Kerana Dia Milikku
Bab 12
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
996

Bacaan






Bunga-bunga plastik memenuhi ruang tamu. Haiza dan Raina sibuk menyiapkan bunga telur untuk para tetamu yang akan datang ke majlis persandingan Ismail dengan Nurul Aliya. Majlis tersebut akan berlangsung beberapa hari lagi. Ismail telah mengeluarkan belanja yang besar untuk perkahwinannya kali ini. Ada sahaja barang yang di bawa pulang untuk di hias sebagai hantaran buat Nurul Aliya. Menurut kata ismail, majlis perkahwinannya hanya akan berlangsung di rumah Nurul Aliya. Dia hanya akan membuat majlis doa selamat di rumahnya.

“Kak..” panggil Raina.

Haiza mengangkat mukanya. Tangannya masih lagi memegang bunga telur yang baru separuh di siapkan. Manik dan bekas telur masih belum di ikat.

“Akak tak rasa apa-apa ke?” soal Raina pada madunya.

“Rasa apa?” soal Haiza. Matanya kembali tertumpu pada bunga telur di tangannya.

“Rasa marah ke, rasa geram ke.. akak tak rasa ke?” soal Raina lagi.

“Siapa yang tak panas hati kalau suami sendiri nak kawin lain. Memanglah akak rasa sakit hati. Tapi apa yang mampu akak buat? Abang Ismail tu dah bulat dengan keputusan dia nak menikah dengan Nurul. Akak boleh buat apa? Nak suruh akak merayu pada Nurul tu jangan kawin dengan Abang? Tak mungkin dia nak dengar rayuan akak. Dalam mimpi bolehlah” Haiza sudah pasrah. Dia malas untuk menyimpan sakit hati lagi. Sejak Ismail menikahi Raina, dia sudah lama pasrah.

“Kalau macam tu, kita halang perkahwinan mereka nak tak?” soal Raina berani.

“Nak halang apanya lagi Raina? Semuanya dah di atur dengan teliti. Abang dengan Nurul tu pun dah macam belangkas. Dari mereka tu buat perkara yang bukan-bukan, ada baiknya mereka tu bernikah” ujar Haiza tenang.

“Saya tak boleh nak terima kak. Sakit betul hati saya ni” Raina meluahkan rasa marahnya.

“Tak apalah, kita berkongsi kasih sayang abang dengan Nurul, apa yang penting abang layan kita sama rata” ujar Haiza selamba. Dia sudah malas untuk berbalah dengan madunya yang satu itu.

“Akak ingat abang boleh adil dengan kita ke?” soal Raina pada Haiza. Sejak Ismail menyuarakan hasrat untuk menikahi Nurul Aliya, dia tidak senang duduk dibuatnya. Seperti cacing yang kepanasan.

“Akak dah tak peduli apa yang Abang nak buat. Dia nak kawin dua ke, kawin tiga atau empat sekalipun, akak dah tak peduli. Akak dah biasa dengan semua tu. Abang pun bukannya hiraukan akak. Akak ada atau tak dalam rumah ni, sama saja. Akak dah macam orang gaji dalam rumah sendiri” Haiza mencapai pelilit yang ada di dalam beg plastik. Bunga telur harus di siapkan. Ismail pasti akan marah sekiranya apa yang di suruh tidak di laksanakan.

“Saya tau selama ni saya yang banyak menyusahkan akak, sejak saya jadi isteri abang, semua hak akak saya ambil. Saya tarik abang bila abang nak ke bilik akak. Saya buat macam-macam alasan bila tiba masa akak, saya minta maaf kak” Raina memegang tangan Haiza. Dia menyesali sikapnya yang banyak kurang ajar terhadap Haiza.

“Semua tu kita serah pada takdir Raina. Akak dah lama memaafkan kamu. Akak pun tak ada simpan apa-apa dendam pada kamu. Apa yang akak lakukan semua ni adalah tanggungjawab akak pada abang itu aja. Sebagai seorang isteri, kita tak boleh nak melawan suami kita sebab syurga kita ada bersama dia” Haiza mengingatkan Raina.

“Tapi kak.. kalau suami kita tu jalan dah tak betul, apa kita kena ikut aja ke? Abang tu sebenarnya dah tak mampu nak tambah isteri. Sedangkan kita berdua ni pun susah dia nak bagi duit, apa lagi nanti kalau kita dah bertiga. Pendapatan abang tu bukannya banyak mana. Dulu kedai runcit abang di pekan tu lah satu-satunya kedai yang ada, sekarang ni dah ada pasaraya. Kedai tu pun hidup segan mati tak mau. Takat rumah sewa tiga biji, apalah yang nak di banggakan..” Raina terus memberikan pendapatnya pada Haiza.

“Memanglah kita boleh tegur suami kita, emm.. kamu berani ke nak tegur abang?” soal Haiza kembali pada Raina.

Raina mendiamkan diri. Dia sendiri tahu dia tidak akan berani untuk mengangkat muka bila berhadapan dengan Ismail.

'Kau ingat aku bodoh ke Raina? Kau nak suruh aku tegur abang? Halang dari dia berkawin dengan Nurul? Kalau abang naik angin akulah nanti yang kena sepak terajang! Kau duduk tepi-tepi konon tak bersalah, huh! Jangan mimpi aku nak buat permintaan kau tu! Kalau berani kau tegurlah sendiri' Haiza berfikir sendiri.

“Akak pun hairan sebenarnya” Haiza tiba-tiba bersuara.

“Hairan apa kak?” soal Raina.

“Akak hairan dengan Puan Latifah. Apa yang dipandangnya pada abang tu sampai beriya-iya nak abang jadi menantu dia” Haiza mengaru tangan kirinya. Rasa melekit sedikit terkena pita pelilit.

“Ha ah.. saya pun pelik dengan dia. Nak kata abang tu kacak tak juga. Tapi bersungguh-sungguh dia jual si Nurul tu pada abang”

“Emm.. jangan-jangan dia ingat abang tu banyak duit tak?” teka Haiza.

“Mungkin juga..”

“Lepas kawin nanti taulah dia, abang tu menantu ke hantu” Haiza tersenyum sumbing.

“Iya tak ya... duit simpanan abang keluar semua ke kak untuk majlis ni nanti?” soal Raina ingin tahu. Dia teringat buku ASB Ismail yang ada pada Haiza.

“Entahlah Raina, akak pun tak tahu. Lepas abang minta buku tu tiga bulan lepas, dia dah tak ada pulangkan pada akak lagi. Mungkin dia nak bagi isteri baru dia simpan agaknya”

“Saya bukannya apa kak, saya tak nak lah nanti sampai kita tak makan pula” Raina mencampakkan bunga yang ada di tangannya. Rasa benci pada Nurul Aliya semakin membuak-buak.

Bunyi enjin kereta Ismail menghentikan perbualan di antara Haiza dan Raina. Haiza kembali meneruskan membuat bunga telur. Raina membukakan pintu untuk Ismail.

“Kenapa lama sangat baru nak buka pintu? Telinga kau ni dah pekak ke? Dah tak dengar bunyi kereta? Menyusahkan aku betul!” Ismail berang. Telinga Raina di tarik.

“Aduh bang! Sakit..” Raina mengaduh. Terasa perit telinganya di tarik oleh Ismail.

Ismail tidak mempedulikan Raina. Dia berjalan pantas mendapatkan Haiza yang tekun menyiapkan bunga telur. Haiza juga tidak berani untuk bertentangan mata dengan suaminya. Hatinya kecut apabila terdengar Raina mengaduh sebentar tadi. Angin Ismail pasti tidak bagus.

Sejak Ismail ingin menikahi Nurul Aliya, setiap apa yang dilakukan oleh Raina pasti ada salahnya di mata Ismail. Sepertinya Raina bukan lagi wanita yang sentiasa memberikan ketenangan padanya. Sewaktu awal perkahwinannya dengan Raina, Haiza lah tempat Ismail melepaskan amarahnya. Sekarang Raina juga telah menjadi tempat melepaskan berangnya. Memang benarlah apa yang dikatakan, ALLAH maha adil. Dulu dia yang selalu menangis, kini giliran Raina pula.

“Dah siap ke bunga ni?” Ismail bertanya pada Haiza.

“Sikit lagi bang, bekas telur ni kurang lagi tiga puluh. Iza ingat esok pagi Iza nak ke pekan beli bekas telur ni, lepas tu saya nak beli juga manik sikit-sikit, nak tambah di bahagian ni, supaya nampak bling-bling sikit. Nanti nampak mewah sikit” Haiza tersenyum, dia cuba mengambil hati serta berlagak suka di hadapan Ismail. Dia tahu, dia perlu kelihatan bersemangat dan gembira di hadapan Ismail.

“Sekarang tak boleh ke? Baru jam 6.00 petang tu” Ismail memandang jam dinding.

“Mana boleh bang. Kedai tu tutup jam 6.30 petang. Nanti kita sampai kedai dah tutup. Saya rasa ada baiknya kalau saya pergi esok saja” Haiza memandang Ismail. Dia dapat melihat senyuman Ismail. Terasa lega hatinya. Nampaknya Ismail puas hati dengan apa yang dilakukannya.

'Yes! Berjaya juga lakonan aku hari ni'

“Abang..air” Raina meletakkan segelas air sirap di hadapan Ismail. Dia duduk berhadapan dengan Haiza. Bunga telur yang telah siap di masukkan ke dalam kotak.

Ismail meneguk air dengan rakus.

“Kau dah bincang dengan Mak Pah pasal katering yang aku cakapkan hari tu?” soal Ismail pada Raina. Segala urusan bunga-bungaan dan barang hantaran telah di serahkan kepada Haiza, manakala urusan mak andam dan katering di serahkan pada Raina.

“Belum bang, saya masih mencari perunding perkahwinan yang terbaik untuk majlis abang dengan Nurul” Raina memberi alasan. Sebenarnya dia tidak redha dengan perkahwinan itu. Segala haknya sebagai isteri muda akan hilang. Pastinya Ismail akan melebih-lebihkan Nurul daripadanya. Kasih sayang Ismail pasti akan berubah. Segala hajat Nurul akan dipenuhi manakala dia hanya akan mendapat sisa kasih sayang suaminya.

“Apa?? apa kau cakap??” Ismail berang.

Raina terkejut. Dia memandang Ismail. Mata Ismail merah menyala. Wajahnya bertukar bengis. Tiada kata-kata manis yang di dengari dari bibir suaminya itu. Kini bibir itu banyak menuturkan kata-kata yang sering menyakitkan hatinya.

“Kau cakap apa? Aku tak dengar!!” Ismail semakin meradang apabila Raina terus membisu.

“Saya minta maaf abang” Raina tidak tahu apa yang harus dikatakan. Dia hanya mampu meminta maaf kepada suaminya.

“Kau ni memang nak kena ni!” Ismail menarik rambut Raina.

“Abang! Jangan bang, sakit” Raina mula menangis.

“Kau sengaja nak rosakkan majlis perkahwinan aku ya!! kau tau kan majlis tu akan berlangsung lagi tiga hari ni?” Ismail membuka tali pinggangnya. Haiza menundukkan kepalanya. Dia tidak berani untuk mengangkat muka atau menghalang Ismail bimbang nanti dia juga akan di belasah oleh Ismail.

“Maafkan saya abang, maafkan saya” Raina ketakutan. Ismail seperti kerasukan. Dia tidak mempedulikan rayuan Raina. Tangannya terus memukul dan memukul. Pipi Raina di lempang beberapa kali tanpa rasa kasihan.

“Abang! Sakit.. sakit” Raina meraung. Terasa bisa seluruh badan dek kerana pukulan Ismail.

“Kau sengaja nak cabar kesabaran aku ya! Mari sini! Mampus kau aku kerjakan!!” Ismail tidak mempedulikan jeritan Raina. Rambut Raina ditarik.

“Abang! Abang! Tolong bang! Sakit!” Raina terbaring di lantai.

Haiza kecut perut. Dia merasa kasihan dengan Raina tetapi apa dayanya. Sesekali timbul jua rasa puas apabila melihat air mata Raina. Dia memegang parut pada dahinya. Parut itu adalah kesan dari hasutan Raina pada Ismail sewaktu mula-mula Raina menjejakkan kaki ke dalam rumah itu.

“Akak tolong saya!” lamunan Haiza tersentak. Tangannya dipegang oleh Raina.

Ismail menjeling Haiza. Akhirnya dia berhenti memukul Raina. Dia kembali duduk di sofa. Hatinya puas setelah melampiaskan kemarahannya pada Raina. Dia menjeling pada Raina yang masih lagi menangis tersedu-sedu. Haiza memegang tangan Raina. Dia cuba membantu Raina untuk bangun.

“Mari akak bantu”

“Berani kau nak melawan perintah aku ya?” Ismail menyarungkan semula tali pinggangnya.

“Maafkan saya abang, esok saya akan buat semua yang abang arahkan” Raina mengesat air matanya. Hidungnya berdarah, air mata masih lagi enggan berhenti. Terlihat lebam di pipinya. Haiza membantu Raina untuk duduk di atas sofa.

“Kalau esok kau tak buat, mati kau aku kerjakan” Ismail mengugut Raina. Isteri keduanya itu memang degil. Ada sahaja alasannya.

Raina menundukkan kepalanya. Haiza juga tidak berani untuk bersuara. Kemahuan Ismail tidak boleh di bantah. Nurul Aliya adalah impian Ismail di waktu itu. Tiada siapa yang dapat menghentikannya melainkan Nurul Aliya sendiri menolak untuk hidup bersama dengan Ismail.

Sikap berpura-pura Ismail membuatkan semua orang kampung menyangka dia adalah seorang lelaki yang baik. Keramahannya dan sikapnya tidak lokek untuk menderma dan membantu orang kampung yang di dalam kesusahan membuatkan Ismail sentiasa di senangi oleh orang kampung. Sebab itulah juga Latifah sangat inginkan Ismail menjadi menantunya.

Lakonan kemesraan dan kebahagiaan Haiza dan Raina juga menjadi salah satu sebab untuk orang kampung menilai kebaikan Ismail. Dua orang madu sanggup tinggal sebumbung disebabkan Ismail cukup menitik beratkan ilmu agama pada setiap isterinya. Tiada pergaduhan tiada kata-kata kesat yang keluar dari bibir isteri-isteri Ismail. Itulah yang menjadikan Ismail sangat di hormati dan penduduk kampung sangat memandang tinggi terhadapnya.

“Kau dengar sini. Bilik utama tu kau kosongkan. Hias secantik yang boleh untuk aku dan Nurul Aliya. Kau dengar tak?” Ismail memandang kedua-dua isterinya silih berganti.

“Saya macam mana?” Raina bertanya pada suaminya kerana bilik utama adalah biliknya sejak dia mula melangkah masuk ke dalam rumah itu.

“Rumah ni ada tiga bilik. Kau pilihlah bilik mana yang kau nak duduk, yang aku tahu, bilik utama milik Nurul Aliya. Yang lain aku tak nak tahu, pandai-pandai kau lah” Ismail mengeluarkan rokok dari koceknya. Dia menyalakan api rokok. Asap berkepul-kepul keluar dari mulutnya.

Haiza memandang Raina dengan rasa simpati. Ismail pernah mengutarakan perkataan yang sama padanya satu ketika dahulu. Kini dia mendengar lagi kata-kata yang sama keluar dari mulut Ismail cuma bezanya kali ini kata-kata itu bukan ditujukan kepadanya.

“Pastikan tiada satu barang kau pun dalam bilik tu. Kalau aku jumpa barang kau dalam bilik tu, siap kau aku kerjakan. Emm.. satu lagi, set katil dalam tu kau angkat sekali bawa masuk bilik kau, sebab aku dah belikan set bilik tidur lain untuk Nurul Aliya. Aku nak buat yang terbaik untuk dia” Ismail membuang puntung rokok di dalam bakul di hadapannya. Air sirap buatan Raina di teguk lagi.

Tritt! Tritt!

“Assalamualaikum sayang, apa? Betul ke? Emm.. kalau macam tu, sayang tunggu dalam sepuluh minit, abang nak mandi dulu, lepas tu abang akan datang ambil sayang, kita pergi sama-sama ya” lunak dan mesra suara Ismail. Raina memandang Haiza. Dia tahu pasti Nurul Aliya yang menghubungi Ismail.

Tanpa menunggu lama Ismail terus berdiri.

“Aku nak keluar!” Ismail terus mencapai kunci kereta. Dek kerana kegairahan untuk bertemu dengan Nurul Aliya, dia membatalkan hasratnya untuk mandi.

Tidak lama kemudian kedengaran enjin kereta Ismail meninggalkan perkarangan rumah. Raina dan Haiza bernafas lega. Haiza memandang Raina sekali lagi.

“Kenapa Raina tak buat apa yang abang suruh? Raina kan tau, abang tu jenis yang panas baran, kenapa Raina tak ikut cakap dia?” Haiza memandang sayu ke arah Raina. Wanita itu bukan lagi jantung hati Ismail. Cinta Ismail memang telah pudar terhadap Raina.

“Saya tak sangka kak, saya tak sangka abang sanggup pukul saya. Selama ini dia sangat sayangkan saya. Sekarang ni, apa saya buat semuanya tak kena pada dia. Saya tak sanggup nak hidup macam ni lagi kak, saya nak minta cerai dari abang” Raina menangis. Dia sangat terasa dengan kekejaman Ismail terhadapnya.

“Cerai? Ya ALLAH dik, jangan sesekali kamu fikir untuk bercerai. Hidup sebagai janda bukannya semudah bunyinya. Jangan sesekali kamu fikirkannya” Haiza memujuk Raina. Dia tahu Raina sangat kecewa dengan Ismail.

“Saya tak sanggup nak teruskan perkahwinan ni kak. Saya tak sanggup nak melihat abang dengan perempuan tu. Lagipun, apa gunanya saya nak teruskan perkahwinan ni kalau hati ni sentiasa di sakiti” Raina meletakkan tangan di dadanya.

“Kamu rasa macam tu sebab kamu masih belum redha dengan perkahwinan abang. Lapangkan fikiran kamu, insyaallah semuanya akan jadi baik” Haiza terus menasihatkan Raina.

“Saya minta maaf kak, saya memang tak boleh. Saya akan minta abang lepaskan saya. Saya tak sanggup dengan sepak terajang abang. Sakit badan saya. Akak tengoklah ni” Raina menunjukkan kesan libasan tali pinggang di tangannya.

“Ya ALLAH Raina” Haiza sedih. Dia dapat melihat kesan yang banyak di lengan madunya itu.

“Ini baru di tangan kak, belum lagi di badan. Saya boleh mati kalau berterusan macam ni”

“Sabarlah Raina. Kamu pun satu juga, kamu dah tau abang tu panas baran, yang kamu tak ikut cakap dia tu kenapa? Lain kali, apa saja yang abang cakap kita turutkan saja. Barulah dia tak marah-marah lagi. Lagipun kamu ingat kalau kamu nak minta cerai dengan abang, dia nak ke ceraikan kamu? Akak takut kamu lagi kena belasah adalah”

Raina terdiam. Ada benarnya apa yang dikatakan oleh Haiza. Ismail pasti akan naik angin dan dia pasti akan di sakiti lagi.

“Sudahlah Raina, kita tunggu dan lihat. Berapa lama pula kasih sayang abang pada perempuan tu akan bertahan. Sekurang-kurangnya, masa abang menikah dengan kita dulu, kita bukannya janda macam dia. Itu maknanya kita ni lebih bagus dari dia” Haiza dapat membayangkan wajah Nurul Aliya. Wanita itu akan hidup bersamanya dalam beberapa hari lagi.

“Raina berjanji kak, hidup perempuan tu takkan aman dalam rumah ni. Raina akan kerjakan dia cukup-cukup” Raina mengetap bibir. Dia amat benci pada Nurul Aliya. Kerana Nurul Aliya dia di sia-siakan oleh Ismail dan kerana perempuan itu jugalah dia di pukul pada hari itu.

“Bagus tu. Kita sama-sama kerjakan betina tu” Haiza juga menaruh dendam terhadap bakal madunya.

“Memang nasib tak baiklah yang menanti perempuan tu” Raina memandang Haiza. Akhirnya dia tersenyum sumbing.

“Buat masa ni, kita turutkan saja apa yang abang nak. Bila sampai masanya, kita kerjakan perempuan tu cukup-cukup. Biar abang tau, yang dia bawa balik tu intan atau kaca” Haiza meletakkan sekuntum bunga telur di atas lantai.

“Kita kena ada rancangan Kak. Kita tak boleh terlalu menonjol, nanti abang syak, susah kita” Raina pula memberikan cadangan.

“Akak yakin, perempuan tu pun mesti ada kekurangannya”

Raina setuju dengan kata-kata madunya.

“Mari akak sapukan ubat di tangan kamu tu” Haiza bangun dari tempat duduknya. Dia mencapai minyak gamat yang terletak di atas televisyen. Dengan perlahan dia menyapukan minyak gamat tersebut di tangan Raina.

'Padan muka kau Raina, sekarang baru kau rasa apa yang pernah aku rasa. Jangan ingat kau akan terus jadi kesayangan abang selamanya. Dulu kau selalu jadi penyebab sampai banyak parut di badan aku, sekarang giliran kau pula. TUHAN maha adil, giliran kau Nurul Aliya pasti akan tiba jua' Haiza tersenyum puas.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku