Kerana Dia Milikku
Bab 17
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
979

Bacaan






Restoran di penuhi dengan pelanggan yang sedang menjamu selera. Bunyi televisyen yang terpasang tidak lagi menarik minat mereka. Masakan yang terhidang lebih menambat selera pelanggan.

Dari jauh Ismail tertinjau-tinjau mencari meja kosong untuk mereka berdua tetapi hampa. Tiba-tiba dia terpandangkan sebuah meja besar yang mempunyai sepuluh kerusi. Hanya tujuh kerusi sahaja yang terisi manakala tiga kerusi lagi masih kosong. Ismail berjalan laju menuju ke meja tersebut tanpa mempedulikan Nurul Aliya yang berada di sisinya. Dia terus berjalan.

“Encik, boleh saya duduk sini? Lama dah saya tunggu, tapi tak ada meja kosong. Perut ni pula dah berkeroncong sangat” Ismail menyapa pemuda yang sedang asyik berbual dengan ahli keluarganya.

“Boleh, kami pun tujuh orang saja” Amirul Asraf memandang Ismail. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam. Ismail menyambut tangan Amirul Asraf.

“Saya janji saya tak ganggu encik sekeluarga” Ismail mengangkat tangannya. Tetapi dia sempat mencuri pandang pada seorang wanita yang duduk di sebelah Amirul Asraf. Jantungnya berdegup laju.

“Eh! Encik nak ke mana tu?” soal Amirul Asraf apabila melihat Ismail ingin meninggalkan meja.

Ismail berhenti sambil menoleh.

“Saya nak panggil isteri saya tu, biasalah kalau dah namanya perampuan segalanya serba lambat” ujar Ismail.

Amirul Asraf kembali memandang Ayuni yang sibuk melayan Dalisya. Dia langsung tidak menoleh ke arah yang di tunjukkan oleh Ismail. Mak Yah dan Mak Senah juga sibuk berbual. Pak Husin dan Pak Kulub juga asyik dengan cerita bolanya.

“Jemput duduk sayang, kita tumpang meja ni saja sebab meja lain tak ada yang kosong. Abang harap sayang tak kisah” Ismail menarikkan kerusi untuk isterinya.

Amirul Asraf menoleh, alangkah terkejutnya dia apabila terlihat wajah bekas isterinya. Dia segera berpaling memandang ke arah lain. Mak Senah, Pak Kulub, Mak Yah dan Ayuni juga turut terkejut dengan kehadiran Nurul Aliya di situ. Hanya Dalisya yang sibuk mengomel itu dan ini.

Nurul Aliya mencuri pandang wajah Amirul Asraf. Wajah itu sangat tenang dan bersih. Tidak seperti waktu dia meninggalkan lelaki itu. Tiba-tiba dia rasa sesuatu, mungkin cintanya masih kuat untuk Amirul Asraf. Dalisya juga dipandang dengan berbagai-bagai rasa, anak yang ditinggalkannya telah semakin dewasa. Anak itu semakin petah berkata-kata. Sayangnya anak kecil itu tidak mengenalinya.

'Itu anakku! Comelnya dia' Nurul Aliya berfikir sendiri.

Dalam diam, Ismail juga asyik mencuri pandang ke arah Ayuni. Wanita itu kelihatannya sangat menawan. Dengan matanya yang bulat bersinar, senyumannya yang menawan dan suaranya yang manja mengoda benar-benar berjaya mengugat keimanannya. Walaupun wanita itu tidak secantik isterinya Nurul Aliya, wanita itu telah berjaya mencuri hatinya. Dia terasa ingin mendekati gadis itu. Dalam diam dia bertekad untuk mengenali gadis itu.

'Ah! Isteri orang agaknya.. emm aku kena pastikan betul-betul ni. Kalau dilihat dari mata kasar, macam masih anak dara ni' Ismail bermain dengan perasaannya.

“Encik nak makan apa?” soal seorang pelayan pada Ismail.

“Sayang tolong order” Ismail meminta Nurul Aliya memesan makanan tanpa melihat ke wajah isterinya. Dia sudah hilang kosentrasi terhadap Nurul Aliya. Kini hanya wanita yang ada di hadapan mata yang jadi perhatiannya. Dia asyik dengan kelembutan wajah Ayuni. Sesekali dia tersenyum sendiri apabila terdengar gelak tawa Ayuni melayan kerenah Dalisya.

“Err.. anak ke?” soal Ismail pada Amirul Asraf.

“Iya, anak saya” Amirul Asraf menjawab ringkas.

“Cantik, ikut muka mak dia ya” Ismail cuba memancing.

“Biasa saja”

“Tapi mata dia tak sama dengan mata mak dia” Ismail memandang Ayuni.

“Eh encik dah salah faham ni, yang ini kenalan keluarga saya. Bukannya isteri saya” Amirul Asraf menerangkan kedudukan yang sebenar. Dia tidak mahu Mak Senah dan Pak Kulub salah anggap terhadapnya.

“Oo.. kenalan rupanya. Saya ingatkan isteri encik” Ismail tersengih macam kerang busuk. Terasa lega kerana mungkin dia akan berpeluang untuk mendekati wanita itu.

'Calon nombor empat' ujar Ismail dalam hati. Matanya terus memandang Ayuni.

“Jadi bila kita nak langsungkan majlis pertunangan Amirul Asraf dengan Ayuni ni Kak Yah?” soal Mak Senah tiba-tiba. Sengaja dikuatkan suraranya agar Nurul Aliya dapat mendengarnya. Dia merasa kurang senang dengan lelaki yang ada di sebelah Nurul Aliya yang asyik merenung anak daranya.

“Ha?” Mak Yah terkejut dengan kata-kata Mak Senah. Amirul Asraf juga memandang wajah Mak Senah.

“Betul tu, bila kamu nak masuk meminang Ayuni ni? Aku dengan Mak Senah kamu ni memang dah lama menunggu” Pak Kulub menambah. Dia juga sangat berkenan dengan Amirul Asraf.

Amirul Asraf memandang Mak Yah kemudian dia menjeling ke arah Nurul Aliya yang juga sedang memerhatikannya. Dia tidak tahu apa yang harus di jawabnya. Baginya mungkin Mak Senah dan Pak Kulub sengaja berkata seperti itu untuk menyakitkan hati Nurul Aliya.

“Mirul? Kenapa diam saja?” soal Mak Senah.

Amirul Asraf terkaku. Dia tidak tahu apa jawapan yang paling tepat untuk di katakannya. Dia merasakan semua mata tertumpu ke arahnya.

“Puteri.. suka tak kalau Cikgu Yuni jadi Umi puteri?” soal Mak Yah pada Dalisya. Anak itu sibuk memerhatikan pelayan yang ke hulu ke hilir menghantar makanan. Kasut yang mereka pakai bunyi berketuk di lantai menarik minatnya.

“Suka!, Eisya pun dah tak ada Umi, Eisya sayang Cikgu” Dalisya tersenyum, dia mengenyitkan sebelah matanya pada Ayuni yang tersipu malu. Serentak dengan itu, wajah Nurul Aliya berubah. Dia memandang tajam ke arah Amirul Asraf.

“Kalau macam tu, Kak Yah cepat-cepat lah masuk meminang, Ayuni ni pun memang sukakan Mirul. Kita satukan saja mereka ni” Pak Kulub membuka kata. Dia tahu Ayuni memang menyimpan hati terhadap Amirul Asraf tetapi tidak tahu bagaimana hendak memulakan bicara.

"Ayuni ni sukakan Amirul bukan sewaktu senangnya saja, sewaktu Amirul Asraf susah pun dia tetap sayangkan Amirul ni. bukan macam sesetengah orang tu" Mak Senah sengaja memerli Nurul Aliya. terasa puas hatinya.

Pelayan tadi menghampiri semula Nurul Aliya dan Ismail.

“Encik, nak makan apa?” soal pelayan pada Ismail.

Ismail menoleh Nurul Aliya di sebelahnya.

“Awak tak order lagi?”suara Ismail agak keras. Tiada lagi perkataan 'sayang' buat Nurul Aliya. Dia sedikit marah kerana kosentrasinya terganggu. Dia asyik memandang Ayuni sejak dari awal mereka duduk di situ.

“Nurul tak tau abang nak makan apa” Nurul Aliya sedikit sentap dengan kata-kata suaminya. Apa lagi di hadapan bekas suaminya.

“Saya nak makan nasi putih dan sup tulang, air sirap limau, terima kasih” pantas Ismail memesan makanan untuknya. Sedikit pun tidak dihiraukan Nurul Aliya di sebelahnya.

“Saya nak air kosong saja, terima kasih” Nurul Aliya merajuk. Dia tidak sangka Ismail akan memalukannya.

Ismail langsung tidak mempedulikannya. Nurul Aliya sedikit terasa dengan kelakuan suaminya. Dia juga dapat melihat mata suaminya yang asyik memandang ke arah Ayuni. Rasa cemburu mula menular dalam dadanya. Sekali lagi Ayuni menjadi saingannya untuk memenangi hati lelaki yang dekat dengannya. Dahulu sewaktu di sekolah, Ayuni juga merupakan musuh percintaannya dengan Amirul Asraf. Ayuni sering menyebabkan dia dan Amirul Asraf bertengkar.

“Abang.. abang” Nurul Aliya mengoyangkan tangan Ismail.

“Apa hal kau ni?” soal Ismail. Dia geram kerana Nurul Aliya menganggunya.

“Saya nak ke tandas”

“Pergi sajalah, takkan kau nak bawa aku masuk tandas pula” Ismail semakin rimas dengan kelakuan Nurul Aliya. Ada sahaja yang di buatnya membuatkan Ismail geram.

Nurul Aliya tidak jadi untuk ke tandas. Dia terkaku duduk di situ. Amirul Asraf memandang Ismail sambil tersenyum. Dia sempat melihat ke arah Nurul Aliya. Wajah itu masam mencuka.

“Perempuan memang menyusahkan” Ismail berkata pada Amirul Asraf.

Hanya senyuman sinis yang di lemparkan oleh Amirul Asraf pada Ismail.

“Abang kita balik” ajak Nurul Aliya.

“Kau ni dah hilang akal ke? Makanan belum sampai dah nak balik? Aku lapar ni. Dah lah kau tu tak pandai memasak! Kau nak biar aku mati kelaparan ke?” soal Ismail pada Nurul Aliya. Kali ini dia merasa sangat marah pada isterinya itu.

“Apa abang cakap saya macam ni. Lambat lah makan kat sini, kita cari kedai lain lah” cadang Nurul Aliya pada suaminya.

“Sedapnya kau bercakap, kalau tunggu sekejap lagi tak boleh ke? Kau ni memang mengada-ngada. Tak habis-habis nak menyusahkan aku! belajar bersabar!” Ismail berang. Nurul Aliya sudah semakin menyusahkannya. Kata-kata Nurul Aliya tidak lagi menenangkan hatinya. Rasa hendak di tamparnya sahaja wajah itu.

“Saya ke tandas dulu lah” Nurul Aliya meninggalkan Ismail. Dia berjalan dengan laju menuju ke tandas yang terletak di belakang kedai. Rasa malu yang amat sangat pada Amirul Asraf dan Mak Yah. Dia di tengking oleh Ismail di hadapan mereka.

“Eh! Dah nak balik ke?” soal Ismail pada Amirul Asraf apabila melihat Amirul Asraf menyerahkan beberapa not seratus pada pelayan.

“Alhamdulilah, dah kenyang ni rasanya lebih baik cepat-cepat beredar, nanti dapatlah pelanggan yang lain duduk makan di sini pula” Amirul Asraf berkata sopan.

“Nak balik mana ni?” soal Ismail ramah. Matanya masih memandang Ayuni.

“Kami nak balik rumah, kami jalan dulu ya” Ayuni akhirnya bersuara. Dia mengambilkan tongkat untuk Amirul Asraf. Perlahan-lahan Amirul Asraf berdiri. Pak Husin juga turut membantu Amirul Asraf. Ismail melopong. Dia tidak menyangka lelaki yang berada di sebelahnya adalah seorang OKU. Dia tersenyum akhirnya.

Makanan yang di pesan oleh Ismail sampai juga akhirnya. Dia hairan, hanya sepinggan nasi putih dan semangkuk sup sahaja. Air sirap limau dan segelas air kosong. Dia mengerutkan keningnya. Tidak lama kemudian Nurul Aliya sampai di meja.

“Apa yang sayang pesan ni?” soal Ismail pada Nurul Aliya.

“Abang yang pesan bukannya Nurul” Nurul Aliya memuncungkan mulutnya.

“Betul ke?” Ismail tidak percaya.

“Betul lah, abang tu sibuk sangat tengok Ayuni tadi sampai terkeluar biji mata, buat malu saja” Nurul Aliya mengomel. Dia juga dapat menghidu kelakuan buruk suaminya itu.

“Ayuni? Siapa tu?” soal Ismail pada isterinya.

“Perempuan yang abang tengok tadi tu lah, siapa lagi” geram Nurul Aliya semakin menjadi-jadi.

“Sayang kenal ke dengan perempuan tu?” soal Ismail. Dia mengukir senyuman. Ternyata kerjanya tidaklah sesukar yang di jangka. Tadinya dia sudah mula berputus asa, tetapi kini kembali memutik harapan untuk mengenali Ayuni. Tambahan pula lelaki yang ingin di jodohkan dengan Ayuni adalah seorang cacat. Peluangnya untuk memiliki Ayuni semakin cerah.

“Abang ni dah kenapa? Sibuk sangat dengan perempuan tu, abang jangan cuba nak pasang lagi satu ya” Nurul Aliya menjeling suaminya.

Apa yang sayang merepek ni? Abang tak ada selera lah dengan perempuan macam tu. Abang cuma nak tau saja, perempuan tu sanggup nak kawin dengan lelaki yang cacat tadi tu? Macam kena guna-guna saja” Ismail cuba untuk memancing Nurul Aliya untuk bercerita. Dia dapat merasakan isterinya tahu siapa gadis yang telah menyentuh hatinya sebentar tadi.

Nurul Aliya mendiamkan diri. Dia merenung mangkuk sup yang masih lagi bersap. Seleranya mati sama sekali. Senyuman sinis Amirul Asraf sebentar tadi menyakitkan hatinya. Dia sendiri tidak menyangka akan bertemu dengan bekas suaminya itu. Cuma yang menghairankannya, bagaimana Amirul Asraf boleh makan di restoran yang boleh dikirakan agak mewah itu. Makanan yang di pesan juga kelihatannya mahal-mahal belaka. Mak Senah dan Pak Kulub beriya-iya ingin menjodohkan Amirul Asraf dengan Ayuni. Dia harus mencari tahu cerita bekas suaminya itu.

“Sayang, abang pesan makanan lain ya” suara Ismail lembut sekali kedengarannya, tidak seperti tadi.

“Nurul tak ada selera lah bang, jom kita balik” ajak Nurul Aliya.

“Abang belum makan lagi ni, sayang pun belum makan lagi kan. Janganlah macam ni, kita makan sama-sama ya” pujuk Ismail. Dia cuba bersabar dengan Nurul Aliya.

Setelah di pujuk dan di rayu, akhirnya Nurul Aliya menurut juga. Dia memesan nasi goreng kampung manakala Ismail menambah pesanannya. Mereka makan dengan berselera sekali.

“Macam mana sayang kenal Ayuni tu? Kawan sayang ke?” soal Ismail tiba-tiba.

“Ayuni lagi.. abang ni buat Nurul hilang mood laa..” Nurul Aliya meletakkan sudu dan garfu.

“Bukan apa, abang hairan juga. Macam mana sayang boleh kenal dengan perempuan tu” Ismail terus mencuba.

“Ayuni tu junior Nurul masa sekolah dulu”

“Junior masa di sekolah? Bukan Nurul sekolah di bandar ke?” soal Ismail.

“Saya ni bang, sekolah merata-rata. Paling lama masa di sekolah kampung sebelah. Abah kan pegawai, jadi pindah randah sajalah kerjanya” terang Nurul Aliya.

“Oh! Orang kampung sebelah rupanya”

Nurul Aliya mencapai sudu dan garfu. Dia kembali menyuapkan nasi goreng ke mulutnya. Masing-masing sibuk memikirkan sesuatu. Fikiran Ismail melayang pada Ayuni manakala Nurul Aliya pula sibuk memikirkan bekas suaminya Amirul Asraf dan Dalisya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku