CINTA DI SUATU HARI
Bab BAB 13
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Mac 2017
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
252

Bacaan






BAB 13

REMBULANyang bersinar indah bagaikan meraikan insan yang sedang bercinta. Yati menyandarkan kepalanya selesa di bahu suaminya. Matanya merenungi percikan bara api yang terhasil akibat unggun api yang terbakar itu. Ada masa ketika dia cukup menghargai sesuatu yang bernama kesepian. Kesunyian yang membolehkan dia berbicara dengan perasaannya sendiri. Tanpa suara, momen sebegini bersama Kam cukup membahagiakannya.

“Yati…” Kam mengusik-ngusik unggun api yang menyala itu dengan ranting kayu di tangannya. Bara api terpercik marak kala diusik.

“Ya?” Yati masih tenggelam dengan perasaannya sendiri.

“Abang dah buat keputusan…”

“Keputusan apa bang?”

“Abang nak berhenti kerja,”

Demi terkejut, Yati mengangkat wajahnya. “Abang nak berhenti kerja?” ulangnya mahukan kesahihan butir kata Kam itu. Bukan dia tidak suka tapi keputusan suaminya tidak pernah dalam jangkauannya. Kam pernah memberitahunya dahulu dia tidak akan sesekali berhenti kerja di kilang itu kerana sudah seronok bekerja di sana.

“Abang nak duduk sini, nak buka ladang sayur. Yati nak tak ikut abang pindah sini?” utara Kam perlahan dan penuh berhati-hati. Hatinya berbelah-bahagi akan persetujuan Yati dengan keputusan drastiknya itu.

Senyuman Yati tanda dia menyokong penuh keputusan suaminya. Kepalanya direhatkan kembali atas bahu suaminya. “Yati akan ikut ke mana sahaja abang pergi. Ke bulan pun Yati sanggup,” dia bermadah pujangga.

“Buat apa sampai ke bulan? Abang nak pindah sini je, bukannya dekat bulan,” Kam gelak kecil.

Yati ikut gelak. “Yati tahulah bang. Yati cuma nak cakap Yati akan ikut abang ke mana sahaja,”

Kam suka dengan ayat Yati itu. “Yati…” nadanya halus sekali.

“Ya?”

“Yati tak rasa ke dah sampai masa untuk kita mulakan keluarga?” dari hari pertama dia bergelar suami lagi anaklah yang paling dia mahukan. Saban hari keinginannya untuk menjadi bapa makin membuak. Enam bulan lagi Yati akan tamat pengajiannya. Rasanya tidak salah untuk dia meminta lambang cinta mereka berdua sekarang.

“Abang betul-betul nak jadi ayah? Sudah bersedia?” nada Yati itu, Kam sendiri tidak dapat mentafsir. Yati seperti tidak mahu tetapi tidak sanggup menghampakannya.

“Yati?”

“Yati ikut abang,” Yati tidak terasa untuk bergelar ibu lagi tapi untuk mengecilkan hati suaminya rasa tidak patut pula. Dia faham kehendak hati suaminya. Sudah banyak kali Kam memberitahu hajatnya itu padanya secara sembunyi-sembunyi. Pasti desakan kuat hatinya yang menyebabkan suaminya mengeluarkan hajatnya sejelas-jelasnya.

“Kalau Yati tak sedia lagi tak apalah. Abang tunggu,” Kam tidak mahu mengikut perasaannya. Tiada guna dia memaksa andai mahu Yati tidak serasi dengan mahunya.

“Bukan Yati tak sedia! Yati hanya rasa…”

“Yati tidak mahukan anak?” Kam tersentap lantas menuduh.

“Bukan begitu maksud Yati! Yati hanya rasa perkara tu tidak patut berlaku sekarang,” Yati gigit-gigit bibirnya, bersalah.

“Sekarang dan juga sampai bila-bila,” kecewanya Kam. Nampaknya tidak mungkin lagi dia akan ada peluang untuk mendapat cahaya mata dengan isterinya.

“Yati hanya perlukan sedikit masa sahaja lagi. Yati mahu bersama dengan abang sepuas-puasnya sebelum ada orang baru dalam hidup kita,”

Kam tidak mendengar lagi alasan Yati selanjutnya. Dia lebih sibuk meladeni perasaan kecewanya. Nampaknya tiada peluanglah untuk dia mendengar anak kecil memanggilnya ‘ayah’.

MANUSIA merancang Tuhan yang menentukan. Yati lupa yang dia hanyalah manusia biasa. Perancangannya tidak mungkin akan dapat menandingi perancangan Tuhan ke atas dirinya. Bermula dengan muntah-muntah biasa yang diingatkannya keracunan makanan, Yati mendapat perkhabaran itu. Saat mendengarnya, perasaan Yati jadi haru-biru. Dia hanya terdaya melakukan perkara rutin yang dibuat seorang isteri iaitu memberitakan pada suaminya ‘khabar gembira’ itu.

“Abang, Yati ada benda penting nak cakap dengan abang. Penting sangat-sangat,” Yati terpaksa memberi penekanan pada perkataan ‘penting’ itu supaya dapat bercakap dengan suaminya. Atau Kam akan menamatkan perbualan mereka dalam masa sesaat. Suaminya seperti merajuk dengannya. Susah hendak mendengar suara Kam sekarang. Isu anak itu yang menjadi penyebab kedinginan hubungan mereka ini.

“Boleh. Tapi abang ada masa sekejap je,” mendatar suara Kam.

“Yati…” suara Yati tersekat-sekat di hujung kerongkong. “Yati… Yati…” tak mampu dia memecahkan khabar itu. Kalau isteri-isteri lain mudah sahaja mereka memberitahu suami mereka. Kenapa bila tiba giliran dia, yang mudah itu menjadi payah pula? Yati mengandung bang. Tujuh minggu. Ayatnya mudah sahaja. Tapi kenapa mulutnya berat untuk menuturkan?

“Apa Yati? Abang sibuk ni,” Kam tetap dengan hambarnya.

Yati dikejutkan dari lamunannya sendiri. “Yati mengandung bang,” terlepas juga ayat itu dari kurungannya.

Kam terkelu lidah. Yati mengandung? Tak, tak mungkin! Baru empat bulan lepas Yati menyatakan pendiriannya untuk ‘menangguhkan’ gelaran ibu itu. Yati yang dia kenal bukan macam lalang. Senang terikut-ikut mengikut arah angin.

“Yati, Yati jangan main-mainkan abang. Abang tak suka,” Kam terkasar sedikit dengan isterinya. Dia tidak menyukai ‘gurauan’ Yati itu. Isu anak memang sensitif baginya.

“Apa pula Yati mainkan abang? Memang betullah Yati mengandung. Tujuh minggu,” bergetar suara Yati memberitahu usia kandungannya.

“Yati…” Kam susah untuk percaya. Dia tetap merasakan Yati berbohong dan hanya bertujuan untuk bersenda-loka dengannya. Kam tidak mahu percaya jenaka isterinya. Bimbang jika dia membenarkannya, harapannya akan diranapkan kemudian dengan kata Yati yang berita itu sebenarnya palsu. Dalam bab anak, hati Kam mudah rapuh. Kerana itulah keinginannya yang paling kuat kali.

Terdengar helaan nafas Yati di hujung talian.

“Demi Allah Yati tak tipu! Yati memang mengandung. Tujuh minggu,” dia terpaksa bersumpah untuk membuktikan kebenaran katanya.

“Hari tu Yati kata Yati tak nak anak. Sekarang ni Yati cakap Yati mengandung pulak. Terus-terang dengan abang, macam mana Yati boleh mengandung? Ke anak lelaki lain dalam perut Yati tu?” Kam sudah berfikir sampai ke situ.

“Ya Allah abang, anak siapa lagi Yati kandung ni? Mestilah anak abang!”

“Tapi kenapa Yati boleh mengandung?”

“Manalah Yati tahu! Yati ingat abang dah ambil langkah berjaga-jaga!”

“Abang tak berjaga-jaga sebab ingat Yati makan pil tu!”

Mereka saling berbalas tuduhan.

“Kenapa? Yati tak suka ke?”

“Entahlah. Yati rasa Yati suka,” Yati menyentuh perutnya. Perasaannya ada lain sedikit selepas doktor memberitahunya. Itu perasaan gembira agaknya. Yati main teka sahaja perasaan hatinya.

“Yati tak pasti lagi dengan perasaan Yati,” Kam menelah berdasarkan rentak suara Yati. Isterinya seperti tidak ceria sahaja.

“Abang, boleh tak kita jangan bergaduh? Yati hamil, abang sepatutnya gembira. Itu yang sepatutnya abang tunjukkan. Bukannya abang mengaibkan Yati,” kolam di hati Yati mula berkocak. Benteng kesabarannya mula runtuh sedikit demi sedikit.

“Macam mana abang nak gembira bila Yati sendiri tak suka? Yati nak suruh abang jadi hipokrit?”

Tembok kesabaran Yati roboh juga akhirnya.

“Yati pergi dulu. Assalamualaikum,” butang merah ditekannya sejurus lepas itu. Talian dimatikannya!

KALAU dulu Yati susah hendak menembusi talian telefonnya sekarang dia pula menerima nasib yang sama. Rasionalnya kembali datang lalu dia ingin bercakap dengan Yati, ingin memohon maaf di atas keterlanjuran katanya tadi. Tapi isterinya pula merajuk! Panggilannya setia menghujani peti suara telefon isterinya tanpa henti. Letih menekan nombor Yati. Sampai naik kematu jarinya tapi Kam mencuba juga. Dia sudah sampai tahap mahu berputus asa tapi Yati pula menelefonnya. Kam menjawab panggilan isterinya secepatnya.

“Abang minta maaf. Abang tak sepatutnya cakap macam tu pada Yati,” tanpa salam, tanpa pembuka kata maaf diucapnya dulu untuk menyejukkan hati isterinya.

Yati tidak membalas. Bisu.

“Abang tak sengaja. Bukan niat abang nak…”

“Jadi niat apa abang telefon Yati ni?” cantas Yati. Suaranya sedingin ais beku.

“Minta maaf,” lagi sekali Kam dengan maafnya.

“Yati maafkan abang,” jika suaminya mahukan maafnya diterima Yati ambil sahaja walau hatinya belum lagi ikhlas memaafkannya.

“Abang gembira Yati mengandung. Abang nak Yati berperasaan sama dengan abang. Itu aje,” Kam menjelaskan.

“Abang, Yati bukan tak gembira, bukan juga tak suka. Perasaan Yati di tengah-tengah. Yati sedang cuba menolak perasaan Yati supaya mendekati kegembiraan, bukannya kesedihan. Dan Yati perlukan pemahaman abang. Sokongan abang. Itu yang Yati nak. Tapi bila abang tuduh Yati yang bukan-bukan, Yati terasa hati sangat,” suara Yati tenang tetapi penuh kelukaan. Meski ditahan jatuh jua setitis dua titis air matanya.Yati kesat air dengan hujung jarinya. Ah, pembawakan budak telah menjadikan dia seorang yang sensitif!

“Abang minta maaf sebab abang tak faham Yati, isteri abang sendiri,” suara Kam tenggelam timbul lantaran tujahan rasa bersalah. Dia dapat mendengar sendu suara isterinya di sebelah sana. Terbayang di matanya tika ini Yati sedang menangis. Salah satu ikrar janjinya pada wanita itu telah dimungkiri dengan jayanya. Dia telah berjaya membuat wanita itu menangis!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku