Kerana Dia Milikku
Bab 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
834

Bacaan







Seperti biasa Amirul Asraf akan duduk di beranda sambil meraut lidi. Dia tekun dengan kerjanya. Seikat lidi penyapu akan di jual dengan harga satu ringgit sahaja. Pak Kulub akan datang pada setiap hujung minggu untuk mengambil lidi-lidi yang telah siap di raut untuk dihantar ke kedai.

“Dah siap ke Mirul?” soal Mak Yah pada anaknya. Dia meletakkan dua ikat daun kelapa di sebelah anaknya.

“Belum lagi mak. Ada sikit lagi. Ni daun kelapa ni mak ambil kat mana?” soal Amirul Asraf. Dia menoleh ke arah Dalisya yang baring di sebelahnya. Anak itu lena di buai mimpi. Tiupan angin laut membuatkan dia terus lena.

“Mak ambil di kebun depan sana. Semalam mak dah minta izin dengan Pak Dollah kamu. Dia kata kalau mak nak daun kelapa, ambil saja. Dia jual kelapanya, bukan daunnya. Tu yang mak ambil” panjang lebar penerangan Mak Yah.

“Maafkan Mirul mak. Mirul dengan puteri dah banyak menyusahkan mak” sayu suara Amirul Asraf.

“Jangan cakap macam tu Mirul. Kita ni anak beranak. Kalau mak tak tolong anaknya siapa lagi. Lagipun kamu bukannya tak nak bekerja, kamu tak sihat. Dengan keadaan kamu yang macam ni, siapalah yang sudi nak mengupah kamu” tuala ditenyeh ke mukanya. Peluh yang mengalir di sapu.

“Kalau tak di sebabkan accident tu, mesti kehidupan Mirul tak macam ni mak. Nurul pun tak mungkin akan meninggalkan Mirul. Kesian pada puteri. Dia langsung tak dapat kasih sayang dari seorang ibu” Amirul Asraf memandang anak kecil yang masih lena di sebelahnya.

“Tak payahlah kamu ingat perkara yang dah berlalu Mirul. Ini ujian untuk kita. Nak salahkan Nurul sepenuhnya pun tak boleh juga. Ayah dia tu dulu pegawai besar. Jadi dia dah biasa hidup senang. Bila diuji dengan sedikit kesusahan, dia tak dapat nak terima. Mak faham, dia tak nak hidup susah. Apalagi perkahwinan kamu dan Nurul dulu tu tanpa restu dari orang tuanya. Dan akibatnya sekarang ni Nurul meninggalkan kau, ni puteri ni, setahun dua saja dia merasa belaian seorang ibu. Kesian dia” Mak Yah mengusap lembut rambut cucunya.

“Kemalangan tu betul-betul telah meragut segalanya milik Mirul mak. Kaki Mirul, kerja Mirul, isteri Mirul, segalanya yang Mirul ada telah di rampas dengan sekelip mata” Amirul Asraf meletakkan pisau di lantai. Dia merenung ke laut.

“Tak apalah Mirul, mak dah cukup bersyukur Mirul selamat. Sekarang ni, kita tak perlu nak pandang ke belakang lagi. Mirul terus ke depan demi puteri. Dia satu-satunya harta yang sangat bernilai buat Mirul. Kita besarkan dia, kita beri dia pelajaran supaya hidup dia tak seperti kita” Mak Yah memberi semangat pada anaknya.

“Mirul cuma terkenangkan Nurul mak. Tak ada sikit pun ke rasa sayang dia pada puteri? Secalit rindu dah terhapuskah dari jiwa dia? Sejak kami bercerai, sekalipun dia tak pernah datang ke rumah kita untuk menjenguk puteri. Mana sifat kasih sayang dia sebagai seorang ibu?” Amirul Asraf meluahkan rasa sebak di dadanya.

Mak Yah tidak berkata apa-apa. Memang benar apa yang dikatakan oleh Amirul Asraf. Sejak anaknya itu berpisah, Nurul tidak pernah datang bertemu dengan Dalisya. Dia masih ingat lagi betapa angkuh besannya ketika menjemput Nurul Aliya. Hati tuanya terusik juga dengan apa yang di katakan oleh besannya. Masih terngiang-ngiang lagi setiap patah perkataan Latifah pada petang itu.


Tin! Tin!

Sebuah kereta berlabuh di halaman rumah Mak Yah. Bunyi hon yang membingitkan membuatkan Mak Yah keluar ke beranda untuk melihat siapa yang datang. Nurul Aliya sibuk menyusukan Dalisya yang baru berusia dua tahun. Anak itu terjaga dengan bunyi bising.

“Mak! Abah!” Amirul Asraf terjerit kecil. Wajahnya kegembiraan.

“Assalamualaikum Mirul” Sukarman memberi salam.

“Waalaikum salam.. silakan naik mak, abah” Amirul Asraf mencari tongkatnya. Dia membersihkan sisa daun kelapa yang ada di hadapannya. Mak Yah pula membentangkan tikar mengkuang.

“Mak!” Nurul Aliya meluru keluar mendapatkan ibunya sambil membawa beg besar di tangan. Latifah masih berdiri di sebelah kereta sambil mengipas-ngipas wajah dengan kain.

“Nurul, ajak mak dengan abahnya naik. Duduk sini, kita boleh berbual-bual” Mak Yah bersuara ramah. Sejak Amirul Asraf dan Nurul Aliya menikah inilah pertama kali dia bertemu dengan besannya.

“Tak apalah kak, kami datang ni pun bukannya sebab nak berbual. Kami datang ni sebab kami nak ambil anak kami Nurul. Kami nak bawa dia balik” ego Latifah semakin tinggi.

“Apa yang mak cakap ni?” Amirul Asraf mengesot hingga ke tangga.

“Aku ingatkan kemalangan tu dulu buat kau lumpuh saja, rupanya pendengaran kau pun dah tak elok lagi? Huh! Patutlah Nurul beriya-iya minta aku ambil dia. Rupanya kau ni memang dah tak berguna!” hina Latifah. Dia masih memeluk Nurul Aliya yang sedang menangis tersedu-sedu.

“Sayang...” Amirul Asraf memanggil isterinya. Mak Yah terkejut mendengar kata-kata Latifah dan Sukarman hanya menjadi pemerhati.

Nurul Aliya berlari mendapatkan Amirul Asraf. Tangan kanan Amirul Asraf di capai lalu di cium beberapa kali. Dia menangis teresak-esak.

“Maafkan Nurul abang, Nurul tak sanggup lagi nak hidup dengan abang. Izinkan Nurul balik pada mak dengan abah. Nurul mohon abang, tolong ceraikan Nurul.. tolonglah” Nurul Aliya merayu sambil mencium tangan Amirul Asraf. Dia sudah tidak tahan untuk hidup susah. Semua duit simpanan Amirul Asraf telah habis digunakan. Hampir setahun Amirul Asraf terlantar. Dia sudah tidak tahan lagi.

“Ya ALLAH Nurul, apa yang kamu cakap ni nak? Jangan cakap macam tu dengan suami, berdosa” Mak Yah tidak tertahan lagi apabila mendengar Nurul Aliya ingin bercerai dengan anaknya.

“Mak..Nurul tak boleh nak teruskan perkahwinan ni lagi. Nurul tak mampu nak pertahankan rumahtangga kami lagi. Dah berhari-hari Nurul fikirkan. Ini jalan yang terbaik buat Nurul” Nurul terus membidas kata-kata ibu mertuanya.

“Patutlah abang tengok Nurul lain saja sejak kebelakangan ni. Rupanya Nurul nak tinggalkan abang. Jangan sayang, macam mana dengan puteri? Dia perlukan sayang, abang perlukan sayang” Amirul Asraf terus memujuk Nurul Aliya. Dia tidak menghiraukan mertua dan ibunya. Apa yang penting, Nurul Aliya membatalkan hasrat untuk berpisah dengannya.

“Nurul tak nak hidup macam ni. Abang pun bukannya boleh beri Nurul kebahagiaan lagi. Abang hanya akan menyusahkan hidup Nurul. Tolonglah abang, lepaskan Nurul. Biarkan Nurul balik dengan ibu bapa Nurul” rayu Nurul Aliya. Dia masuk ke dalam rumah untuk mengambil beg pakaian.

Amirul Asraf tidak dapat berkata apa-apa. Nurul Aliya telah membuat keputusan. Dia tidak mahu tinggal bersamanya lagi. Air matanya berjujuran mengalir.

“Kau nak ceraikan Nurul tak?” soal Latifah setelah sekian lama mendiamkan diri. Sukarman mengambil beg yang di hulurkan oleh Nurul Aliya lalu terus di masukkan ke dalam bonet kereta.

“Saya sayangkan Nurul, saya takkan ceraikan dia” Amirul Asraf berdegil dengan keputusannya.

“Baiklah, kalau macam tu, aku akan suruh Nurul ambil fasakh. Kau pun memang dah tak mampu nak bagi makan anak aku ni lagi kan?” Latifah menjeling.

“Sayang..sayang.. kenapa buat abang macam ni? Abang sayangkan Nurul sepenuh hati abang. Jangan buat abang dengan anak kita ni macam tu sayang. Jangan tinggalkan abang” Amirul Asraf masih cuba merayu.

“Kalau abang tak nak ceraikan Nurul, Nurul akan tuntut fasakh. Abang pun dah lama tak beri nafkah pada Nurul. Malah abang lagi makan duit hasil titik peluh Nurul. Nurul dah tak tahan nak menanggung biawak hidup dalam rumah ni” dia sempat menjeling ke arah Mak Yah yang duduk memeluk tiang. Air mata orang tua itu tidak mampu lagi melembutkan hati Nurul Aliya.

“Baiklah, kalau Nurul nak bercerai, kita pergi pejabat agama. Kita bercerai di mahkamah” cadang Amirul Asraf.

Dia pasti, apabila mereka memfailkan permohonan cerai, mereka akan di panggil untuk kaunseling. Sekurang-kurangnya dia masih ada peluang untuk memujuk isterinya. Dia amat berharap agar rumahtangganya dapat di selamatkan.

“Tak perlu nak ke pejabat agama, kamu ceraikan dia depan kami. Sekarang juga” Latifah mengarah.

“Tapi mak, cerai luar mahkamah tu salah” Amirul Asraf berdalih.

“Kau ni memang degil. Nurul tu dah tak perlukan kau lagi. Aku tahu kenapa kau tak mahu lepaskan anak aku, kau nak anak aku tu jadi hamba, keluar bekerja untuk tanggung tekak kau dengan mak kau tu kan? Sedangkan kau duduk terkangkang di rumah macam tuan besar!” Latifah berang. Dia sudah tidak boleh berlembut lagi.

“Mak!” Amirul Asraf menjerit.

“Apa? Salah ke apa yang aku cakap? Memang betul kan. Kau dah tak berguna macam ni, mana kau nak dapat kerja lagi? Siapa yang nak mengajikan kau? Dari mana kau nak dapat duit untuk menyara kehidupan kau? Bukan Nurul ke yang terpaksa bekerja untuk tanggung semua beban kau! Hey Amirul! Cubalah kau gunakan otak kau tu. Berdosa dan haram tau makan duit isteri!” sombong sekali Latifah.

Amirul Asraf ingin membalas kata-kata ibu mertuanya tetapi ibunya terlebih dahulu memegang belakang badannya. Dia memandang wajah sayu Mak Yah. Mak Yah menganggukkan kepalanya. Dia menepuk bahu anaknya. Air mata memang tidak dapat di tahan lagi, seperti air mata air yang mengalir ke sungai.

“Baiklah mak. Kalau itu yang mak dan Nurul mahukan” Amirul Asraf akhirnya beralah. Dia menghulurkan tangan kepada Nurul Aliya dan Nurul Aliya menyambutnya. Dia duduk betul-betul di hadapan Amirul Asraf.

“Cepatlah, aku dah panas ni” Latifah mengelap peluh yang mengalir di leher.

“Nurul Aliya binti Sukarman, Abang ceraikan Nurul dengan talak satu” mengigil-gigil suara Amirul Asraf melafazkannya. Dia memejamkan mata tetapi air mata terus mengalir keluar. Nurul Aliya kini bukan miliknya lagi. Cinta dan sayang mereka telah terhenti setakat itu. Bahagia yang di harap hingga ke mati tidak dapat dipenuhi.

Mak Yah menangis semahu-mahunya. Dalisya di ambil lalu dicium berkali-kali. Entah bila pula dia berpeluang untuk bertemu dengan cucunya itu.

“Terima kasih abang” Nurul Aliya melepaskan genggaman tangan Amirul Asraf. Dia berjalan perlahan menuju ke arah ibunya. Latifah tersenyum puas.

“Sayang, puteri ni..” Amirul Asraf menunjuk ke arah Dalisya.

Nurul Aliya tidak menghiraukan pertanyaan Amirul Asraf. Dia terus memboloskan diri masuk ke dalam perut kereta. Sukarman juga telah bersedia untuk memandu. Latifah mendekati Amirul Asraf.

“Aku dah cakap, kalau kau aku tak suka, dengan anak kau sekali aku benci. Aku cuma nak ambil anak aku. Budak tu aku tak mahu” Latifah bersuara keras. Dia langsung tidak memandang apatah lagi untuk mencium cucunya itu.

“Dia perlukan Nurul mak. Dia masih menyusu lagi” Amirul Asraf cuba meraih simpati ibu mertuanya.

“Nurul dah tak perlukan dia. Pandai-pandai kau lah nak buat macam mana. Kami tak ada kena mengena dengan kau mahu pun budak tu” keras kata-kata Latifah. Mak Yah tidak dapat berkata apa-apa lagi. Dia terus menangis dan menangis. Mengapa nasib anaknya jadi sedemikian rupa.

Amirul Asraf tidak dapat berkata apa-apa lagi. Pada masa dan saat itu, hubungannya dengan Nurul Aliya telah putus sama sekali. Dia tidak tahu adakah ruang untuk dia bertemu lagi dengannya. Nurul Aliya tidak mahu hidup susah dengannya.

“Oh ya! Sebelum aku lupa, kau jangan bimbang pasal saman cerai luar mahkamah ni, nanti aku suruh suami aku bayarkan denda bagi pihak kau. Kalau nak harapkan kau, memang takkan mampunya. Satu lagi, jangan kau sekali-kali cuba untuk mendekati atau cuba nak bertemu dengan anak aku lagi. Kau faham!” Latifah sempat mengugut Amirul Asraf sebelum dia melangkah. Kasut tumitnya terbenam di pasir. Dia terus berjalan. Tangisan Dalisya sedikitpun tidak di hiraukan.

Kereta Sukarman melarikan Nurul Aliya jauh dari Amirul Asraf. Rumahtangga yang dibina baru menginjak ke tiga tahun. Amirul Asraf menangis. Dia mengambil Dalisya dari tangan ibunya. Bayi itu menangis seolah-olah tahu apa yang terjadi.

“Diam ya sayang, Abi janji, Abi akan jaga sayang sebaik mungkin. Tak apalah kalau Umi tak nak sayang, Abi akan sentiasa ada dengan sayang. Abi dengan Mak Tok akan jaga puteri sebaik mungkin. Abi janji sayang” pipi kecil itu dicium bertalu-talu. Mak Yah juga masih menangis.

“Mirul, banyakkan bersabar nak” Mak Yah mengusap lembut belakang anaknya.

“Mirul tak sangka mak, rupanya selama ini, Nurul tak ikhlas membantu Mirul. Sesungguhnya Mirul tak sangka yang Mirul ni cuma beban buat dia. Kalau Mirul tau, Mirul takkan ambil walau satu sen pun duit dia. Sebagai suami, Mirul dah berdosa mak, Mirul berdosa” Amirul Asraf teringat kembali apa yang dikatakan oleh ibu mertuanya sebentar tadi. Sewaktu dia di katil hospital, Nurul Aliya sendiri yang menawarkan diri untuk kembali bekerja untuk menampung perbelanjaan mereka, Nurul Aliya sendiri yang sanggup untuk pindah ke kampung tinggal bersama dengan ibunya semata-mata untuk berjimat. Entah mengapa Nurul Aliya mengungkitnya kini.

“Entahlah Mirul, agaknya sebab kesempitan hidup kita ni yang buat dia cakap yang bukan-bukan macam tu. Mak betul-betul tak sangka yang mak ni pun beban buat dia, tapi tak apa, kita maafkanlah dia”

Mak Yah menyapu air mata yang bertakung di kelopak matanya. Sedihnya bukan kepalang. Nurul Aliya seorang menantu yang sangat di sayang dan dia sangat menyanjungi menantunya itu. Dia tidak menyangka Nurul Aliya sanggup melukakan hatinya sedemikian rupa. Nurul Aliya seorang yang lemah lembut dan tidak pernah sekalipun menantunya itu menguris hatinya. Tapi dia betul-betul tidak menyangka, Nurul Aliya sanggup meminta cerai dan meninggalkan suami dan anaknya.


“Mak ingatkan Nurul ya mak?” soal Amirul Asraf lembut. Dia mengusap tangan tua ibunya. Dalisya masih lagi lena diulit mimpi. Sesekali dia bergerak mengalih posisi tidurnya.

“Entahlah Mirul, mak pun tak tahu nak cakap macam mana lagi. Kadang-kadang mak teringat juga bekas isteri kamu tu. Mak rindukan dia. Apa khabarlah dia di sana” Mak Yah memandang laut yang luas terbentang. Pokok kelapa melentok liuk mengikut arah tiupan angin.

“Tak guna kita ingatkan dia mak. Kalau anak kandung dia sendiri ni pun dia tak peduli, apa lagi dengan kita ni. Jangan-jangan dia dah kawin lain. Maklumlah orang cantik, kerja bagus pula tu” Amirul Asraf berjauh hati.

“Kamu maafkanlah dia Mirul, apa yang dah berlaku tu biarkan berlalu. Memang sekali-sekala kita akan teringatkan dia, itu lumrah hidup. Bila kamu dah maafkan dia, hidup kamu akan lebih tenteram nak” nasihat Mak Yah. Dia tidak mahu anaknya menyimpan dendam terhadap bekas menantunya. Walaupun menantunya itu menyakitkan hatinya, dia tetap pernah membahagiakannya satu waktu dahulu.

“Iyalah mak, Mirul akan maafkan dia bila hati Mirul ni terubat. Walaupun dia sangat melukai hati Mirul ni” Amirul Asraf menepuk dadanya beberapa kali.

“Abi..” Dalisya membuka matanya. Dia mengeliat. Tangannya diangkat dan kakinya di lunjurkan.

“Amboi lenanya puteri Abi yang satu ni. Bangun sayang, boleh mandi” arah Amirul Asraf pada anaknya.

“Puteri bangun sayang. Mari Mak Tok mandikan”

Dengan malas, Dalisya bangun.

“Hati-hati sayang. Kayu tu dah nak patah” Amirul Asraf memuncungkan mulut ke arah papan yang sudah melendut. Bila-bila masa sahaja lantai berandanya akan patah.

Mak Yah mencapai tangan Dalisya. Dia terus mendukung Dalisya dan terus dibawa ke bilik air yang terletak di tepi rumah. Amirul Asraf mengikat segumpal lidi yang telah siap di raut. Sampah dimasukkan ke dalam beg plastik untuk di buang ke lubang sampah.

“Alhamdulilah, siap juga dua puluh ikat. Ada rezeki untuk kami esok” bisik Amirul Asraf dalam hati.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku