Kerana Dia Milikku
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
658

Bacaan






Nurul Aliya membetulkan rambutnya. Lipstik berwarna merah jambu di calit di bibirnya yang mungil. Minyak wangi di sembur di kiri dan kanan lehernya. Setelah itu dia berpusing-pusing menghadap cermin. Terasa puas dengan penampilannya hari itu.

“Dah siap Nurul?” soal Latifah pada anaknya.

“Dah mak. Cuba mak tengok cantik tak baju yang Abang Mail belikan ni?” soal Nurul Aliya pada ibunya. Dia berpusing-pusing di hadapan ibunya.

“Cantik pun anak mak ni. Ismail nak bawa Nurul ke mana ni?” soal Latifah ingin tahu.

“Kami nak keluar makan saja” jawab Nurul Aliya ringkas.

“Nurul, jangan balik lewat sangat. Ayah tak suka” ujar Sukarman pula. Dia kurang gemar dengan persahabatan Nurul Alia dan Ismail. Apatah lagi kini dia telah bersara. Setiap gerak langkan Nurul Aliya dapat di perhatikan dengan teliti. Nurul Aliya yang ada di hadapan matanya kini, bukanlah puteri kecilnya yang dahulu. Dia kini telah banyak berubah. Sejak bercerai dengan Amirul Asraf, dia memang telah berubah sama sekali. Tudung tidak lagi menutupi rambutnya, jauh sekali untuk membaca al-quran. Hampir setiap malam minggu dia akan hilang bersama Ismail apatah lagi dengan galakan yang di beri oleh isterinya Latifah.

Latifah sangat menyukai Ismail, dia berharap Ismail akan menjadi menantunya satu hari nanti. Ismail mempunyai sebuah kedai runcit dan tiga buah rumah sewa. Sebab itulah dia sangat menggalakkan agar Nurul Aliya terus bersama Ismail walaupun dia tahu Ismail telah mempunyai dua orang isteri.

“Biarkanlah dia bang. Dia dah besar, boleh fikir sendiri mana yang baik dan mana yang buruk” Latifah membela anaknya.

“Awak ni Pah, bukannya nak menghalang.. lagi awak mengalakkan budak tu. Tak kiralah besar ke kecil anak kita tu, dia tetap perempuan, apa lagi sekarang ni dia tu dah menjanda. Galaklah orang mengata nanti. Awak tak malu ke? Sudah-sudahlah tu Pah, telinga saya ni dah menanah dengar orang-orang kampung ni bercakap pasal anak awak tu” Sukarman membebel.

“Mak.. hurmm..” Nurul Aliya memuncungkan mulutnya. Wajahnya masam mencuka.

“Sudahlah tu, kamu keluarlah Nurul, jangan kamu dengar apa yang abah kamu cakap tu, mak ada, kalau ada sesiapa yang sibuk-sibuk biar mak yang hadap” Latifah menjeling ke arah suaminya.

“Baguslah.. galakkan lagi.. esok-esok jadi apa-apa baru padan muka awak” Sukarman tidak mahu kalah. Dia terus membebel.

“Abang ni, kalau saya cakap semuanya salah, abang aja yang betul. Kalau ikut cakap abang tu, alamatnya jadi macam abanglah budak tu, katak bawah tempurung..” Latifah masih tidak mahu mengalah. Dia sempat lagi memerli suaminya.

“Bercakap dengan awak ni memang tak guna. Ada saja jawapannya, saya ni salah saja di mata awak” Sukarman meletakkan cermin mata di atas kepala manakala surat khabar dilipat dan di kepit bawah ketiak. Dia bangun dari tempat duduk dan berjalan ke dapur. Sempat juga menjeling ke arah isteri dan anaknya.

Latifah tersenyum. Setiap kali mereka bertikam lidah, suaminya pasti akan melarikan diri. Dia akan merasa puas kerana dia pasti akan menang setiap kali mereka bertelingkah. Dia duduk betul-betul berhadapan dengan Nurul Aliya. Wajah itu kelihatannya agak gelisah, mungkin rasa takut pada ayahnya.

“Kau jangan peduli dengan apa yang dikatakan oleh abah kau tu Nurul, buat tak tau aja, abah kau tu memang macam tulah perangai dia, bukan kau tak tau” Latifah sengaja menguatkan suaranya. Tujuannya agar suaminya yang berada di dapur dapat mendengar apa yang di katakan olehnya.

“Betul ke mak? Abah tu nanti bising-bising dengan Nurul pula, Nurul tak suka lah mak” muncungnya semakin tajam. Dia memandang ke pintu dapur, takut ayahnya akan keluar pada bila-bila masa sahaja.

“Apa yang tak betulnya? Kamu jangan bimbang, mak kan ada. Kalau abah kau tu membebel panjang dengan kau, taulah mak nanti. Mak tazkirah kat telinga dia” Latifah semakin ego dengan kuasa yang ada ditangannya.

“Terima kasih mak, sebab tu lah Nurul sayangkan mak” Nurul melentokkan kepalanya di bahu ibunya.

“Bila si Ismail tu nak masuk meminang kau ni Nurul?” soal Latifah tiba-tiba. Dia teringatkan kata-kata Sufiah, jiran sebelah rumahnya yang sibuk bertanyakan tentang Nurul Aliya. Hampir setiap kali bertemu, dia pasti akan bertanyakan soalan yang sama dan setiap kali soalan itu keluar, setiap kali itulah juga lidah Latifah kelu untuk menjawabnya.

“Apa soalan mak ni?” Nurul Aliya mengerakkan lidahnya ke kiri dan ke kanan.

“Mak nak tau, bilanya si Ismail tu nak masuk meminang? Mak ni bukannya apa, jiran-jiran kita tu sibuk nak tau. Jumpa satu tanya bila kau nak kawin, jumpa lagi satu bila nak makan nasi minyak dekat rumah ni, lagi satu mereka dah tak sabar nak merewang di rumah kita ni, mak ni asyik kena perli saja” Latifah mengadu pada anaknya. Dia membetulkan gelang tangan yang baru dibelinya dua minggu lepas.

“Nurul dengan Abang Mail tu kawan aja mak, mana ada sampai nak kawin, apa lah mak ni” tangan Nurul bermain dengan daun bunga hiasan yang ada di dalam pasu.

“Kawan?” Latifah terkejut.

“Iya lah kawan.. kenapa mak?”

“Takkan kawan aja, tak ada fikir nak kawin? Ha? Langsung tak ada fikir ke?” soal Latifah bertalu-talu.

“Rasanya tak adalah pula, tapi mana tau kan kalau di takdirkan Nurul jatuh hati pada dia ke, atau dia jatuh hati pada Nurul ke, barulah kami kawin” terang Nurul Aliya acuh tak acuh.

“Kamu dah ada peluang dekat dengan dia, apa yang kamu tunggu lagi? Godalah dia cukup-cukup sampai dia ajak kamu kawin” Latifah bersungguh-sungguh menghasut Nurul Aliya. Sudah lama dia teringin untuk bermenantukan Ismail, tetapi malangnya pada ketika itu anaknya Nurul Aliya telah memilih Amirul Asraf sebagai suaminya. Kini Nurul telah menjanda, peluang untuk menyatukan Nurul Aliya dan Ismail tidak seharusnya di lepaskan.

“Takkanlah Nurul nak goda dia pula mak, dia kan dah ada isteri, bukannya satu, dah dua pun. Mak nak ke Nurul ni bermadu?” soal Nurul Aliya pada ibunya.

“Apa salahnya bermadu? Dia mampu, lagipun mak tengok Haiza dan Raina tu elok saja. Duduk satu rumah lagi tu. Aman damai rumahtangga mereka tu, apa salahnya kalau tambah lagi sorang” Latifah mengeluarkan pendapatnya.

“Masalah dalaman mereka tak siapa tau mak.. jangan-jangan depan kita saja aman, belakang kita porak-peranda, siapa yang tahu kan” gula-gula getah di keluarkan dari poket. Dibuka lalu dimasukkan ke dalam mulut.

“Mak tak rasa mereka tu bermusuh. Lagipun kau memang ada peluang nak jadi isteri Ismail tu. Mak yakin, Ismail tu mesti masih ada hati dengan kau Nurul. Lagipun dah lama Ismail tu jatuh hati pada kau. Eh Nurul! Kalau Ismail tu tiba-tiba melamar, kau terima tau, jangan kau tolak pula” lengan Nurul Aliya di cuit.

“Tak adanya dia nak melamar Nurul ni mak. Jangan berangan lah” Nurul Aliya mengeluarkan bedak dari handbag. Dia menepek span bedak di hidungnya.

“Manalah tau kalau ada rezeki kau nak berlakikan dia. Lagipun kau jangan lupa, Haliza dan Raina tu mandul, dah bertahun kawin, jangankan nak beranak, tanda-tanda mengandung pun jauh sekali. Ismail tu perlukan anak, dia perlukan waris, kalau dia menikah dengan kau, dah sah-sahlah kau tu tak mandul. Kau kan..” Latifah tidak jadi berkata. Dia menutup mulutnya.

Wajah Nurul Aliya berubah. Bagaikan baru tersedar dari mimpi. Wajah seorang bayi kecil melintas di hadapan matanya. Dia memejamkan mata, berharap agar wajah anaknya itu kembali muncul, tetapi gagal.

“Tahniah puan, puan telah melahirkan seorang bayi perempuan”

“Mana anak saya Nurse?” soal Nurul Aliya.

“Anak puan sedang di bersihkan” jawab jururawat bertugas.

“Suami saya?” soal Nurul Aliya lagi.

“Suami puan ke toilet, nak ambil wuduk katanya. Emm.. puan sungguh bertuah dapat seorang suami yang sanggup menemankan puan di bilik bersalin tadi. Saya lihat, dia cemas betul bila melihat puan menangis” ujar jururawat itu lagi.

“Semua suami akan beri semangat pada isteri masing-masing, tak ada yang istemewanya” Nurul Aliya tersenyum sinis. Dia merasa sedikit cemburu apabila suaminya Amirul Asraf di puji oleh jururawat tersebut.

“Assalamualaikum..” Amirul Asraf masuk ke bilik bersama seorang bayi yang telah kemas dibalut bedung.

“Waalaikum salam.. Puan saya minta diri dulu” jururawat bertugas meminta diri.

Nurul Aliya memandang suaminya. Wajah Amirul Asraf sangat tenang ketika mengazankan anaknya. Suaranya sangat merdu menusuk masuk ke dalam hati.

“Sayang, anak kita” Amirul Asraf meletakkan bayi tersebut di sebelah Nurul Aliya.

“Perempuan” Nurul Aliya bersuara. Airmata kegembiraan berlinangan.

Amirul Asraf tersenyum, dahi isterinya dikucup lembut. Seperti yang telah di jangka melelui imbasan beberapa bulan yang lalu, Nurul Aliya akan melahirkan seorang anak perempuan.

“Dalisya” Amirul Ashraf mencuit hidung anak kecil itu.

Nama itulah yang sering bermain di bibir Nurul Aliya sejak doktor mengesahkan yang dia mengandungkan anak perempuan. Banyak buku-buku yang jadi perhatian dan akhirnya nama itu yang dipilihnya. Amirul Ashraf hanya menurut tanpa sebarang bantahan.

“Kita panggil dia puteri ya” Nurul Aliya menoleh ke arah anaknya yang masih lena.

“Sayang dah dipanggil puteri, takkan Dalisya pun abang nak panggil puteri juga? Nanti keliru pula jadinya” Amirul Asraf tidak bersetuju dengan cadangan isterinya.

“Saya bukan puteri lagi.. saya dah jadi permaisuri sekarang ni..” Nurul Aliya tersengih. Dia cuba untuk membetulkan bantal di belakangnya. Dengan pantas Amirul Asraf membantu.

“Terima kasih sayang, abang rasa hari ini adalah hari yang paling mengembirakan abang. Sayang dah beri abang harta yang sangat bernilai buat abang di dunia dan di akhirat” tangan Nurul Aliya dikucup lembut. Rasa sebak menjalar di dada.

“Di sini rupanya kamu puteri, puas mak pusing satu hospital ni, sakit kaki mak” Latifah terus mendekati katil Nurul Aliya. Dia sempat menjeling ke arah Amirul Asraf.

“Aloloo.. cucu atuk..” Sukarman berjalan perlahan ingin mendapatkan cucunya. Matanya tidak lepas memandang katil kecil di sebelah Nurul Aliya. Dia sempat menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Amirul Asraf.

“Mana mak tau Nurul dah bersalin?” soal Nurul Aliya pada ibunya.

Latifah tidak menjawab. Dia menjeling tajam ke arah Amirul Asraf. Nurul Aliya dapat melihat rasa benci Latifah terhadap suaminya.

“Abang yang callabah masa sayang nak masuk bilik bersalin tadi” Amirul Asraf akhirnya membuka mulut.

“Abang mari kita balik” ajak Latifah.

“Kita kan baru sampai, cucu kita ni pun awak belum tengok lagi. Marilah sini tengok cucu kita yang comel ni” Sukarman mengoyang-goyangkan bayi yang ada dalam pelukannya. Satu ciuman hinggap di pipi kecil itu.

“Saya datang sini, sebab saya nak tengok anak saya saja..yang lain-lain saya tak nak ambil tahu. Saya dah lihat puteri ni pun saya dah rasa tenang” Latifah mengusap rambut Nurul Aliya. Dia langsung tidak memandang ke arah bayi yang ada dalam pelukan suaminya.

Suasana sepi seketika. Amirul Asraf tunduk membisu. Hatinya sedikit terusik dengan kelakuan ibu mertuanya. Memang dari awal perkahwinannya dengan Nurul Aliya dia sering sahaja di sakiti oleh ibu mertuanya, tetapi dia sentiasa bersabar. Apa yang di fikirkannya, mungkin dengan kehadiran anak kecil itu akan mengubah penerimaan ibu mertuanya tetapi hatinya semakin keras.

“Kamu dah pilih nama dia?” soal Sukarman. Dia kehilangan kata-kata, hanya itu sahaja pertanyaan yang terlintas di kepalanya.

“Namamya Dali..”

“Sudahlah abang, mari kita balik. Panas lama-lama kat sini, ada parasit pula tu.. dah jom kita balik” Latifah mencelah sebelum sempat Amirul Asraf memberitahu nama anak kecilnya.

Sukarman menyerahkan bayi kecil itu kepada Amirul Asraf. Dia memandang wajah menantunya yang suram. Dia tahu, menantunya itu telah banyak memjeruk rasa. Isterinya sering mengeluarkan kata-kata kesat terhadap menantunya itu.

“Apa tunggu lagi.. baliklah!” Latifah mengulangi kata-katanya.

“Abah balik dulu puteri, Mirul.. jaga cucu dan anak abah baik-baik ya. Senang-senang bawalah cucu abah datang rumah” Sukarman menepuk bahu Amirul Asraf.

“Abang jangan nak pandai-pandai ya, pintu rumah kita tu cuma untuk anak kita Nurul Aliya saja, tidak untuk orang lain” Latifah menjeling tajam. Padanya Amirul Asraf hanyalah satu kekotoran yang tertempel di pakaiannya. Dia tidak pernah bersetuju untuk menerima Amirul Asraf sebagai menantunya. Mereka keluar dari bilik tersebut.

“Abang.. maafkan mak ya” Nurul Aliya memandang sayu wajah suami yang di kasihi.

“Tak ada apalah sayang, abang okey saja” Amirul Asraf tersengih menampakkan barisan giginya.

Bunyi hon yang panjang mengejutkan Nurul Aliya dari lamunannya. Dia melihat Latifah berjalan terkedek-kedek untuk membuka pintu. Nurul Aliya membetulkan rambut dan pakaiannya. Dia sempat menjeling cermin yang terletak di hadapan almari hiasan.

“Nurul! Nurul! Mail dah sampai tu” laung Latifah.

“Sekejap mak!” Nurul Aliya membuka rak dia mencari kasut yang sesuai dengan beg dan pakaiannya.

“Cepatlah sikit, marah pula nanti Ismail tu” Latifah cuba untuk menolong anaknya.

“Kasut yang ni sesuai tak dengan handbag Nurul?” soal Nurul Aliya.

“Sempurna” ringkas jawapan ibunya. Dia menunjukkan tanda okey melalui jarinya.

Latifah tersenyum puas melihat penampilan anaknya.

“Nurul, kamu jangan lupa pula, goda Ismail tu cukup-cukup sampai dia jatuh hati dan kalau boleh sampai dia ajak kau kawin” pesanan sama Latifah setiap kali anaknya hendak keluar dengan Ismail.

“Iya mak, Nurul akan buat macam yang mak mahukan. Mak doakan Nurul ya”

Nurul Aliya mencium pipi ibunya. Setelah itu dia terus keluar. Kereta milik Ismail telah berada di hadapan pagar rumahnya. Ismail telah sedia membukakan pintu kereta untuknya. Mereka lesap dalam kegelapan malam.

“Hemm.. tu jam berapa baru nak balik tu?” soal Sukarman dari belakang. Latifah sedikit terkejut.

“Biarlah dia..” Latifah menutup pintu.

“Awak ni, kalau pasal budak Ismail tu, semuanya betul dan molek di mata awak kan? Awak sedar tak, anak awak tu sekarang ni sedang keluar dengan suami orang? Sedar tak?” Sukarman hilang sabar dengan sikap Latifah.

“Abang ni kenapa? Sejak bersara ni, banyak sangat pantang larangnya. Kalau macam ni, baik abang pergi cari kerja lah, jadi jaga ke, kepala tak serabut, hati saya pun tak sakit” rungut Latifah.

Sukarman mengelengkan kepala. Isterinya semakin melampau. Apatah lagi sejak Nurul Aliya berpisah dengan suaminya Amirul Asraf. Perangai isterinya itu semakin menjadi-jadi. Dia sering menyuruh anaknya mendekati Ismail hanya kerana Ismail itu berduit.

“Kalau abang nak makan marilah ke dapur. Kalau tak, abang duduk lah situ sampai habis siaran tv tu” ujar Latifah sambil berlalu meninggalkan suaminya.

Sukarman menghantar langkah isterinya dengan pandangan kosong. Isterinya semakin lama semakin menjadi-jadi. Dia memejamkan mata.

Apa yang telah jadi ni? Tipah kenapa kau boleh jadi begini? Ya ALLAH selama ini aku bekerja tanpa menghiraukan apa yang anak dan isteriku lakukan. Aku hanya tahu yang baiknya saja. Mungkin sebab aku keluar bekerja di awal pagi dan pulang apabila matahari sudah tidak menampakkan sinarnya, maka aku tidak tahu apa yang jadi. Kini setelah bersara, barulah aku dapat melihat sendiri kelakuan isteri dan anakku.

“Haa! Abang ni dah nak tidur di sini pula? Dah tak tau nak masuk bilik ke?” suara Latifah yang nyaring mengejutkan Sukarman.

“Abang bukannya tidur”

“Mata abang tu pejam, saya ingatkan abang dah tidur. Tepilah sikit, saya nak tengok drama kegemaran saya” Latifah merampas remote dari tangan suaminya.

“Abang nak tengok bola”

“Jangan bisinglah, drama saya dah mula ni” mata Latifah tertumpu pada kaca televisyen. Dia langsung tidak menghiraukan suaminya.

“Awak kata tadi nak makan?” soal Sukarman pada isterinya.

Latifah hanya mendiamkan diri. Pertanyaan Sukarman dibiarkan tanpa jawapan.





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku