CINTA DI SUATU HARI
Bab BAB 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
371

Bacaan






BAB 10

KAM! Kau Kam kan?”

Kam melopong dengan teguran lelaki itu. Siapa pula sami berkepala botak ni? Rasa macam kenal. Takkanlah…

“Aku Tanlah!”

“Tan? Kau Tan ke?” Kam rasa hendak menjerit. Tan jadi sami? Teringat dia semasa mereka di sekolah rendah dulu. Tan selalu mengenakan sami-sami di kuil setiap kali sekolah mereka membuat lawatan ke sana. Sehinggakan salah seorang sami mengecopnya sebagai ‘anak neraka’ kerana kenakalan melampaunya itu.

“Aku tahu kau terkejut. Mesti kau tak sangka aku jadi sami kan?”

Kam sengih sahaja. Dia tidak tahu hendak kata apa. Perubahan drastik Tan itu tidak pernah ada dalam mimpi dia pun.

“Kau macam mana? Sudah ada berapa orang anak?”

“Seorang sahaja. Rasanya kau boleh teka jantina anak aku,” mereka berdiri di depan sebuah salon. Mary sedang membuat rawatan kecantikan dalam salon itu. Entah rawatan apa yang dibuat anaknya. Kaki Kam sudah lenguh-lenguh menjadi ‘guard’ salon itu.

“Perempuan,” Tan meneka dengan tepat. “Yati macam mana?”

Muka Kam berubah bila soal isterinya ditimbulkan.

“Aku faham,” ada nada belas dalam suara Tan itu. “Sabarlah. Kau berdoalah pada Tuhan. Aku yakin Yati akan sedar juga, dengan izin-Nya,”

“Terima kasih, Tan” Kam tersentuh. Walaupun agama mereka berbeza sekarang tetapi kepercayaan mereka soal Tuhan tetap sama. Ya, Tuhan itu Maha Berkuasa di atas segala-galanya.

“Aku pergi dulu. Aku ada upacara keagamaan sekejap lagi,” Tan meminta diri.

Kam mengekori langkah Tan hingga menghilang. Dia senyum sendiri. Siapa sangka si nakal Tan boleh menjadi sami? Manusia memang menakjubkan.

YATI percaya tak Tan yang nakal tu boleh berubah 360 darjah? Jadi sami pulak tu. Abang betul-betul tak percaya. Sebab masa sekolah dulu dia selalu cakap dia takkan botakkan kepala dia dan pakai kain kuning macam sami,” Kam ketawa semasa menceritakan pada isterinya soal pertemuannya dengan Tan siang tadi.

Kam mengangkat tangan Yati. Jemarinya dibiar berkait dengan jemari Yati. “Sayang abang, tahu tak tarikh hari ni?”

Tiada balasan.

“Hari ni 8 Ogos. Malam nilah malam pertama abang jumpa Yati,” Kam mengawal rasa sebaknya. Seboleh mungkin nadanya diceriakan semasa memberitahu isterinya. Dia tidak mahu bersedih depan Yati.

Sesuatu berlaku. Hujung jari Yati bergerak-gerak.

Kam tergamam menyaksikannya. Sedar yang dia harus memanggil ayah dan anaknya dia pun menjerit. “Ah ba, Mary!”

Dua orang itu berkejar masuk dalam bilik. “Kenapa?” serentak mereka bertanya.

Kam menunjukkan tangan Yati yang dalam genggamannya. Dua orang itu terpana melihat apa yang disaksikan Kam sebelum ini.

“Ah ma!” Mary mendapatkan ibunya.

“Aku pergi panggil Tabib Heng,” Lim sudah berura-ura untuk memanggil tabib yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka.

“Kenapa panggil tabibpula? Panggillah doktor,” Kam memarahi ayahnya.

“Lu gila ka? Sekarang dah pukul 3 pagi. Mana ada klinik yang buka masa ni?” Lim memarahi anaknya balik.

Terkena Kam. Dia tidak ingat klinik sudah tutup waktu operasinya.

“Yalah, ah ba pergilah panggil tabib,”

TABIB Heng memeriksa dengan teliti nadi pesakitnya. Berkerut-kerut wajahnya. Serius.

“Macam mana pak cik?” Kam sudah tidak sabar ingin tahu perkembangan isterinya.

“Syhhh! Jangan kacau Tabib Heng buat kerja,” Lim menegur anaknya.

Kam macam cacing kepanasan. Lamanya Tabib Heng merawat isterinya.

Akhirnya Tabib Heng menjatuhkan tangan wanita itu. “Dia akan sedar tak lama lagi,” merekah sedikit senyuman di hujung bibirnya.

Perkhabaran itu menggembirakan mereka bertiga. Kamlah yang paling gembira sekali. “Bila isteri saya akan sedar?”

“Aku tak boleh bagi kepastian. Itu semua bergantung pada kemahuannya sendiri. Tapi aku boleh katakan dia bakal sembuh,”

Mary memeluk ayahnya. “Ah pa, ah ma! Ah ma akan bangun!” teriaknya girang.

Hampir menitis air mata Kam. Selama 21 tahun dia menantikan berita ini. 21 tahun. Itu bukan satu tempoh yang singkat. Syukurlah, Tuhan makbulkan juga akhirnya doanya itu.

AH PA, macam mana ah ma boleh koma?” soalan itu Mary keluarkan bila mereka berdua sahaja dalam bilik itu. Persoalan itu sudah lama terkurung dalam kotak mindanya. Mary sangat ingin mengetahui penyakit apa yang dihadapi ibunya sehinggakan dia boleh koma bertahun-tahun.

“Ah pa pun tak tahu. Ah pa tak ada dekat rumah masa tu,”

“Ah pa pergi mana?”

“Ah pa kerja dekat Singapura,”

“Oh,”

Tidak hanya Mary. Kam juga tertanya-tanya. Puas dia bertanya pada doktor-doktor yang ditemuinya. Mereka pun buntu. Hasil ujian tidak menemukan apa-apa petunjuk yang boleh menjelaskan keadaan isterinya. Tambah memelikkan lagi semua ujian tidak menjumpai sebarang penyakit kronik dalam diri Yati. Isterinya disahkan sihat walafiat.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku