AGNIESZKA
Bab 2
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
384

Bacaan






Patryk melangkah lambat-lambat, sengaja mahu memanjangkan tempoh perjalanan. Biarpun hanya seketika, dia ingin menikmati detik-detik perjalanan tersebut.

Patryk mendongak kepala ke arah langit yang biru, melihat awan berarakan dan kawanan burung yang berterbangan. Senyuman terukir di bibir remaja 16 tahun itu. Hembusan angin musim bunga sungguh menyegarkan hingga membuat dia terlupa seketika kekusutan di minda. Untuk itu, Patryk sangat bersyukur.

Patryk tiba di satu kawasan perumahan banglo-banglo mewah. Berada di kawasan itu membuat fikirannya kembali kacau. Lantas dia mengetap bibir. Mata ditumpukan pada jalan di hadapan, tidak mahu melihat rumah-rumah banglo yang berdiri megah di sebelah kiri jalan yang dilalui. Melihat rumah-rumah mewah tersebut membuat hatinya bengkak, tidak gembira. Patryk mempercepatkan langkah.

Dia membelok ke kiri. Hanya beberapa langkah sahaja, Patryk sudah berada di hadapan sebuah rumah banglo. Namun, rumah banglo yang berdiri di hadapannya tidak secantik rumah-rumah banglo yang dilewatinya sebentar tadi. Cat warna biru pada dinding luar rumah banglo itu sudah terhakis. Ada bahagian pada pagar yang sudah berlubang. Pokok-pokok bonsai dan ros yang berada di halaman sudah lama mati manakala rumput-rumput tumbuh meninggi.

Sambil melepaskan keluhan, Patryk menolak pintu pagar yang berkarat. Dia merapatkan kembali pintu pagar sebaik memasuki laman.

Kaki Patryk melangkah tidak bersemangat menuju ke pintu rumah. Jari-jemarinya

memusing tombol pintu. Patryk mendengus. Seperti yang dia jangka, pintu rumah tidak berkunci sekali lagi. ‘Pasti perempuan itu terlupa menguncinya!’ Rungut Patryk dalam hati. Biarpun begitu, dia tidak kisah sangat. Tiada benda berharga yang tinggal di dalam banglo itu. Semuanya sudah dijual untuk melunaskan hutang ayahnya yang sehingga kini masih ditanggung oleh dia dan ‘perempuan itu’.

“Saya dah balik,” ujar Patryk sebaik memasuki ruangan rumah.

Beberapa saat kemudian, seorang wanita awal 30-an muncul dari ruang tamu.

Melihat kelibat Patryk, perempuan berambut coklat muda itu mengukir senyuman mesra.

“Selamat pulang. Bagaimana kelas hari ini?”

“Biasa sahaja…” Patryk menjawab acuh tidak acuh. Dia menunduk membuka kasut. “Patryk,” panggil perempuan itu sambil menghulurkan tangan kanan. Patryk sudah dapat mengagak apa yang perempuan itu mahukan.

Dia membuka zip beg sekolah lalu mengeluarkan sekeping kertas. Kertas itu direntap pantas oleh perempuan tadi.

Bibir merah perempuan itu mengukir senyuman tatkala melihat angka-angka yang tertulis di atas kertas tersebut.

“Bagusnya kamu! Kali ini pun kamu nombor satu lagi. Bijak betul! Kalau teruskan begini, mesti masa depan kamu akan jadi businessman berjaya macam papa kamu. Bolehlah kita hidup senang masa tu,” puji perempuan itu. Dia menyambung lagi, “mama nak ambil kertas keputusan kamu ni dan bingkaikannya. Masuklah cepat, Patryk! Mama dah masak.”

Perempuan yang menggelar dirinya ‘mama’ melangkah ke dapur sambil bernyanyi-nyanyi kecil.

Patryk mencebik. Businessman macam papa?Lelaki itulah yang menyebabkan mereka hidup seperti sekarang ini. Sekarang perempuan itu mahukan dia jadi seperti lelaki itu pula. ‘Jangan harap! Aku takkan ikut telunjuk kau!

Patryk menapak langkah ke ruang tamu. Ruang tamunya kosong, tanpa kerusi, tanpa televisyen, tanpa apa-apa. Dia mengetap gigi. Kalaulah ibunya masih di sini, pasti keadaan mereka sekeluarga tidak seperti ini. Pasti mereka hidup bahagia.

Ini semua salah ayahnya. Dia yang menyebabkan keluarga mereka berantakan. Dan perempuan itu, dia juga salah satu sebab mengapa ibunya tidak mahu kembali.

Patryk bergerak menghampiri anak-anak tangga. Tangga yang diperbuat daripada batu marmar dinaiki satu-persatu.

Dari bawah, kedengaran suara perempuan yang menggelar dirinya ‘mama’ itu memanggil Patryk.

“Patryk, makanan dah sedia. Mari makan!”

Patryk berhenti berjalan. Mendengar suara perempuan itu sahaja sudah membuat dia rasa meluat, apatah lagi memakan makanan yang dimasaknya. Mahu sahaja perempuan itu dimaki, tapi Patryk masih bisa bersabar.

“Saya tak lapar! Mak cik makanlah sendiri!” laung Patryk dari tingkat atas.

Perempuan itu memandang periuk di tangannya. Ada rasa hiba di hati tatkala mendengar Patryk memanggilnya dengan gelaran ‘mak cik’. Air mata kini bergenang di kelopak mata. Namun belum sempat ia mengalir, perempuan itu cepat-cepat memujuk hatinya kembali. Ini cumalah salah satu dugaan daripada Tuhan.

“Okey, mama makan dulu. Kalau kamu nak makan, mama ada letak sup ni di atas meja makan!” Kuat suara perempuan itu memberitahu.

Patryk yang berada di tingkat atas mengepal penumbuk. “Perempuan penyibuk…” gumamnya perlahan sebelum berjalan masuk ke dalam bilik.

Patryk menghempaskan badan ke atas katil. Dalam banyak-banyak perabot mewah yang terpaksa dijual daripada rumah banglo itu, cuma katil Patryk sahaja yang dapat dikekalkan, selamat daripada menjadi hak milik orang lain. Itu pun kerana dia berkeras mahu menyimpan katilnya.

Satu keluhan berat dilepaskan. Patryk menatap siling. Dia memejamkan mata, mengimbau kembali kenangan-kenangan bahagia sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Dia masih ingat dengan jelas, raut wajah mama yang manis dan lembut. Mama selalu sahaja senyum. Dan setiap kali melihat senyuman mama, Patryk rasa gembira. Setiap kali mama memeluknya, Patryk rasa selamat. Mama ialah segala-galanya bagi Patryk. Namun papa, lelaki yang mama cintai sepenuh hati, memaksa mama pergi daripada hidup Patryk.

Peristiwa 8 tahun yang lalu samar-samar dalam ingatan, namun apa yang Patryk pasti ialah dia melihat papa memukul mama. Dari celah-celah pintu, dia melihat bagaimana papa menolak mama ke atas katil lalu menampar mama berulang-kali.

“Ahhh!!” jeritan kesakitan mama cukup kuat sehingga membuat Patryk menggigil ketakutan.

“Perempuan murahan! Perempuan tak guna!” Kemarahan papa semakin membuak. Wajah mama ditampar-tampar. Papa bagaikan orang gila. Kemudian papa menghempap tubuh mama dengan tubuhnya. “Kau isteri aku! Kau milik aku selamanya!” jerit papa.

Patryk yang ketika itu berusia 8 tahun tidak tahu apa yang papa lakukan ke atas mama. Dia nampak papa membuka tali pinggangnya. Papa kemudian menggunakan tali pinggang tersebut untuk mengikat tangan mama. Selepas itu dia melihat papa mengoyakkan baju mama. Mama yang diikat meronta-ronta mahu melepaskan diri namun gagal. Papa menampar mama lagi.

Seketika kemudian, jeritan kesakitan mama memenuhi seluruh ruangan bilik. Melihat apa yang berlaku pada mama, Patryk jadi semakin takut. Dia kemudian berlari pergi dari situ.

Kaki kecilnya pantas menuruni anak-anak tangga. Jeritan mama di tingkat atas kedengaran hingga ke tingkat bawah. Patryk membuka pintu rumah lalu berlari keluar. Dia tidak tahu ke mana hala tujunya. Waktu itu dia cuma mahu melarikan diri daripada papa dan kemarahannya.

Lariannya semakin lama semakin laju. Tapi entah kenapa telinganya masih lagi mendengar jeritan kemarahan papa dan jeritan kesakitan mama. Sambil berlari Patryk menekup telinga, berharap yang jeritan-jeritan tersebut meninggalkannya sendirian. Dia tidak mahu mengingati kejadian itu lagi.

Patryk memasuki satu lorong kecil. Sebaik sahaja keluar daripada lorong tersebut, dia melihat sebuah taman permainan yang terletak di seberang jalan. Patryk berhenti berlari. Tanpa dia sedari, air matanya sudah mengalir ke pipi.

“Budak lelaki tak baik menangis…”

Suara itu terngiang-ngiang di telinga. Segera Patryk menyeka air mata dengan lengan baju. Matanya memandang taman permainan di seberang jalan. Sedikit demi sedikit, hiba yang bersarang di hati kian pudar. Bibirnya mengukir senyuman. Dengan perasaan gembira, Patryk melangkah kaki ke atas jalan raya.

“Patryk!!!!”

*****

Mata Patryk celik kembali. Dia bingkas bangun daripada pembaringan. Cadar katil yang bermotifkan awan dipandang. Namun tumpuannya bukan pada cadar tersebut. Ada sesuatu yang mengganggu kotak fikirannya.

Pada hari itu, dia ditimpa kemalangan. Dia dilanggar kereta dan bangun daripada koma 5 hari selepas kemalangan tersebut. Dia masih mengingati semua perkara yang terjadi pada hari itu; dia pulang dari sekolah, pertengkaran mama dan papa, papa memukul mama…namun, dia tidak pernah ingat kewujudan satu suara yang berteriak memanggil namanya ketika dia sedang melintas jalan.

Suara siapakah itu? Mengapa baru sekarang suara itu muncul? Dan mengapa dia rasa seperti pernah mendengar suara itu?

Ah! Jangan peduli pada suara tu! Itu pasti mainan memori kau saja, Patryk!’ Patryk bermonolog sendirian. Dia turun dari katil. Kemudian dia mencapai tuala yang disidai di kerusi meja belajar lalu menuju ke bilik mandi.

*****

Malam itu hujan lebat turun membasahi bandar Azurro. Bunyi guruh berdentum bersama kilat sambung-menyambung membuatkan perempuan itu tidak dapat tidur lena. Tubuh yang sebentar tadi berbaring dibungkus selimut, kini sudah bertukar posisi. Dengan selimut yang masih menutupi badan, perempuan itu bangun seraya duduk dengan tenang di atas tilam nipisnya.

Peristiwa petang tadi membuat air matanya mengalir. Ternyata, tiada sedikit ruang pun buatnya di dalam hati Patryk. Walaupun Patryk cuma anak tirinya, dia sentiasa berharap yang suatu hari nanti Patryk akan memanggilnya dengan panggilan ‘mama’. Tapi, walaupun sudah 6 tahun dia berkahwin dengan papa Patryk, Patryk tidak pernah menganggapnya sebagai seorang ibu, apatah lagi mahu memanggilnya dengan gelaran itu.

Air mata yang mengalir ke pipi segera diseka dengan kain selimut. Perlahan-lahan, dia bangun lalu melangkah ke pintu bilik. Dengan senyap, dia keluar dari bilik. Dia mahu turun ke dapur untuk membuat minuman panas bagi menghangatkan tubuh.

Langkah diatur dengan perlahan. Dia tidak mahu membangunkan anak tiri yang tidur selang beberapa bilik daripada biliknya. Cahaya kilat yang muncul sekali-sekali daripada tingkap menjadi pembantu ketika berjalan di koridor yang gelap.

Langkahnya terhenti sebaik terpandang sesuatu di hujung koridor. Matanya terpaku memandang susuk tubuh yang sedang berdiri membelakanginya.

“S..siapa?” Dia menyoal.

Nafasnya turun naik. Dia pasti yang dia sudah mengunci semua pintu masuk ke rumah. Mana mungkin perompak boleh masuk. Kalau mereka masuk pun, tidak ada apa-apa lagi barang berharga yang tinggal di rumah tersebut. Mereka sepatutnya tahu tentang itu berdasarkan fizikal banglo yang sudah uzur.

“Kau…kau siapa?” soalnya lagi sambil berundur ke belakang perlahan-lahan.

“Teehehehehehe….”

Undurannya terhenti. Suara ketawa yang halus itu datang dari arah belakang. Dia mulai takut.

Rumah ni berhantu ke? Siapa yang ketawa di belakang aku? Patutkah aku berpaling ke belakang? Apa yang patut aku buat sekarang?

Dia menelan liur. Jika dia lari dari situ dan meluru ke bawah, ‘mereka’ akan pergi kepada Patryk. Dia tidak mahu apa-apa terjadi pada Patryk.

Dia menarik nafas, cuba mengumpul keberanian. Kemudian dia berpusing ke belakang.

Cahaya kilat yang memancar membolehkan dia melihat susuk tubuh si gadis yang ketawa sebentar tadi. Gadis itu tersenyum.

“Selamat malam, Felicyta.” Ramah gadis itu menyapa.

Felicyta tergamam, bulu tengkuknya meremang.

Macam mana dia tahu nama aku?

“Si..siapa kau?” soal Felicyta, curiga. Degupan jantungnya semakin pantas. Gadis itu melebarkan senyuman.

“Agnieszka,” jawab si gadis. “Aku datang untuk selesaikan kegusaran dalam hati kau.”

“Kegusaran?” Felicyta menyoal, tidak faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Agnieszka.

“Ya, kegusaran. Aku boleh hilangkan semua kegusaran daripada hati kau…termasuklah Patryk…” ujar Agnieszka sambil tersengih.

Felicyta tersentak. ‘Patryk, apa maksud dia dengan Patryk?

“Kau jangan berani apa-apakan Patryk,” Felicyta memberi amaran. Matanya besar memandang Agnieszka. Walaupun takut, demi sahaja mendengar nama Patryk, Felicyta terasa seperti mendapat satu kekuatan. Agnieszka ketawa kecil.

“Aku tak cakap aku akan apa-apakan Patryk,” ujar Agnieszka sambil berjalan merapati Felicyta. Mukanya berhenti beberapa inci di hadapan muka wanita itu. Dia menyentuh pipi kiri Felicyta. “Kau nak Patryk sayang kau macam ibu sendiri, kan? Aku boleh jadikan itu kenyataan…” Agnieszka berhenti seketika sebelum menyambung, “kau nak buat perjanjian dengan aku tak?”



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku