Kerana Dia Milikku
Bab 7
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
357

Bacaan






Di rumah Latifah sangat riuh pada hari itu. Ramai saudara mara yang telah di jemput. Masing-masing datang untuk meraikan majlis pertunangan Ismail dan Nurul Aliya. Awal pagi lagi, Latifah telah mengarahkan agar suaminya ke pasar untuk membeli beberapa ekor ayam dan daging. Jiran tetangga juga telah datang untuk membantu. Kemah telah siap di pasang. Kerusi dan meja tersusun rapi di halaman rumah.

“Kau nak masak apa untuk jamuan ni Pah?” soal Sufiah.

“Aku nak masak nasi tomato. Lauknya ayam masak merah dan paceri nenas. Daging pula aku nak minta Kamariah dengan Asmah buatkan masak beryani” terang Latifah.

“Kalau macam tu, aku potong nenas dulu” Sufiah meninggalkan Latifah. Dia mengangkat beberapa biji nenas.

“Sufi, kau tolong tengokkan apa yang patut. Aku ni kalau dah kelam kabut macam ni, ada saja benda yang aku lupa nanti” Latifah berkata sambil tangannya ligat membasuh beras pulut yang telah direndam semalaman.

“Kau jangan bimbang, nanti aku tengok-tengokkan. Emm pencuci mulutnya apa Pah?” tanya Sufiah. Sufiah adalah jiran sebelah rumah Latifah mereka berkawan rapat. Sufiah lah tempatnya mengadu jika ada apa-apa perkara yang berlaku.

“Beras mana? Beras mana?” Ramli menjengah dari pintu dapur. Dia dan beberapa orang sibuk memasak di luar rumah.

“Kau masuklah Li, aku tak kuat nak angkat besen ni” jerit Asmah dari bilik air. Dia baru sahaja selesai membasuh beras.

Ramli melangkah masuk ke dalam. Tidak lama kemudian dia keluar semula.

“Acid! Mari bantu aku angkat beras!” Ramli melaung memanggil Rashid yang sedang sibuk mengelap pinggan mangkuk. Tanpa menunggu lama, Rashid mengekori Ramli. Mereka keluar bersama sambil menjinjing sebuah besen yang penuh dengan beras yang telah di basuh.

“Banyaknya, kau buat berapa kilo ni Pah? Berapa ramai pihak lelaki yang nak datang ni?” soal Kamariah setelah terpandangkan beras yang banyak di dalam besen.

“Aku ingat nak buat dalam 25 kilo tapi Abang Sukar cakap 20 kilo dah cukup. Kalau nak ikutkan kata Ismail.. ramai juga yang nak datang. Aku jemput semua orang kampung kita, lepas majlis bertunan ni aku nak buat kenduri doa selamat terus” Latifah menerangkan kepada Kamariah sambil meletakkan kukus di atas tungku dapur.

“Besar-besaran majlis bertunang Nurul ni kau buat, esok kalau nak kawin entah macam mana meriahnya nanti” Sufiah memandang Kamariah.

“Kau tahu kan Sufi, Nurul tu satu-satunya anak aku. Aku pun nak juga merasa buat majlis tunang, majlis kawin yang macam orang-orang kampung ni buat. Teringinlah juga” tangannya pantas membasuh pinggan-pinggan yang penuh di dalam sinki.

“Ya juga. Perkahwinan Nurul yang sebelum ni tak ada majlis” Sufi mengambil hirisan nenas lalu di masukkan ke dalam mulutnya.

“Sebelum ni Nurul tu dilarikan, entah ubat guna-guna apa yang si cacat tu gunakan, balik saja tau-tau dah kawin. Aku dengan Abang Sukar boleh buat apa lagi?” Latifah merengus. Dia masih ingat lagi betapa kecewanya dia pada masa itu.


“Maafkan Nurul Mak, Nurul dah pilih masa depan Nurul dengan Abang Mirul. Nurul tak boleh nak terima pilihan mak” Nurul Aliya berkeras dengan pilihannya.

“Mak tak setuju! Mak takkan terima dia untuk jadi menantu mak!”

“Apa salahnya mak? Abang Mirul ada kerja yang baik! Dia boleh bahagiakan Nurul” Nurul Aliya menangis.

“Mak kata mak tak suka! Mak tak suka!” Latifah juga berkeras dengan keputusannya.

“Nurul sayangkan Abang Mirul”

“Baik Nurul dengar cakap mak. Kalau Nurul masih ada rasa hormat pada mak, Nurul tinggalkan lelaki ni. Mak takkan restu walau sampai bila-bila pun. Mak nak Nurul kawin dengan pilihan mak!” Latifah menguatkan sedikit suaranya. Dia mula hilang sabar dengan perangai anaknya.

“Nurul tak nak mak! Nurul tak nak! Nurul nak Abang Mirul” Nurul Aliya menangis.

“Kamu jangan nak membantah Nurul! Ini keputusan mak” tegas sekali kata-kata Latifah. Dia tidak mahu bertolak ansur lagi dengan anaknya.

Tanpa di sangka pada malam itu Nurul Aliya sanggup lari meninggalkannya. Menurut dari surat yang ditinggalkan oleh Nurul Aliya, dia telah lari mengikut Amirul Asraf. Puas di cari tapi tidak di temui.

Persahabatan Nurul Aliya dengan Amirul Asraf bermula sejak Sukarman diarahkan bertugas di kampung. Mereka sekeluarga terpaksa berpindah atas arahan jabatan. Mereka tinggal di kampung tersebut tak lama kerana Sukarman telah menghantar surat permohonan untuk bertukar tempat. Selepas mereka berpindah, dia menyangka hubungan persahabatan Nurul Aliya dan Amirul Asraf juga terputus. Tidak di jangka dan tidak di duga, mereka bertemu semula di universiti.

Hubungan persahabatan bertukar menjadi cinta. Semakin lama, semakin rapat dan erat hubungan mereka. Apabila Amirul Asraf mula bekerja, dia semakin berani meluahkan hasrat hati untuk melamar Nurul Aliya. Latifah telah menolak lamaran tersebut dengan alasan Amirul Asraf bukanlah dari keluarga berada. Ia membuatkan Nurul Aliya bertindak melarikan diri dengan kekasih hatinya. Rancangan Latifah untuk mengahwinkan Nurul Aliya dengan pilihan hatinya terbantut.

Sekembalinya Nurul Aliya pada malam itu membawa berita yang sangat mengejutkan. Dia pulang bersama Amirul Asraf di sebelahnya. Amirul Asraf bukan lagi teman lelakinya, dia telah menjadi suami Nurul Aliya yang sah. Pada saat itu, hancur berkecai hati Latifah. Sukarman tidak mampu berkata apa-apa lagi. Nurul Aliya telah berkahwin walaupun tanpa pengetahuannya.

Dek kerana rasa marah yang tak terhingga, Latifah telah menghalau Nurul Aliya dan Amirul Asraf. Dia tidak dapat menerima apa yang telah berlaku. Baginya Amirul Asraf telah mengajar Nurul Aliya untuk kurang ajar padanya. Bencinya pada Amirul Asraf semakin dalam.


“Pulut kau ni dah masak ni Pah, nak letak mana ni?” soal Asmah. Kukus yang panas masih lagi di tangan. Dia memandang Latifah yang masih lagi termenung memandang hampas kelapa.

“Kau letak di atas meja sana, nanti boleh kita bulat-bulatkan, kita buat pulut serunding” arah Sufiah. Dia faham mengapa sahabatnya termenung. Dia pasti sedang mengingati cerita lama. Latifah kerap ke rumahnya mengadu tentang kekecewaannya terhadap Nurul Aliya. Tiada rahsia yang disorok dari pengetahuan Sufiah.

“Pah..Pah..” Sufiah mencuit Latifah.

Latifah memandang Sufiah. Dia tersenyum sumbing.

“Apa yang kau fikirkan lagi tu Pah? Tak payahlah kau kenang hal yang dah berlalu. Anggap tu semua mimpi ngeri dalam hidup kau” Asmah pula bersuara. Dia juga pernah menjadi salah satu tempat untuk Latifah mengadu.

“Entahlah Mah, aku pun tak tahu nak cakap apa. Aku harap Ismail akan jaga anak aku sebaik yang mungkin” itu sahaja harapan yang ada dalam sanubarinya. Dia mehu anaknya hidup bahagia dengan lelaki yang di sukainya.

“Aku tengok Ismail tu lelaki yang baik, walaupun isterinya dua, mereka boleh hidup aman damai dalam satu rumah. Nampaknya Ismail memang menitik beratkan soal agama dalam kehidupannya” Sufiah mencelah.

“Betul tu Pah, rumahtangga mereka bahagia. Aku yakin Ismail akan menjaga Nurul sebaik mungkin. Isteri-isteri Ismail tu pun aku tengok baik-baik orangnya. Cakap tak pernah tinggi, masing-masing sangat menjaga perlakuan. Untung Nurul dapat kakak macam tu” Kamariah teringatkan wajah lembut Raina dan Haiza.

“Memang itu juga yang aku harapkan. Mudah-mudahan perkahwinan dia kali ini akan kekal sampai akhir hayatnya”

“Bertunang ni berapa lama tu Pah?” soal Asman ingin tahu.

“Aku pun tak tahu Mah, kita tunggu petang nanti” Latifah mengarukan kepalanya.

Bau aroma ayam masak merah dan daging beryani menusuk hidung. Nasi tomato juga telah siap di masak. Hanya tinggal paceri nenas sahaja yang masih belum di tumis. Sukarman dan beberapa orang jiran sibuk menyiapkan hidangan. Masing-masing bertungkus lumus untuk menjayakan majlis pertunangan Nurul Aliya dengan Ismail.

“Sufi, mana-mana masakan yang dah siap di luar tu, kau tolonglah bungkuskan sikit untuk kawan-kawan yang datang menolong ni. Lepas tu buat lah beberapa hidang, ajak kawan-kawan kita makan” ujar Latifah mesra. Dia mengeluarkan pinggan dari dalam almari.

“Nanti aku buat” Sufiah mula menumis paceri nenas. Asmah membantunya. Masing-masing tekun dengan kerja yang ada. Pelamin mini juga sudah tersergam indah di tengah rumah. Latifah tersenyum puas.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku