Kerana Dia Milikku
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
353

Bacaan






Sudah sebulan lebih Ayuni mengajar di Sekolah baru. Dia sudah semakin terbiasa dengan selok belok sekolah tersebut. Dia tidak lagi tercari-cari bilik makmal dan surau. Murid di sekolah memanggilnya dengan nama Cikgu Ayuni. Dalisya juga tidak lagi menumpang Melati untuk ke sekolah. Setiap pagi Ayuni akan ke rumah Amirul Asraf untuk mengambil Dalisya. Begitu juga sewaktu pulang dari sekolah. Dia akan menghantar anak kecil itu pulang hingga ke depan tangga rumah. Selain dari memastikan keselamatan Dalisya, dia juga akan berpeluang untuk bertemu lelaki yang pernah menjadi pujaannya di dalam diam sewaktu di sekolah dahulu.

“Eisya, mari ikut cikgu” Ayuni memimpin tangan Dalisya.

“Nak pergi mana cikgu?” soal Dalisya.

“Hari ni cikgu nak bawa Eisya pergi pekan sekejap. Nek Senah minta cikgu pergi beli barang dapur. Jadi Cikgu nak minta Eisya temankan cikgu, bolah?” Ayuni mengangkat keningnya.

“Cikgu dah ajak, mestilah Eisya boleh temankan cikgu” Dalisya girang. Dia senang dengan Ayuni. Walaupun perkenalan mereka sangat singkat, dia dapat merasa kasih sayang Ayuni padanya. Apatah lagi selama ini dia tidak pernah merasa perhatian dari seorang ibu. Apa saja yang berlaku di rumah atau ketika bersama rakan-rakannya, pasti akan di ceritakan pada Ayuni. Ada kalanya Ayuni membawa Dalisya bermalam di rumahnya. Pak Kulub dan Mak Senah tidak pernah marah, malahan mereka juga suka pada keletah Dalisya yang petah berkata-kata. Rumah mereka akan terasa sunyi sekiranya Dalisya tiada. Oleh kerana itu, Mak Senah sering meminta agar Ayuni membawa Dalisya pulang ke rumahnya.

“Baiklah, kalau macam tu, lepas makan mee ni, Eisya balik ke kelas. Nanti waktu balik, Eisya tunggu cikgu di sini ya”

Dalisya mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham apa yang di katakan oleh Ayuni. Dia menghabiskan mee yang ada di dalam mangkuk. Sejak Ayuni mengajar di sekolah itu, dia tidak lagi berlapar. Ayuni akan mengajaknya makan bersama.

Ayuni mengesat mulut Dalisya dengan tisu yang ada ditangannya. Beberapa orang pelajar memandang kemesraan di antara Cikgu Ayuni dan Dalisya. Ada yang tersenyum, tidak kurang juga yang berbisik-bisik sesama sendiri. Ayuni terus memerhatikan Dalisya yang sedang asyik menikmati mee goreng di hadapannya. Fikirannya melayang jauh..

“Kamu dari mana ni Ayuni?” soal Senah pada anaknya. Dia sibuk membasuh ikan yang baru siap di potong.

“Ayuni ke rumah Mak Yah tadi mak. Ayuni ingatkan nak jumpa dengan Mak Yah, tapi Mak Yah tak ada di rumah pula” jawab Ayuni perlahan. Dia meletakkan kasut ditempat yang di sediakan.

“Kamu tu nak jumpa Mak Yah kamu tu ke atau nak jumpa Abang Amirul kamu tu?” soal Senah. Dia tersenyum simpul.

“Mana ada, Yuni memang nak jumpa dengan Mak Yah lah mak. Sejak kenduri malam tu, Yuni langsung tak dapat jumpa dengan Mak Yah” Ayuni cuba membohongi ibunya.

“Tak payahlah kamu nak berbohong dengan mak Yuni, mak tahu kamu tu memang sukakan Amirul tu kan?” soal Senah. Dia melumurkan ikan dengan kunyit dan garam yang telah siap di tumbuk.

“Mak tak suka ke kalau Yuni dengan Abang Mirul berkawan?” soal Ayuni. Dia mengambil sawi yang ada di atas meja lalu di bawa ke sinki untuk di bersihkan.

“Kamu jangan salah faham Yuni, mak tak pernah menghalang persahabatan Yuni dengan Amirul tu. Lagipun mak tengok, Amirul tu seorang lelaki yang baik. Dia tu penyabar, kuat beribadah dan tak pernah nak mengalah. Walaupun keadaan dia macam tu, dia rajin berusaha” Senah memuji Amirul Asraf di hadapan Ayuni.

“Apa saja kerja yang Abang Mirul buat mak?” soal Ayuni ingin tahu.

“Macam-macam yang dia dah buat Yuni. Dulu dia kerja di kedai makan hujung simpang depan tu, jadi tukang cuci pinggan, dia di berhentikan sebab lambat buat kerja dan sering datang lambat katanya. Lepas tu dia bekerja dengan di kedai Pak Akob, kerja susun-susun barang. Entah macam mana ceritanya, Mak Enon kamu tuduh dia asyik curi barang bawa balik. Padahal Amirul tu sebiji gula-gula pun tak pernah di ambilnya” Mak Senah terus bercerita.

“Kesiannya Abang Mirul, kenapalah dia di perlakukan macam tu” Ayuni sayu. Dia memotong sawi perlahan.

“Manusia Yuni, memang macam tu lah. Masa senang masa sihat banyak duit, semua sayang, semua nak dekat.. bila dah susah, cacat pula tu.. semua orang lari” Mak Senah mengeluh. Simpatinya pada Mak Yah membukit.

“Yuni harap Yuni dapat bantu Mak Yah dan Abang Mirul” Ayuni bersuara perlahan.

“Baguslah tu Yuni. Tak rugi kalau kita saling membantu. Pahala yang kita dapat nak” Mak Senah gembira. Ayuni mempunyai hati yang baik dan dia sangat bangga dengan anaknya.

“Tapi mak, Abang Mirul tu tak kisah ke kalau Yuni nak bantu dia?” soal Ayuni pada Mak Senah.

“Kalau dia tahu memanglah dia tak mahu. Kalau kamu betul mahu menolong, waktu rehat tu kamu bayarkanlah makanan untuk Dalisya tu. Bukannya mahal pun, tak sampai dua ringgit makanan di kantin tu kan?” Mak Senah memberikan cadangan.

“Boleh juga tu mak. Abang Mirul pun ada minta Yuni tengok-tengokkan Dalisya tu” Ayuni teringat kembali permintaan Amirul Asraf di pantai seminggu yang lalu.

“Baguslah tu, tak rugi kita bersedekah” ikan dimasukkan ke dalam kuali.

“Tapi mak, kalau boleh Yuni nak bantu Abang Mirul juga”

“Amirul tu bukannya tak boleh di tolong, dia pasti akan menolak. Dia tu macam malu nak berdepan dengan orang ramai. Tambah pula kalau berjumpa dengan Mak Enon kamu tu. Habis budak tu di kutuk, di keji, dihina, macam-macam lagi yang dibuat pada budak Mirul tu” Mak Senah terus bercerita.

“Kenapa macam tu pula mak?” soal Ayuni.

“Entahlah Yuni. Manusia ni macam-macam perangainya. Ada tu jenis yang suka sangat bila tengok derita orang lain” tangannya pantas membersihkan dapur.

“Yuni tak kira mak, Yuni nak bantu juga Abang Mirul. Yuni akan buat semangat dia pulih dan Yuni akan kembalikan semula keyakinan diri dia” tekad Ayuni.

“Apa yang kamu boleh buat Yuni?” soal Mak Senah.

“Yuni boleh carikan Abang Mirul kerja. Dia kan berpendidikan tinggi” Ayuni mengambil pisau dari dalam bakul untuk memotong sayur.

“Kaki Amirul tu cacat Yuni, kerja apa yang boleh dia buat? Lagipun mak tak rasa Mirul tu setuju” Mak Senah membuat andaian sendiri.

“Mak ni.. yang cacat tu kaki dia, bukannya kepala dia. Otak dia, tangan dia masih boleh di gunakan kan?” Soal Ayuni pada ibunya.

“Suka hati kamulah Yuni, mak tak akan halang niat kamu tu. Cuma mak hairan dengan kamu ni” Mak Senah mengerutkan kening.

Ayuni memandang ibunya. Mata mereka bertentangan.

“Kamu suka dengan Amirul tu ya?” soal Mak Senah pada Ayuni.

“Eh! Mak ni. Mana ada” muka Ayuni merona merah. Dia malu.

“Mak tak kisah kalau kamu sukakan Amirul tu Yuni. Walaupun dia tu cacat, mak tak ada halangan kalau dia tu yang kamu pilih untuk jadi suami kamu. Lagipun mak sayang sangat pada Dalisya” terang Mak Senah.

Ayuni melopong mendengar kata-kata ibunya. Dalam diam dia bersyukur kerana ibunya mempunyai pemikiran yang baik tentang Amirul Asraf. Hatinya mula berbunga-bunga riang.

“Cikgu Ayuni..Eisya dah habis makan” Dalisya menunjukkan mangkuk yang telah licin di hadapannya. Ayuni tersedar dari lamunan.

“Dah habis? Ni air ni belum habis lagi” Ayuni menunjukkan air sirap yang masih penuh di dalam gelasnya.

“Air tu cikgu punya.. ni air Eisya” Dalisya menunjukkan air masak di dalam botol mineral yang telah kemek.

“Air ni, cikgu belikan untuk Dalisya” Ayuni meletakkan gelas tersebut di hadapan Dalisya.

Dalisya terus menghirup air sirap yang diberikan oleh Ayuni. Dia minum dengan gelojoh sekali. Dia sempat mencuri pandang wajah wanita yang sangat mengambil berat terhadapnya. Cikgu Ayuni sangat baik dan sayang padanya. Dia tidak lagi di ejek dan di kutuk oleh kawan-kawannya. Dia juga sudah tidak perlu berlapar lagi.

“Dah habis” Dalisya meletakkan gelas di sebelah mangkuk mee. Dia memandang Ayuni.

“Sekarang, Eisya dah boleh balik ke kelas. Tapi jangan lupa masa balik nanti, tunggu cikgu di sini ya” Ayuni mengingatkan Dalisya sekali lagi.

“Terima kasih cikgu” Dalisya mengucapkan terima kasih dan terus beredar meninggalkan Ayuni yang masih duduk di situ.

“Tak makan ke Cikgu Yuni?” soal Cikgu Hadif. Dia melabuhkan punggung di sebelah Ayuni. Dulang di tangan diletakkan perlahan.

“Saya masih kenyang lagi cikgu, pagi tadi dah sarapan berat” jawab Ayuni perlahan. Dia tersenyum memandang Cikgu Hadif. Guru lelaki itu sangat kemas dan lembut apabila berbicara.

“Jaga badan ya?” soal Cikgu Hadif lagi.

“Tak adalah. Saya ni bukannya jenis yang asyik nak jaga kecantikan pun” Ayuni menafikan tekaan Hadif.

“Kalau macam tu, apa kata kalau Cikgu teman saya makan” Hadif mencuri pandang pada Ayuni.

Ayuni tersenyum. Dia mengalihkan mangkuk dan gelas kosong yang ada di depannya untuk memberi ruang pada Hadif. Beberapa orang guru lalu di hadapan mereka. Ada yang tersenyum sinis ada juga yang menyapa mesra.

“Saya selalu nampak cikgu bayarkan makanan budak perempuan tu tadi, kenapa ya? Dia tu ada kaitan dengan cikgu ke?” soal Cikgu Hadif ingin tahu. Dia sering melihat Ayuni membelikan makanan untuk budak itu.

“Saja” ringkas jawapan Ayuni.

“Ada kaitan saudara dengan cikgu ke?” Cikgu Hadif mengulangi pertanyaannya. Makanan di masukkan ke dalam mulut. Perlahan kunyahannya.

“Saya tak ada apa-apa hubungan dengan budak tu, cuma ayah dia tu kawan saya. Lagipun apa salahnya kalau saya nak bersedekah” jawab Ayuni jujur.

“Kalau macam tu, cikgu tak boleh belanja budak tu hari-hari”

“Kenapa pula? Itu hak saya, siapa awak nak halang saya?” Ayuni berang.

“Saya tak mahulah nanti pelajar-pelajar lain rasa awak tu melebih-lebihkan budak tu. Kita sebagai guru ni tak boleh nak pilih kasih. Semua murid sama rata, tak kira yang pandai atau yang tidak, begitu juga dengan murid yang senang atau yang hidup susah” terang Cikgu Hadif. Dia tidak mahu Ayuni salah faham dengan kata-katanya.

Ayuni diam. Dia memandang kosong ke arah lain. Murid-murid telah beransur sedikit demi sedikit menghilangkan diri pulang ke kelas masing-masing. Kantin yang tadinya riuh dengan suara murid-murid, kini semakin sunyi sepi. Kelihatan beberapa orang pekerja kantin sedang mengutip mangkuk dan pinggan yang berada di atas meja.

“Maafkan saya cikgu, saya baru teringat, saya ada kerja nak buat” Ayuni bangun dari tempat duduknya.

Cikgu Hadif tidak berkata apa-apa. Dia tahu Ayuni terasa dengan kata-katanya. Dia membiarkan Ayuni berlalu tanpa sebarang kata. Makanan di hadapannya di tolak ke tepi. Air dihirup perlahan. Seleranya hilang tiba-tiba. Dia memandang ke kiri dan kanan, ada beberapa orang guru lagi yang masih di kantin, masing-masing berbual antara satu dengan yang lain.

“Cikgu Hadif.. mana Cikgu Ayuni? Tadi saya nampak dia di sini dengan cikgu” tanya pekerja kantin pada Cikgu Hadif. Dia mengambil mangkuk dan gelas yang di tinggalkan oleh Dalisya tadi.

“Dia dah balik ke bilik guru, ada kerja nak buat katanya” jawab Cikgu Hadif perlahan.

Pekerja kantin tersebut segera berlalu. Dia dapat melihat mood Hadif tidak berapa elok. Sebelum dia di marahi baik dia segera mengangkat kaki.

“Kak!” Cikgu Hadif memanggil pekerja kantin itu.

“Kenapa cikgu?”

“Saya hairan dengan Cikgu Ayuni tu. Bila saya cakap pasal budak perempuan yang selalu dengan dia tu, mesti dia akan marah saya. Sensitif betul jadinya dia” Cikgu Hadif meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Ayuni.

“Oh! Dalisya tu ya cikgu?” soal pekerja kantin itu.

“Dalisya ke nama budak tu?” Cikgu Hadif menyapu mulutnya dengan sehelai tisu.

Pekerja kantin itu mengangguk sambil tersenyum. Dia terbayang wajah anak kecil yang di sebutkannya sebentar tadi.

“Saya pelik betul dengan Cikgu Ayuni tu. Entah apa yang istemewanya dengan budak tu, saya pun tak faham. Saya lihat budak tu sama saja dengan murid yang lain” Cikgu Hadif meluahkan rasa tidak senangnya terhadap layanan Ayuni pada Dalisya.

“Cikgu, maaf kalau akak cakap sikit. Budak tu memang istemewa cikgu. Dia tu lain sikit”

“Apa yang lainnya?” berkerut kening Cikgu Hadif.

“Cikgu baru lagi di sini, nanti cikgu akan tahu” pekerja kantin terus meninggalkan Cikgu Hadif sendirian.

Bunyi loceng yang kuat menandakan waktu rehat telah habis. Hadif segera pulang ke bilik guru. Dalam perjalanan dia terserempak dengan Ayuni yang telah bersedia untuk ke kelas.

“Baru habis rehat Cikgu?” tegur Ayuni.

“Emm..” hanya itu jawapan yang keluar dari mulutnya.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku