AGNIESZKA
Bab 1
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
425

Bacaan






“Satu….dua….tiga… .” Seorang gadis kecil berambut emas membaringkan satu-persatu anak patungnya di atas katil. Jari telunjuknya kemudian dihalakan pada muka anak patung yang berambut merah. “Alessia,” dia memberi nama pada anak patung tersebut. Jari telunjuk si gadis kecil bergerak lagi ke muka anak patung bersebelahan Alessia. “Daniela,” ujarnya pada anak patung berambut coklat muda tersebut. Mata dialihkan pada anak patung ketiga. Lama dia merenung wajah anak patung ketiga. Rambut panjang warna emas anak patung itu sama seperti rambutnya.

“Awak…” gadis kecil itu tidak meneruskan kata-kata. Dia mencebikkan bibir. Keningnya berkerut memandang rambut si anak patung.

Perlahan-lahan, dia turun daripada katil lalu menapak langkah ke meja kecil di sudut bilik. Sudut tersebut dipenuhi dengan anak patung beruang dan anak patung berbentuk manusia. Tangan kirinya mengambil sebilah gunting yang diletakkan di atas meja kecil. Kemudian dia melangkah kembali ke arah katil. Dengan senyuman yang lebar, dia memanjat katil saiz besar tersebut.

Dia merangkak perlahan-lahan mendekati anak-anak patungnya. Dengan kasar, dia menjambak rambut anak patung yang berambut keemasan. Tubuh anak patung itu bergoyang-goyang di udara.

“Teehehehehehe,” gadis itu ketawa terkekeh-kekeh. Mata birunya merenung rambut anak patung tersebut. “Masa untuk jadi cantik, Letizia!” ujar si gadis kecil sebelum memotong rambut anak patung yang dinamakannya Letizia. Tubuh patung malang itu jatuh di atas katil.

“Maaflah…tapi…cuma saya sahaja yang boleh berambut kuning dan panjang, Letizia…Awak tak boleh! Teehehehehehehehehehe…”

*****

10 tahun kemudian

Cuaca tengah hari itu panas terik dengan matahari meninggi di atas kepala. Walaupun begitu, suasana di luar perkarangan sekolah menengah Azurro riuh-rendah dengan suara gembira para pelajar yang baru sahaja tamat sesi persekolahan. Berpakaian seragam kemeja biru muda dan seluar slack hitam untuk lelaki, dan kemeja merah jambu bersama skirt paras lutut warna hitam untuk perempuan, mereka berpusu-pusu keluar dari perkarangan sekolah untuk ke destinasi seterusnya. Ada yang ingin pulang terus ke rumah, ada yang sedang berbual-bual dengan rakan mereka sambil membuat rancangan cuti hujung minggu, tidak kurang juga dengan mereka yang mahu melepak di bandar terlebih dahulu sebelum balik ke rumah masing-masing.

“Agnieszka, awak nak ikut kami ke bandar tak?” soal Marie. Rambut ikal mayang warna hitam miliknya yang panjang, beralun perlahan ditiup angin. Dia memandang Agnieszka yang merupakan teman rapat dan juga rakan sekelas. Agnieszka yang memiliki rambut panjang keemasan dan berkulit putih mulus, kelihatan seperti anak patung tatkala mengukir senyuman.

“Maaflah, saya dah janji dengan kakak-kakak saya nak keluar bersama mereka nanti.” Agnieszka menjawab jujur.

“Sekali lagi? Awak selalu menolak setiap kali kami ajak awak keluar…” rungut Isabella. Dia memuncungkan mulut, merajuk. Mereka bertiga kini sedang melintasi zebra crossing yang tidak jauh dari sekolah menengah Azurro.

“Betul tu. Takkan awak tak nak keluar dengan kami sekali-sekala? Kami ni kan kawan awak. Lagipun hari ni Bella cakap dia nak luruskan rambut. Kan, Bella?” Marie mengalihkan pandangan pada Isabella. Gadis rambut pendek warna coklat itu mengangguk kepala.

“Maaflah tapi saya dah janji dulu dengan kakak-kakak saya tu…” pinta Agnieszka, cuba menerangkan keadaannya. “Tak eloklah kalau saya mungkir janji saya…” ujarnya perlahan. Nadanya menagih kefahaman daripada kedua-dua rakannya.

Mereka kini berada di jalan yang berseberang dengan sekolah menengah mereka. Agnieszka menghentikan langkah. Melihatkan itu, Marie dan Isabella turut berhenti sama.

“Kalau begitu, apa kata awak balik dulu, kemudian ajak kakak-kakak awak keluar ke bandar dengan kita bertiga? Dah lama kita berkawan tapi sampai sekarang saya tak pernah jumpa mereka.” Marie memberi cadangan.

Resah kini mencengkam hati Agnieszka. Otaknya ligat mencari alasan bagi menolak cadangan Marie. Menyedari Agnieszka tidak bersuara, Isabella mula sangsi. Segera dia mengajukan pertanyaan.

“Kenapa, Agnieszka?”

“Kami ada urusan keluarga petang ni. Sebab itulah kami semua nak pergi ke satu tempat,” bohong Agnieszka. Dalam hatinya berharap yang perbualan mereka mengenai hal ini akan tamat setakat itu sahaja.

“Urusan keluarga? Urusan apa? Tak boleh tunda ke hari lain ke?” soal Marie bertalu-talu. Dia kurang puas hati dengan alasan yang diberikan Agnieszka. Ini bukannya kali pertama dia mendengar perkataan ‘urusan keluarga’ keluar daripada mulut kawan yang berdiri di hadapannya.

Agnieszka mengukir senyuman tawar. “Hari ni ulang tahun kematian ayah saya,” ujar Agnieszka. Marie dan Isabella kelihatan terkejut. Mereka berdua terkedu seketika. Marie menyesal kerana mendesak Agnieszka sebentar tadi.

“Ma…maaf…” pinta Marie. Macam manalah dia boleh lupa yang Agnieszka ialah anak yatim piatu yang tinggal bersama kakak-kakaknya?

Isabella menunjukkan reaksi simpati. Dia baru berpindah ke bandar Azurro awal tahun ini. Jadi ada banyak perkara tentang Agnieszka yang dia tidak tahu. Gadis itu jarang sekali membuka mulut untuk bercakap. Dia mengenali Agnieszka pun melalui Marie yang juga merupakan jirannya. Marie yang memperkenalkan Agnieszka kepadanya.

“Maaflah…Agnieszka…” pohon Marie sekali lagi. Matanya dan mata biru Agnieszka bertautan. Agnieszka menggeleng-gelengkan kepala.

“Awak tak salah, Marie. Saya sepatutnya beritahu awak lebih awal tentang ini.” Senyuman tawar masih terukir di bibir si gadis manis. “Saya balik dulu ya, Marie, Isabella.” Agnieszka meminta diri untuk pergi.

“Jumpa lagi nanti, Agnieszka. Sampaikan salam saya kepada kakak-kakak awak.” Marie memberitahu.

“Jumpa hari Isnin nanti,” ujar Isabella.

“Ya. Jumpa lagi.” Agnieszka berpaling ke belakang lalu berjalan pergi dari mereka berdua. Selepas berjalan beberapa langkah, senyuman yang tadinya hambar, perlahan-lahan melebar.

*****

Kakinya melangkah pantas memijak rumput-rumput liar di kawasan hutan pinggir bandar Azurro. Sesekali dia mengelap peluh yang menitik di pipi menggunakan lengan baju seragam. Sebentar lagi dia akan tiba di tempat yang dituju.

Hampir 15 minit meredah hutan, dia akhirnya sampai di sebuah kawasan perkuburan lama. Pagar kayu bercat putih yang dilingkari dengan pohon menjalar Russian Vine warna putih seolah-olah mengalu-alukan kedatangan Agnieszka ke tanah perkuburan yang terletak di sebalik pagar. Perlahan-lahan dia melangkah merapati pintu pagar dan menolaknya sebelum menapak masuk ke perkuburan lama tersebut.

Suasana sunyi dan suram menyelubungi kawasan tanah perkuburan lama itu, seakan-akan maklum dengan keadaan para penghuni yang sedang terbaring di dalam, penghuni-penghuni yang mahukan ketenangan untuk tidur yang abadi. Seperti biasa, suasana sunyi itu langsung tidak menakutkan bagi Agnieszka.

Mata Agnieszka memerhati batu-batu nisan yang sudah luntur warna di sepanjang laluannya. Susunan batu-batu nisan lama sudah tidak sebaris. Ada yang masih berdiri teguh. Ada juga yang sudah terbelah dua dengan sebahagian lagi sudah jatuh di atas tanah.

Satu-persatu batu nisan dilintasi. Sesekali dia terhenti. Melihat ke kiri, kanan, dan belakang sebelum meneruskan langkah. Dia mahu memastikan tidak ada orang lain selain dia di tanah perkuburan ketika itu.

Dia akhirnya tiba di sebuah batu nisan marmar warna hijau tua yang terukir ayat,

‘Ayah tercinta, Maximilian Wiercinski. 1817-1990’

Hati Agnieszka bertukar sayu.

“Ayah…” Dia mengucap perlahan. “Saya dah datang.”

Agnieszka merebahkan tubuh, melutut di hadapan batu nisan ayahnya. “Saya dah datang, ayah.” Matanya merenung lama batu nisan milik si ayah. Kenangan gembira bersama Maximilian 30 tahun yang lalu menari-nari di ruangan minda. Agnieszka mengukir senyuman mesra. “Rasa macam baru semalam ayah ada di sisi saya…” tuturnya perlahan.

Matanya perlahan-lahan bertukar hangat. Air mata kini mengalir bercucuran daripada kelopak mata. Semakin lama, semakin sukar untuk Agnieszka menahan emosi sedih. Tangisannya kedengaran jua.

“Arrrgghhhh!!!” jeritnya kuat sambil menghentakkan kedua-dua penumbuk ke atas rumput. Kepalanya tertunduk.

“Kenapa, ayah?” soalnya. Dia mengangkat kepala, memandang batu nisan Maximilian. “Kenapa ayah tinggalkan saya?!” marahnya pada batu nisan tersebut. “Kenapa semua orang tinggalkan saya?! Arghh…”

*****

Langit yang tadinya mesra dengan warna biru lembut kini bertukar merah. Kawanan burung berterbangan di kaki langit menuju ke destinasi masing-masing.

Agnieszka terbaring di hadapan batu nisan Maximilian. Pandangan matanya kosong dan mati. Mukanya tidak menggambarkan sebarang ekspresi. Dada langit yang terbentang luas diperhatikan. Warna merah pada langit ketika petang tiba cukup disukainya. Warna itu menarik hati dan mengingatkannya pada warna darah.

Agnieszka bangun daripada pembaringan. Dia berlutut memandang batu nisan ayahnya.

“Dah sampai masanya, ayah,” ujar Agnieszka. Dia menyambung lagi. “Saya akan balas dendam untuk ayah. Ayah jangan risau lagi.” Air matanya kembali bergenang. Agnieszka merapatkan tubuh pada batu nisan tersebut. Kedua-dua tangannya kini menyentuh batu nisan.

“Saya dah kuat, ayah…dalam 25 tahun ni, saya dah kuat…” Manik-manik putih berlinangan ke pipi. “Saya dah kuat…” ucapnya. Bibirnya perlahan-lahan menguntum senyuman.

Dia merapatkan muka ke batu nisan si ayah. Dahinya menyentuh huruf-huruf yang terukir pada batu nisan. “Saya akan balas dendam untuk ayah…”

“Tehehehehe…” Agnieszka mula ketawa terkekeh-kekeh. Tawanya kini memenuhi kawasan perkuburan lama tersebut.

“Saya dah ada kawan sekarang... Alessia, Daniela, dan Letizia, mereka akan tolong saya untuk balas dendam nanti. Jadi ayah tak perlulah risaukan saya lagi lepas ni…”

“Tehehehe…” Agnieszka ketawa lagi. “Mari, Alessia, Daniela, Letizia. Mari datang sini dan sapa ayah saya…” panggilnya.

Angin menghembus kencang. Pohon-pohon bergoncangan. Pintu pagar di tanah perkuburan itu bergerak ke depan dan ke belakang dihembus anggin. Langit yang tadinya kemerahan kini ditutupi oleh awan-awan gelap. Tidak lama kemudian, muncul tiga susuk tubuh di belakang Agnieszka. Agnieszka ketawa mengekeh. Ketibaan mereka sudah dia jangkakan. “Mereka dah tiba…” dia berbisik pada batu nisan Maximilian.

Kemudian dia berpaling ke belakang. “Selamat datang,” ucapnya. Jari telunjuknya menunjuk ke arah seorang gadis berambut panjang warna merah dengan anak mata warna kelabu. “Kenalkan, ini Alessia.”

Kemudian jari telunjuknya berpindah ke arah gadis yang berdiri di tengah-tengah. Gadis itu berambut berambut ikal mayang paras pinggang warna coklat muda. Mata tanpa ekspresi warna zamrud miliknya memandang tepat ke muka Agnieszka. “Ini Daniela.”

Jari telunjuk Agnieszka beralih ke arah gadis ketiga. Gadis berambut emas dan dipotong pendek paras bahu itu tersenyum kepadanya. “Ini Letizia.” Agnieszka memberitahu. Dia kemudian berpaling menatap batu nisan ayahnya kembali. “Mereka bertiga kakak saya!” Nada suaranya riang. “Mereka akan bantu saya balas dendam untuk ayah. Mereka hidup untuk saya. Dan mereka akan mati untuk saya. Saya takkan kesunyian lagi. Sebab saya ada mereka sekarang.

Teehehehehehe. Saya takkan rasa sunyi lagi. Dan sekarang saya dah boleh mula cari lelaki itu…Dia akan terima balasan atas perbuatannya. Tangan ini…” Agnieszka menghulurkan jarinya ke hadapan. “Tangan ini akan jadi saksi kepada penamatan riwayat lelaki itu. Saya janji, ayah. Saya janji…teehehehehehehehe…”



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku