, apa hubungan ah pa dengan auntie Lin sebenarnya?” Mary bertanya pada satu-satunya orang yang dapat merungkai misteri perhubungan ayahnya dengan wanita bernama Lin itu. “Baba beritahulah Mary. Mary sudah besar. Dah boleh berfikir sendiri,” Mary terus memaksa bila datuknya seperti berat mulut untuk bercerita.

Lim hela nafas sejenak sebelum perlahan-lahan membuka kisah. “Lin tu sebenarnya bekas tunang ah pa kau. Sebelum ah pa kau kahwin dengan ah ma kau, dia sudah bertunang dengan Lin. Ba Ba yang aturkan pertunangan tu, sebab masa tu ah pa kau sukakan Lin. Lin tu teman baik ah pa kau dari kecil. Mereka membesar bersama jadi Ba Ba fikir dia calon yang terbaik untuk ah pa kau,”

“Kenapa ah pa putus dengan auntie Lin? Sebab ah ma ke?” laju mulut Mary bertanya.

“Tak ada kena-mengena dengan ah ma kau. Mereka putus sebab… tak payahlah Ba Ba cerita,” datuknya enggan memberitahu sebabnya.

“Ba Ba, beritahulah Mary. Please, pleaseBa Ba” bahu datuknya digoyang-goyang memohon simpati.

Lim kalah dengan rayuan cucunya. “Lin curang pada ah pa kau…” beritahunya akhirnya.

“Ha? Auntie Lin curang?” mata Mary terbelalak besar.

“Dia curang dengan kawan baik ah pa kau,” ada kebencian dalam suara Lim itu. “Benda tulah yang menjadi punca kemarahan ah pa kau. Sampai ke hari ni dia tak pernah maafkan perbuatan Lin tu,” matanya jauh merenung ke luar tingkap.

Mary tersandar di kerusi. Tunang ayahnya sanggup berlaku curang dengan sahabat baik ayahnya sendiri? Kasihannya ah pa…



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku