Kerana Dia Milikku
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
388

Bacaan






Cantik Nurul malam ni” puji Ismail.

“Abang Mail ni nak mengayat Nurul ke apa ni?” soal Nurul Aliya. Dia tersenyum simpul malu-malu apabila di puji oleh Ismail.

Ismail tersenyum. Dia kembali menumpukan perhatian pada pemanduannya. Dia merasa sangat bahagia kerana wanita yang selalu jadi pujaan kini berada di sebelahnya. Dah lama dia menyimpan hati terhadap Nurul Aliya, tetapi malangnya pada masa itu, Nurul Aliya telah melarikan diri dan sekembalinya ke kampung, dia telah pun bergelar isteri kepada Amirul Asraf. Harapan untuk memiliki Nurul Aliya punah sama sekali. Dia cuba menghilangkan cintanya pada Nurul Aliya dengan mengahwini Haiza dan Raina tetapi dia masih gagal. Dia sering bertanyakan berita kekasihnya itu dari Puan Latifah iaitu ibu Nurul Aliya.

Harapannya kembali bersinar apabila Latifah mengatakan rumah tangga Nurul Aliya dan Amirul Asraf sudah retak menanti belah. Dia sentiasa tertunggu-tunggu akan kepulangan wanita yang disayanginya itu. Sejak mendapat tahu tentang berita itu, hampir setiap hari dia akan lalu di hadapan rumah Nurul Aliya. Ada kalanya dia akan singgah untuk bertanyakan khabar.

Kereta berhenti betul-betul dihadapan sebuah restoran yang agak mewah. Seorang pekerja berlari-lari anak mendekati mereka. Pintu Nurul Aliya dibukakan oleh Ismail. Setelah menutup pintu kereta, Ismail menyerahkan kunci pada pekerja tersebut. Dia menghulurkan tangannya kepada Nurul Aliya. Tanpa ragu, Nurul Aliya menyambut tangan Ismail. Mereka berjalan beriringan masuk ke dalam restoran.

“Abang ada kejutan untuk Nurul” bisik Ismail di telinga Nurul Aliya.

“Apa dia?” Nurul Alia terlonjak suka.

“Tengok sana” Ismail menunjuk ke satu arah.

Wajah Nurul Aliya berubah serta-merta. Tangan Ismail dilepaskan. Kakinya terhenti dari terus melangkah.

“Kenapa ni Nurul?” soal Ismail hairan.

“Kenapa mereka ada di sini juga? Bukan abang kata hari ni hari bahagia untuk kita bedua saja ke?” soal Nurul Aliya. Matanya masih memandang meja yang di tunjukkan oleh Ismail sebentar tadi.

“Memang hari ni hari bahagia untuk kita.. marilah sayang” Ismail menarik tangan Nurul Aliya.

Nurul Aliya mencari kekuatan untuk mengikuti langkah Ismail. Dadanya berdebar-debar. Jantungnya seakan terhenti, peluh jantan memercik di dahinya. Tangannya sejuk.

“Jemput duduk Nurul” Raina mempersilakan Nurul Aliya duduk.

“Apa khabar Kak Haiza, Kak Raina” Nurul Aliya menundukkan sedikit kepalanya. Tanda hormat pada isteri pertama dan isteri kedua Ismail.

“Sayang-sayang semua, abang pergi toilet dulu ya, nak terkucil dah ni” tanpa menunggu jawapan dari sesiapa, Ismail menghilangkan diri.

Nurul Aliya menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan isteri-isteri Ismail. Perutnya kecut takut akan di maki hamun oleh mereka. Dia menarik kerusi di sebelah Raina. Wajah Raina kelihatannya lebih manis jika nak di bandingkan dengan Haiza.

“Sejuk tangan kau Nurul, takut ya?” soal Haiza.

“Saya..sa..” suara Nurul Aliya tidak mahu keluar.

“Akak ni, kalau mengoda dan menggatal dengan suami kita dia tak takut, takkanlah nak berdepan dengan kita dia nak takut pula kan..” sindir Raina.

Nurul Aliya mendiamkan diri. Terasa kerdil dirinya kini. Ismail pula tidak muncul-muncul. Nurul Aliya kegelisahan. Tali beg dimain-mainkannya.

“Apalah yang Abang Mail tu suka sangat dengan kamu ni sampaikan tergila-gila sangat pada kamu” jeling Raina pada Nurul Aliya.

“Kau ni Raina, orang lelaki ni, kalau digoda hari-hari, yang tak mahu jadi mahu.. yang tak nak jadi nak.. apa lagi bila ada agent jual anak tu, memang menjadi-jadilah gatalnya” Haiza menambah. Dia sangat sakit hati melihat Nurul Aliya di hadapan matanya.

“Betul juga tu. Kalau dah setiap hari mempromosikan anaknya yang janda ni, memanglah pak imam pun boleh buka songkok” tambah Raina lagi.

“Hei Nurul! Kau ni betul-betul miang nak kawin dengan laki kami ke?” soal Haiza tanpa berselindung.

Nurul Aliya terdiam. Dia kelu untuk menjawab pertanyaan isteri pertama Ismail.

“Jawablah! Apasal kau diam? Betul kau dah gatal sangat nak kawin dengan Abang Mail?” Raina mengulangi pertanyaan Haiza.

Nurul Aliya hanya menundukkan kepalanya.

“Baiklah, kalau kau dah terdesak sangat nakkan laki kami tu, kau kena tahu seperkara ni, biar aku jelaskan, Abang Mail tu bukannya orang kaya. Bukan orang yang berduit. Pendapatan dia cukup-cukup saja, jadi aku harap jangan kau nak mengada-ngada minta yang bukan-bukan pula lepas ni” Haiza memberikan amaran.

“Betul tu, kau tu janda bukannya anak dara! Sedar diri sikit” tambah Raina.

“Saya..sa” suara Nurul Aliya tidak terkeluar. Dari jauh kelihatan Ismail sedang berjalan menuju ke meja mereka. Nurul Aliya merasa lega.

“Sayang-sayang abang ni dah pesan makanan?” soal Ismail lembut pada Nurul Aliya dan pandangannya beralih pada Haiza dan Raina.

“Belum lagi, kami tunggu abang lah, kan..kan?” Haiza memandang Raina dan Nurul Aliya. Keningnya diangkat beberapa kali. Dia kelihatan mesra. Senyuman manis terukir di wajah. Tidak seperti ketiadaan Ismail sebentar tadi.

“Abang pesan set tadi, sayang-sayang semua tak ada masalah kan?” soal Ismail lagi.

“Abang pesan apapun kami akan makan.. kan Kak Haiza, Nurul” Raina tersenyum sumbing.

“Sayang okey?” soal Ismail pada Nurul Aliya.

Nurul Aliya tidak menjawab, dia hanya menganggukkan kepalanya beberapa kali tanda setuju dengan apa sahaja yang di pesan oleh Ismail.

“Sambil menunggu makanan tiba ni, abang ada sesuatu untuk Nurul” Ismail menyeluk saku seluarnya. Dia mengeluarkan sesuatu. Haiza dan Raina memandang dengan pandangan sinis.

“Nah!” Ismail menyerahkan sebuah kotak pada Nurul Aliya.

“Apa ni bang?” soal Nurul Aliya.

“Nurul, depan isteri-isteri abang ni, abang nak melamar Nurul untuk menjadi suri dalam hidup abang. Harap Nurul sudi terima abang ya sayang”

Nurul Aliya tergamam. Dia tidak tahu apa yang harus dijawabnya. Tekaan ibunya sewaktu hendak keluar tadi benar belaka. Ismail betul-betul melamarnya. Dia teringat semula pesanan ibunya. Dia berbelah bahagi. Mahu di terima ataupun tidak. Jika dia tidak menerima lamaran itu, pasti ibunya akan memarahinya dan jika dia menerima lamaran itu, dia terpaksa berhadapan dengan dua orang isteri Ismail.

“Apa yang kau tunggu lagi tu? Abang dah melamar tu kan, hulurkanlah jari tangan kau tu, abang nak sarung cincin tu” Raina yang diam dari tadi bersuara.

“Lamaran yang rasmi nanti, kami sendiri akan datang ke rumah Nurul untuk berbincang dengan ibu bapa Nurul” Haiza pula menambah.

“Nurul, bak sini tangan tu” Ismail mencapai tangan Nurul Aliya. Dia menyarungkan sebentuk cincin kejari manis Nurul Aliya.

Nurul Aliya masih tidak bergerak. Dia benar-benar terkejut dengan apa yang di lakukan oleh Ismail. Lidahnya kelu seribu bahasa.

“Sekarang ni, sayang dah rasmi jadi tunangan abang, dalam masa terdekat nanti kita nikah ya sayang. Abang tak nak bertunang lama-lama dengan sayang, takut dikebas orang lagi”

Haiza dan Raina memandang tajam ke arah Nurul Aliya. Walaupun hati mereka tidak menyetujui apa yang ingin dilakukan oleh Ismail, mereka terpaksa akur. Ismail bersungguh-sungguh ingin menikahi Nurul Aliya. Lagipula mereka bimbang dan takut Ismail akan mengamuk dan melukai mereka jika hajatnya tidak dipenuhi. Mahu tak mahu mereka terpaksa juga memberi keizinan kepada Ismail untuk menikah.

“Tunang?” Nurul Aliya memandang Ismail.

“Okey..okey.. sayang anggap cincin ni hadiah dari abang” Ismail membetulkan kata-katanya. Dia mengerdipkan mata beberapa kali pada isteri pertamanya Haiza. Tangannya mengetuk-ngetuk meja.

“Macam ni Nurul, akak dengan Kak Raina dah setuju kalau abang nak menikah dengan kamu. Jadi kami akan datang dengan rombongan peminangan hujung minggu ni. Abang tu sayang sangat pada Nurul, jadi akak harap Nurul tak akan menghampakan kami” ujar Haiza perlahan. Dia memandang ke arah Raina.

“Sayang dengar sendiri apa yang Kak Haiza dan Kak Raina cakap kan? Mereka tak ada masalah kalau abang nak menikah dengan sayang” Ismail tersenyum puas. Ternyata Haiza dan Raina menuruti apa yang dikatakannya.

“Tapi abang..” Nurul Aliya kebingungan. Di saat itu, dia tidak tahu apa yang ingin dikatakan. Nak kata suka dia tidak merasainya, nak kata tak suka pun tidak juga. Entah apa yang dirasai dia pun tak pasti.

“Makanan kita dah sampai tu” Ismail memerhatikan pelayan yang sedang berjalan membawa dulang ke arah meja mereka.

Suasana sepi seketika. Haiza dan Raina juga mendiamkan diri. Mereka tidak berani bersuara apabila di hadapan Ismail. Sikap Ismail yang panas baran dan sering menyakiti membuatkan mereka takut untuk mengangkat muka. Apa sahaja yang dilakukan oleh Ismail semuanya betul dan benar. Walaupan hati masing-masing terasa sakit, namun rasa itu harus di buang dalam-dalam.

“Makanlah sayang” Ismail mengambilkan ikan lalu diletakkan ke dalam pinggan Nurul Aliya. Haiza dan Raina melihat sahaja kemesraan Ismail pada Nurul Aliya.

“Abang Mail, Nurul nak ke toilet sekejap” Nurul Aliya bangun dari tempat duduknya. Tiba-tiba perutnya terasa memulas. Dia terus berlalu meninggalkan meja makan menghala ke tandas.

Tanpa menunggu Ismail juga turut bangun. Dia mengekori Nurul Aliya dari belakang. Haiza dan Raina saling berpandangan.

“Sayang betul abang pada perempuan tu” ujar Raina. Dia meluat dengan sikap mesra suaminya dengan Nurul Aliya.

“Belum dapat, memanglah sayang.. dah dapat esok kau tengoklah apa yang jadi. Macamlah kau tak tau perangai abang tu” Haiza pula bersuara.

Walaupun mereka duduk serumah, mereka sering berbalah. Semuanya kerana ingin merebut kasih sayang Ismail. Namun begitu, di hadapan jiran tetangga, mereka kelihatan sangat akrab dan rapat. Kebahagiaan memenuhi rumah mereka, padahal hakikatnya, mereka sering dipukul bantai oleh Ismail. Sekiranya ada yang tidak di sukai, Ismail pasti akan mengamuk dan pada saat itulah isteri-isterinya akan jadi mangsa kemarahannya.

“Saya tak rela abang nak kawin dengan perempuan tu Kak” Raina meluahkan apa yang terpendam dalam hatinya.

“Akak dah tepu Raina,kalau ikutkan hati akak ni, masa abang nak kawin dengan kau dulu tu pun akak tak ikhlas membenarkannya. Tapi kau sendiri tahu apa yang akan berlaku kalau akak tak mahu menurut kemahuan abang kan? Lagipun dengan akak, abang tak ada anak, dengan kau pun dah lebih dari empat tahun, akak tengok kau pun tak ada tanda-tanda mengandung”

Raina diam. Dia tertunduk membisu mendengar kata-kata madunya. Memang benar apa yang di katakan oleh Haiza. Dia juga telah gagal untuk memberi cahaya mata pada suaminya.

“Tak usahlah kamu bersedih Riana. Kita biarkanlah perempuan tu kawin dengan abang. Lepas tu taulah dia perangai abang yang sebenarnya. Kalau sekarang ni kita halang pun tak guna juga. Abang tetap akan kawin dengan perempuan tu” Haiza cuba menenangkan madunya.

“Saya bukan apa kak, saya rasa ini balasan TUHAN pada saya. Dulu saya ambil abang dari akak, dan hari ini perempuan tu pula curi abang dari saya. Saya minta maaf kak” Raina memandang Haiza. Airmatanya mula bertakung. Dia menyesal kerana telah merampas Ismail dari Haiza. Dia tidak menyangka kasih sayang Ismail berubah jua akhirnya. Kenangan sewaktu dia bersama Ismail kembali bertandang.


“Kalau isteri abang tak setuju macam mana?” soal Raina manja. Dia melentokkan kepala di bahu Ismail. Rambutnya yang mengurai di tiup angin.

“Sayang janganlah bimbang, dia pasti akan setuju. Lagipun dah lama kami berkahwin, dia masih tak mampu nak beri abang zuriat. Abang ada sebab yang kukuh mengapa abang nak menikah satu lagi” Ismail mengeluarkan rokok dari poketnya. Di tarik sebatang lalu diletakkan di bibirnya. Setelah itu dia menyeluk kocek kanan dan kiri seluarnya mencari mancis.

“Kalau dia masih berdegil?” uji Raina.

“Abang ni lelaki sayang. Kuasa cerai tu ada dalam tangan abang” angkuh sekali kata-kata Ismail.

“Betul ke? Abang nak ceraikan isteri abang?” soal Raina. Dia kegembiraan. Dia akan jadi satu-satunya wanita yang akan bertakhta di hati Ismail.

“Abang belum terfikir untuk menceraikan isteri abang tu. Buat masa ni, abang cuma fikir nak kawin dengan sayang saja. Abang nak sayang jadi isteri abang. Nanti abang akan minta izin dengan dia” terang Ismail. Walau apapun yang terjadi, dia tidak akan sesekali menceraikan Haiza.

Raina seorang wanita yang cantik dan seksi. Setiap kali dia hendak mengambil stok barangan untuk kedai runcitnya, dia akan bertemu dengan Raina. Disitulah perkenalan mereka bermula. Apatah lagi, Raina sangat manja dan lembut terhadapnya. Keinginan untuk mengambil Raina sebagai isteri sudah tidak dapat di bendung lagi. Akhirnya Ismail dan Raina bernikah jua.

“Apalah yang kau menungkan tu Raina? Sudah-sudahlah tu. Abang dengan perempuan tu dah keluar tu” Haiza mencuit peha Raina sambil memuncungkan mulut ke arah Ismail dan Nurul Aliya.

Raina terkejut dari lamunannya. Dia memandang ke arah yang di tunjukkan oleh Haiza. Dia cepat-cepat menyapu air mata yang bersisa dengan tisu. Bibirnya mengukir senyuman. Dia tidak boleh menunjukkan wajah sedih di hadapan Ismail. Jika tidak pasti Ismail akan marah apabila mereka pulang nanti.

“Kenapa tak makan lagi? Makanlah” Ismail bersuara mesra.

“Sedap daging balckpaper ni, cuba Raina rasa sikit” Haiza mengambil kepingan daging di dalam piring lalu di letakkan ke dalam pinggan Raina.

“Seleranya sayang-sayang abang ni makan” Ismail memandang Raina dan Haiza silih berganti. Dia sempat menarikkan kerusi untuk Nurul Aliya.

Meja makan menjadi kembali sunyi. Ismail mengisyaratkan kepada Haiza agar bercakap tentang lamarannya sekali lagi pada Nurul Aliya. Dia tidak sabar untuk menunggu jawapan dari Nurul Aliya.

“Nurul dah sedia untuk jadi isteri abang?” soal Haiza tiba-tiba membuatkan Nurul Aliya tersedak.

Ismail menepuk belakang Nurul Aliya.

“Sa..sa..” Nurul Aliya masih tidak tahu apa jawapan yang ingin di berikan. Dia masih terkejut dengan surprise yang di maksudkan oleh Ismail sewaktu mereka di dalam kereta lagi dan perasaannya bercampur aduk.

“Cincin yang Nurul pakai tu, akak dah anggap Nurul dah terima lamaran abang. Itu cincin risik. Macam yang akak katakan tadi, kami akan datang berjumpa dengan orang tua Nurul hujung minggu ni untuk membincangkan pasal lamaran abang pada Nurul. Akak harap Nurul tidak akan menolak pinangan tu nanti. Jangan malukan kami” Haiza terus berkata tanpa melihat apa reaksi Nurul Aliya. Dia sendiri membuat keputusan tanpa menunggu jawapan apa yang ingin di katakan oleh Nurul Aliya.

Raina hanya mendiamkan diri.

“Kalau boleh, kita tak payah nak bertunang lama-lama ya sayang, kita betunang sebulan dua saja, nak tak?” Ismail memandang Nurul Aliya. Dia memegang tangan Nurul Aliya. Dia amat berharap Nurul Aliya akan menjadi isterinya.

“Abang Mail, dah lewat malam ni. Kita balik.. apa pula yang mak dengan abah cakap nanti kalau Nurul balik lewat” Nurul Aliya memberi alasan. Sebenarnya dia merasa kurang selesa duduk semeja dengan isteri-isteri Ismail.

“Boleh..boleh, mari abang hantar sayang balik”

“Kak Haiza dan Kak Raina?” soal Nurul Aliya pada Ismail.

“Kami boleh balik sendiri. Lagipun kami ada hal nak di bincangkan. Nurul baliklah dulu dengan abang” Haiza menolak. Apa yang sebenarnya Ismail telah mengarahkannya pergi dan pulang sendiri.

“Sayang tolong pergi bayarkan makanan ni semua ya” Ismail mengeluarkan beberapa not seratus lalu di berikan pada Raina.

Ismail merangkul pinggang Nurul Aliya. Mereka keluar dari restoran bersama-sama. Haiza dan Raina hanya melihat kemesraan yang berlangsung. Tiada kata-kata yang dapat di ucapkan lagi. Semuanya telah di atur. Ismail sanggup meninggalkan mereka pulang sendiri semata-mata kerana wanita itu. Akhirnya Raina menangis teresak-esak.

“Sudahlah tu Raina, banyakkan bersabar” pujuk Haiza.

“Saya tak sekuat akak. Hati saya sangat sakit kak. Saya tak boleh nak tengok muka perempuan tu” Raina meluahkan rasa. Dia tersedu-sedu. Suaminya akan diambil oleh wanita lain.

“Akak ni dah tak mampu nak menangis lagi Raina. Akak dah rasa apa yang kau rasa sekarang ni. Akak dah dulu merasa. Akak menangis air mata darah sekalipun, keputusan abang tetap takkan berubah. Akak merayu macam mana pun, dia tetap kawin juga” Haiza berjauh hati.

Raina memandang Haiza. Dia memeluk wanita tabah di hadapannya. Kini barulah dia tahu betapa sakitnya rasa apabila suaminya di rampas orang. Setelah membayar harga makanan, mereka keluar dari restoran untuk pulang ke rumah. Mereka harus sampai rumah sebelum Ismail, jika tidak, Ismail pasti akan memaki hamun mereka lagi.








Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku