Kerana Dia Milikku
Bab 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
699

Bacaan






Assalamualaikum Abang Mirul” Ayuni memberi salam sebaik sahaja terpandangkan Amirul Asraf yang duduk di atas batu menghadap laut yang terbentang luas.

“Waalaikum salam” Amirul Asraf memandang ke arah Ayuni.

“Boleh Ayuni duduk sini tak?” soal Ayuni mesra.

“Duduklah Auyuni. Tempat awam, mana-mana pun boleh duduk”

Ayuni melabuhkan punggung di atas batu betul-betul bersebelahan Amirul Asraf. Tempat di mana Dalisya selalu menemannya.

“Puteri mana?” soal Ayuni. Dia melihat ke kanan dan kiri mencari bayangan anak kecil yang comel dan petah berbicara itu.

“Hari ni puteri ikut mak ke rumah Cik Gayah. Malam nanti ada kenduri doa selamat. Kamu tak pergi membantu mereka ke?” soal Amirul Asraf pada Ayuni.

“Saya pergi malam nanti saja” jawab Ayuni lembut. Dia memerhatikan Amirul Asraf. Lelaki itu tidak seperti Amirul Asraf yang pernah dikenalinya satu waktu dahulu. Dia kini seorang yang berbeza.

“Oo.. Ayuni kerja di mana sekarang ni? Dah habis belajar kan?” soal Amirul Asraf pada Ayuni. Dia baru teringat beberapa hari lepas Mak Senah memanggil ibunya untuk membantu membersihkan rumah. Mereka ingin membuat kenduri kerana anak mereka Ayuni telah tamat pengajian dan akan pulang ke kampung.

“Ayuni dapat jadi cikgu bang. Bulan depan Ayuni mula melapor diri di sekolah kebangsaan di kampung ni” Ayuni tersengih. Dia gembira kerana Amirul Asraf ingin berbual dengannya.

“Kalau macam tu, boleh lah abang minta tolong Ayuni untuk perhatikan anak abang, puteri tu. Macam mana kelakuan dia di sekolah tu, bolehlah Ayuni beritahu abang” Amirul Asraf semakin lancar berbicara. Tiada lagi rasa malu-malu seperti di awal perbualan mereka tadi.

“Insyaallah, boleh saja. Ayuni pun boleh jaga dia di sekolah tu”

“Terima kasihlah Ayuni, kalau nak harapkan abang ni, nak ke sekolah tu memang tak adalah. Abang tak mampu nak berjalan jauh ke sekolah. Abang cuma dengar cerita dari Hamidi saja tentang kelakuan puteri tu. Kalau baik katanya, maka baiklah pada abang, kalau buruk katanya, maka buruklah perangai puteri tu” Amirul Asraf memandang wajah Ayuni. Dia mengharap pengertian dari gadis itu.

“Lepas ni, Abang Mirul tak payah suruh Abang Hamidi tu tengokkan puteri lagi ya. Saya ada, saya akan perhatikan puteri. Abang Mirul jangan bimbang” senyuman Ayuni terukir. Dia semakin senang berbual dengan Amirul Asraf.

Ayuni mencuri pandang pada wajah tenang Amirul Asraf. Kelihatannya sangat bersih wajah itu. Lelaki itu pernah menjadi abang angkatnya sewaktu di sekolah dahulu. Kenakalan Amirul Asraf dan rakan-rakannya menjadikan dia popular dikalangan pelajar-pelajar sekolah itu. Tidak kurang juga yang memberi surat untuk menjadikan Amirul Asraf abang angkat, dan dia juga tidak terkecuali.

Dari apa yang diceritakan oleh ibunya, Amirul Asraf kini bergelar duda. Isterinya yang cantik jelita telah meninggalkannya. Dia amat kagum dengan ketabahan lelaki yang ada di hadapan matanya itu. Malangnya, Amirul Asraf yang ada di hadapan matanya ini sudah hilang keyakinan diri.

“Kau mengajar darjah berapa?” soal Amirul Asraf. Dia memandang ke wajah Ayuni. Mata itu sedang memandangnya.

Amirul Asraf merasa sedikit tidak selesa apabila di perhatikan sebegitu. Dia mengambil ranting kecil yang ada di kaki lalu di balingkan ke arah Ayuni.

Ayuni terkejut.

“Jauh sangat kau mengelamun tu, ingatboyfriend ke?” soal Amirul Asraf. Dia memandang Ayuni yang sedari tadi tidak berkelip memandangnya.

“Mana ada.. Abang Mirul ni ada-ada saja” Ayuni tunduk. Kakinya menguis pasir pantai. Rasa malu kerana Amirul Asraf menangkapnya ketika dia sedang mengelamun. Terasa panas mukanya.

“Biasalah tu Ayuni. Abang pun pernah melalui apa yang Ayuni rasa tu juga” Amirul Asraf bersuara perlahan.

“Kak Nurul ada datang jumpa puteri?” soal Ayuni pada Amirul Asraf.

Tiada jawapan yang keluar dari mulut Amirul Asraf. Wajahnya serta merta berubah. Dia melemparkan pandangannya jauh ke tengah lautan.

“Maafkan Ayuni abang, Ayuni tak bermaksud nak buat abang sedih” Ayuni segera meminta maaf apabila melihat perubahan di wajah Amirul Asraf. Dia tidak menyangka pertanyaannya tadi membuatkan Amirul Asraf tidak selesa.

“Tak apa, abang tak marah pun. Nak buat apa dia datang tengok kami ni Ayuni. Dia bukannya ingatkan orang miskin macam kami ni. Lainlah kalau kami ni berduit, kereta panjang menjalar, emas berlirat-lirat, duit membukit dalam akaun tu, barulah kami ni diingati” Amirul Asraf meluahkan marah di hati.

“Tak baik Abang Mirul cakap macam tu” Ayuni memandang Amirul Asraf.

“Itulah hakikatnya Ayuni. Nurul tinggalkan abang pun sebab itulah juga. Masa abang jadi asistant manager gaji besar, dia sangat sayangkan abang. Sanggup sehidup semati dengan abang. Tapi bila abang terlibat dengan kemalangan, abang lumpuh, abang tak dapat bekerja lagi, semuanya berubah. Dengan mudah dia lupakan semua janji-janji kami. Dia tinggalkan kami macam tu saja. Malah abang ni jadi beban pula buat dia” Amirul Asraf mengenang kembali apa yang pernah terjadi padanya dahulu.

Ayuni tak sangka Kak Nurul boleh jadi macam tu. Dia sangat baik orangnya. Cara dia bercakap pun lemah lembut, orangnya pandai menjaga hati. Dia penyabar. Memang susahlah nak percaya apa yang abang katakan tadi”

“Itu dulu Ayuni, dia banyak berubah sejak abang kemalangan beberapa tahun yang lalu” ujar Amirul Asraf.

“Kita tak payah cakap pasal Kak Nurul lagi lah abang”

“Baiklah, apa kata kalau kita cakap pasal Ayuni?” Amirul Asraf memandang Ayuni.

“Cakap pasal Ayuni? Nak cakap apa?” soal Ayuni.

“Ayuni ceritalah pasal teman lelaki Ayuni ke, boleh kan? Sekurang-kurangnya ada tajuk untuk berbual, jadi tak lah Ayuni asyik tenung abang macam tadi tu”

“Hissy! Abang ni, mana ada Ayuni tenung abang, perasan lah abang ni” Ayuni tunduk malu. Rupanya Amirul Asraf menyedarinya.

Amirul Asraf tertawa. Dia mengusap rambutnya yang berterbangan mengenai matanya. Sesekali dia melentokkan kepalanya ke kiri dan ke kanan sambil tangan kirinya memicit tengkuk.

“Ayuni balik dululah Abang Mirul, lagi pun dah lama Ayuni di sini. Nanti tercari-cari pula mak dengan ayah di rumah tu” Ayuni membersihkan pasir yang ada di kainnya.

“Cepatnya nak balik, Abang baru nak tau pasal teman lelaki Ayuni, nak mengelak lah tu kan? Tapi tak apa lah baik-baik jalan Ayuni, kalau jatuh bangun sendiri” Amirul Asraf sempat bergurau dengan Ayuni.

“Ada-ada saja Abang Mirul ni. Emm.. kalau abang nak balik boleh Ayuni bantu” Ayuni menawarkan diri untuk membantu Amirul Asraf.

“Tak apalah Ayuni. Abang nak duduk sini lagi. Tak puas nak tengok laut ni. Abang rasa tenang bila dengar bunyi ombak. Lagipun rumah abang bukannya jauh sangat, toleh belakang tu dah nampak rumah abang. Kalau ada apa-apa, abang boleh jerit saja” Amirul Asraf menolak bantuan yang ingin dihulurkan oleh Ayuni.

“Kalau macam tu Ayuni balik dulu, assalamualaikum” Ayuni memberi salam. Dia mula melangkah meninggalkan Amirul Asraf.

Tanpa diduga, sepasang mata sedang memerhatikan kemesraan Amirul Asraf dan Ayuni. Mak Yah bersyukur, sekurang-kurangnya Amirul Asraf sudah mula tersenyum kembali, hanya menunggu bilakah masa keyakinan anaknya akan pulih semula. Mak Yah tersenyum memandang Dalisya yang sedang asyik dengan buku yang diberikan oleh cucu Gayah. Dia membaca dengan penuh khusyuk.

“Puteri duduk sini, Mak Tok nak masuk dalam” Mak Yah memandang cucunya.

“Apa tu Mak Tok?” soal Dalisya. Dia melihat bungkusan di tangan Mak Yah.

“Ini namanya berkat. Kita dah tolong Mak Gayah masak tadi, jadi dia bungkuskan sedikit untuk kita” terang Mak Yah. Dia tersenyum melihat mulut Dalisya terlopong.

“Oo.. macam selalu tu ya Mak Tok? Jadi malam ni kita tak makan nasi dengan ikan bilis lagi lah ya?” soal Dalisya. Pandangannya tertumpu pada bungkusan yang di pegang oleh Mak Yah.

“Insyaallah tidak sayang, malam ni kita makan kari daging, sayur goreng, sambal tumis dan ayam goreng” senyum Mak Yah melebar.

“Kita kena makan semuanya ke Mak Tok?” soal Dalisya.

“Iya sayang. Kenapa?” soal Mak Yah.

“Kalau rumah kita ada tempat simpan yang sejuk macam di rumah Pak Cik Hamidi bukan ke seronok. Boleh simpan makanan dalam tu. Boleh tahan tiga hari tau Mak Tok. Lagi satu kita boleh buat aiskrim” Dalisya teringatkan peti sejuk di rumah sahabat baiknya.

“Benda tu mahal sayang, kita mana ada duit nak beli. Apa kata kalau Puteri belajar pandai-pandai, nanti bile Puteri dah kerja, bolehlah Puteri belikan Mak Tok benda tu, lepas tu kita buat aiskrim banyak-banyak.. boleh?”

“Kalau Puteri dah kerja, Puteri nak buatkan rumah yang cantik untuk Mak Tok dengan Abi. Puteri nak beli makanan yang sedap-sedap untuk kita” Dalisya menceritakan angan-angannya.

“Insyaallah sayang” Mak Yah mencium pipi Dalisya. Dia bangun dari tempat duduknya dan terus membawa bungkusan masuk ke dalam rumah. Dalisya menyelak buku cerita ditangannya. Tumpuan di berikan pada setiap patah perkataan yang ada.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku