Kerana Dia Milikku
Bab 14
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
610

Bacaan






Apa yang kita nak buat ni mak? Musim hujan macam ni, tak ada orang yang nak mengait kelapa. Daun pun tak ada. Penyapu banyak yang Mirul buat, tapi kenapa peraih tak datang?” Amirul Asraf kebimbangan.

“Mak pun tak tahu Mirul, kepala mak ni pusing dua tiga hari ni. Rumah Wagiah dan Musliha pun mak tak dapat pergi, padahal hari tu mereka kata nak mengupah mak untuk membersihkan rumah mereka. Tapi mak tak berdaya nak pergi, badan mak ni sakit Mirul. Kalau mak pergi, sekurang-kurangnya mak akan dapat lima enam puluh ringgit juga tu” Mak Yah masih baring di atas tilam nipisnya. Selimut tebal membaluti tubuhnya.

“Mak berehatlah, Mirul minta maaf mak. Mirul tak berdaya nak bawa mak ke hospital” Amirul Asraf memicit kaki ibunya.

“Tak apalah Mirul, sekejap lagi kebah juga demam mak ni. Janganlah kamu risaukan keadaan mak. Apa yang perlu kita fikirkan adalah Dalisya. Dia balik sekolah nanti, mesti dia nak makan. Di dapur tu..” Mak Yah terdiam. Dia tidak jadi untuk berkata-kata.

“Mak Enon dah tak benarkan kita ambil barang di kedai mak. Dia kata hutang kita dah banyak. Dia minta kita langsaikan dulu hutang yang ada, kemudian baru dia akan benarkan kita berhutang lagi. Masalahnya mak Mirul tak ada duit. Peraih belum datang ambil lidi-lidi ni lagi” Amirul Asraf mengadu. Dia merasa sangat lemah dan tak berguna.

Mak Yah memejamkan matanya. Akhirnya di gagahi juga dirinya untuk bangun. Sudah dua hari dia terbaring di rumah. Selama itu juga dia tidak pergi membersihkan rumah jiran yang memerlukan khidmatnya. Beras yang di beli tiga hari lalu telah kehabisan. Dia tidak boleh bergantung pada anaknya.

“Mak nak ke tandas? Mari Mirul bantu” Amirul Asraf cuba mendekati Mak Yah. Malangnya dia sendiri jatuh tersembam di lantai. Tongkat terlepas dari tangannya.

“Mirul!” Mak Yah berkesot mendekati Amirul.

“Mak! Mirul ni memang tak berguna! Mirul nak bantu mak, tapi Mirul sendiri jatuh. Mirul tak mampu nak cari sesuap nasi pun untuk isi perut kita semua” dia merasa sedih. Kakinya di tumbuk-tumbuk. Tangan kirinya masih lagi lemah tetapi is masih boleh bergerak.

“Tak apa Mirul, tak apa. Ini ujian dariNYA, itu tandanya ALLAH sayangkan kita, sebab tu DIA uji kita” Mak Yah bangun. Dia berjalan perlahan menuju ke bilik air. Air kolam dirasakan sangat sejuk menusuk ke tulangnya. Selesai membasuh muka, dia mencapai balang beras. Dibuka dengan perlahan lalu dituangkan ke dalam periuk. Tidak sampai segenggam beras yang keluar.

“Ya ALLAH, cukup ke beras ini untuk mengisi perut kami tiga beranak? Aku tak boleh terus berehat, aku kena keluar untuk bekerja. Kalau aku terus melayan sakit aku ni, silap-silap mau berpuasa kami hari ni” Mak Yah berkata sendiri. Dia membasuh sedikit beras yang ada di dalam periuk lalu di tanak. Setelah itu dia masuk ke ruangan tengah untuk melihat anaknya.

“Mirul..” Mak Yah mengerakkan badan anaknya. Dia dapat melihat air mata yang mengalir.

Amirul Asraf membuka matanya. Wajah Mak yang kelihatan sedikit pucat di renungnya.

“Mak nak ke mana ni?” soal Amirul Asraf apabila melihat Mak Yah telah siap mengenakan tudung di kepalanya.

“Mak nak ke rumah Mak Cik Wagiah, lepas tu mak nak ke rumah Cik Musliha pula” ujar Mak Yah perlahan.

“Tapi mak tak sihat lagi tu. Badan mak panas. Nanti kalau jadi apa-apa pada mak lagi susah jadinya”

“Mak rasa dah sihat ni. Lagipun badan kita ni tak bolehlah nak manjakan sangat. Nanti semakin jadi malas pula” Mak Yah tersenyum memandang anaknya.

'Kalau mak tak keluar bekerja, macam mana kita nak dapat duit untuk beli barang dapur wahai anakku. Memang badan mak ni rasa sakit sangat. Tapi mak kena juga gagahkan diri ni untuk mencari sesuap nasi untuk mengisi perut kita. Insyaallah balik nanti dapatlah mak belikan beras untuk kita' bisik Mak Yah dalam hati.

“Mak jangan nak tipu Mirul, ni badan mak ni masih panas lagi ni. Tu muka mak tu nampak pucat lagi” Amirul Asraf meletakkan tangannya di dahi Mak Yah.

“Ni sikit saja ni. Lagipun dah tiga hari mak berehat di rumah. Cukup rehat dah mak ni”

“Mak..” Amirul Asraf tahu Mak Yah berbohong padanya.

“Mak pergi dulu ya Mirul. Kamu tolong tengokkan bubur yang mak tanak tadi. Kalau dah masak kamu matikan ya. Lepas tu kamu gorengkan kepala ikan bilis yang puteri bawa balik hari tu. Ada lagi dalam balang atas rak di dapur tu. Nanti dia balik mesti dia nak makan. Kamu cakap sajalah pada dia yang hari ni kita makan bubur lagi sebab kau demam ke. Emm.. pandai-pandailah kau buat alasan”

Amirul Asraf hanya menganggukkan kepalanya. Dia menghantar langkah Mak Yah dengan pandangan matanya sahaja. Hujan telah pun berhenti, hanya tinggal titik-titik air dari bumbung sahaja. Setelah Mak Yah hilang dari pandangan, dia menguatkan diri untuk bangun. Tongkat di capai. Akhirnya dia berjaya untuk berdiri. Dia terus ke dapur untuk melihat bubur yang di katakan oleh ibunya sebentar tadi.

'Apalah yang nak jadi dengan hidupku, tak habis-habis menyusahkan ibuku. Dulu aku malukan dia bila berkahwin dengan Nurul Aliya. Hari ini ibuku terpaksa pula keluar meredah hujan mencari rezeki untuk mengisi perut aku. Aku memang tak berguna! Aku memang tak berguna!' Amirul Asraf mengenang nasib sendiri.

“Assalamualaikum Abi” suara Dalisya kedengaran dari luar.

“Waalaikum salam” Amirul Asraf menjawab perlahan. Bunyi derapan kaki yang laju cukup untuk memberitahunya yang Dalisya sedang berlari mendapatkannya di dapur.

“Mak Tok mana Abi?” soal Dalisya pada Amirul Asraf. Dia menjengah ke dalam bilik mencari Mak Yah. Tetapi tiada.

“Mak Tok kerja sayang” jawab Amirul Asraf. Dia meletakkan kuali di atas tungku dapur. Dia menonggengkan botol minyak masak.

“Mak Tok dah sihat ke Abi?” soal Dalisya lagi.

Amirul Asraf mendiamkan diri. Apabila minyak telah panas, dia terus memasukkan kepala ikan bilis untuk di goreng. Selesai mengoreng ikan bilis, dia memasukkan pula bubur ke dalam mangkuk lalu di tabur dengan kepala ikan bilis yang baru sahaja di gorengnya tadi.

Suara Dalisya yang seolah-olah sedang berbual dengan seseorang menariknya untuk melihat dengan siapa anaknya sedang berbicara.

“Puteri! Puteri! Cakap dengan siapa tu?” soal Amirul Asraf. Dia menguatkan diri untuk melangkah laju.

Setibanya di beranda, kelihatan Ayuni sedang duduk di tangga. Dalisya pula sedang asyik bercerita dengannya. Amirul Asraf menarik nafas lega. Macam-macam yang di fikirkannya sebentar tadi.

“Abang Mirul” Ayuni tersenyum memandang Amirul Asraf.

“Ayuni rupanya. Abang ingatkan siapa tadi”

“Eisya kata dah beberapa hari Mak Yah sakit, betul ke?” soal Ayuni ingin tahu. Dia sangat risau apabila Dalisya mengatakan Mak Yah tak sihat dan batuk-batuk.

Amirul Asraf tunduk memandang lantai kayu yang sudah berlubang-lubang. Hanya menunggu patahnya sahaja.

“Eisya, Cikgu nak berbual dengan Abi, jadi boleh tak kalau Eisya tinggalkan kami sekejap” Ayuni memandang Dalisya.

“Abi, Eisya nak main buai di pokok tu ya” Dalisya menunjukkan jari ke arah buaian yang tergantung di pokok tidak jauh dari rumah mereka. Buaian tersebut menghadap ke pantai tempat di mana Amirul Asraf merenung laut.

“Puteri tak nak makan dulu?” soal Amirul Asraf pada anaknya.

“Tak nak, mesti hari ni makan bubur dengan kepala ikan bilis goreng lagi” Dalisya mencebik. Dia terus berlari menuju buaian di bawah pokok besar tidak jauh dari rumahnya.

“Hati-hati, baru lepas hujan ni licin tu” Amirul Asraf mengingatkan anaknya.

“Abang Mirul, kalau tak jadi keberatan, izinkan Yuni membantu” Ayuni memandang Amirul Asraf yang sedari tadi membisu. Dia merasa kasihan dengan lelaki yang ada di hadapannya. Tambahan pula apa yang dikatakan oleh Dalisya sebentar tadi amat mencuit hatinya.

“Yuni, abang ni dah malu sangat dengan keluarga Yuni. Banyak kebaikan yang telah Yuni berikan pada abang sekeluarga. Tak terbalas segalanya” Amirul Asraf melemparkan pandangan ke arah Dalisya yang sibuk menghayun buaian.

“Abang Mirul, ini tanggungjawab kita sesama insan. Sekarang ni, Yuni bantu abang sekeluarga, mana tahu akan datang abang pula yang tolong Yuni dan keluarga Yuni. Lagipun Mak dengan Abah selalu pesan pada Yuni, kita kena bersedekah dan saling membantu, nanti TUHAN bagi rezeki lagi berganda pada kita” Ayuni teringatkan pesan ayah dan ibunya.

“Terima kasih Yuni, Yuni dah tumpangkan Puteri pergi dan balik sekolah pun abang dah bersyukur sangat, malu muka abang ni dah tak tau nak cakap macam mana lagi tebalnya. Yuni layan Puteri dengan baik, Yuni belikan macam-macam barang untuk kami, abang rasa cukuplah. Abang malu Yuni.. abang malu. Tak terbalas semuanya” Amirul Asraf menundukkan kepalanya.

“Tak perlu nak balas apa-apa abang. Yuni ikhlas dengan semua yang Yuni buat. Abang janganlah rasa malu atau segan dengan Yuni” kunci kereta dimain-mainkan.

“Terima kasih Yuni” hanya itu sahaja yang perkataan yang keluar dari bibir Amirul Asraf. Masih ada juga orang yang bersimpati dengan kehidupannya.

“Abi! Eisya lapar”

“Masuk dalam. Bawah tudung saji ada makanan”

Dalisya berlari masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian dia keluar semula bersama semangkuk bubur yang ditabur dengan kepala ikan bilis. Dia duduk bersila di hadapan Ayuni dan Amirul Asraf.

“Puteri makan di dalam” arah Amirul Asraf. Dia sebenarnya malu dengan Ayuni. Anaknya hanya makan bubur dengan kepala ikan bilis goreng sahaja. Tiada ikan jauh sekali ayam. Ada beberapa ekor ayam yang di ternak tapi tiada seekor pun yang mampu ditangkap untuk di jadikan lauk.

Ayuni sempat menjeling makanan yang di makan oleh Dalisya sebelum anak itu beredar. Terasa sayu hatinya. Patutlah Dalisya beriya-iya ingin membawa pulang kepala ikan bilis yang ingin dibuang olehnya.

“Abang.. kalau abang betul-betul nak balas apa yang Yuni dan keluarga Yuni beri pada abang, Yuni nak abang ikut Yuni” tiba-tiba Ayuni mendapat idea. Dia tahu jika diajak tanpa alasan kukuh, Amirul Asraf pasti akan menolaknya.

“Yuni nak bawa abang ke mana?” soal Amirul Asraf pada Ayuni.

“Abang siap-siap, lepas tu abang dan Eisya ikut Yuni, ke mana, buat apa semua tu abang tak boleh tanya. Abang kena terima saja apa yang Yuni nak buat. Itu saja caranya kalau abang betul-betul nak balas budi Yuni” Ayuni mengangkatkan sebelah keningnya.

Amirul Asraf menganggukkan kepalanya. Kali ini dia terpaksa akur dengan apa yang dikatakan oleh Ayuni.

“Kalau macam tu, abang bersiaplah. Yuni tunggu di sini”

“Abang ni bersiap atau tak, macam ni lah juga keadaannya” Amirul Asraf memandang dirinya dari cermin pecah yang tersangkut di tepi pintu.

“Abang boleh bawa sijil-sijil masa abang belajar dulu?” soal Ayuni pada Amirul Asraf.

“Nak buat apa?” soal Amirul Asraf pula. Dia tidak faham mengapa Ayuni perlukan semua sijil-sijilnya.

“Abang bawa saja. Nanti Eisya kita tinggalkan dengan mak dan abah Yuni”

“Cikgu nak bawa Abi ke mana?” soal Dalisya pada Ayuni. Mulutnya masih comot dengan sisa bubur.

“Cikgu nak bawa Abi ke suatu tempat. Eisya tinggal dengan Nek Senah dan Atuk ya” tangan Ayuni pantas mengelap mulut Dalisya dengan tisu yang ada di tangannya.

“Yahoo!” Dalisya kegirangan. Dia memang menyukai Mak Senah dan Pak Kulub. Mak Senah suka memasak manakala Pak kulub selalu membawanya berpusing-pusing di dalam kampung dengan motosikalnya.

Amirul Asraf keluar sambil membawa sebuah fail berwarna biru ditangannya. Fail itu kelihatannya sedikit berhabuk. Mungkin telah lama tidak digunakan. Ayuni mencapai lalu membersihkan fail tersebut. Dia mengelap helai demi helai sijil Amirul Asraf. Ternyata, Amirul Asraf adalah seorang yang berkelulusan tinggi.

“Kalau Yuni nak ajak abang cari kerja, abang rasa tak perlulah, sebab mana ada syarikat yang nak mengajikan orang cacat macam abang ni” Amirul Asraf sepertinya sudah dapat mengagak apa yang ingin di lakukan oleh Ayuni.

“Tak cuba kita tak tahu bang. Jangan mengalah sebelum pergi berperang. Lagipun abang nak balas budi Yuni dengan keluarga Yuni kan. Jadi jom kita pergi berperang” selamba jawapan Ayuni sambil dia mengenyitkan matanya.

Mereka bertiga menaiki kereta. Dalisya di tinggalkan pada Mak Senah dan Pak Kulub manakala Ayuni terus menyusur jalan ke pekan membawa Amirul Asraf bersama dengannya. Sampai di sebuah pasaraya, Ayuni memberhentikan keretanya.

“Abang turun dulu, Yuni pergi parking. Kalau abang ikut ke parking nanti jauh pula nak berjalan” Ayuni bersuara lembut.

Amirul Asraf tidak banyak soal. Dia terus turun dari kereta.

“Abang duduk di kerusi sana tu ya, nanti Yuni datang” Ayuni memuncungkan mulutnya ke arah sebuah bangku yang ada di pintu masuk pasaraya.

Ayuni terus berlalu. Dia masuk ke petak parking yang telah di sediakan. Kelihatan beberapa buah kereta sedang mencari kotak parking. Ayuni mencapai talifon bimbitnya lalu dia mendail sahabatnya.

“Assalamualaikum Zan” Ayuni memberi salam.

“Waalaikum salam, Yuni ke ni?”

“Aku lah, siapa lagi”

“Apa yang aku boleh bantu?” Soal Azizan mesra.

“Aku nak minta tolong pasal kawan sekampung aku tu lah Zan. Ala! Yang aku ceritakan pada kau dalam email hari tu”

“Oo.. pasal tu. Okey kau kat mana tu? Kau dah bawa kawan kau tu?” soal Azizan pada Ayuni.

“Dah, kami di depan pasaraya kau ni lah” Ayuni keluar dari kereta. Dia berjalan pantas menuju ke tempat yang redup. Pasti Amirul Asraf sedang menunggunya.

“Okey, kalau macam tu kau bawa kawan kau tu masuk terus ke pejabat di tingkat lima. Kebetulan suami aku ada kat sana, nanti aku cakap dengan dia. Kau masuk lepas tu kau cari Mr Adam Wong ya Yuni”

“Okey.. terima kasih Zan” Ayuni mengucapkan terima kasih pada sahabatnya.

“Its okey, masa di universiti dulu, kau banyak tolong aku. Jadi sekarang aku tolong lah kau balik. Oh ya! Siapa nama kawan kau tu Yuni, nanti senang aku mention pada suami aku” Azizan menanyakan nama Amirul Asraf.

“Nama dia Amirul Asraf”

“Laa.. lelaki rupanya, aku ingatkan perempuan. Ni mesti orang special ni kan?” Azizan mengusik Ayuni.

“Dah lah Zan, aku nak pergi cari suami kau. Assalamualaikum” Ayuni menekan punat merah, dia merasa malu dengan usikan Azizan.

Dari jauh kelihatan Amirul Asraf duduk merenung lantai. Mungkin dia masih merasa rendah diri dengan keadaannya.

“Abang Mirul” Ayuni mendekati Amirul Asraf.

“Yuni, jom kita balik. Abang malulah, semua orang pandang abang lain macam saja” Amirul Asraf kurang selesa dengan pandangan orang yang lalu lalang di situ.

“Tak boleh. Abang kena ikut Yuni masuk dalam. Abang kata nak balas jasa Yuni dengan keluarga Yuni kan? Jadi jangan banyak cakap”

Tanpa menunggu lagi, Ayuni melangkah sedikit ke hadapan. Amirul Asraf terkial-kial untuk berdiri. Namun di gagahinya juga untuk mengikut langkah Ayuni. Mereka masuk ke dalam lif.

Sebaik pintu lif terbuka, seorang lelaki cina sudah berdiri betul-betul di hadapan mereka. Sambil tersenyum dia menghulurkan tangan ke arah Amirul Asraf.

“Assalamualaikum” Ayuni memberi salam sebaik terpandang tag nama yang di pakai oleh lelaki itu.

“Waalaikum salam. Ayuni kan? Kawan Azizan?” soal lelaki itu lagi.

Amirul Asraf kehairanan. Ayuni memberi salam pada seorang lelaki cina. Dah tak betul ke dia. Mereka sampai di sebuah bilik yang agak besar.

“Jemput duduk Encik Amirul Asraf” Mr Adam Wong menarikkan kerusi untuk Amirul Asraf.

“Terima kasih Mr Adam Wong” Amirul Asraf menjeling tag nama lelaki cina tersebut. Ternyata dia mualaf. dia sedikit hairan, namanya disebut dengan lancar oleh lelaki itu. mungkin Ayuni telah mengaturkan segalanya.

Ayuni duduk di sebelah Amirul Asraf.

“Mana sijilnya?” soal Mr Adam Wong tiba-tiba.

Ayuni menghulurkan fail yang ada ditangannya. Mr Adam Wong membelek-belek sijil yang ada. Kemudian dia menutupnya.

“Encik Amirul berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai pengurus cawangan syarikat ini” Mr Adam Wong menghulurkan tangan untuk bersalaman.

“Mr Adam Wong.. saya cacat, saya tak mampu nak..” tangan Mr Adam Wong tidak di sambut.

“Saya tahu, kerja Encik Amirul di sini adalah untuk memastikan semuanya berjalan lancar. Semua report terus submit ke HQ, jangan bimbang, jika ada apa-apa kemuskilan, Encik Amirul boleh terus berhubung dengan saya melalui skype atau watsapp. Saya tak ada suruh angkat benda berat maa” terang Mr Adam Wong.

Mulut Amirul Asraf terlopong. Dia tidak menyangka, rupanya masih ada lagi orang yang kasihan padanya. Ayuni yang ada di sebelahnya hanya mendiamkan diri.

“Untuk permulaan ni, gaji Encik Amirul kami akan bayar RM4000.00 sebulan. Encik Amirul juga dibenarkan menggunakan pemandu syarikat untuk membawa Encik Amirul pergi dan balik kerja itu untuk CSR syarikat laa. Sesekali kalau nak berjalan-jalan bolehlah minta khidmat Pak Hussin, tapi jangan selalu sebab Pak Husin juga merupakan cleaner di pejabat ni” terang Mr Adam Wong.

“Syukur alhamdulilah” Amirul Asraf mengucap syukur.

“Saya harap Encik Amirul dapat bekerja dengan jujur dan amanah di sini. Faham-faham sajalah, kita main duit tunai setiap hari”

“Saya faham bos, saya tak akan hampakan bos. Saya akan kerja dengan bersungguh-sungguh” Amirul Asraf memegang tangan Mr Adam Wong. dengan tidak sengaja perkataan bos terkeluar dari mulutnya.

“So Encik Amirul Asraf,welcome and good luck” Mr Adam Wong bersalam dengan Amirul Asraf.

“Terima kasih banyak bos” ujar Amirul Asraf. Dia merasa gembira.

“Sama-sama. You kena ucap terima kasih pada ini adik, sebab ini adik sudah cerita sama wa punya bini, jadi itu yang wa bagiyou chance maa..” Mr Wong menoleh ke arah Ayuni yang sedang tersenyum memandangnya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku