Kerana Dia Milikku
Bab 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
565

Bacaan






Kereta Ayuni berhenti betul-betul di hadapan tangga rumah Mak Yah. Kelihatan Amirul Asraf masih duduk di beranda sambil meraut lidi. Mak Yah tidak kelihatan. Sebaik terdengar bunyi enjin kereta, Mak Yah meluru ke pintu.

“Assalamualaikum” Ayuni memberi salam.

Dalisya keluar dari kereta. Dia berjalan laju mendapatkan Mak Yah yang sedang menunggu.

“Waalaikum salam, masuk dulu Yuni” pelawa Mak Yah. Amirul Asraf hanya mendiamkan diri.Dia asyik dengan lidi penyapunya. Kehadiran Ayuni tidak di hiraukannya.

“Tak apalah Mak Yah, Yuni datang cuma nak hantar Dalisya saja. Yuni minta maaf kalau Yuni terlambat sikit. Seronok sangat ulangkaji pelajaran dengan Eisya sampai tak sedar masa berlalu” terang Ayuni. Dia mencuri pandang Amirul Asraf yang masih tidak memberikan apa-apa reaksi.

“Terima kasih banyak ya Yuni. Mak Yah tak tahu macam mana nak balas kebaikan yang Yuni dah buat pada Puteri. Terima kasih ya nak” Mak Yah duduk di tangga.

“Yuni tak minta apa-apa balasan Mak Yah. Yuni bantu kerana ALLAH” Ayuni merendah diri.

“Marilah naik” ajak Mak Yah sekali lagi.

“Lain kali sajalah Mak Yah, Yuni nak balik dulu, banyak lagi buku latihan pelajar yang belum Yuni semak” Ayuni membuat alasan. Dia resah kerana Amirul Asraf langsung tidak berkata apa-apa padanya. Marahkan dia?

“Kalau macam tu, hati-hati memandu. Kirim salam Mak Yah pada Mak kamu ya” pesan Mak Yah pada Ayuni.

“Insyaallah Mak Yah” Ayuni terus melangkah. Dia amat mengharapkan agar Amirul Asraf mengeluarkan kata-kata walaupun sepatah. Tetapi malangnya, apa yang di harapkan tidak menjadi. Amirul Asraf terus membisu. Ayuni berlalu dengan hati yang kecewa.

“Puteri pergi mandi ya” Mak Yah mencium cucunya.

“Eisya dah mandi di rumah cikgu tadi. Wangi tak rambut Eisya?” soal Dalisya pada Mak Yah.

“Patutlah wangi, dah mandi rupanya dia” Mak Yah mengusap rambut Dalisya yang panjang.

“Mak Tok, tadi di rumah cikgu, Eisya cuci rambut dengan sabun yang khas untuk rambut, bukan macam kita di rumah ni, kadang-kadang bersabun kadang-kadang tak” Dalisya membuat perbandingan.

“Emm.. apa kata kalau Puteri dah kerja nanti, Puteri belikanlah Mak Tok satu pencuci rambut macam di rumah cikgu tu, boleh kan?” soal Mak Yah pada cucunya.

“Eisya masuk dulu ya Mak Tok, penat pula rasanya badan Eisya ni” Dalisya mengangkat beg sekolahnya. Dia terus masuk ke dalam rumah. Dia tidak berani untuk menegur ayahnya. Wajah Amirul Asraf kelihatan sangat bengis.

“Kamu ni kenapa Mirul?” soal Mak Yah. Dia memandang Amirul Asraf.

“Entahlah mak, Mirul sebenarnya malu dengan Ayuni tu. Mirul tak tahu nak cakap apa dengan dia. Mirul segan mak” terang Amirul Asraf.

“Kalau nak ikutkan, Mak ni pun dah malu sangat dengan Mak Senah dan Pak Kulub tu. Mereka tu banyak membantu kita anak beranak. Tapi, bak kata pepatah, orang berbudi kita berbahasa nak. Apa yang kamu buat pada Ayuni tadi tu tak baik. Muka masam mencuka, diam membisu itu salah nak. Sekurang-kurangnya, kamu ucapkanlah terima kasih” nasihat Mak Yah.

“Nasib Mirul agaknya mak. Mirul ni memang tak berguna. Mirul gagal untuk menjadi anak yang berjasa pada mak, Mirul gagal untuk menjadi seorang pemimpin keluarga dan Mirul juga gagal untuk berikan kebahagiaan pada anak Mirul sendiri. Mak dengar sendiri apa yang Puteri katakan tadi, syampo pun Mirul tak mampu nak belikan untuk dia” Amirul Asraf tunduk. Dia menahan sedih yang bertandang.

Dia bukannya tidak mahu menegur Ayuni sebentar tadi. Tapi dia malu untuk bertentangan mata dengan wanita itu. Dia tidak sanggup untuk melihat wajah wanita yang sentiasa menghulurkan bantuan pada keluarganya. Wanita itu juga telah membahagiakan anaknya Dalisya. Kerana Ayunilah, Dalisya dapat merasa kasih sayang seorang ibu.

“Jangan cakap macam tu Mirul, tak baik. Ini semua ketentuanNYA. Anggap ini ujian untuk kita semua. TUHAN tak akan uji kalau kita tak mampu” Mak Yah menasihati anaknya.

“Mirul tahu mak, tapi bila kenangkan nasib Mirul ni, memang tak beruntung. Mirul bukan menyenangkan mak, Mirul lagi menambah beban mak pula”

“Tak apalah Mirul. Kita bina hidup kita sama-sama. Kalau mak makan maka makanlah kamu, kalau mak tak makan, sama-samalah kita tak makan” Mak Yah bersuara perlahan.

“Kenapalah Mirul di uji macam ni. Nurul yang macam tu punya sayang dan cintakan Mirul, sanggup meninggalkan Mirul macam ni” Amirul Asraf teringatkan bekas isterinya Nurul Aliya.

“Itu pun ketentuanNYA.. cuba kamu fikir, jika dia masih dengan kita, kamu akan berdosa Mirul. Kamu terpaksa menanggung dosa yang besar”

“Apa pula berdosanya mak? Nurul Aliya tu isteri Mirul yang sah” Amirul Asraf sedikit berang dengan ibunya.

“Mak tak kata dia tu bukan isteri kamu. Cuba kamu fikir, lepas kamu kemalangan, dia bekerja untuk menampung kita semua. Dia tak redha anakku, dia tak ikhlas dengan apa yang dia buat. Berdosa seorang suami makan hasil titik peluh isterinya jika si isteri tak redha” Mak Yah menerangkan maksud yang di katakannya sebentar tadi.

Amirul Asraf terdiam. Dia teringat apa yang dikatakan oleh bekas ibu mertuanya. Nurul Aliya mengadu dia sudah tidak mahu membela biawak hidup di rumah tu. Memang Nurul Aliya tidak ikhlas menampung kehidupan mereka selama mereka tinggal bersama.

“Salah ke apa yang mak katakan tu?” soal Mak Yah apabila Amirul Asraf tidak memberikan apa-apa reaksi.

“Mirul tau mak, memang Nurul tak ikhlas masa tu. Tapi sikit pun dia tak beritahu Mirul. Itu yang buatkan Mirul terkilan. Kalau dia beritahu Mirul..”

“Kalau dia beritahu? Apa yang Mirul nak buat? Apa?” soal Mak Yah sebelum sempat Amirul Asraf menghabiskan kata-katanya.

“Mirul tak tahu” Amirul Asraf memegang kepalanya.

“Mak Tok.. Abi..” Dalisya yang dari tadi menjadi pendengar setia di sebalik pintu segera bersuara. Dia telah mendengar semua perbincangan di antara Mak Tok dan ayahnya.

Mak Yah dan Amirul Asraf saling berpandangan.

“Abi, betul ke Umi jahat?” soal Dalisya. Pandangannya tajam ke arah ayahnya.

“Tak sayang, Umi seorang wanita yang baik, macam anak Abi ni juga” Amirul Asraf menarik Dalisya ke dalam pelukannya.

“Betul tu puteri, Umi puteri baik sangat, memang betul-betul baik” perli Mak Yah.

“Tapi tadi Eisya dah dengar apa yang Abi dengan Mak Tok cakap. Eisya tau, Umi bukannya sakit, tapi Umi yang tinggalkan Abi. Betul kan Abi?” soal Dalisya pada Amirul Asraf.

Pelukan Amirul Asraf longgar. Dia tidak tahu apa yang harus di jawab. Dia tidak mahu Dalisya membenci ibunya sendiri. Walau seburuk mana Nurul Aliya memperlakukannya, dia tetap ibu kepada Dalisya. Nurul Aliya telah mengandungkan Dalisya dan pernah memberikan kebahagiaan kepadanya. Selama ini, dia sentiasa mengelak apabila Dalisya bertanyakan tentang ibunya.

“Puteri tolong ambilkan parang di bawah dapur. Mak Tok nak pergi korek ubi di belakang rumah tu. Rasanya dah elok tu kalau nak di rebus” Mak Yah cuba mengalih topik perbualan. Dia faham, Amirul Asraf pastinya tidak akan memburuk-burukkan bekas menantunya. Jelas yang anaknya masih sayangkan Nurul Aliya.

Dalisya masih lagi memandang ayahnya.

“Puteri.. tolonglah Mak Tok” Mak Yah cuba memujuk anak kecil itu. Nampaknya kali ini, dia bersungguh-sungguh ingin tahu mengenai ibunya.

Akhirnya Dalisya tunduk dengan permintaan Mak Yah. Dia berlari ke dapur untuk mengambilkan parang yang di maksudkan. Tidak lama kemudian dia muncul lagi bersama parang di tangan.

Mak yah mengambil parang yang di serahkan oleh cucunya. Dia mencapai bakul yang ada di sebelahnya.

“Puteri nak ikut Mak Tok tak?” soal Mak Yah. Dia bimbang Dalisya akan mengutarakan soalan yang sama pada anaknya.

“Mak Tok nak rebus ubi ke?” soal Dalisya pada Mak Yah.

Mak Yah menganggukkan kepalanya.

“Malam ni kita makan ubi rebus? Nasi tak ada ke Mak Tok?” soal Dalisya lagi.

“Sayang, malam ni kita makan ubi rebus ya. Tekak Abi ni dah rasa muak nak makan nasi” Amirul Asraf berpura-pura nak muntah.

“Betul tu, Mak Tok pun dah rasa nak muntah hari-hari makan nasi. Jadi malam ni kita ubah selera kita. Nak tak?” Mak Yah memandang Dalisya.

“Betul juga tu, Eisya pun macam rasa jemu juga makan nasi, tadi di rumah Cikgu Ayuni pun Eisya makan nasi” Dalisya menuruni tangga untuk mengikut Mak Yah ke belakang rumah mereka. Ada beberapa batang pokok ubi yang ditanam oleh Mak Yah.

Amirul Asraf memandang Mak Yah. Dia tahu, Pak Akob tidak membenarkan ibunya mengambil hutang lagi. Mungkin hutang lama yang masih banyak tertunggak membuatkan Pak Akob bertindak begitu. Dia sendiri pernah di herdek oleh Zainon, isteri kepada Pak Akob ketika hendak mengambil beras di kedai tersebut. Dia di herdek dan di malukan di hadapan pelanggan lain. Mujurlah Pak Kulub ada di kedai ketika itu. Pak Kulub lah yang membantunya.


“Mak Enon, saya tak ada duit banyak. Hasil jualan lidi penyapu cuma ada tiga puluh ringgit ni saja” Amirul Asraf menunjukkan duit di tangannya.

“Ada aku peduli? Aku tak nak tau apa masalah kau, yang aku tahu, Hutang kau bulan ni dah masuk RM450.70 Aku nak kau bayar dulu hutang kau ni, lepas tu baru kau boleh ambil hutang lain” Zainon menunjukkan buku hutang pada Amirul Asraf.

“Kalau saya ada duit, nanti saya akan bayar sikit-sikit hutang tu, tapi tolonglah Mak Enon, berilah saya berhutang barang sekilo beras untuk mengisi perut anak saya” Amirul Asraf terus merayu.

“Kedai aku ni bukannya rumah kebajikan. Aku buka kedai ni untuk meniaga, dapat keuntungan, kalau dah asyik bagi kau berhutang, bilanya aku nak untung?” terjengil mata Zainon memandang Amirul Asraf.

“Saya merayu pada Mak Enon, tolonglah saya” Amirul Asraf terus merayu.

“Aku kata tidak! Maka tidaklah!” tegas kata-kata Zainon.

“Tolonglah saya Mak Enon. Kalau saya ada duit, saya akan bayar hutang saya tu. Lagipun setiap bulan saya ada bayar dengan Mak Enon, tambahan pula Mak Enon selalu panggil mak saya untuk membersihkan kedai dan rumah Mak Enon dan mak saya tak pernah dapat upahnya, bukan ke hutang tu dah ditolak sedikit demi sedikit?” Amirul Asraf bertanya pada Zainon.

“Hutang kau tu bertimbun! Dah ditolak tu yang tinggal RM450 ni..” teragak-agak Zainon menjawabnya.

Amirul Asraf menundukkan kepalanya. Dia rasa tertipu dengan permainan Zainon. Seingatnya hutang pada Zainon hanya tinggal sedikit, nampaknya kerja Mak Yah tidak di bayar. Ibunya hanya sekadar membantu Zainon membersihkan rumah sahaja.

“Tak boleh ke Mak Enon bantu saya kali ni? Dapat sekilo beras pun jadilah” Amirul Asraf menebalkan mukanya.

“Tidak!!” jerit Zainon.

Amirul Asraf hampa.

“Enon, tak rugi pun kalau kau membantu orang yang dalam kesusahan” Pak Kulub yang kebetulan ada di kedai tersebut menyampuk. Dari tadi dia hanya memerhatikan sahaja Amirul Asraf dan Zainon.

“Dia kena selesaikan dulu hutang dia ni ha, lepas tu baru aku akan fikirkan balik sama ada nak bagi dia berhutang lagi ke tak” Zainon semakin angkuh.

“Tak apalah Pak Kulub, saya balik dulu” Amirul Asraf keluar dari kedai. Air matanya mula bertakung. Bagaimana dia hendak mengisi perut anaknya. Dia tidak berdaya. Dia juga merasa malu dengan jerit pekik Zainon kepadanya. Duit RM30.00 yang diserahkan kepada Zainon sebentar tadi tidak dipulangkan.

“Ni duit kau RM30.00 ni aku kira tolak hutang kau tau! Baki ada lagi RM420.70! Jangan lupa bayar!” Zainon memekik. Kanak-kanak yang sedang bermain di halaman surau berhampiran segera menoleh ke arah Amirul Asraf.

“Apa yang kau sombongkan sangat ni Enon? Kau baru saja abaikan harta akhirat kau tu” Pak Kulub meletakkan barang yang ingin di belinya di hadapan Zainon untuk di timbang.

“Orang malas macam dia tu memang patut di ajar. Padanlah dengan muka pemalas tu”

“Apa yang kau katakan ni? Malas apanya? Si Amirul tu kan cacat. Kerja apa yang dia tak cuba buat? Semua dia dah cuba, tu Mak Yah tu, kau pun selalu panggil dia untuk membersihkan kedai kau ni. Sudahlah kau tak tolak hutang dia, upah dia pun kau tak bayar. Kau dah kira menganaiya orang miskin kau tau?” Pak Kulub menegur Zainon.

“Kalau dah tau cacat tu, pergilah ke gerai-gerai yang di depan sana tu, minta sedekah. Lagi banyak pendapatan dari sibuk meraut lidi kelapa tu. Tu ha, tengok tepi tu, tak ada orang pun nak beli lidi penyapu tu, kering dah di situ. Nasib baiklah laki aku tu lembut hati nak letak penyapu tu di sini, kalau aku.. tak ingin” Zainon memuncungkan mulut ke arah lidi penyapu yang ada di dalam bakul. Hampir kesemuanya telah kering dan keras.

“Mak Enon! Walaupun saya cacat, saya takkan sesekali minta sedekah. Saya akan guna tulang empat kerat saya ni untuk tampung keluarga saya” Amirul Asraf menahan marah. Dia berpusing balik ke kedai tersebut untuk mengambil topinya, apabila terdengar perbualan antara Zainon dan Pak Kulub, dia tidak jadi masuk ke dalam kedai sebaliknya mendengarkan perbualan di antara mereka.

“Apa hal lagi kau datang ni? Aku dah kata kan, aku takkan bagi kau walau segenggam beras pun selagi hutang kau tak selesai” Zainon mengulangi kata-katanya sebentar tadi.

“Saya nak ambil topi saya tu” jari ditunjuk ke arah topinya.

Zainon mengambil topi tersebut lalu di lemparkan keluar dari kedai. Pak Kulub mengelengkan kepalanya. Baginya Zainon memang sudah melampau.

“Terima kasih Mak Enon. Hutang tu nanti saya akan bayar sikit-sikit, saya janji” Amirul Asraf mengutip topinya. Tangan kirinya yang kurang berfungsi menyebabkan topi yang cuba di ambil terlepas. Dia mencubanya sekali lagi. Pak Kulub segera membantu.

“Padan dengan muka kau si cacat! Dulu bini kau tu kau buat sebagai hamba abdi kau! Sekarang ni mak kau pula! Lepas ni siapa pula? Anak kau? Memang dasar pemalas!” jerit Zainon. Dia sengaja menguatkan suaranya agar di dengari Amirul Asraf.

Amirul Asraf terus berlalu. Dia sempat mengucapkan terima kasih pada Pak Kulub. Zainon sibuk mengira barang-barang yang di beli oleh Pak Kulub.

“Puteri bawa ubi ni masuk dulu, yang Mak Tok dah kupas kulitnya ni, Puteri tolong basuh bersih-bersih ya. Mak Tok nak kutip cili padi di pokok tu, nampak macam dah merah-merah tu” Mak Yah menjengah pokok cili yang di tanamnya beberapa bulan lepas. Sudah boleh di tuai cili padinya.

“Biar Eisya sajalah yang petik cili” Dalisya segera berlari meninggalkan Mak Yah dan Amirul Asraf.

“Apa yang kamu menungkan lagi tu Mirul, tak payahlah kamu nak ingat lagi pasal Nurul tu. Kamu hanya akan menyiksa diri kamu sendiri” nasihat Mak Yah.

“Mirul tak fikirkan Nurul mak. Mirul fikirkan apa yang akan jadi dengan kita ni. Mak Enon dah tak benarkan kita ambil barang di kedai dia lagi. Malam ni, dapatlah kita tipu puteri dengan alasan jemu nak makan nasi. Esok macam mana pula mak?” Amirul Asraf kebingungan. Dia memandang sayu ke arah Mak Yah.

“Tak apalah Mirul, janganlah kamu bimbang. Pasti akan ada rezeki untuk kita. Esok Gayah minta mak tolong bersihkan rumah dia. Mak rasa dapatlah mak duit sikit. Nanti mak beli beras” Mak Yah memerhatikan Dalisya yang sedang asyik mengutip lada.

“Sepatutnya dalam usia mak yang dah macam ni, Mak dah tak perlu nak bekerja lagi. Tapi..” Amirul Asraf tidak dapat memeruskan kata-katanya. Dia sedih.

“Sudahlah tu. Kita sama-sama kerja ya. Dah jangan nak sedih-sedih, nampak Puteri nanti susah pula nak menjawab pertanyaannya” Mak Yah berjalan pantas mendekati cucunya.

“Eisya petik yang merah saja Mak Tok” Dalisya menunjukkan lada yang telah di petik pada Mak Yah.

“Pandainya cucu Mak Tok. Rasanya dah cukup ni, mari kita masuk”

“Tadi tengahari kan Mak Tok, Cikgu masak sambal tumis ikan bilis, sedap sangat. Eisya makan tambah dua kali” Dalisya menunjukkan dua jarinya.

“Betul ke? Emm..”

“Nek Senah nak bekakan untuk Eisya, tapi mungkin Nek Senah lupa”

“Tak apalah puteri, bukan rezeki Mak Tok dengan Abi agaknya”

“Eisya ingat Mak Tok, tapi Eisya tak cakap sebab Eisya ingat Mak Tok cakap, jangan minta-minta, tak baik. Jadi Eisya diamkan saja. Tapi dalam beg Eisya ada kepala ikan bilis dengan telur masin. Boleh kita makan dengan ubi rebus” Dalisya teringat kembali, nasib baik dia terus memasukkan bungkusan plastik yang berisi kepala ikan bilis dan telur masin ke dalam beg sekolahnya. Jika tidak, pasti semua itu telah di buang oleh Mak Senah.

“Boleh sayang” Mak Yah menyapu kepala anak kecil itu. Kasihan pada Dalisya. Dia tidak tahu apa-apa.

Dalisya berlari mendalului Mak Yah. Amirul Asraf telah masuk ke dalam rumah. Mungkin sudah siap meraut lidi. Mak Yah melihat beberapa ikat penyapu telah tersusun kemas di tepi pintu.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku