Kerana Dia Milikku
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
572

Bacaan






Seperti biasa, setiap pagi Dalisya akan di siapkan oleh Mak Yah. Amirul Asraf hanya menjadi pemerhati sahaja. Dia masih duduk di atas sejadah. Keadaannya yang sukar untuk bergerak membataskan segalanya. Dia merasa rendah diri.

“Kita makan nasi sejuk lagi ke Mak Tok?” soal Dalisya pada Mak Yah.

“Puteri nak Mak Tok goreng nasi ni tak?” soal Mak Yah pada cucunya.

“Nak! Nak!” Dalisya kegembiraan.

“Bak sini nasi tu”

Dalisya menghulurkan sepinggan nasi sejuk pada Mak Yah. Dia kembali duduk bersila di atas lantai menunggu. Dia sempat menjengah ayahnya yang berada di ruang tamu. Kelihatan ayahnya masih mengenggam tasbih. Mulutnya terkumat kamit membaca zikir.

“Puteri! Puteri!” Melati memanggil Dalisya dari luar.

“Haa.. tu macam suara Melati tu”

“Betul lah Mak Tok, Melati dah datang..” Dalisya bangun dari tempat duduknya. Dia berlari ke arah tingkap untuk mengesahkan apa yang di fikirkannya.

“Puteri kau dah siap ke belum?” soal Melati.

“Dah! Sekejap ya Melati” Dalisya berlari mendapatkan Mak Yah semula.

“Melati dah sampai Mak Tok, puteri pergi dulu ya” Dalisya mencium tangan Mak Yah kemudian dia berlari ke ruang tamu untuk bersalaman dengan ayahnya.

“Puteri pergi dulu Abi”

“Belajar betul-betul ya sayang, jangan main-main. Dengar cakap cikgu” Amirul Asraf mengucup dahi Dalisya.

“Puteri, nah bawa nasi ni, nanti waktu rehat makan ya” Mak Yah menghulurkan mangkuk yang berisi nasi yang telah siap di goreng.

“Terima kasih Mak Tok”

Dalisya memakai kasut sekolahnya. Di hujung kasut telah mula terbentuk lubang kecil. Melati tersengih apabila melihat Dalisya. Mak Yah menghantar Dalisya hingga ke halaman rumah di mana Hamidi sedang menunggu.

“Assalamualaikum Midi” Mak Yah memberi salam sebaik terlihat wajah mencuka Hamidi.

“Waalaikum salam” Jawab Hamidi acuh tak acuh.

Mak Yah memaniskan muka.

“Ayah bukakan pintu belakang ni” Melati menarik-narik pemegang pintu kereta.

Hamidi keluar dari kereta untuk membukakan pintu. Sebaik puntu terbuka, Dalisya dan Melati meloloskan diri masuk ke dalamnya. Hamidi menutup pintu dengan keras. Pintu depan dibuka.

“Terima kasih lah Midi sanggup menumpangkan cucu Mak Yah tu ya” Mak Yah tersenyum ke arah Hamidi.

“Saya ni bukannya pemandu peribadi cucu Mak Yah. Kalau ikutkan hati saya ni, tak inginnya saya nak angkut cucu Mak Yah tu. Dahlah menumpang, satu sen haram pun tak di bayar. Apa Mak Yah ingat minyak kereta saya nifree ke? Kalau Mak Yah nak tahu semua ni saya buat sebab Melati, kalau tak kerana Melati.. huh! Tak ingin aku!” ujar Hamidi separuh berbisik, takut di dengari oleh anaknya.

Mak Yah terdiam. Dia hanya mampu mengukir senyum yang dia sendiri tidak pasti ikhlaskah senyumannya itu. Kereta milik Hamidi meninggalkan perkarangan rumahnya tetapi Mak Yah masih lagi berdiri di situ. Amirul Asraf yang memerhatikan dari tangga rumah seolah-olah faham apa yang dibicarakan oleh Ibunya dengan Hamidi sebentar tadi. Pasti Hamidi meminta wang dari ibunya.

“Mak! Mak!” Laung Amirul Asraf.

Mak Yah memandang kosong ke arah anaknya. Dia berjalan perlahan. Apa yang dikatakan oleh Hamidi sebentar tadi bermain-main di kepalanya. Ternyata selama ini Hamidi tidak ikhlas menumpangkan cucunya ke sekolah. Dia sedih.

“Apa yang mak bincangkan dengan Abang Hamidi tadi tu? Nampak macam serius saja” Amirul Asraf bertanya sebaik sahaja Mak Yah melabuhkan punggung di sebelahnya.

“Mirul, mak nak menyapu laman kita ni dulu. Kalau Mirul lapar, bawah tudung saji di dapur tu, ada lebih nasi yang mak gorengkan untuk puteri tadi. Kamu makanlah. Nanti dah siap makan baru kamu raut lidi tu ya nak” Mak Yah tidak menjawab pertanyaan anaknya. Dia mencapai penyapu yang tersandar di tiang rumah.

“Mak tak makan sama?” soal Amirul Asraf.

“Mak dah makan tadi. Siap goreng saja, mak suap dalam mulut mak dulu” Mak Yah berbohong.

“Kalau macam tu, Mirul masuk dulu ya mak” Amirul Asraf cuba untuk bangun tetapi dia kembali jatuh semula. Dengan pantas Mak Yah membantu anaknya. Amirul Asraf di pimpin hingga ke dapur.

“Mak.. duduklah sini sekali temankan Mirul” ajak Amirul Asraf. Tangan Mak Yah tidak di lepaskan.

Mak Yah duduk berhadapan dengan anaknya. Kata-kata Hamidi sebentar tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia membukakan tudung saji. Amirul Asraf mengerutkan keningnya.

“Mak kata tadi, mak dah gorengkan nasi ni” jari telunjuk Amirul Asraf tegak menunjuk ke arah nasi putih yang ada di dalam pinggan.

“Ha ah, mak dah goreng nasi ni, kenapa?”

“Macam tak goreng pun mak. Mana cilinya? Bawang dan ikan bilis pun tak nampak” Amirul Asraf menguis-nguis nasi dalam pinggan mencari bahan-bahan yang di katakannya sebentar tadi.

“Mak goreng dengan air garam saja” jawab Mak Yah tenang.

“Air garam? Jadi yang di bawa puteri tadi tu..” Amirul Asraf tidak meneruskan kata-katanya. Dia memandang tepat ke wajah ibunya.

Mak Yah memandang ke arah lain.

“Barang dapur dah tak ada ke mak?” soal Amirul Asraf lembut. Dia dapat melihat air mata yang bertakung di kelopak mata ibunya.

Mak Yah tidak menjawab. Dia mengambil sudu dari tangan anaknya. Pinggan dicapai. Diambilnya sesudu nasi lalu di halakan ke mulut anaknya.

“Mak..” Amirul Asraf tidak dapat meneruskan kata-katanya. Mak Yah telah memasukkan nasi ke dalam mulutnya.

“Sedap kan nasi goreng ni, lagi sedap kalau mak yang suapkan” Mak Yah terus menyuap anaknya.

Selesai bersarapan, Amirul Asraf akan duduk di beranda rumahnya. Sambil menikmati bunyi ombak dia meraut lidi yang telah di cari oleh Mak Yah pada hari sebelumnya. Satu demi satu lidi dirautnya. Mak Yah pula sudah keluar mengambil upah mengemas rumah jiran tetangga yang inginkan perkhidmatannya.

“Mirul”

Amirul Asraf menoleh ke arah datangnya suara yang memanggil namanya. Kelihatan Norida sedang berdiri di belakangnya.

“Kau Nor, aku ingatkan siapa tadi” Amirul Asraf mengusap dadanya. Dia terkejut.

“Mak Yah ada di rumah?” soal Noraida. Dia tertinjau-tinjau mencari kelibat Mak Yah tetapi tiada.

“Mak aku tak ada, dia dah keluar. Katanya hari ni, Mak Senah minta dia kemas rumah sebab malam esok mereka nak buat kenduri doa selamat sikit sebab Ayuni dah habis belajar” terang Amirul Asraf. Tangannya masih ligat meraut daun kelapa.

“Emm.. tak ada rezeki aku nak jumpa mak kau, aku ada kerja sikit untuk dia ni” Norida membetulkan tudungnya.

“Kau cakap saja pada aku, nanti mak aku balik, aku sampaikanlah”

“Kau suruh dia datang rumah aku esok pagi sajalah”

“Kau mengajar di bandar kan Nor? Hari ni kau tak kerja ke?” soal Amirul Asraf.

“Kau ni Mirul, lupa ke? Aku ni kan cikgu sekolah saja. Lagipun makcik aku nak kawinkan anaknya, jadi secara rasminya, aku ambil cuti lamalah sikit” jawab Norida panjang lebar.

“Seronoklah kau dapat cuti lama” Amirul Asraf tersenyum ke arah Norida.

“Tak lah berapa lama, siap semuanya nanti aku baliklah bertugas semula”

“Kau masih ambil upah meraut lidi ni lagi ke Mirul?” soal Noraida. Dia memegang daun kelapa yang ada di hadapannya.

Amirul Asraf mendiamkan diri. Tangannya laju meraut daun kelapa. Pertanyaan Noraida dibiarkan sepi.

“Eh Mirul! Aku balik dululah, tak sedap pula mak kau tak ada, nanti tak pasal-pasal ada pula cerita tak sedap di dengar” Noraida serba salah dengan kebisuan Amirul Asraf. Dia segera meminta diri.

“Biasalah tu Nor, mulut orang. Aku ni dah lali dengan umpat keji orang kampung ni. Telinga aku ni dah tebal” Amirul Asraf menunjuk ke arah telinganya.

“Mana ada, aku tengok telinga kau tak tebal pun, macam biasa saja..hi..hi..” Norida bergurau.

“Kalau betul-betul tebal, aku ni dah jadi alien namanya” giliran Amirul Asraf pula mengusik Norida.

“Aku balik dululah Mirul, nanti suami dan anak aku cari susah pula. Jangan lupa sampaikan pesan aku tadi pada mak kau” Norida meminta diri untuk pulang.

Amirul Asraf menganggukkan kepalanya. Dia menghantar langkah Noraida dengan pandangan kosong. Kenangan bersama Nurul Aliya kembali menghantui fikirannya.


“Woy! Beri laluan! Beri laluan! Tuan puteri celup nak lalu ni” Najib mencelah diantara beberapa orang pelajar yang sedang beratur untuk membeli makanan di kantin.

Amirul Asraf dan Suhaimi mengekori Najib. Nurul Aliya dan Umairah Hanum menjeling tajam ke arah Najib dan rakan-rakannya. Rasa tidak puas hati kerana sentiasa di ejek oleh mereka.

Giliran Nurul Alia tiba jua. Amirul Asraf, Suhaimi dan Najib masih tidak berganjak.

“Nak beli apa tu tuan puteri?” tanya Amirul Asraf. Dia memberi laluan pada Nurul Aliya dan Umairah Hanum.

“Kau ni sibuk betul, pergilah sana” Umairah Hanum turut ke depan untuk membantu Nurul Aliya dari di sakat oleh Najib dan rakan-rakannya.

“Eh Mairah! Kau makan bangkai ke? Mulut kau bau busuk siottt!!” Amirul Asraf berkata sambil menutup hidungnya.

“Aku makan bangkai ke, aku makan apa ke, apa hal kau nak kisah?” soal Umairah Hanum. Dia merasa geram dengan usikan yang kadang-kadang dirasakan semakin melampau.

“Ni mesti pagi tadi kau lupa nak gosok gigi kan? Sebab tu mulut kau bau taik!” giliran Suhaimi pula mengusik.

“Kamu semua ni janganlah berkelahi di sini, kalau nak beli, cepatlah pilih, tu belakang tu masih panjang lagi. Kalau kamu semua nak bergaduh, tolong jauh sikit” peniaga kantin sudah mula rimas dengan pertikaman lidah yang sedang berlangsung di hadapannya.

“Saya ambil nasi lemak ni, mee sup untuk kau Najib dan bihun goreng ni untuk kau Mie.. emm.. pak cik tolong kira lepas tu Tuan puteri ni yang bayar tau” Amirul Asraf menunjuk ke arah Nurul Aliya. Dengan selamba mereka meninggalkan Nurul Aliya dan Umairah Hanum yang masih terpinga-pinga.

“Semua tu tadi RM4.50 saja” ujar Pak Cik Kantin pada Nurul Aliya.

Mahu tidak mahu, Nurul Aliya terpaksa mengeluarkan duit poketnya. Dia menghulurkan not RM5 kepada Pak Cik kantin.

“Err.. Pak Cik, lima puluh sen tu saya nak beli air sirap sebungkus” Nurul Aliya bersuara perlahan.

“Saya pula nak mee sup dengan air sirap satu” Umairah Hanum turut memberitahu pesanannya.

Selesai membuat pembayaran, Nurul Aliya dan Umairah Hanum menuju meja yang berada di sudut kiri kantin. Di situ, Nordiana, Norida dan Ida Ruhayu sedang menanti mereka. Masing-masing sudah sedia dengan makanan yang di beli.

“Kau tak makan ke Nurul?” soal Nordiana sebaik melihat Nurul Aliya hanya memegang sebungkus air sirap.

Nurul Aliya mengelengkan kepalanya. Dia menyedut minuman yang dibelinya sebentar tadi dengan harapan air tersebut dapat memberi kekenyangan pada perutnya.

“Nak makan apanya. Duit dia habis sebab bayar makanan si beruk tiga ekor sana tu” Umairah Hanum memuncungkan mulut ke arah Amirul Asraf, Najib dan Suhaimi yang sedang makan dihujung kantin.

“Kesiannya kau, dia orang tu dah kenapa? Asyik nak kacau kau saja. Kau pun kenapa diam saja, pergilah mengadu dengan cikgu displin” Nordiana mula mengomel.

“Mereka ni memang tak boleh di biarkan” Ida Ruhayu bangun dari tempat duduknya, dia berjalan pantas mendekati Amirul Asraf dan rakan-rakannya.

“Kamu semua ni dah kenapa? Kalau sehari tak menggangu Nurul Aliya tu, hidup kamu semua tak aman ke?” soal Ida Ruhayu garang.

“Alamak! Minah ni nak jadi penyelamat la pulak!” Najib tersenyum sinis ke arah Ida Ruhayu.

“Weyy Minah hidung besar! Kau boleh jangan menyibuk? Lagipun bukan kau yang kami usik, apa yang kau nak kecoh sangat?” soal Amirul Asraf.

“Mirul! Kau tak sedar diri ke? Kau tu bukannya anak orang kaya! Jadi jangan nak berlagak sangat” Ida Ruhayu semakin geram.

“Perempuan ni dah melebih ni” Amirul Asraf juga mula hilang sabar.

“Apa hal kau ni ha perempuan?” Suhaimi menolak Ida Ruhayu.

“Nurul Aliya tu cuma minum air sirap saja tau tak? Dia tentu lapar. Kau Mirul, tak kan kau tak tahu macam mana rasanya kalau tak makan. Aku yakin kau mesti pernah rasa kan? Kan? Sekarang ni, kau tau tak apa yang di rasa Nurul Aliya tu? Aku malas nak bercakap dengan orang-orang yang tak ada otak macam korang ni” Ida Ruhayu meninggalkan Amirul dengan Kawan-kawannya.

“Kau nak kongsi dengan aku?” soal Ida Ruhayu pada Nurul Aliya sebaik sahaja dia melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan dengan Nurul Aliya.

“Tak apa, kau makanlah. Aku nak ke tandas sekejap” Nurul Aliya meninggalkan Nordiana, Noraida dan Ida Ruhayu menikmati makanan masing-masing. Amirul Asraf memerhatikan Nurul Aliya dari jauh. Nurul Aliya berjalan pantas menuju ke tandas. Perutnya terasa sakit. Plastik air sirap di buang ke dalam tong sampah. Perutnya terus mencucuk-cucuk minta di isi. Dia tidak sempat untuk bersarapan pagi tadi. Dia berhenti di tangga menuju ke kelasnya. Dia duduk sambil menekan-nekan perutnya.

“Nah!” Amirul Asraf menghulurkan sebungkus roti pada Nurul Aliya.

“Tak nak” Nurul Aliya menolak.

“Baik kau makan, nanti kalau kau sakit kan menyusahkan cikgu”

Roti beralih tangan. Nurul Alia membuka bungkusan roti lalu mengigitnya. Dia makan dengan laju. Tiba-tiba dia tersedak.

“Makan tu perlahanlah sikit, kau ni gelojoh” Amirul Asraf menghulurkan air miliknya pada Nurul Aliya.

Terasa beralas perutnya kini, dia berterima kasih pada Amirul Asraf, jika tidak pasti gastriknya akan datang. Tanpa di sangka dan di duga, Amirul Asraf begitu memerhatikannya. Bagi Amirul Asraf Nurul Alia adalah seorang yang penyabar. Dia tidak mudah melenting seperti Umairah, Noordiana mahupun kawan wanitanya yang lain.


“Mirul! Hey Mirul!” Mak Yah membaling Amirul Asraf dengan selendangnya.

“Mak? Cepat mak balik?” soal Amirul Asraf pada ibunya.

“Cepat apanya Mirul, tu matahari dah tercacak tengah kepala dah tu. Sekejap lagi puteri nak balik dah tu” Mak Yah meletakkan barang-barang yang dibelinya di atas tangga. Dia mengibas-ngibas leher dengan sapu tangan. Peluh mengalir di pipi.

“Mirul belum masak nasi lagi mak” Amirul Asraf cuba untuk bangun.

“Dah tak payah, biar mak yang masak. Kamu habiskan semua daun-daun ni. Tadi Mak jumpa Haji Meran, dia kata kebun kelapa dia tu banyak nak buang pelepah petang ni, nanti mak pergi sisir daunnya” Mak Yah menaiki tangga dengan perlahan. Dia meninggalkan Amirul Asraf.

Dari jauh kelihatan Dalisya sedang berjalan pulang ke rumah. Amirul Asraf kehairanan. Selalunya Hamidi akan menghantar Dalisya hingga ke halaman rumah tetapi tidak pada hari itu.

“Assalamualaikum Abi” Dalisya memberi salam.

“Waalaikum salam.. kenapa jalan kaki ni sayang?” soal Amirul Asraf pada Dalisya.

“Pak Cik Hamidi nak bawa Melati pergi pekan. Jadi dia turunkan puteri depan jalan besar sana” jawab Dalisya tanpa berselindung.

“Jalan besar depan tu?” soal Amirul Asraf sekali lagi inginkan kepastian.

Dalisya mengangguk. Dia duduk menyandarkan kepalanya di tiang. Peluh membasahi uniform sekolahnya.

Amirul Asraf memandang anaknya. Dia meraub mukanya berkali-kali. Tidak menyangka Hamidi akan memperlakukan anaknya sedemikian rupa. Padahal kereta yang dipandu oleh Hamidi itu adalah kereta miliknya. Oleh kerana dia tidak dapat memandu lagi, kereta tersebut telah diberikan pada Hamidi dengan syarat Hamidi hendaklah membantunya menghantar dan menjemput Dalisya dari sekolah. Ternyata Hamidi telah lupa pada perjanjian yang telah mereka setujui.

Kasihan kau anakku, Abi minta maaf sayang, Abi tak berdaya. Abi tak berdaya untuk melindungimu sayang. Abi tak berguna! Abi tak berguna! Air mata lelakinya keluar jua. Dia tidak tahan melihat dada anaknya yang turun naik kepenatan.

“Abi kenapa?” soal Dalisya apabila melihat Amirul Asraf menitiskan air mata.

“Tak apa-apa sayang, mata Abi ni masuk habuk daun kelapa ni” Amirul Asraf cuba memberi alasan. Daun kelapa di tangan di balingkan ke tepi, pura-pura marah.

“Tadi kat sekolah kawan-kawan ejek Eisya. Mereka kata Abi cacat” adu Dalisya pada ayahnya.

Amirul Asraf mendiamkan diri. Memang benar apa yang dikatakan oleh kawan-kawan anaknya. Itulah kenyataan yang amat pahit buat dirinya. Dia kini tidak berguna lagi, memang benar dia telah cacat, kerana kecacatannya itulah dia telah kehilangan segalanya. Dia telah kehilangan mata pencariannya dan dia juga telah kehilangan isteri yang amat di cintainya, sehinggakan perasaan benci kepada bekas isterinya sedikit demi sedikit semakin menguasai diri, namun rasa rindu yang masih tersisa yang sering mengingatkan dia pada kenangan bersama Nurul Alia.

“Abi dengar tak apa yang Eisya katakan ni?” soal Dalisya untuk kali yang kedua.

“Puteri.. mari masuk. Hari ni Mak Tok ada masak sayur bayam dengan ikan bilis goreng. Mak Senah yang bagi Mak Tok daun bayam tu. Puteri mesti dah lapar kan? Mari sayang” Mak Yah keluar dari dalam rumah. Dari tadi dia mencuri dengar perbualan cucu dan anaknya. Oleh kerana Amirul Asraf tiada jawapan, dia segera keluar untuk menyelamatkan anaknya dari terus diasak dengan pertanyaan dari Dalisya.

“Mak.. tadi Norida ada datang, dia kata nak minta mak ke rumahnya esok pagi. Ada kerja untuk mak agaknya” Amirul Asraf teringatkan pesanan dari Norida untuk ibunya.

“Alhamdulilah, ada rezeki kita” Mak Yah menadah tangan bersyukur dengan rezeki yang diberikan.

“Eisya nak makan dua kali tau Mak Tok” Dalisya menunjukkan dua jari kepada Mak Yah.

“Boleh.. Mirul, mari makan sama”

“Mak pergilah makan dulu, sekejap lagi kalau Mirul lapar Mirul makan ya mak” Amirul Asraf menolak.

“Sudah, jangan nak mengada-ngada. Mari mak bantu” Mak Yah berdegil. Dia mendekati Amirul Asraf. Tongkat di hulurkan pada anaknya. Dia membantu Amirul Asraf untuk bangun.

Akhirnya Amirul Asraf terpaksa mengikut kata ibunya.





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku