Kerana Dia Milikku
Bab 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
575

Bacaan






Tepat jam 2.30 petang, rombongan dari pihak Ismail sampai di rumah Sukarman. Ismail membawa lima belas dulang hantaran manakala di pihak Nurul Aliya membalas dengan tujuh belas dulang hantaran. Haiza dan Raina kelihatan cantik. Mereka mengenakan baju sedondon.

Sukarman dan Latifah menerima dengan tangan yang terbuka. Lebih-lebih lagi Latifah. Dia memang berkenan untuk menjadikan Ismail menantunya. Senyuman manis tidak pernah lekang dari bibirnya. Imam Alwi telah sampai, dia duduk betul-betul di hadapan wakil Ismail.

“Assalamualaikum semua, kalau semuanya dah ada, apa kata kita mulakan majlis” Wakil Ismail bersuara tenang tetapi cukup jelas untuk di dengari.

“Waalaikum salam” semua tetamu menyambut salam yang di hulurkan.

“Seperti yang kita semua sedia maklum, kedatangan kami ni membawa hajat yang besar” wakil Ismail terus berkata. Terserlah bunyi jawa di setiap patah perkataannya.

“Cuba terangkan apa hajatnya tu, supaya kami di sini semua faham” Imam Alwi pula bersuara.

“Nama saya Ustaz Mansor. Kedatangan kami ni, sebenarnya nak memetik bunga yang ada dalam jagaan Encik Sukarman dan Puan Latifah. Kami dengar bunga tu elok dijaga, itupun kalau masih belum ada kumbang yang hinggap”

“Bunga masih lagi sendiri. Belum ada kumbang yang dekati lagi. Kalau pihak sana ingin menyunting bunga di sini, kecil tapak tangan, padang bola kami tadahkan” Imam Alwi berseloroh.

Para tetamu tertawa.

“Kalau macam tu kira jadi saja lah ya” wakil Ismail bertanya lagi.

“Insyaallah” Imam Alwi menganggukkan kepalanya.

“Kalau macam tu kita teruskanlah dengan hantarannya. Emm.. sebelum saya terlupa, ini sebentuk cincin tanda dari pihak lelaki” wakil Ismail menghulurkan sebentuk cincin kepada Imam Alwi.

“Ni betul emas ni? Nah Pah cuba kau tengok betul tak, kalau nak tau cuba kau gigit..ha..ha..ha” Imam Alwi terus tertawa. Disambut dengan gelak dari tetamu.

Imam Alwi berpaling memandang wakil Ismail semula.

“Maaflah, saya bergurau saja tadi” dia menepuk peha lelaki itu.

“Biasalah tu, kalau tak ada gurau senda, tak meriah majlis kita ni” Ustaz Mansor juga tertawa. Dia senang berbicara dengan Imam Alwi.

“Macam ni Ustaz, saya ni tak di beritahu pula berapa hantarannya, bila nak di langsungkan. Menurut pada ayah perempuan ni, semuanya terserah pada pihak lelaki, kami di sini mengikut saja” terang Imam Alwi.

“Betul lah tu. Para isteri tuan punya badan dah berbincang dan berpakat, mereka akan memberikan hantaran sebanyak RM10k, ini duit tandanya dan majlis akan di langsungkan dalam masa tiga bulan lagi” terang Ustaz Mansor sambil menghulurkan duit RM10 sebanyak sepuluh keping yang cantik tersusun di dalam album gambar.

“Apa kata tuan rumah?” soal Imam Alwi pada Sukarman yang duduk membisu di sebelahnya.

“Kalau itu yang pihak lelaki mahukan, kami mengikut saja” Sukarman menjawab pertanyaan Imam Alwi.

“Kalau semua dah setuju, jadi cincin ni bolehlah di sarungkan ke jari bakal pengantin. Seelok-eloknya wakil dari pihak lelaki lah yang menyarungkannya” Imam Alwi menghulurkan cincin pada Haiza.

“Puan, suruhlah bakal pengantin keluar. Duduk sini untuk sarung cincin” seorang tetamu yang mengiringi pihak lelaki berkata kepada Latifah.

“Sekejap ya” Latifah terus bangun. Dia menuju kebilik.

Pintu bilik di ketuk perlahan.

“Yan! Yan!”

Pintu bilik di buka.

“Kenapa kak? Soal Aziyan. Dia merupakan mak andam kegemaran Latifah. Setiap kali ada majlis-majlis dia pasti akan menggunkan khidmat Aziyan untuk menyoleknya.

“Bawa Nurul keluar, nak sarung cincin” Latifah memperlahankan suaranya.

Nurul Aliya keluar dari bilik. Semua mata tertumpu ke arahnya. Baju sewa yang di bawa oleh Aziyan bersesuaian dengan bentuk tubuhnya yang langsing. Solekan yang agak tebal menjadikan Nurul Aliya sangat berlainan dari biasa. Dia duduk di pelamin yang telah di sediakan. Dia sempai mencuri pandang wajah bakal madunya.terasa kecut perutnya.

Haiza mendekati Nurul Aliya. Raina juga mengekori Haiza. Cincin disarungkan ke jari manis Nurul Aliya. Wang tanda juga telah di serahkan. Nurul Aliya tersenyum kegembiraan. Dia di raikan dalam majlis yang sangat meriah. Dia kini sah bergelar tunangan Ismail.

Selesai sesi bergambar, semua tetamu di jamu di kemah. Nurul Aliya masih sibuk bergambar dengan rakan-rakan kerjanya. Bermacam-macam gaya dan aksi dibuat. Dia gembira kerana ramai tetamu memuji kecantikannya.

“Cuba akak tengok sana tu, meluat saya” Raina bersuara separuh berbisik.

“Sabarlah Raina, ini masa dia. Lepas dia kawin dengan abang nanti, taulah dia apa nasib dia. Sekarang ni biarkanlah dia bergembira sakan. Kau tu, senyum jangan tak senyum” Haiza menyabarkan madunya.

“Tak ada lah kak, janda macam tu pun hantaran sampai 10k? Tak masuk akal betul. Masa abang kawin dengan kita, tak lah sampai macam tu punya tinggi hantaran, lagipun masa abang pinang kita, masa tu kita masih anak dara tau bukannya janda!” Raina meluahkan rasa tidak puas hatinya.

“Senyum Raina jangan tak senyum” Haiza mengingatkan Raina. Ismail telah berpesan supaya sentiasa senyum dan tampak redha dengan pertunangan itu.

“Memang nak senyum, tapi sakit betul hati Raina ni kak” Ayam masak merah di cubit berkali-kali. Dia geram.

“Siapa yang tak sakit hati Raina, akak pun macam nak pecah dada ni menahan rasa. Kalau boleh memang akak nak ganyang saja muka perempuan gatal tu. Tapi apa boleh buat, tangan ni terikat dengan baran Abang Mail. Kalau tak memang dah kena perempuan tu” Haiza mengetap bibir.

Raina mengangguk setuju dengan kata-kata Haiza. Memang apa yang mereka lakukan sekarang ni kerana takutkan baran Ismail. Badan mereka telah lali dengan tali pinggang dan sepak terajang Ismail.

“Haiza, Raina.. kamu berdua memang wanita-wanita yang sangat baik dan tabah. Kamu sanggup datang meminang perempuan lain untuk suami kamu, Mak Cik betul-betul kagum dengan kamu berdua. Payung emaslah balasan untuk kamu kelak” Asmah duduk di hadapan Raina dan Haiza. Dia meletakkan pinggannya yang penuh berisi makanan. Dia amat kagum dengan kedua-dua isteri Ismail.

“Kami tak kisah kalau nak bermadu Cik Mah, lagipun abang memang mampu nak beristeri lebih dari satu” jawab Raina sopan.

“Kuat betul hati kamu berdua ni, kalau Cik Mah, emm entahlah.. dah bercakar agaknya” Asmah menyuap nasi ke dalam mulutnya.

“Hidup bermadu ni taklah teruk mana. Kita berkongsi kasih sayang seorang lelaki. Abang jaga kami dengan baik, apa saja yang kami mahukan semuanya dia akan penuhi. Abang sayang sangat pada kami dan yang paling penting abang adil dengan kami berdua” Haiza pula mereka cerita.

“Betul tu, saya pun sangat bahagia jadi isteri abang. Lepas ni, kami akan berkongsi kebahgiaan kami dengan Nurul pula. Harap-harap Nurul tak kisah berkongsi dengan kami” Raina menambah. Walaupun hatinya sakit dimaniskan juga mukanya.

“Bagusnya kamu berdua. Sejuk perut ibu kamu mengandungkan kamu. Tu lah, kalau dilihat dari pandangan mata kasarnya, Ismail tu nampak biasa saja, tak ada pun berjubah atau berkopiah, rupanya dalaman dia sangat bagus” Asmah terus memuji Ismail. Dia memang kagum dengan cara Ismail mendidik isteri-isterinya.

“Nurul! Nurul!” Asmah memanggil Nurul Aliya sambil melambai-lambaikan tangannya.

Haiza dan Raina saling berpandangan.

“Ada apa Mak Mah? Saya tak siap bergambar lagi ni, Kak Yan nak ajak saya pergi taman depan sana. Mak Mah nak apa?” soal Nurul Aliya.

“Duduklah sini dulu, ni temankan bakal madu-madu kamu ni”

Nurul Aliya menelan air liur. Dia memandang ke arah dua wanita yang sedari tadi merenungnya.

“Kak Haiza, Kak Raina” Nurul Aliya tersenyum sumbing. Dia menarik kerusi di sebelah Asmah.

“Haa.. macam tu lah, duduk sini layan bakal madu kamu ni” Asmah terus berbunyi. Mulutnya penuh dengan makanan.

“Akak bedua dah makan?” soal Nurul Aliya gugup.

“Kami dah kenyang Nurul, dah nak balik pun” Raina bersuara mesra. Senyuman manis terukir di wajahnya. Tiada lagi wajah masam mencuka seperti di restoran seminggu yang lalu. Hilang sedikit rasa gugup yang bertandang dalam dadanya.

“Nurul! Nurul!” suara Aziyan terjerit-jerit memanggil Nurul Aliya untuk bergambar.

“Nurul pergi dulu ya Kak” Nurul Aliya bersalaman dengan Raina, kemudian beralih pada Haiza. Setelah itu dia terus meninggalkan bakal madunya bersama Asmah.

Mereka memerhatikan Nurul Aliya yang sedikit berlari anak mendapatkan Aziyan yang sedang menunggu di tangga rumah. Begitu meriah sekali majlis yang di adakan oleh keluarga Nurul Aliya.

“Bukan main gembira lagi Nurul tu Cik Mah tengok. Dulu dia tak dapat merasa majlis macam ni” Asmah tersenyum senang melihat kegembiraan Nurul Aliya.

“Dulu tak buat majlis ke Cik Mah?” soal Raina.

“Tak ada. Dulu dia kawin lari dengan bekas suami dia tu” jawab Asmah selamba membuatkan Haiza dan Raina sedikit terkejut.

“Kenapa sampai lari pula Cik Mah?” soal Haiza ingin tahu.

“Latifah tu tak suka pada budak lelaki tu, puas dipujuk puas di rayu, Latifah tetap dengan keputusannya, kebetulan pula kawan adik Latifah tu berkenan dengan Nurul tu, mereka masuk meminang dan Latipah terus setuju. Tu yang buat Nurul dengan kekasihnya nekad nak kawin cepat” tanpa berselindung, Asmah terus bercerita. Apa lagi apabila dia melihat mulut Raina terlopong dan Haiza amat berminat dengan cerita yang disampaikannya.

“Apa kerja bekas suami Nurul tu?” soal Raina pula.

“Dulu suami Nurul tu kerja besar, orang ada pangkat dengarnya, tapi entahlah” Asmah mengaru kepalanya. Dia sendiri tidak tahu apakah sebenarnya kerja Amirul Asraf sewaktu dia menikahi Nurul Aliya.

“Kerja bagus lah tu” Haiza mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Kalau suaminya kerja bagus, kenapa pula mereka bercerai Cik Mah?” soal Raina lagi. Dia memandang tajam ke arah Asmah. Dahinya berkerut.

“Cik Mah tak pastilah pula. Latifah tak cerita, Cik Mah pun malas nak bertanya. Bukannya apa, Cik Mah ni kalau orang cerita Cik Mah dengarlah, kalau tak bercerita, Cik Mah tak tanya” Asmah tersengih.

“Mereka ada anak kan?” soal Haiza. Dia teringat apa yang pernah di katakan oleh Ismail.

“Cik Mah rasa ada. Anak perempuan, tapi budak tu tak tinggal dengan Nurul, katanya budak tu tinggal dengan ayahnya. Kalau di fikir-fikir rasanya dah besar juga budak tu. Mungkin dah sekolah agaknya” teka Asmah. Dia mengusap dagunya.

Haiza, Raina dan Asmah terus berbual panjang. Sesekali mereka tertawa. Latifah memerhatikan dari jauh. Dia senang melihat kemesraan Haiza dan Raina. Anaknya Nurul Aliya juga pasti akan bahagia setelah berkahwin dengan Ismail kelak.

“Apa yang kau menungkan tu Pah?” soal Sufiah. Dia meletakkan bakul yang berisi beg-beg kecil untuk para tetamu di sebelah Latifah.

“Aku bukannya termenung, tapi aku tengok sana tu, Asmah tengah berbual dengan Isteri-isteri Ismail. Nampak cepat mesra pula” Latifah menunjukkan jari ke arah yang di maksudkan. Asmah mengangkat tangan apabila nampak Latifah dan Sufiah memandang ke arahnya.

“Ramah pula mereka tu kan Pah. Selama ni aku ingatkan mereka tu sombong, rupanya tak” Sufiah memuji bakal madu Nurul Aliya.

“Aku ni cuma nak Nurul tu bahagia. Tu saja” Latifah melentokkan kepalanya di tiang tempat dia bersandar. Dia keletihan.

“Eh Sufi, mereka nak balik dah tu. Berkatnya bawa lah ke sini” Latifah membetulkan duduknya.

“Berkat Kamariah dah bagi pada mereka” ujar Sufiah.

“Dah bagi? Baguslah tu, terima kasih Sufi” Latifah menepuk bahu Sufiah. Temannya itu banyak membantunya. Dia senang berkawan dengan Sufiah. Sewaktu anak Sufiah, Kemad hendak melangsungkan perkahwinan, Latifah telah menawarkan diri membantu apa sahaja, dari awal majlis hinggalah selesai. Begitu juga dengan Sufiah, dia juga ingin menjayakan majlis sahabatnya itu dengan meriah sekali.





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku