CINTA DI SUATU HARI
Bab BAB 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
218

Bacaan






BAB 9

YATImemasukkan satu persatu pakaiannya ke dalam beg. Esok dia akan kembali ke universiti setelah dua bulan lamanya bercuti. Seronok rasanya dapat menjadi pelajar semula. Yati tidak dapat membendung kegembiraannya itu.

Kam tidak berkongsi kegembiraan isterinya. Tiada kesukaan di wajahnya. Hatinya walang memikirkan dia akan berjauhan dengan isterinya selepas ini. “Abang janganlah sedih. Nanti bila cuti Yati datanglah sini,” pujukan Yati tidak memberi kesan di hati Kam.

“Tak sama Yati. Abang nak Yati ada di samping abang setiap masa,” suaranya jelas kesedihan.

“Jarak takkan memisahkan kita. Yati akan selalu ada dengan abang. Jauh ataupun dekat,”

` Malam ini malam terakhir mereka bersama jadi Yati memberikan layanan istimewa buat suaminya. Dia faham Kam akan merinduinya selepas ini. Dia juga akan merindui suaminya itu. Dua bulan menjadi isteri Kam, tidak terhitung detik indah yang sudah dilalui mereka bersama. Rasanya lebih manis kerana mereka bercinta sesudah mereka berkahwin.

“Yati…” suara Kam memecah kesunyian bilik tidur mereka.

Tidak tidur lagi rupanya suaminya. “Ya abang?” Yati tidak jadi untuk tidur bila mendapati suaminya masih berjaga.

“Janji dengan abang. Yati takkan ada lelaki lain selain abang,” pengalaman dicurangi Lin masih menghantuinya. Kam takut Yati juga akan melakukan perkara yang sama padanya. Rasanya lebih parah kerana wanita itu adalah isterinya. Boleh mati dia jika Yati bermain kayu tiga dengannya. Sayangnya terlalu mendalam pada wanita itu.

“Abang, Yati ni tak cantik mana pun. Yati tak rasalah ada lelaki yang nakkan Yati. Abang jangan risaulah,” Yati memberi keyakinan pada suaminya.

Itu cakap Yati. Cakap Kam lain pula. Padanya Yati sangat cantik. Buktinya setiap kali mereka keluar bersama pasti ada lelaki yang menjeling dua kali pada isterinya. Ada juga yang kurang ajar menjeling berkali-kali. Perkara itu berlaku sebelum dan selepas mereka menjadi suami isteri. Disebabkan Yati tidak melayan jadi dia diamkan sahaja perasaan cemburunya itu. Tapi nanti Yati akan jauh dari matanya. Dia tidak akan dapat memantau tindak-tanduk isterinya. Bagaimana kalau Yati bermain cinta dengan lelaki lain tanpa pengetahuannya? Serabut kepalanya memikirkannya.

“Usah abang ragui cinta Yati pada abang. Yati takkan melukai abang. Kerana Yati sudah berjanji dengan ah ma untuk memberikan kebahagiaan pada abang sebanyak yang Yati mampu,” Yati seakan tahu bicara dalam diamnya itu.

“Tapi…” Yati meletakkan jari telunjuknya di bibir suaminya untuk mendiamkannya. “Malam ni malam terakhir Yati dengan abang. Yati mahu penuhkan malam ni dengan memori manis kita berdua sahaja,” tubuhnya dirangkul Yati petanda isterinya tidak mahu menyebut perkara itu lagi.

“Abang cintakan Yati,” Kam mahu Yati semat kukuh cintanya dalam sanubarinya itu.

“Sama juga dengan Yati. Yati cintakan abang lebih dari nyawa Yati sendiri,”

HARIpertama pulang ke rumah sejurus Yati tiada, Kam terasa seperti dia tinggal di kawasan perkuburan. Gelap nan sepi. Suis lampu di ruang tamu dinyalakannya untuk menerangi rumah. Dia menghempaskan tubuh yang keletihan ke sofa.

“Abang penat ya? Nak Yati buatkan teh atau urutkan badan?” Kam seperti terdengar-dengar suara Yati. Matanya jadi celik semula. “Yati?” isterinya dicari-cari.

Hanya kesunyian yang menjawab panggilannya. Kam mengeluh sendiri. Mestilah Yati tiada. Isterinya sudah balik ke Pulau Pinang.

Tuhan, bolehkah dia bertahan melalui hari-hari mendatang? Satu hari pun dia sudah terseksa tanpa Yati di sisinya.

YATIbaru selesai menyimpan barangnya dalam lokar bila telefonnya berdering. Nama Kam tertera pada skrin telefonnya. Jam loceng di atas meja studinya sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi ketika suaminya menelefon. Sudah lewat benar. Tidak tidur lagikah suaminya?

“Abang, kenapa tak tidur lagi?”

“Abang tak boleh tidur. Asyik teringatkan Yati,”

Kasihan Yati dengan suaminya. “Abang jangan sedih. Hujung minggu ni Yati turun melawat abang di Singapura,”

“Jangan! Abang tak nak susahkan Yati,” Kam tidak membenarkan. Dia mahu meleraikan rindunya dengan mendengar suara Yati sahaja. Dia bukannya mahu meminta yang bukan-bukan daripada isterinya.

“Tak susah pun. Abang kan suami Yati,” Yati memahami.

“Abang minta maaf. Abang sepatutnya kawal perasaan abang. Tapi abang tak boleh. Abang terlalu rindukan Yati,” dulu dengan Lin tidak pula dia begini. Tenang sahaja dia meninggalkan wanita itu berbulan-bulan lamanya. Tapi dengan Yati dia seperti remaja yang baru belajar bercinta. Tidak boleh berpisah meskipun sesaat! Hebatnya penangan cinta Yati sehinggakan seorang lelaki perkasa seperti dia pun boleh kalah.

SEPERTI yang dijanjikan, Yati turun melawatnya hujung minggu itu. Dan minggu-minggu kemudian. Isterinya akan turun ke Singapura jika tidak sibuk dengan pelajarannya. Yati masih lagi belajar dan mendapat biasiswa. Tetapi kini isterinya terpaksa menghabiskan duit yang diberikan kerajaan untuk membeli tiket kapal terbang bagi menjenguknya saban minggu. Bila rindunya sudah menyusut sedikit dan tidak lagi seteruk dulu Kam menyuruh Yati menghentikan lawatan mingguannya dan memberikan tumpuan pada pelajarannya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku