Kerana Dia Milikku
Bab 13
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
608

Bacaan






Sukarman duduk membaca surat khabar di ruang tamu. Berita-berita yang tertulis dalam akhbar menarik minatnya. Sejak dia bersara, dia banyak menghabiskan masa di rumah. Ada kalanya dia akan berkebun. Banyak tanamannya yang subur di tepi rumah. Batas keledek sudah semakin banyak. Pokok terung sudah mula mengeluarkan putik. Beberapa orang jiran sedang mendirikan balai di hadapan rumahnya. Dia merasa malu untuk berhadapan dengan mereka. Anaknya akan bernikah dengan suami orang. Itulah yang sering didengarinya apabila dia duduk di kedai kopi.

“Abang ni, orang tengah sibuk, dia boleh duduk rileks saja” Latifah membebel. Dia meletakkan barang hantaran yang telah siap di gubah di ruang tamu.

Sukarman terus membaca, dia tidak menghiraukan leteran isterinya. Lagipula dia malas untuk berkata-kata. Pasti akan jadi pergaduhan kecil di antara mereka dan isterinya pasti tidak akan mahu mengalah. Jadi diam adalah yang terbaik baginya. Barang hantaran tersusun indah di hadapan mata pun tidak di hiraukannya.

Apa yang sebenarnya, Sukarman tidak mahu anaknya Nurul Aliya dan Ismail bersatu. Dari awal lagi dia tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh isterinya. Latifah sering memberi galakan kepada Nurul Aliya untuk memikat Ismail. Apabila Latifah tahu, Ismail memang menaruh hati terhadap Nurul Aliya, peluang tersebut tidak di biarkan begitu saja. Persahabatan Nurul Aliya dengan Ismail harus di tukar kepada hubungan yang sah sebagai suami isteri. macam-macam cara yang dilakukan untuk menyatukan Nurul Aliya dengan Ismail. Latifah langsung tidak rasa bersalah pada kedua-dua isteri Ismail.

“Abang ni, buat tak tahu saja bila saya cakap” Latifah memuncungkan mulutnya. Dia melabuhkan punggung di sebelah Sukarman.

“Abang dah cakap dulu lagi. Abang tak nak campur semua ni. Abang hanya akan jadi wali sahaja. Ini semua cadangan awak, jadi awak selesaikanlah semuanya” surat khabar di tutup lalu di lipat.

“Abang ni asyik-asyik cakap macam tu. Saya bukannya nak minta tolong banyak dengan abang. Saya cuma nak abang tolong sikit-sikit saja. Budak-budak yang pasang kemah di luar tu, abang ajaklah mereka minum. Ini tidak, abang duduk dalam rumah pula. Takkanlah saya yang nak keluar minum dengan mereka tu” Latifah mula membebel.

“Biarkanlah mereka buat kerja mereka, awak dah bayar mereka semua tu kan?. Lagipun bakal menantu kesayangan awak kan nak datang sekejap lagi. Jadi biarlah dia yang layan mereka tu semua” Sukarman meletakkan cermin matanya. Dia memandang ke luar rumah. Kelihatan beberapa orang sedang sibuk memasang kemah. Kelihaatan beberapa orang jiran tetangga duduk di bawah pokok.

“Abang ni, takkanlah saya nak suruh Ismail melayan mereka tu. Ini rumah kita, sepatutnya kitalah yang bertanggungjawab, bukannya Ismail tu” Latifah merungut. Mulutnya tidak berhenti mengomel.

Sukarman malas untuk terus mendengar isterinya membebel. Telinganya sakit. Dia meletakkan surat khabar dan terus beredar meninggalkan Latifah di ruang tamu sendirian.

“Abang nak ke mana pula tu?” soal Latifah apabila melihat Sukarman bangun dan ingin beredar meninggalkannya.

“Saya nak solat. Awak nak ikut?” soal Sukarman.

“Bukan awak dah solat Zuhur ke tadi? Awak nak solat apa pula ni?” soal Latifah.

“Saya nak solat asar” jawab Sukarman. Matanya menjeling ke arah jam yang tersangkut di dinding.

“Abang tak tau malu ke? Cuba tengok sana, jiran-jiran kita sibuk menolong, yang si tuan rumah jadi bos” Latifah menjeling Sukarman. Dia merasa geram dengan suaminya itu.

“Kalau lambat solat, aku lagi malu dengan TUHAN”

Latifah merengus. Dia memandang ke arah lain sambil mencebikkan bibirnya.

Sukarman berpusing ke arah bilik meninggalkan Latifah. Dia mula melangkah. Segaris senyuman terukir di mulutnya. Akhirnya dapat juga dia mematahkan kata-kata isterinya. Dia ke bilik air untuk mengambil wuduk.

“Siapa dalam bilik air ni?” soal Sufiah.

Sukarman tidak menjawab. Dia hanya berdehem sahaja.

“Dalam tu Abang Sukar, kau nak ambil air ke Sufi?” soal Latifah.

“Ha ah.. aku nak basuh mee ni. Budak-budak di luar tu dah nak siap rasanya” Sufiah menunjukkan mee kuning yang ada di dalam besen.

“Berapa bungkus tu Sufi?” soal Latifah.

“Tiga bungkus”

“Sikit sangat tu. Aku rasa kita tambah lagi dua bungkus nak tak?” soal Latifah.

“Banyak sangat tu Pah” Sufiah ragu-ragu.

“Tak apa, nanti kita bungkuskan untuk kawan-kawan yang tolong rebus telur ni” ujar Latifah sambil tersenyum.

Sufiah hanya menurut sahaja.

“Tumpang lalu sikit” Sukarman bersuara betul-betul di belakang Sufiah hingga membuatkan Sufiah terkejut. Besen yang ada di tangan terlepas.

“Abang ni, tengok tu terkejut Sufiah di buatnya” Latifah sedikit marah. Dia geram dengan perangai suaminya.

Sukarman hanya mendiamkan diri. Dia berlalu tanpa sebarang kata. Latifah pasti akan memalukannya jika dia membalas kata-kata isterinya. Selesai solat, dia baring di atas katil. Kipas syiling di pasang laju. Kedengaran suara beberapa orang tetangga di luar. Dia masih lagi baring terlentang, matanya memandang kipas yang sedang berpusing. Dia teringat kembali cerita lama.

“Abang! Abang!” Latifah terkedek-kedek mendekati suaminya yang sedang asyik dengan tanam-tanamannya.

“Ada apa ni Pah? Awak terjerit-jerit macam ni, apa pula kata Fairuz dengan Sufiah nanti” Sukarman kurang senang dengan jeritan isterinya.

“Abang nak tau.. Nurul baru saja talifon saya” beritahu Latifah.

Sukarman memandang wajah isterinya. Dia meletakkan cangkul dan segera mendekati Latifah yang tersenyum-senyum memandangnya. Topi di buka. Peluh yang mengalir di sapu dengan tuala yang tersangkut di lehernya.

“Nurul talifon dia nak apa? Sejak kita jumpa dia di hospital dulu, tak pernah dia talifon kita, apa hal ni?” soal Sukarman. Sejak Latifah menghalau Nurul Aliya dari rumah, atas alasan berkahwin dengan Amirul Asraf, Nurul Aliya langsung tidak menjenguknya. Mereka berjumpa hanya pada masa Nurul Aliya bersalin kira-kira sudah hampir tiga tahun lalu. Sesekali apabila rindu bertandang dia akan mengintai-intai facebook Nurul Aliya. Dia terlalu ingin untuk memeluk anak dan cucunya. Rindu pada Nurul Aliya sudah tinggi menggunung. Namun terpaksa di tahan kerana keras hati Latifah. Setiap kali dia cuba untuk bercerita tentang Nurul Aliya, Latifah akan mula marah-marah. Dia langsung tidak mahu mendengar apa-apa tentang anaknya itu.

“Dia nak balik semula tinggal dengan kita!” Latifah kegembiraan. Dia tertawa senang hati.

“Tinggal dengan kita? Kenapa? Nurul ada masalah dengan Amirul ke?” soal Sukarman teringat tentang menantunya.

“Abang jangan sekali-kali sebut nama budak jahanam tu depan saya, panas telinga saya nak dengar nama tu, sakit rasanya hati ni” Latifah mengingatkan Sukarman.

“Awak kata, Nurul nak balik tinggal dengan kita. Habis bagaimana dengan suami dan anaknya?” soal Sukarman. Dia bingung. Isterinya hanya mahu menerima anaknya Nurul Aliya sahaja, jadi bagaimana dengan Amirul Asraf dan anak mereka yang kira-kira baru berusia dua tahun.

“Nurul cakap dia dah tak sanggup nak menanggung laki dengan mak mertua dia. Abang nak tau tak? Rupanya TUHAN dah balas rasa sakit hati saya ni. Rasakan, padan dengan muka dia” Latifah puas hati. Kipas di tangan di goyang-goyangkannya.

“Apa yang dah jadi? Awak kalau becakap jangan sekerat-sekerat boleh tak?” Sukarman ingin tahu. Berkerut keningnya memandang Latifah.

“Rupa-rupanya, budak jantan tu dah lumpuh bang! Ha..haa.. lumpuh! Padan dengan muka dia, pandai-pandai ajak anak aku kawin lari, sekarang dah tak ada kaki! Rasakan kau budak jahanam!” Latifah mengetap bibirnya.

“Lumpuh? Amirul Asraf lumpuh? Macam mana boleh lumpuh? Bila?” bertalu-talu soalan yang keluar dari bibirnya. Dia terbayangkan wajah Amirul Asraf yang sangat segak dengan badannya yang sasa.

Apa yang dah jadi? Lumpuh kenapa? Amirul Asraf lumpuh? Kemalangan ke dia? Patutlah Nurul Aliya sudah lama tidak update facebook dia. Rupanya dia ada masalah, tapi mengapa Latifah kata Nurul akan pulang sendirian? Anaknya? Suaminya? Arghhh.. Sukarman pening sendiri.

“Abang dengar tak saya cakap ni?” Latifah mengipas muka suaminya.

“Apa?”

“Nurul nak minta cerai dengan suaminya. Jadi dia minta kita datang ke kampung budak jantan tu untuk jemput dia esok pagi. Dia kata dia nak balik, dah tak sanggup nak hidup dengan mereka lagi” Latifah mengulangi kata-katanya.

“Ambil dia di kampung? Eh! Bukan ke mereka tinggal di bandar? Bila pula masanya balik ke kampung ni?” Sukarman semakin tidak faham apa yang dikatakan oleh Latifah.

“Padan dengan muka dia, melawan lagi cakap orang tua. Bala yang menimpa. Dah macam tu tau pula nak minta tolong dengan kita. Bila laki dah lumpuh, dia pula kena keluar bekerja nak tampung laki dengan mertua dia tu. Abang ingat rumah Kak Yah yang macam reban ayam tu? Haa.. kat situlah anak kita tinggal sekarang ni” Latifah tersenyum sinis. Dia terbayangkan rumah usang Mak Yah yang bertampal di sana sini.

“Apa yang dah jadi dengan mereka? Cuba awak terangkan” Sukarman inginkan penjelasan.

“Saya tak nak tahu lah bang, apa yang penting bagi saya sekarang ni adalah anak kita. Nurul akan balik pada kita semula! Puteri kita nak balik!” gembira Latifah bukan kepalang.

“Awak ni kenapa? Sebagai orang tua Nurul, kita seharusnya menasihatkan anak kita tu. Bercerai berai ni bukannya jalan terbaik dalam perhubungan” nasihat Sukarman pada isterinya.

“Ah! Awak apa tau, saya dah ada calon yang terbaik untuk Nurul. Kalau dia ikut cakap saya, dia mesti senang sampai bila-bila” Latifah memandang suaminya.

“Apa yang awak merepek ni? Nurul belum bercerai lagi, awak dah nak carikan calon untuk dia. Cubalah awak fikir sikit cara nak selamatkan rumahtangga mereka tu, sekurang-kurangnya kita ingat sikit pasal masa depan cucu kita, kalau mereka tu bercerai, apa akan jadi dengan cucu kita nanti” Sukarman tidak suka dengan apa yang di katakan oleh isterinya. Anaknya bukan barang permainan. Walaupun anaknya dan Amirul Asraf telah berkahwin tanpa restu darinya, dia tetap redha dan menerima Amirul Asraf sebagai keluarganya. Tambahan pula setelah melihat wajah puteri kecil mereka yang di beri nama Dalisya, hatinya bagaikan di tarik-tarik untuk mendekati budak kecil itu. Dia teringin untuk menyentuh pipi gebu anak itu. Tetapi dek kerana keras kepala isterinya, segala impiannya terpaksa di simpan jauh-jauh di dalam hati. Bukan takutkan Latifah tetapi dia hanya tidak mahu mencetuskan pergaduhan di antara mereka.

“Cucu? Saya tak ada cucu dari budak jahanam tu!” keras suara Latifah.

“Apapun yang awak nak cakap, hakikatnya Nurul dan Amirul tu dah ada anak! Itu cucu kita!” Sukarman semakin geram.

“Abang jangan harap saya nak terima darah daging budak jahanam tu! Satu lagi, abang jangan cuba-cuba nak masuk campur urusan penceraian anak kita nanti”

“Pah! Abang ni suami kamu! Cuba hormat sikit!” tengking Sukarman. Dia sudah tidak tahan dengan perangai isterinya.

“Kalau pasal Nurul, saya tak akan bertolak ansur lagi. Hitam kata saya, maka hitamlah!” Latifah mengangkat kainnya. Dia berjalan pantas masuk ke dalam rumah.

Sukarman duduk di atas bangku kayu yang ada di situ. Dia cuba untuk menenangkan dirinya. Dia tahu, jika dia terus marah-marah pun tiada gunanya.


“Abang! Abang! Hissyy orang tua ni kalau berangan memang serah pada dia” Latifah mengerak-gerakkan badan Sukarman.

“Apa yang awak nak dari saya ni? Jangan ganggu saya boleh tak?” soal Sukarman. Dia menyandar di birai katil. Kepalanya di lentokkan ke kiri dan kanan. Terasa lenguh tengkuknya.

“Abang berkurung dalam bilik ni dah kenapa? Abang.. yang nak kawin tu anak kita, patutnya dialah yang duduk dalam bilik berkurung macam ni, bukannya abang” Latifah menarik bantal yang di peluk oleh Sukarman.

Sukarman membalikkan badannya membelakangi Latifah.

“Abang.. bangun lah” badan Sukarman di goyang-goyangkan beberapa kali. Kali ini dengan lebih kuat lagi.

“Awak nak apa?” soal Sukarman pada isterinya. Dia berpaling semula melihat Latifah yang sedang memerhatikannya.

“Ismail ada di luar tu, pergi lah awak layan. Kesian dia duduk sorang-sorang di ruang tamu tu. Dari tadi dia asyik tanyakan awak aja, pergilah bang.. jangan nanti dia kata kita tak tau adab melayan tetamu pula. Dia tu kuat agamanya, malu kita nanti” Latifah memperlahankan suaranya. Takut didengari oleh Ismail yang ada di ruang tamu.

“Bakal menantu pilihan awak kan? Awak lah yang layan dia. Tak pun suruh Nurul tu yang layan, Saya nak tidur” Sukarman menutup mukanya dengan bantal. Biar Latifah tahu bahawa dia kurang menyetujui perkahwinan di antara anaknya dengan Ismail yang akan berlangsung esok hari.

“Abang memang nak memalukan saya kan?” Latifah membalingkan semula bantal golek yang ada di tangannya ke arah Sukarman. Dia terus keluar dari bilik dengan hati yang panas. Sukarman benar-benar maksudkan apa yang di katakan. Memang jelas bahawa suaminya itu tidak menyukai Ismail.

“Nurul mana mak?” soal Ismail pada Latifah sebaik sahaja melihat Latifah berjalan ke arahnya. Sejak lamaran di buat tempohari, Ismail telah mula membiasakan dirinya memanggil Latifah dengan panggilan mak.

“Nurul ke rumah Sufiah di sebelah tu”

“Rumah sebelah? Buat apa?” Ismail dia tertinjau-tinjau rumah Sufiah dari tingkap. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Nurul sedang berbual sambil tertawa dengan seorang lelaki. Hatinya panas.

“Mak yang suruh dia panggil Fairuz dengan Kemad untuk tolong mak. Abah kamu sibuk membuta dalam bilik tu, orang yang nak pasang kemah sedang buat kerja. Kaum ibu pula dah sibuk basuh telur untuk di rebus, tapi tungku tak di buat lagi. Binggung mak nak urus sorang. Tu yang mak minta Nurul pergi rumah Sufiah tu, minta pertolongan Fairuz dan Kemad. Mereka tu dah biasa dengan kerja-kerja macam ni” Latifah menerangkan dengan panjang lebar. Dia dapat melihat perubahan di wajah Ismail sebentar tadi. Mungkin Ismail cemburu dengan anaknya.

“Kalau dah bebual macam tu, bilanya dia nak balik?” Ismail menjeling bakal ibu mertuanya.

Latifah turut menjengah dari tingkap rumahnya. Dia dapat melihat anaknya Nurul sedang asyik bergurau dengan Kemad, anak kepada Fairuz dan Sufiah. Sesekali kelihatan mereka bertepuk tampar. Keakraban mereka telah terjalin sejak Latifah dan Sukarman berpindah ke kampung itu. Fairuz adalah orang yang membantu Sukarman untuk membeli tanah tapak rumah tersebut dari pemilik terdahulu. Banyak jasa Fairuz dan Sufiah sekeluarga padanya.

“Kamu duduk dulu, biar mak panggil Nurul” Latifah meninggalkan Ismail di ruang tamu bersendirian.

Nurul Aliya.. Nurul Aliya.. kau curang sebelum jadi isteri aku! Nafas Ismail turun naik. Matanya di pejamkan. Terbayang kembali kemesraan Nurul dengan anak jiran ibunya sebentar tadi. Hatinya panas, Matanya cepat-cepat di buka. Nurul Aliya berada di hadapan matanya kini.

“Abang” lembut dan lunak suara Nurul Aliya. Latifah sudah hilang entah ke mana.

Ismail memalingkan mukanya ke arah lain. Marah di hati masih bersisa. Cemburunya menggunung.

“Abang marah Nurul ke?” soal Nurul Aliya pada Ismail.

“Abang tak suka Nurul bercakap dengan lelaki lain selain abang” keras suara Ismail. Tidak seperti selalunya, lembut dan romantik.

Nurul Aliya terkejut. Dia berundur sedikit dari Ismail.

“Nurul..Nurul..” Ismail bangun dari tempat duduknya. Tangan Nurul Aliya di capai.

“Abang minta maaf, abang tak sengaja. Bukan niat abang nak marah Nurul, tapi abang tak boleh lihat lelaki lain bermesra dengan Nurul. Abang sayangkan Nurul. Hati abang sakit sangat tadi bila abang nampak Nurul tepuk lengan budak lelaki sebelah rumah tu” Ismail berterus terang dengan bakal isteri ketiganya. Nurul Aliya harus di beritahu tentang rasa cemburunya itu. Dia tidak mahu Nurul Aliya melakukan kesilapan yang sama apabila mereka telah sah sebagai suami isteri kelak.

Nurul Aliya masih mendiamkan diri.

“Sayang, sudahlah tu, ni muka ni jangan lah kecut macam ni. Masam sangat abang tengok ni” Ismail mencuit hidung Nurul Aliya.

Nurul Aliya masih memuncungkan mulutnya.

“Sayang, janganlah macam ni. Abang dah minta maaf kan? Tolong maafkan abang ya” rayu Ismail.

Nurul Aliya memalingkan mukanya.

“Emm.. ni kalau dah kawin dengan abang nanti, jangan paling muka macam ni ya, berdosa.. satu lagi.. kalau sayang merajuk lepas kita kawin nanti abang kena tidur luar ke?” soal Ismail separuh berbisik.

“Abang ni” Nurul Aliya tersenyum. Mukanya merona merah.

“Fuhh! Nasib baik dah senyum, kalau tak terpaksa abang suruh budak-budak kat depan tu buka kemah yang mereka dah pasang tu”

“Kenapa pula?” soal Nurul Aliya.

“Sebab Nurul Aliya yang jadi tunang abang tu mukanya manis dan sentiasa tersenyum. Tapi Nurul Aliya yang depan abang ni, mukanya masam mencuka. Mungkin salah orang agaknya. Atau mungkin Puan Latifah dengan Encik Sukarman ni ada anak yang lain kot? Satu manis satu lagi kecut, tapi abang punya yang manis tu, bukannya yang kecut ni” Ismail terus mengusik Nurul Aliya.

“Abang ni, ada-ada sajalah” Nurul Aliya mencubit lengan Ismail. Akhirnya tawa mereka terburai.

Nurul Aliya merasa sangat bahagia. Ismail terlalu menyayanginya. Dia sangat rasa dihargai. Ismail akan segera memujuk sekiranya dia merajuk. Apa sahaja yang dihajati pasti akan di penuhi oleh Ismail. Memang tepat pilihan ibunya. Walaupun Ismail bukanlah dari golongan berada, pendapatan rumah sewa dan kedai runcit miliknya cukup untuk memenuhi permintaannya. Ternyata Ismail memang mencintainya.

“Fikir apa tu?” soal Ismail.

“Esok kita nak menikah. Abang dah bersedia?” soal Nurul Aliya. Dia memandang Ismail di sebelahnya.

“Abang memang dah lama bersedia. Sejak abang dapat tahu dari mak yang Nurul dah bercerai tujuh tahun lalu, abang memang dah bersedia untuk menikahi Nurul” terang Ismail.

“Tujuh tahun?”

“Ya Nurul, tujuh tahun abang tunggu Nurul. Kalau Nurul nak tahu, Abang sukakan Nurul sejak Encik Sukarman dan Puan Latifah pindah ke kampung ni sepuluh tahun yang lalu. Abang dengan kawan abang datang melawat dan masa tu lah abang terpandangkan Nurul. Sejak dari hari itu, abang asyik terbayangkan Nurul saja. Andainya masa tu, Nurul balas cinta abang, rasanya abang tak kan kawin dengan Haiza” Ismail menyingkap semula cerita lama.

“Nurul tak tahu pun yang abang sukakan Nurul”

“Memang Nurul tak tahu sebab masa tu Nurul baru dapat diploma”

“Lepas tu?” Nurul Aliya ingin tahu cerita selanjutnya.

“Lepas tu, abang beranikan diri untuk memberitahu Puan Latifah tentang perasaan abang pada Nurul. Tapi jawapan Puan Latifah masa tu sangat memeranjatkan abang. Dia kata abang dah terlambat sebab dia dah halau anak daranya. Dia kata anak daranya dah kawin lari dengan seorang lelaki. Abang betul-betul frust masa tu, tapi abang yakin, satu hari Nurul mesti balik. Jangkaan abang tepat. Tiga tahun lepas tu, Puan Latifah beritahu abang yang Nurul dah balik. Sejak tu lah abang kembali bersemangat menunggu Nurul, tujuh tahun menunggu baru abang dapat.. eh! Hampir dapat!” Ismail menarik nafas panjang.

Nurul Aliya mengetap bibirnya.

“ Kalau abang nak tahu, lepas kami di halau dari rumah, abah ada masukkan duit sikit dalam akaun Nurul. Dengan duit tu lah kami sewa sebuah bilik untuk jadi tempat kami berteduh. Bekas suami Nurul bekerja di siang hari dan belajar di waktu malam. Dia ambil pengajian jarak jauh di universiti. Nurul malas nak sambung belajar lagi diploma dah cukup bagi Nurul, jadi Nurul duduk berehat di rumah. Setahun lepas kami menikah, Nurul di sahkan mengandung, lagilah Bekas suami tak benarkan Nurul bekerja. Jadi Nurul jadi suri rumah sepenuh masa. Suami Nurul dapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Dengan sijil tu dia dapat kerja yang baik, sebagai asistant manager di sebuah kilang. Masa tulah kehidupan kami berubah. Kami mampu menyewa sebuah rumah yang lebih selesa, mampu beli kereta. Masa tu kandungan Nurul dah nak masuk lapan bulan” Nurul Aliya menyambung cerita. Dia mahu Ismail tahu apa yang pernah di laluinya.

“Kehidupan Nurul mesti bahagia kan?” soal Ismail.

“Bahagia untuk sementara bang. Lepas Nurul besalin, mak mertua yang jaga Nurul. Mak ada juga datang menjenguk Nurul di hospital, tapi abang tahulah mak tu kan. Dia tetap tak boleh terima bekas suami dan anak Nurul. Setahun lepas tu, bekas suami Nurul pula kemalangan. Sebelah kakinya lumpuh dan tangan kirinya juga cedera. Dia tidak mampu untuk mengangkat walau secawan kopi dengan tangan kirinya itu. Jadi sebagai isteri, Nurul terpaksa bekerja untuk menampung kehidupan kami sehari-hari. Akhirnya kami terpaksa berpindah pulang ke kampung sebelah bekas suami” Nurul berhenti bercerita. Wajah Mak Yah menerjah ruang mindanya.

“Sudahlah tu sayang, jangan di ceritakan lagi. Apa yang berlalu biarkan berlalu. Sekarang ni, sayang akan jadi isteri abang. Jadi abang tak nak sayang ingat orang lain selain abang, boleh?”

Nurul Aliya menganggukkan kepalanya.

Ismail duduk menyandar di sofa. Matanya terarah pada kaca televisyen. Dia lega kerana Nurul Aliya jenis yang mendengar kata. Dia tidak mahu bakal isterinya itu mengingati orang lain selain dirinya.

“Abang nak minum? Nurul buatkan air ya”

“Boleh juga. Banyak bercakap tadi buat tekak abang ni perit, kering rasanya” Ismail mengosok-gosok lehernya.

Ismail memejamkan mata sebaik sahaja Nurul meninggalkannya. Dia tersenyum puas. Nurul Aliya akan jadi miliknya. Dia perlu bersabar sikit sahaja lagi untuk memiliki Nurul Aliya. Buat masa ini dia perlu berkorban apa saja untuk impian dan matlamatnya iaitu menikahi Nurul Aliya.





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku