Kerana Dia Milikku
Bab 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
484

Bacaan






Mak Senah sibuk membakar sampah di bawah pokok mangga. Daun kering yang jatuh di sapu perlahan. Pak Kulub pula sibuk mengait buah kelapa yang sudah tua. Masing-masing asyik dengan kerja yang mereka lakukan.

Dari jauh kelihatan kereta kelisa Ayuni memasuki halaman rumah. Mak Senah meletakkan lidi penyapu di tepi pokok manakala Pak Kulub mengumpulkan beberapa biji kelapa yang dikaitnya sebentar tadi.

“Nek Senah!” Dalisya menjerit memanggil Mak Senah.

“Alahai cucu nenek!” Mak Senah mendepangkan tangannya.

Dalisya berlari mendapatkan Mak Senah. Ayuni mengeluarkan barang dapur yang baru di belinya di pekan. Pak Kulub segera datang membantu anaknya. Beras dan minyak masak di pikul.

“Puteri nak bantu atuk tak?” soal Pak Kulub pada Dalisya. Sepeket sabun basuh di tunjukkan kepada Dalisya.

“Nak! Nak!” Dalisya ingin mendekati Pak Kulub tetapi tangannya di capai pantas oleh Mak Senah.

“Tak payah, puteri duduk sini, temankan Nek Senah” arah Mak Senah. Dia menyuruh Dalisya duduk di pangkin yang ada berhampiran dengannya.

“Awak ni, saya pun nak juga manja dengan puteri.. kan puteri?” Pak Kulub memandang Dalisya. Dia memuncungkan mulut seperti orang yang sedang merajuk.

“Nek Senah, Eisya tolong atuk kejap ya, kesian atuk. Tadi cikgu beli barang banyak. Masa di pasaraya tadi pun penuh barang cikgu beli”

“Iyalah, cucu nenek ni memang rajin. Emm.. nanti tolong Nek Senah masak boleh?” soal Mak Senah. Dia sangat senang dengan anak itu. Mulutnya yang petah berkata-kata membuatkan rumahnya yang sepi dan kosong selama ini kembali riuh.

“Boleh” Dalisya berlari mendapatkan Pak Kulub. Dia sempat menjeling pada pelepah kelapa yang berserakan di atas tanah.

“Tok!” Dalisya memegang hujung baju Pak kulub.

“Kenapa puteri?” soal Pak Kulub. Dia menundukkan sedikit badannya.

“Boleh tak balik nanti, Eisya nak bawa pelepah kelapa yang di sana tu” jari Dalisya menunjuk ke arah pelepah kelapa yang bertaburan di atas tanah.

“Boleh, nanti atuk tolong sisirkan” Pak Kulub mengusap rambut anak kecil itu.

“Dah mari kita masuk” Mak Senah mencapai beg plastik terakhir yang ada dalam bonet kereta. Ayuni sudah menunggu di hujung tangga.

“Panas betul hari ni, eh! Abang nak ke mana pula tu?” soal Mak Senah pada Pak Kulub.

“Aku nak sisirkan daun kelapa tu untuk puteri” Pak Kulub mencari parang di bawah tangga.

Mak Senah tidak berkata apa-apa. Dia terus ke dapur. Dalisya dan Ayuni telah mendahuluinya.

“Mak nak masak apa hari ni?” soal Ayuni pada ibunya. Dia telah memasukkan beras ke dalam periuk.

“Mak ingat nak buat sambal tumis ikan bilis saja. Nanti Yuni tolong mak gorengkan ikan masin ya. Telur masin masa kenduri rumah Gayah hari tu ada lagi dalam peti sejuk tu rasanya” Mak Senah membuka peti sejuk. Dia mencari telur masin yang dibawanya pulang tempohari.

“Telur masin tu dah lama lah mak, boleh makan lagi ke?” soal Ayuni pada ibunya. Dia melihat Mak Senah mengeluarkan beberapa biji telur masin dari peti sejuk.

“Mak rasa boleh makan lagi ni” Mak Senah memerhatikan telur masin ditangannya.

“Kita rebus yang lain saja ya mak. Tadi pun Yuni ada beli dua biji telur masin. Mana ya.. rasanya dalam plastik depan mak tu” Ayuni menunjukkan plastik yang terletak di atas meja.

Dalisya hanya mendiamkan diri.

“Puteri tolong Nek Senah kopek ikan bilis ni ya. Buat macam ni, kepalanya dan tulangnya buang macam ni, ambil badannya saja” Mak Senah menunjukkan cara membersihkan ikan bilis pada Dalisya.

“Macam ni ke Nek Senah?” soal Dalisya sambil menunjukkan ikan bilis yang telah siap di kopek pada Mak Senah.

“Pandai cucu nenek” Mak Senah memuji Dalisya.

Dalisya semakin bersemangat apabila di puji. Tangannya semakin pantas membuat kerja yang di arahkan. Ayuni pula baru selesai menanak nasi.

“Bawang ni nak kopek berapa banyak ni mak?” soal Ayuni pada Mak Senah.

“Kamu kopeklah dalam empat atau lima biji” Mak Senah mengeluarkan lada kering dari dalam kabinet. Dia pantas memotong lada kering tersebut lalu di rebus di atas dapur.

“Dah cukup tu puteri. Banyak dah ni” Mak Senah mengambil mangkuk yang berisi ikan bilis. Ayuni menyerahkan bawang yang telah di kopek pada ibunya.

“Nek Senah”

Mak Senah memandang Dalisya.

“Boleh tak kalau kepala ikan bilis ni Eisya nak?” soal Dalisya. Tangannya memegang kepala dan tulang ikan bilis yang dikumpulkannya tadi.

“Puteri nak buat apa?” soal Ayuni. Dia kehairanan.

“Mak Tok selalu goreng kepala ikan bilis untuk buat lauk kami. Sedap tau cikgu, Abi suka makan ni” Dalisya teringatkan Mak Yah dan ayahnya.

Ayuni memandang ibunya. Mak Senah memalingkan muka ke arah lain. Dia tidak sampai hati untuk memandang wajah anak kecil itu. Budak sekecil itu memang tidak tahu nak menipu.

“Selalu ke puteri makan macam tu?” soal Ayuni.

“Selalu juga. Mak Tok selalu goreng nasi dengan air garam. Mak Tok kata, kalau nak pandai kena makan macam tu. Kalau ada ikan bilis, baru Mak Tok goreng untuk buat lauk” terang Dalisya.

“Sayur tak makan ke?” soal Ayuni lagi.

Dalisya mengelengkan kepalanya. Dia senyum memandang Ayuni. Mak Senah masih lagi membelakangkannya.

“Tak apalah, nanti lepas masak, Eisya bawa balik sikit ya untuk Abi dan Mak Tok” Ayuni memandang sayu pada Dalisya. Wajah itu sangat polos. Wajah itu tidak pandai menipu. Apa yang di rasa akan terus keluar dari mulutnya tanpa berfikir panjang.

“Betul ke cikgu?” soal Dalisya. Dia kegirangan.

“Betul, nanti Nek Senah bungkuskan ya” Mak Senah tersenyum pada anak daranya Ayuni.

“Alhamdulilah, syukur nikmat ALLAH, malam ni, dapatlah Mak Tok dengan Abi makan makanan yang sedap. Terima kasih Nek Senah..cikgu.. semoga ALLAH murahkan lagi rezeki untuk cikgu sekeluarga” Dalisya mengucap syukur. Kegembiraannya tidak dapat di gambarkan lagi. Dia terus berdoa sepertimana yang pernah di ajarkan oleh Mak Yah dan ayahnya.

Mak Senah dan Ayuni saling berpandangan. Mereka merasa sayu dengan apa yang di katakan oleh Dalisya. Rasa sayang pada anak itu semakin kuat.

“Amin..” Mak Senah meraup muka dengan kedua tapak tangannya. Dia mula menumis lada. Bau tumisan yang memeritkan hidung membuatkan Mak Senah bersin beberapa kali.

“Mak duduk sini, biar Yuni yang masak” Ayuni mengambil sudip dari tangan Mak Senah.

“Perit pula hidung mak ni. Kamu puteri tak apa-apa ke?” soal Mak Senah pada Dalisya.

Dalisya hanya menunjukkan isyarat okey menggunakan tangannya.

“Periuk tu kamu nak buat apa tu?” Mak Senah hairan melihat Ayuni memasukkan air ke dalam periuk.

“Yuni nak rebus telur masin” jawab Ayuni ringkas.

“Kamu dah buang ke telur masin kenduri Mak Gayah kamu tu?” soal Mak Senah. Dia memerhatikan tempat dia meletakkan telur masin yang sejuk sebentar tadi.

Ayuni tidak menjawab. Dia hanya memberikan isyarat pada ibunya yang telur masin tersebut telah di simpan oleh Dalisya. Mak Senah mengangguk tanda faham. Memang sudah jadi kebiasaannya, Dalisya tidak mahu mereka membazir. Menurutnya selagi boleh di makan, makanan tersebut tidak perlu di buang. Dia akan bawa pulang, jika makanan tersebut masih elok, mereka akan makan dan jika sudah tidak boleh di makan, ia akan diberikan pada ayam ternakan Mak Yah.

“Puteri! Puteri!” kedengaran suara Pak Kulub memanggil Dalisya dari luar.

Dalisya berlari menuju ke pintu.

“Atuk cari Eisya?” soal Dalisya. Wajahnya tersembul di sebalik pintu.

“Ni dia, daun kelapa yang kamu nak, atuk dah ikat sekali. Senang nak bawa” Pak Kulub meletakkan daun kelapa yang telah diikat kemas di tepi pintu.

“Terima kasih atuk” hanya itu yang mampu di ucapkannya. Dia amat bersyukur kerana Cikgu Ayuni, Pak Kulub dan Mak Senah dapat menerimanya dengan hati yang terbuka.

“Sedapnya bau ikan kering, dah masak ke? Atuk dah lapar ni” Pak Kulub mengusap perutnya. Dia tercium-cium aroma ikan kering yang sedang di goreng oleh Ayuni.

“Masuklah abah, Yuni dah siap masak ni. Tinggal nak hidang saja” laung Ayuni dari dapur.

“Dah siap tu, mari Puteri, kita makan sama-sama” Pak Kulub mengajak Dalisya. Dia memimpin tangan anak kecil itu.

Pak Kulub duduk bersebelahan dengan Mak Senah. Dalisya pula duduk di sebelah Ayuni. Semangkuk sambal tumis yang masih berasap mengeluarkan bau yang sangat menyelerakan. Apa lagi dengan aroma ikan masin yang telah siap di goreng memang sangat menyelerakan. Telur masin juga telah siap di dalam piring. Mereka makan dengan tenang. Suasana sepi seketika. Sesekali terdengar batuk Pak Kulub.

“Sedap cikgu masak” puji Dalisya. Dia membasuh tangannya.

“Kalau Puteri nak tahu, Cikgu Puteri ni memang pandai memasak. Sebut saja nak makan apa, semua dia boleh buat” Mak Senah turut memuji masakan anaknya.

“Semua orang pandai memasak mak, lagipun Yuni kan ada mak untuk ajar Yuni memasak, orang perempuan ni kalau kata tak tahu macam mana pun, mesti tahu jugalah sikit-sikit. Betul tak abah?” Ayuni mengajak Pak Kulub bersuara sama.

Pak Kulub masih lagi dengan makanannya. Dia memang pengemar ikan masin. Makanan terus di suap masuk ke dalam mulut. Sungguh selera sekali dia menjamu selera.

“Tapi Eisya tak tahu, Umi pandai masak ke tak.. Eisya tak pernah jumpa Umi. Eisya cuma dapat tengok Umi dalam gambar saja itu pun gambar Umi dah kena air, jadi wajahnya tak jelas. Eisya tak ada Umi yang nak ajar Eisya memasak” Dalisya sedih. Dia teringatkan ibunya. Dia tidak ingat bagaimanakah rupa ibunya. Sewaktu di tinggalkan, dia baru berusia dua tahun.

“Sudahlah tu Puteri, janganlah kamu sedih-sedih. Kalau Puteri nak belajar masak, Puteri boleh tanya dengan Nek Senah, Cikgu Yuni pun boleh ajar Puteri” Mak Senah cuba memujuk anak kecil itu.

Dalisya tidak berkata apa-apa. Dia merenung wajah orang-orang mulia di hadapannya.

“Atuk pun boleh ajar puteri masak” tiba-tiba Pak Kulub bersuara membuatkan semua yang ada tergelak besar.

Setelah selesai makan, Dalisya membantu Ayuni membersihkan dapur. Setelah itu Ayuni membantu Dalisya mengulangkaji buku-buku pelajaran. Dalisya amat tekun menghabiskan kerja sekolahnya. Suatu hari nanti dia ingin menjadi seorang guru seperti Cikgu Ayuni. Dia juga berazam akan membantu pelajarnya yang susah sama seperti apa yang dilakukan oleh Cikgu Ayuni. Wanita itu telah menjadi idolanya.

“Dah siap!” Dalisya menunjukkan buku latihannya pada Ayuni.

“Pandai Eisya, kalau macam tu kita kemas semua ni, lepas tu Cikgu hantar Eisya balik ya. Dah lewat ni, nanti Mak Tok dengan Abi mesti risau” Ayuni mengusap kepala Dalisya.

“Tadi kan kita dah beritahu Abi?”

“Memanglah tadi kita dah cakap pada Abi, tapi tadi cikgu dah janji dengan Abi yang cikgu akan hantar Eisya balik sebelum asar. Kalau cikgu tak tepati janji cikgu pada Abi, nanti lain kali kalau cikgu nak bawa Eisya lagi, mesti Abi takkan benarkan” Ayuni cuba menerangkan pada Dalisya apa yang difikirkannya.

“Betul juga cikgu cakap tu, lagipun Ustazah kata kita tak boleh nak mungkir janji, TUHAN tak suka” dengan pantas Dalisya memasukkan pensil dalam begnya. Buku latihan juga di masukkan ke dalam beg.

“Siap?” soal Ayuni. Dia mencapai tudung yang terletak di sofa lalu menyarungnya.

Dalisya mengangkat beg sekolahnya. Sewaktu dia pulang tadi, Ayuni telah mengarahkannya membawa sekali beg sekolah untuk membuat ulangkaji bersama. Amirul Asraf juga tiada halangan. Dia mahu anaknya cemerlang di dalam pelajaran.

Ayuni mencapai kunci kereta. Dia terus menuruni anak tangga. Selipar yang tersusun di rak kasut di capai lalu di sarung di kakinya. Ayuni membukakan pintu untuk Dalisya. Mak Senah dan Pak Kulub memerhatikan dari pangkin di bawah pokok. Mereka hanya melambaikan tangan ke arah Dalisya. Kereta Ayuni melarikan Dalisya. Rumah mereka kembali sunyi.

“Ya ALLAH abang!” Mak Senah menepuk dahinya.

“Awak ni kenapa?” Pak Kulub memandang isterinya. Dia kehairanan.

“Saya lupa nak bungkuskan sambal tumis untuk puteri tadi” Mak Senah mengarukan kepalanya.

“Oh! Saya ingatkan apa tadi. Buat terkejut sajalah awak ni” Pak Kulub kembali baring di pangkin tersebut.

“Saya dah berjanji nak bagi dia sikit sambal tu, dah terlupa pula”

“Eh! Alamak! Saya pun lupa juga” Pak Kukub kembali duduk.

“Lupa apa pula ni?” soal Mak Senah.

“Tu cuba awak tengok sana tu” Pak Kulub memuncungkan mulutnya ke arah pintu dapur.

“Apa?” Mak Senah mengerutkan keningnya. Dia memerhatikan ke arah yang di tunjukkan oleh suaminya.

“Tuuu.. tepi pintu dapur tu”

“Apa tu?”

“Daun kelapa”

“Laa.. semuanya dah lupa. Yuni pun main jalan terus saja. Kesian budak tu. Tadi bukan main suka lagi dia masa saya janji nak bagi sambal tumis ikan bilis tu sikit pada dia” Mak Senah teringatkan wajah Dalisya.

“Tak ada rezeki untuk Kak Yah dengan Amirul, nak buat macam mana” Pak Kulub memerhatikan wajah isterinya.

“Abang ni kenapa?” soal Mak Senah.

“Tak ada apa, abang dah rasa sayang sangat dengan Puteri tu. Kalau boleh, abang nak dia jadi cucu abang. Dapat abang bermain dengan dia hari-hari” Pak Kulub meluahkan apa yang dirasakannya.

Mak Senah memandang suaminya.

“Apa?” soal Pak Kulub.

“Betul ke apa yang abang cakap ni?” soal Mak Senah tidak percaya apa yang baru di dengarinya.

“Betul lah”

“Tak sangka, apa yang saya fikir.. sama dengan apa yang abang fikir” Mak Senah gembira.

“Apa yang awak cakap ni Senah?” soal Pak Kulub.

“Abang setuju ke kalau kita jodohkan Ayuni dengan Amirul anak Kak Yah tu?” soal Mak Senah.

Pak Kulub terkejut.

“Abang setuju?” soal Mak Senah bersungguh-sungguh.

“Nak kata setuju tu tak, nak kata tak setuju pun tak. Abang tak nak buat apa-apa kesimpulan. Semuanya terserah pada Ayuni. Kalau dia dah suka, abang akan mengikut saja. Sebabnya, dia yang menghadapi bukannya abang” terang Pak kulub.

Mak Senah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju dengan kata-kata suaminya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku