CINTA DI SUATU HARI
Bab BAB 15
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
879

Bacaan






BAB 15

HALLO… ini rumah Kar-wai ka?” seorang wanita bersuara pelat cina menelefon rumahnya satu petang. Kerutan di dahi Mary berlapis-lapis. Kar-wai? Siapa Kar-wai? Rasa tiada orang di rumahnya bernama Kar-wai.

“Kenapa Mary?” tegur datuknya yang sedang mendengar radio klasik cina.

“Ada perempuan telefon. Dia cari orang nama Kar-wai,” Mary menggaru-garu leher.

“Apalah! Kar-wai tu ayah kaulah!”

“Nama ah pa Kar-wai? Bukan nama dia lain ke?” tanya Mary bendul.

“Itu nama lama ah pa kau, sebelum dia kahwin dengan ah ma kau,”

“Oh,” baru Mary tahu. Dia pun menjengah ke dapur. Ayahnya sedang memotong sayur. “Ah pa, ada orang cari ah pa,” Mary beritahu ayahnya.

“Siapa?” tanya ayahnya.

“Tak tahu. Dia tak cakap pun siapa dia. Dia mahu cakap dengan ah pa sahaja,” Mary jelaskan pada ayahnya. Dia sudah bertanya tetapi orang itu tidak mahu mendedahkan identiti dirinya. Perempuan itu meminta supaya panggilannya disambungkan kepada ayahnya.

Ayahnya pelik tetapi tidak berkata apa-apa. Ayahnya pun keluar.

“Hello…” Kam bercakap dengan pencari dirinya itu.

“Hallo, ini encik Kar-wai ka?”

Kam rasa aneh. Sudah lama dia tidak dikenali dengan nama lamanya itu. “Ya, saya Kar-wai,” Kam mengesahkan.

“Encik, saya dari rumah kebajikan Chempaka Buddhist…”

“Saya tak ada saudara yang tinggal di rumah kebajikan,” nafi Kam cepat.

“Ada seorang penghuni rumah kebajikan kami. Namanya Meng. Dia mahu berjumpa dengan encik…” dengar sahaja nama seteru lamanya, terus meletus gunung berapi Kam. “Bilang sama dia, saya tak mahu jumpa dia,” Kam bersuara sekerasnya.

“Encik Meng menghidap penyakit barah otak. Doktor kata dia sudah tidak punya banyak masa lagi. Kami ada bertanya permintaan terakhirnya. Permintaan terakhirnya dia mahu bertemu dengan encik sebelum dia meninggal…”

PERGILAH Kam jumpa sama itu Meng,” Lim memujuk anaknya malamnya. Hati anaknya memang diperbuat daripada batu. Meng sakit tenat pun anaknya tidak mahu lagi berdamai dengan lelaki itu. Dendam anaknya tak sudah. Terbawa-bawa sehingga uban putih sudah memenuhi kepala mereka berdua.

“Malaslah ah ba,” Kam mengikut keras kepalanya.

“Kam, apa yang aku ajar kau dulu tentang memaafkan orang? Lebih-lebih lagi orang yang sakit tenat?” Lim tiada jalan mengeluarkan juga ceramah gurunya akhirnya bila dia tidak berjaya mengetuk hati batu anaknya.

“Tapi ah ba…”

“Tak ada tapi-tapi. Kau tahu cakap aku ni memang betul,” Lim mengangkat telunjuk tidak memberi anaknya mematahkan hujahnya.

Kam tahu dia tidak mungkin akan menang dengan ayahnya. “Tapi Yati macam mana? Siapa nak jaga isteri saya?” dia menggunakan isterinya sebagai alasannya pula.

“Anak kau kan ada. Dia boleh jaga ibu dia,” Lim membabitkan cucunya yang hanya menjadi pendengar perbualan mereka.

“Mary boleh jaga ah ma. Ah pa pergilah jumpa kawan ah pa tu,” kata anaknya sesungguh hatinya.

Kam bersungut-sungut. Tapi hanya dalam hati kecil dia sahaja. Waktu inilah anaknya bersepakat dengan ayahnya. Apakan daya. Dalam tidak sudi dia kena juga bertemu dua muka dengan musuh lamanya itu.

YATI, tolong abang. Beritahu abang apa yang harus abang buat. Abang tak nak jumpa Meng. Abang tak dapat buang lagi rasa benci abang pada dia,” Kam meluahkan pada isterinya tengah malamnya.

Yati tidak membalas. Kam senyum pilu. “Abang lupa, Yati tengah tidur kan? Tak mungkin Yati mendengar lara di hati abang ni,”

“Yati dengar, bang,” satu suara berkata.

Yati.

Kam terasa seperti bermimpi. Isterinya sedang tersenyum padanya. Kam melihat pada katil. Yati sedang terbaring di sana. Dia melihat pula ‘Yati’ yang satu lagi. Yati itu jauh lebih muda. Sedang berkhayalkah dia?

“Abang mimpi ke ni?” Kam mengelip-ngelipkan matanya beberapa kali.

Yati senyum. “Abang memang bermimpi tapi anggaplah mimpi abang ni benar. Mari, abang,” tangannya dihulurkan pada suaminya.

Seperti dipukau Kam menyambutnya, mengikut isterinya.

Mereka berjalan-jalan di luar. Yati memetik sekuntum bunga lily yang berkembangan. Dia menghidunya sejenak sebelum menyuruh suaminya menghidu sama. Senyum setaman Kam dengan tingkah Yati itu.

“Abang rindukan Yati,” ada getaran hebat dalam suaranya itu.

“Yati tahu. Sudah banyak kali Yati mendengarnya,” kata Yati tenang.

“Yati dengar?” Kam terharu.

Yati menatap suaminya penuh kasih. “Tidurnya Yati tidak bermakna Yati tidak mendengar suara abang, rasa hati abang, derita abang. Yati dengar semua tu bang,” dengan lembut dia meletakkan tangannya di dada suaminya, di mana hati suaminya terletak.

“Apa yang abang runsingkan?” suara Yati penuh keperihatinan.

“Esok. Abang tidak mahu tengok Meng tapi ah ba paksa abang,” Kam mengadu sedih dengan isterinya.

“Abang marahkan Meng lagi?”

“Sentiasa dan selama-lamanya,” dengus Kam marah.

“Tapi dia sudah tenat,”

Kam terpempan. Bagaimana Yati boleh tahu? Tapi kan dia sedang bermimpi. Segalanya mungkin dalam mimpi.

“Abang tak tahu Yati. Tapi marah abang ni, abang tak dapat buang. Hati abang jadi sakit bila mengingatkan perbuatan dia dulu pada abang,” Kam berkata perlahan sambil menyentuh dadanya.

“Hati abang sakit sebab dendam abang tu. Kerana benci abang tu, hidup abang sendiri tidak tenteram. Abang, abang kena lepaskan perasaan marah abang tu. Dengan itu ketenangan akan kembali semula dalam hidup abang,” pujukan Yati meresap masuk dalam hatinya. Tapi egonya tidak mahu kalah. “Tapi abang benci dia. Bencikan sangat-sangat,” Kam membentak.

“Tapi apakah hidup abang bahagia dengan membencinya seumur hayat abang?”

“Tak,” Kam mengakui dalam kepahitan. Hidupnya tidak damai juga.

Yati tahu dia sudah berjaya memadamkan api dendam suaminya itu. Dalam senyum suaranya mengatakan. “Pergilah abang, pergilah berjumpa dengan dia untuk kali terakhir. Agar hatinya tenang. Dan juga hati abang. Biar kemarahan tidak lagi merajai abang,”

“Yati temankan abang. Abang tidak kuat berseorangan,” pinta Kam penuh mengharap. Tangan isterinya dipegang.

“Yati tak boleh. Abang kena lakukan perkara ni sendiri,”

Kam melepaskan tangannya. Kecewa.

Yati meraih kembali tangan suaminya dan memeluknya. “Usah abang khuatir.Yati tak pernah berhenti mengasihi abang. Cinta Yati sentiasa ada menemani abang selalu,”

KAM terjaga daripada mimpinya. Termangu dia mengingatkan mimpinya tadi. Yati di atas katil jadi tatapannya. Tangan isterinya disentuh.

“Terima kasih sayang….” bisiknya. Tangan isterinya dikucup.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku